assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, February 3, 2010

AIR MANI ANWAR DITEMUI DALAM DU*** SAIFUL?

Perbicaraan kes liwat Anwar terhadap Saiful kini sudah pun bermula. Tidak ada petanda yang menunjukkan bahawa kes ini akan bertangguh lagi. Tak dapat tidak, Anwar kena menghadapinya, manakala Saiful pula sudah bersedia untuk membuktikan dirinya telah diliwat oleh Anwar, walaupun di mahkamah hari ini beliau dijeritkan oleh salah seorang yang hadir yang memintanya 'bertaubat'.

Dalam kenyataan pembukaannya hari ini, Peguamcara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin berkata pihak pendakwaraya akan membuktikan bahawa kesan air mani Anwar ditemui dalam dubur Saiful.

Katanya, kesan air mani itu diperolehi oleh doktor dari sampel tisu. Mohd Yusof berkata, pihak pendakwa akan membuktikan kesnya melalui keterangan oleh Saiful dan laporan ahli kimia, pakar forensik dan doktor.

Sementara itu semasa mula memberikan keterangannya Saiful telah menceritakan detik-detik permulaan beliau mengenali dan bekerja dengan Anwar.

Pada 26 Jun, katanya, dia diarahkan bertemu dengan Anwar di Kondominium Desa Damansara pada jam 2.30 petang untuk berbincang tentang tugas-tugasnya. Bermula dari detik itu jugalah Saiful mendakwa dirinya telah digoda oleh Anwar sehingga berlakunya babak-babak yang membawa kepada pertuduhan terhadap Anwar.

Setelah mendengar keterangan Saiful itu, peguam Anwar, Karpal Singh telah meminta supaya baki keterangan Saiful itu dibuat secara tertutup, lalu Hakim Mohamad Zabidin bersetuju dengan permintaan itu dan terus menangguhkan prosiding sehingga jam 9.30 pagi esok.

Sebelum itu, peguam Karpal Singh telah membuat bantahan kerana menurutnya laporan polis menyebut kejadian liwat didakwa berlaku kira-kira jam 6 petang yang berbeza dengan kertas pertuduhan. Namun begitu DPP Mohd. Yusof menjawab banyak insiden yang berlaku. Katanya, laporan polis itu merupakan bukti utama yang membawa polis melakukan penyiasatan.

Perbicaraan bersambung esok.


Tuesday, February 2, 2010

KES LIWAT ANWAR: HAKIM TOLAK PENANGGUHAN, PERBICARAAN DITERUSKAN PETANG ESOK.



Berikut sambungan rentetan peristiwa hari ini.

3:30 petang: Hakim Mohd Zabidin memutuskan menolak permohonan penangguhan dan berkata perbicaraan akan diteruskan.

Karpal memohon keputusan ditangguhkan sehingga pertemuan dengan presiden mahkamah rayuan.

Bagaiamanapun hakim menolak permintaan itu dan berkata dia tidak boleh menangguhkan lagi kes ini.
KES LIWAT ANWAR: MAHKAMAH TANGGUH PETANG INI, NAJIB DAN ROSMAH PULA AKAN DISAPENA?


KUALA LUMPUR: Hari ini Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya, Karpal Singh mensapena Perdana Menteri, Dato' Sri Najib dan isterinya untuk menjadi saksi dalam kes liwatnya.

Nampaknya episod penangguhan terus berlaku...Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke pukul 2 petang ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya

Asalnya, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar hari ini tetapi perlu mendengar terlebih dahulu permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan itu.

Sama ada perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan telah berulangkali ditangguhkan itu akan berlangsung bergantung kepada Hakim Mohamad Zabidin yang kini perlu mendengar permohonan penangguhan itu.

Anwar, 63, tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Beliau didakwa mengikut seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 penjara dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah dipenuhi oleh petugas media tempatan dan luar negara, anggota keluarga Anwar dan para penyokong serta orang ramai.

Turut hadir ialah bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim, bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng. Peguam Zamri Idrus menjadi peguam pemerhati bagi pihak Saiful.

Petugas media yang menunggu di luar mahkamah sejak pukul 7.30 pagi hanya dibenarkan masuk satu jam kemudian.

