Hari ini saya terpanggil pula untuk mengulas serba sedikit mengenai PERKASA yang diasaskan oleh Dato' Paduka Ibrahim Ali yang menjadi Presidennya. Tanggal 13 Disember 2009, selain daripada berlangsungnya Konvensyen PKR Negeri Sarawak yang dilancarkan oleh Anwar Ibrahim, satu lagi peristiwa penting telah terlakar di Bumi Kenyalang, kerana Ibrahim Ali telah berjaya mengembangkan sayap PERKASA di negeri ini apabila beliau sendiri yang melancarkannya di dalam satu majlis yang gilang gemilang di hadapan lebih 300 anggotanya di Kelab Golf Sarawak, di Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
Saya yang masih berada di Kuching sejak 4 Disember lalu telah diundang oleh seorang kenalan baru saya di Sarawak iaitu Tuan Haji Ahmad Sazali Annuar yang juga Bendahari Kehormat PERKASA Negeri Sarawak yang telah meminta saya agar dapat melapangkan masa untuk menyaksikan upacara yang bersejarah itu.(Foto - Barisan AJK Perkasa Sarawak bersama Ibrahim Ali)
Sebelum itu, sahabat lama saya di Kuching iaitu Saudara Rahman Lariwoo yang juga ahli jawatankuasa PERKASA Negeri Sarawak telah lebih awal memaklumkan kepada saya tentang kehadiran Ibrahim Ali yang akan melancarkan PERKASA di negeri ini. Saya berterima kasih di atas jemputan itu, sekaligus telah menyatakan persetujuan untuk menghadirinya.
Saya sudah lama mengenali Ibrahim Ali sejak bersama-sama dengannya di dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semasa Anwar Ibrahim menerajuinya. Dalam tahun 1986 saya telah diberikan kepercayaan untuk menduduki barisan ahli jawatankuasa Biro Kemiskinan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Ibrahim Ali. Waktu itu saya bergiat cergas di dalam Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai.
Saya masih ingat lagi Setiausaha Biro ini iaitu Dr. Samarudin Rejab yang juga bos saya di dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai pada masa itu telah mempelawa diri saya untuk berada di dalam biro kemiskinan ini dalam merangka 'modus operandi' pembasmian kemiskinan yang bakal dibentangkan oleh Ibrahim Ali di dalam satu kovensyen kemiskinan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 1986.(Foto - Abdul Rahman Hashim bersama Ibrahim Ali di Kelab Golf Sarawak, selepas pelancaran PERKASA Sarawak)
Penglibatan saya bersama Ibrahim Ali tidak terhenti setakat itu sahaja, malah saya juga pernah bersamanya ketika menganjurkan Larian Antarabangsa Pasir Mas yang diadakan pada tahun 1994 ketika beliau menjadi Pengerusi Yayasan Pasir Mas dan juga Ahli Parlimen BN Pasir Mas. Larian tersebut yang dihadiri lebih 30,000 orang memenuhi Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim II Pasir Mas itu telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.
Walaupun pelbagai jenama yang dilabelkan terhadap Ibrahim Ali, namun saya tidak boleh menafikan kehebatannya berpidato terutama yang membabitkan isu-isu nasionalisme yang menjurus kepada hak-hak ketuanan Melayu. Beliau kelihatan bagaikan 'harimau' ketika mengaumkan isu-isu yang memperlekehkan bangsanya.
Ibrahim Ali tidak 'appologitic' dan tidak mudah berkompromi jika maruah bangsa Melayu tercabar; waima beliau juga tidak segan silu untuk bertikam lidah dengan sesiapa sekali pun, malah sanggup 'naik meja' untuk menerkam orang yang 'berkurang ajar' terhadap Melayu. Gelaran katak yang sering diungkapkan oleh Karpal Singh di Parlimen terhadapnya langsung tidak mengurangkan suhunya untuk mempertahankan martabat bangsa Melayu yang kini terus dicabar oleh golongan chauvinist tertentu di negara ini.
Hari ini Ibrahim Ali meneruskan kelantangan suaranya menerusi platfom PERKASA yakni Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia yang telah didaftarkan penubuhannya pada 12 September 2008.(Foto - Ibrahim Ali bersama Datuk Mohamad Nasir MB Kelantan, tahun 1977)
Berbekalkan keperkasaannya sejak memimpin persatuan pelajar sekitar tahun 1970-an hinggalah penitiannya di dalam arena politik tanahair bermula dengan Parti BERJASA yang berjaya memporak perandakan pemerintahan PAS di Kelantan pada 1977, dan kemudiannya melangkah masuk pula ke dalam UMNO pada tahun 1978 sebelum keluar bersama-sama dengan Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 dalam tahun 1988, sehingga mereka berjaya menumbangkan kerajaan BN di Kelantan di dalam PRU yang diadakan pada tahun 1990.