Anwar menghujahkan perbicaraan mesti ditangguh sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi menolak untuk membatalkan tuduhan liwat terhadap beliau.

Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh untuk tujuan itu.

Perbicaraan tuduhan liwat itu pada asalnya ditetapkan pada 25 Januari lepas tetapi ditangguh kepada hari ini sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan Anwar agar diberi akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan bagi tujuan pembelaan beliau. Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas menolak permohonan Anwar itu

Sunday, January 31, 2010

MELAYU 'JOM HEBOH' BERKABILAH TIGA, HILANG KEKUATANNYA!



Salam semua. Sebetulnya saya begitu sibuk kebelakangan ini, ditambah pula mengalami demam selesema sejak 4 hari yang lalu. Namun begitu kondisi sedemikian bukanlah menjadi penghalang terbesar untuk saya menjengah beberapa laman blog pilihan saya termasuklah berinteraksi dengan rakan-rakan di dalam FB.

Mungkin saya agak ketinggalan dengan beberapa isu yang tidak sempat diulas di dalam blog saya ini. Namun kehidupan seharian selama saya tidak muncul dalam 'posting' masih tetap terisi dengan aktiviti-aktiviti politik yang lain, malah saya merasakan banyak input yang telah dapat saya timba sepanjang dua minggu yang berlalu.


Foto Kiri: Abd. Rahman Hashim Foto Kanan: Pusat ILMU Janda Baik.

Pada 22, 23 dan 24 Januari lepas, saya telah sempat menyertai 'Kursus Bela Nusa' yang telah mengumpulkan 384 para penceramah UMNO dari seluruh negara yang telah berkampung selama tiga hari dua malam di Institut Latihan Memperkasa UMNO atau ILMU di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Saya sendiri yang mewakili UMNO Bahagian Setiawangsa bersama-sama dengan seorang lagi rakan seperjuangan iaitu Sdra Halim Tuah merupakan diantara 'Penceramah UMNO' yang telah menerima watikah pentauliahan oleh Biro Penerangan UMNO Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Haji Ahmad Haji Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia; setelah kami ditubikan dengan pelbagai maklumat dan dibekalkan juga dengan pelbagai kaedah strategi menyerang terhadap gerombolan pembangkang Pakatan Rakyat yang telah banyak disentuh oleh para moderator yang terbabit.


Sebahagian penceramah UMNO yang berkursus

Secara keseluruhannya bolehlah saya anggapkan kursus tersebut sebagai berjaya, kerana semua peserta yang hadir telah menunjukkan semangat kental sebagai hulubalang UMNO yang 'wira perkasa' malah kami disarankan supaya lebih bersiapsiaga untuk menghadapi kancah-kancah politik yang lebih mencabar di masa-masa hadapan.

Hakikat yang dibentangkan dalam kursus itu bukan sahaja ke arah mengukuhkan 'saf' di dalam UMNO, bahkan UMNO sebagai sebuah parti politik terbesar umat Melayu di negara ini dituntut supaya melakukan muhasabah kerana situasi hari ini memperlihatkan orang Melayu telah berada di persimpangan yang amat merbahaya.

UMNO jangan lagi mendabik dada dengan kekuatan lampau, kerana hari ini umat Melayu dilihat tidak lagi cenderung untuk menguatkan harakat perjuangannya bersama UMNO. Umat Melayu di negara ini kelihatannya sedang bersuka ria bagaikan karnival 'Sure Heboh' di sebalik tembok kabilah masing-masing yang menjadikan Melayu kini 'Sure' hilang kekuatannya.

Senario majoriti lebih 60 peratus umat Melayu di bumi Malaysia hari ini bukan lagi menjadi simbol kemegahan malah Melayu di negara ini tidak lagi berada dalam 'Zon Selesa' setelah pemimpin-pemimpin Melayu yang menguasai kelompok parti masing-masing sering bertelagah sesama sendiri untuk mengejar 'Mimpi Syahid' membunuh bangsa sendiri serta mengaibkan Islam yang menjadi pegangan mereka selama ini.

Diantara mereka tidak sekata lagi apabila berbicara mengenai ALLAH yang disembahnya. Kelihatannya juga seolah-olah cara solat orang Islam UMNO dengan solat orang Islam PAS dan PKR juga tidak sama? Mereka terlupa bahawa kekuatan Melayu/Islam selama ini telah berjaya dipunahkan hanya semata-mata umat Islam hari ini berkiblatkan simbol parti masing-masing yang langsung tidak termaktub di dalam kitab suci Al-Quran.

Islam bersimbol parti nampaknya tidak membawa apa-apa manfaat kepada umatnya jika dibandingkan dengan Islam yang berpegang teguh dengan 'Al-Quran dan As-Sunnah'. Seringkali umat Islam di negara ini menjadi berkeceramuk apabila orang politik membuahkan pendapatnya terhadap isu-isu agama. Begitu juga ulamak-ulamak yang berparti ini seringkali tersasar apabila berhujah, malah dalam beberapa isu mereka kelihatannya lebih berpihak untuk menjaga hati orang lain daripada menjaga hati umat Islam sendiri.

Keikhlasan dan ketulusan dalam berhukum hakam semakin menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Islam semata-mata terikut telunjuk ideologi politik tertentu. Pernah umat Islam dikelirukan oleh seorang mufti yang telah mengharamkan 'Sure Heboh' di negerinya, tetapi membisu apabila 'Jom Heboh' pula diadakan setelah bertukar Menteri Besarnya. Ulamak ini nampaknya telah mengaibkan dirinya kerana terdorong dengan politik partisan yang sempit.

Begitu juga dengan seorang lagi ulamak yang kini mengetuai sebuah parti Islam di negara ini. Dahulunya telah berfatwa kononnya bersekutu dengan parti-parti bukan Islam dalam membentuk kerajaan adalah HARAM dan menjadi KAFIR, tetapi hari ini parti tersebut dilihat menjadi akrab dengan sebuah parti bukan Islam yang terang-terangan menolak negara Islam yang diperjuangkan oleh parti Islam ini.

Parti Islam ini juga dilihat sedang bersekongkol dan bercumbuan bersama DAP dan PKR untuk menjatuhkan UMNO yang sedang dimusuhinya. Islam pada mereka hanya bersimbolkan 'bulan' yang menjadi simbol keagungan partinya selama ini. Parti ini telah memaksimakan keyakinan untuk memperkasakan 'Parti Roket' jika dibandingkan dengan parti yang bersimbolkan 'Keris Terhunus' kerana mereka bimbang dengan tenungan makrifat 'si mata satu'. Begitu juga dengan isu kalimah Allah. Parti-parti yang diketuai oleh orang Islam dilihat semakin tidak sekata, malah mereka lebih terdorong untuk menjaga hati orang lain demi kerana undi. Isu ini kelihatannya telah menjadikan PAS lebih liberal daripada UMNO yang juga tidak mahu ketinggalan sebagai pejuang Islam tulen.

PKR yang dilihat kemajmukannya tidak berupaya lagi untuk memperjuangkan Islam, kerana mereka harus mewarna warnikan identiti perjuangannya. Pendekata, jika berlaku lagi tekanan terhadap isu-isu Islam, PKR bukanlah penyelamatnya. PKR nampaknya tidak berminat untuk mejadi juara kepada Islam malah parti ini juga bukanlah dominan untuk umat Melayu di negara ini.

LIM GUAN ENG DIKTATOR?

Apabila Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru daripada PKR menuding Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai diktator dan berfikiran komunis, tentunya beliau mempunyai asas yang kukuh untuk berkata sedemikian. Apakah Zahrain sebagai anak Melayu akan berterusan gembira apabila melihat di hadapan matanya tindak tanduk pemimpin parti 'chauvinist' itu tidak lagi membela orang-orang Melayu di negeri Pulau Pinang? Tentunya Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP akan melebihkan kreditnya terhadap penyokong-penyokong partinya daripada yang lain.

Walaupun tindakan Zahrain itu tidak banyak memberikan keuntungan politiknya, namun Zahrain juga mengetahuinya jika beliau terkeluar daripada PKR semata-mata marahkan Lim Guan Eng dan ingin masuk UMNO, apakah UMNO akan mencalonkannya semula untuk bertanding di Bayan Baru dalam PRU13 nanti? Saya rasa Zahrain juga lebih maklum bahawa kemenangannya dalam PRU12 lalu adalah hasil sokongan yang telah diberikan oleh pengundi Cina yang menjadi majoriti di kawasan itu. Orang Melayu daripada BN amat sukar memenangi kawasan ini.