Semasa bertanding dalam PRU tahun 1995 atas tiket UMNO, Ibrahim Ali telah ditewaskan oleh calon daripada Parti Semangat 46. Namun begitu perjalanan politiknya tidak bernoktah, beliau telah dilantik pula sebagai Senator bagi membolehkannya diangkat menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu Dr. Mahathir Mohamad.
Pendekata, jatuh bangun kerajaan negeri Kelantan jika tidak dikaitkan dengan 'tingkah politik' Ibrahim Ali adalah sesuatu yang tidak lengkap di dalam fakta sejarahnya. Jika Dr. Mahathir Mohamad begitu lantang menyuruh Nazri Aziz meletakkan jawatannya di dalam UMNO kerana parti itu dikatakan bersifat perkauman, Ibrahim Ali pula tidak rasa bersalah dengan beraninya telah meminta Tuan Guru Nik Aziz supaya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan, walaupun beliau tahu tidak masuk akal untuk Nik Aziz menuruti kehendaknya itu.
PERKASA yang diasaskannya itu adalah bersifat kesukarelaan sebagai bukti iltizamnya untuk meneruskan agenda memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan, memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping tidak berkompromi memperkasakan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan juga kedaulatan negara.Di dalam perlembagaan PERKASA Fasal 4 juga dengan jelas memperincikan matlamat perjuangannya untuk mempertahan dan memperkasakan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan juga Bumiputra di negara ini.
Apakah PERKASA di bawah pimpinan Ibrahim Ali yang kini menjadi Ahli Parlimen (Bebas) di Dewan Rakyat mampu menggalas tugas dan amanah ini untuk menjadi juru bicara dan penyambung lidah bangsa pribumi di bumi Malaysia? PERKASA sebenarnya menjadi lebih penting daripada Ibrahim Ali yang telah memperkasakan penubuhannya itu. Keperkasaan PERKASA juga tidak mungkin dapat diwarisi oleh generasi pewarisnya jika PERKASA tidak mampu menterjemahkan erti sebuah perjuangan bangsa sebagaimana yang ditingkahkan oleh Dato' Paduka Ibrahim Ali dalam road shownya di seluruh negara.
Oleh yang demikian, saya tabik hormat kepada sahabat saya Ibrahim Ali yang sanggup menggelumangkan sisa-sisa hidupnya demi untuk memartabatkan Melayu dan pribumi serta meletakkan Islam sebagai agenda perkasanya. Saya begitu kagum dan teruja apabila mendengar pidato Ibrahim Ali semasa melancarkan PERKASA Negeri Sarawak yang telah mendapat respon yang cukup meyakinkan itu.
Biarlah Tuhan yang menilaikan keikhlasan perjuangan ini, janganlah kita membuat tafsiran yang negatif dan tidak adil terhadap perjuangan Ibrahim Ali. Walaupun dia merupakan Ahli Parlimen Bebas yang konflik dengan parti PAS yang menyokongnya dahulu, tetapi dia tetap Islam, dia tetap Melayu, malah saya percaya Ibrahim Ali tidak akan menjadi pengkhianat Melayu. Oleh itu PERKASA juga janganlah dilihat terdorong untuk terlalu partisan, sehingga tidak mampu menyatu padukan orang-orang Melayu yang terbelah tiga hari ini.
Akhirul kalam, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pimpinan PERKASA Negeri Sarawak yang diketuai oleh Abang Abd. Nasser Bin Abg Hadari sebagai Yang Dipertuanya. Manakala Awg Mohamad Bin Awg Bunsu pula merupakan Timbalannya yang turut dibarisi oleh Naib Yang Dipertua 1, Ganchai Ak Jinta dan Naib Yang Dipertua II, Leornard Sepoi.
Mudah-mudahan PERKASA Negeri Sarawak dapat menjiwai perjuangan ini untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan hak-hak keistimewaan pribumi di bumi kenyalang ini. Perkasakanlah pertubuhan ini demi nusa dan bangsa.