Tetapi saya percaya Zahrain mungkin tidak memikirkan itu semua. Beliau lebih memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah peribadi yang menimpanya sejak kebelakangan ini. Beliau dikatakan akan belayar malam bersama beberapa orang lagi pejuang PKR untuk bersauh ke destinasi BN yang pernah dicercanya dahulu. Orang-orang UMNO di Bayan Baru tentunya tidak lupa akan cercaan dan maki hamun yang pernah dilemparkan terhadap mereka sewaktu pilihan raya lepas.

Namun begitu perkembangan yang berlaku terhadap Zahrain Mohd. Hashim tentunya akan mendapat simpati daripada UMNO/BN yang begitu dahagakan pencapaian 2/3 di Dewan Rakyat.


Monday, January 18, 2010

PENGANUT KRISTIAN DI SARAWAK, SABAH, WP DAN PULAU PINANG BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH, TETAPI TIDAK DI NEGERI-NEGERI LAIN...?

Apa dah jadi...apa dah jadi, nampaknya umat Islam negara ini menjadi semakin keliru dan bercelaru, kerana sementara pihak kerajaan sedang menunggu keputusan mahkamah rayuan untuk menghalang kalimah Allah dari terus digunakan oleh majalah Katholik Kristian 'The Herald' di dalam penerbitannya itu, tiba-tiba salah seorang menterinya pula telah membuat kenyataan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan di negeri-negeri Sarawak, Sabah dan yang terkini beliau juga mengumumkan perkataan ALLAH tidak dihalang penggunaannya oleh masyarakat bukan Islam di Wilayah Persekutuan dan juga di Pulau Pinang.

Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, di negeri-negeri lain yang mempunyai enakmen agama Islam, maka masyarakat yang bukan Islam tidak boleh menggunakan perkataan Allah.

Demikian hujah menteri berkenaan yang dilihat sebagai satu kenyataan yang bakal mengundang polemik yang semakin bersimpul, malah ia dilihat telah menjerat pelaku-pelaku demonstrasi jalanan yang telah dibenarkan oleh kerajaan baru-baru ini, yang telah membahang sehingga berlakunya pembakaran dan vandalisme di beberapa buah gereja di negara ini.

Ada yang marah meluap-luap tak mahu ALLAH digerejakan. Beberapa pertubuhan NGO pula telah menyatakan bantahan, kerana menurut mereka ALLAH hanya milik Islam. Beberapa pemimpin politik juga saling kecam mengecam kerana masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

Paling malang foto Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS telah disalibkan kerana pandangan beliau dikatakan tidak menggambarkan kecintaannya kepada Allah jika hendak dibandingkan dengan penunjuk-penunjuk perasaan jalanan itu.

Jumaat lalu, Nazri Aziz dipetik berkata penganut Kristian di Malaysia Timur tidak perlu bimbang kerana mereka boleh terus menggunakan kalimah tersebut bagi terjemahan 'God' dalam cetakan Bahasa Malaysia, kerana menurutnya mereka telah menggunakan kalimah Allah itu sejak 300 tahun yang lalu.

Pengumuman itu dibuat olehnya dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan daripada Borneo Post, Utusan Borneo and Oriental Daily. Manakala beberapa hari yang lalu beliau juga mengumumkan penganut Kristian di Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang juga diberikan kebenaran menggunakan kalimah Allah.



Saturday, January 9, 2010

KENAPA CINTAKAN ALLAH, GEREJA DIBAKAR?

Masjid Haghia Sophia (Asalnya gereja kristian ortodoks terbesar kerajaan
Rom Byzantine, Gereja Haghia Sophia). Tapi sekarang sudah dijadikan
muzium terkenal di negara Turki selepas kejatuhan Uthmaniyah pada 1924
pimpinan Kamal Atartuk.

Sebuah Gereja Katholik

Saya agak terkejut apabila isu penggunaan kalimat 'Allah' di majalah Herald yang telah dibenarkan oleh pihak Mahkmah Tinggi di negara ini tempoh hari telah mencetuskan ketegangan sehingga beberapa buah gereja di sekitar Lembah Kelang telah dibakar. Dilaporkan sebuah surau di Kelang, Selangor juga telah dicerobohi pagi sabtu yang lepas dengan simbahan air kencing, dan terdapat juga kesan-kesan pintu kaca surau tersebut yang terpecah akibat lontaran objek keras. Angkara siapakah ini?

Semuanya ini berlaku dengan sifat 'amarah' yang meluap-luap oleh mereka yang bertindak pasif kononnya kecintaan kepada Allah telah menghalalkan tindakan menceroboh rumah-rumah ibadat yang lainnya. Mungkin juga ketaksuban daripada tindakan ini mereka merasakan Allah akan memberikan bonus pahala kepada mereka sebagai jaminan untuk masuk ke syurga.

Jikalau mereka tidak taksub dengan kepercayaan ini, maka atas kapasiti apakah sehingga ada yang merelakan dirinya menjadi orang upahan 'berjihad' untuk memusnahkan gereja? Saya tidak fikir kerja terkutuk ini sanggup dilakukan oleh mana-mana mua'allim atau imam masjid/surau, semata-mata marahkan manusia lain yang bukan beragama Islam menyebut nama 'Allah'.

Lagipun sebagai seorang imam yang mu'allim tentunya mereka merasakan tindakan sedemikian tidak mencerminkan akhlak yang baik, bahkan saya pasti agama Islam sendiri bukanlah satu agama yang sempit yang mengharuskan gereja patut dibakar semata-mata kerana mereka menyebut dan menggunakan kalimah Allah mengikut kepercayaan mereka.

Gara-gara tidak menjiwai toleransi di dalam Islam jugalah yang telah mengakibatkan 'kepala lembu' yang dianggap suci oleh penganut agama Hindu pernah diarak malah dipijak secara hina oleh segolongan mereka yang juga mempercayai Allah, tetapi tidak terlintas di fikiran mereka bahawa orang lain juga boleh menghina Allah Taala dengan pelbagai cara yang mengaibkan. Bukankah elok kita bertindak secara 'berhikmah' dengan segala kebijakan mengikut 'uslub dakwah Islamiah' yang lebih tertib tanpa menghina penganut agama lain.

Memang betul dan tepat sekali apa yang Allah firmankan, "Jangan kamu hina Tuhan bagi orang yang tidak menyembah Allah (yakni orang kafir), kerana nanti mereka pula akan menghina Tuhan kamu, yakni ALLAH..."

Pada pandangan saya, gereja itu tidak bersalah dan tidak wajar dibakar. Jika kita marahkan penggunaan kalimat Allah di dalam majalah HERALD yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi itu, maka sepatutnya kita menjadi lebih tertib untuk menjaga kesucian nama Allah dengan memberikan hujah yang beralas mengikut persepsi perlembagaan negara ini yang menjadikan Islam sebagai agama resmi.

Jika Islam telah menjadi agama resmi negara, maka wajarlah penggunaan kalimat Allah tidak dipergunakan di dalam mana-mana penerbitan agama lain kerana ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan penganut agama Islam di negara ini. Sewajarnyalah pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa yang menjaga hal ehwal Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan memperincikan secara jelas tentang kesucian agama Islam, terutama yang membabitkan pegangan aqidah umat Islam tetap terpelihara.

Saya amat bersetuju dengan pandangan-pandangan yang telah meminta supaya isu nama Allah ini tidak dipolitikkan, kerana orang politik seringkali tersasar dalam penghujahan mereka sehingga mereka terlupa bahawa Islam orang-orang UMNO adalah sama dengan Islam orang-orang PAS. Kita semua beriman kepada Allah dan beriman juga kepada Rasul-Rasul. Islam UMNO dan Islam PAS, semuanya bertuhankan Allah Rabbul Jalil. Kita semua bersaudara, kerana memutuskan silaturrahim sesama Islam lebih dibenci Allah daripada bersekongkol dengan musuh-musuh Islam yang tidak beriman dengan Allah.

Oleh yang demikian adalah lebih baik jika kita umat Islam melupakan sengketa yang tidak digalakkan oleh agama. Janganlah kita berpecah-belah berpanjangan di atas perkara remeh temeh sehingga kita terlupa untuk mencari noktahnya. Jika kita meyakini bahawa Islam adalah anutan agama yang diredhai Allah, maka tidak wajarlah kita menjadikan Islam sebagai alasan untuk kita terus berkabilah.


Sunday, January 3, 2010

RUKUN IMAN PERTAMA - PERCAYA KEPADA ALLAH..

Heboh dan gempita sekali jika kita melihat komentar di segala ruang media tempatan yang membicarakan samada wajar kalimat 'Allah' diguna pakai oleh agama lain selain daripada Islam. ALLAH di dalam konteks akidah Islam merupakan Tuhan yang Maha Esa, dan Maha Besar - tidak ada dua atau tiga melainkan hanya Allah sahaja yang disembah.

Beriman kepada Allah merupakan 'Rukun Iman' yang pertama dimana semua umat Islam bukan sahaja wajib mengimaninya, bahkan umat Islam dilarang menduakannya dengan segala perbuatan syirik termasuk amalan khurafat yang menyesatkan akidah Islam.

Di dalam Islam Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mentaatiNya sebagai KHALIK yang Maha Pencipta, yang berkuasa di semesta alam. Allah adalah Tuhan yang menjadikan manusia dan segala makhluk yang ada di muka bumi dan mempunyai kekuasaan yang tidak boleh disamakan dengan apa jua bentuk sekalipun. Allah juga telah memerintahkan manusia supaya mengimani Nabi Muhammad SAW sebagai 'Rasul' akhir zaman, kerana Nabi Muhammad SAW merupakan utusan Allah yang memberi rahmat seluruh alam.

Allah yang disembah oleh umat Islam tidak sama dengan tuhan yang disembah oleh penganut agama yang lainnya. Allah yang disembah oleh umat Islam tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan, malah Allah tidak sama sekali mempunyai isteri (Mariam) untuk memperanakkan 'Isa' sebagaimana yang dipercayai oleh penganut 'Kristian'. Kepercayaan 'Meesiah anak Tuhan' sebagaimana yang diyakini oleh penganut agama nasrani itu telah menyimpang jauh untuk meletakkan kesucian 'Allah' yang tidak sama dengan sifat-sifat seperti manusia dan makhluk yang lainnya.

Allah yang diimani oleh penganut Islam adalah Tuhan yang telah menurunkan 'Al-Quran' kepada Nabi Muhammad SAW (sebagai mukjizat) untuk menjadi pegangan kepada seluruh umat manusia. Penganut agama lain tidak mempercayainya, kerana mereka tidak beriman dengan ALLAH.

Jika mereka mahukan ALLAH mereka juga WAJIB beriman tentang keRasulan Nabi Muhammad SAW, mereka juga WAJIB beriman dengan segala ketetapan yang terkandung di dalam kitab-kitab suci termasuk Al-Quranul Karim yang mewajibkan hanya Allah sahaja yang disembah, kerana di dalam Islam 'Tiada Tuhan lain yang disembah, melainkan Allah".

Oleh itu kalimat 'Allah' tidak selayaknya digunakan oleh agama lain untuk merujuk sebagai Tuhan sebagaimana yang diImani oleh umat Islam. Penggunaan nama Allah oleh penganut agama lain selain Islam telah mencemarkan kesucian Allah 'Tuhan Semesta Alam'.

Hakim yang bukan beragama Islam itu bukanlah layak untuk menghakimi 'Allah' yang bukan kepercayaannya. Adalah sesuatu yang mengaibkan apabila seorang hakim yang tidak menyembah Allah (Tidak Beriman) telah membenarkan kalimat 'Allah' dipersendakan sedemikian rupa.

Justeru wajarlah umat Islam tersentuh dan tersinggung dengan perlakuan biadap dan kurang ajar yang telah menghina kesucian dan kebesaran Allah itu. Tentunya hakim tersebut tidak merasakan berdosa untuk meletakkan 'Allah' seganding dengan pemikirannya yang mungkin tidak percaya bahawa Allah juga adalah Tuhan yang wajib beliau sembah.