assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, December 11, 2009

SHAFEI BELA RAKYAT, WEE CHOO KEONG MENCEMBURUINYA...

Lebih kurang seminggu saya tidak menulis di ruangan maya ini, malah saya juga tidak berkesempatan untuk meninjau isu-isu sensasi yang berlaku di Kuala Lumpur, terutama yang membabitkan isu-isu mutakhir dalam ruang lingkup politik tanah air di laman-laman maya pilihan saya.

(Foto - Dato' Dr. Shafei Abdullah)

Saya kini berada di Kuching Bumi Kenyalang (Sarawak) sejak 4 Disember lalu. Kebetulan pula saya menghadapi masalah teknikal dengan komputer riba yang telah menjejaskan urusan 'posting' di dalam locengwangsa sehingga menghalang saya untuk mengikuti perkembangan isu-isu semasa yang tersiar di dalam blog dan laman sesawang yang lainnya.

Hari ini saya terpanggil untuk menatap kembali komputer riba yang sudah pun dibaiki maka dapatlah saya melayari beberapa laman blog yang sering menjadi pilihan saya; diantaranya saya berkesempatan menjengah laman blog 'umnogombakselatan' yang dilihat begitu bersimpati dan membela Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Dr. Shafei Abdullah yang dikatakan telah diganyang oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju dari PKR iaitu Wee Choo Keong (WCK) seraya melabelkan Shafei sebagai 'Mr. Political Toll' dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan dakwaan kononnya Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu telah mencampuri urusan pentadbiran DBKL yang dikatakan telah menghalang kerja-kerja tindakan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai haram di Taman Melati, begitu juga dengan sebuah restoran Rashastini di Seksyen 2 Wangsa Maju dan juga bazar malam uptown di Danau Kota.

Wee Choo Keong (Foto) dikatakan telah menempelak tindakan Shafei itu di dalam Dewan Rakyat beberapa hari yang lalu, seterusnya WCK telah menggesa agar Parlimen mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perlakuan Setiausaha Politik Dato' Sri Najib itu yang didakwa telah memarahinya semasa beliau keluar daripada Dewan setelah mengganyang Shafei semasa beliau mengambil bahagian berbahas di dalam sidang dewan berkenaan.

Semasa saya mengunjungi Dato' Shafei di pejabatnya di Putrajaya pada 10 November lalu saya sempat bertanyakan kepada beliau tentang isu ini yang secara kebetulan telah dibangkitkan oleh Wee Choo Keong semasa membahaskan penggulungan bajet Kementerian Wilayah Persekutuan oleh Dato' Raja Nong Chik. Dalam perbahasan itu Wee telah mengemukakan pertanyaan kepada Menteri WP tentang dakwaan kononnya Setiausaha Politik PM itu telah mencampuri urusan DBKL dalam operasi penguatkuasaan di kawasan Wangsa Maju.

(Foto - Abdul Rahman Hashim (Dua dari kanan) bersama Dato' Shafei Abdullah (Dua dari kiri) di pejabat Setiausaha Politik Menteri Kewangan, di Putrajaya, 10 November 2009)

Dato' Shafei yang mendapat tahu tentang perkara ini daripada seseorang yang berada di Dewan Rakyat yang telah melaporkan kepadanya, dan beliau sempat memberikan ulasan spontannya kepada saya, dimana secara konsisten beliau telah berkata bahawa dirinya tidak akan terjebak dengan taktik kotor dan manipulasi yang dibuat oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju itu; sebaliknya beliau berkata akan tetap meneruskan agenda pembelaan kepada rakyat di kawasan Wangsa Maju tanpa memikirkan samada Wee Choo Keong perlu bersama-samanya ataupun tidak.

Persoalannya, benarkah Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju itu telah mencampuri urusan DBKL semata-mata tindakannya itu hanya untuk memberikan pembelaan kepada penjaja yang sedang menghadapi masalah? Apakah kerja-kerja pembelaan seorang pemimpin UMNO terhadap rakyat di kawasannya yang sedang bergelut dengan masalah wajar didakwa sebagai tindakan yang salah? Jika rakyat datang mengadu dan memerlukan pertolongan daripada UMNO, tetapi tidak diindahkan pula oleh pemimpinnya, maka saya merasakan pemimpin itu bukanlah berjiwa rakyat.

Pemimpin UMNO yang tidak berjiwa rakyat akan mengakibatkan rakyat membenci dan menolak UMNO. Begitu juga jika rakyat telah muak dengan perlakuan pemimpin UMNO yang tidak peka untuk membela rakyat, saya tidak hairan jika UMNO/BN sekali lagi akan dimalukan oleh rakyat. Lebih baik pemimpin yang berjenama ini meletakkan jawatannya segera, kerana tindakan sedemikian merupakan suatu liablity kepada UMNO/BN yang sedang diipersonakan dengan slogan 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'.

Secara peribadi, saya bersedia untuk mengangkat topi kepada Dato' Dr. Shafei Abdullah yang telah menampakkan kecenderungan untuk merakyatkan UMNO yang dipimpinnya. Tindakannya dengan meminta pihak DBKL supaya tidak mengambil tindakan drastik untuk merobohkan gerai-gerai sebagaimana yang didakwa oleh wakil rakyat pembangkang sebagai menghalang tugas-tugas DBKL itu telah mencerminkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang berhati rakyat yang tidak dimiliki oleh Wee Choo Keong.

Kelibat Wakil Rakyat PKR itu yang begitu resah dengan tindakan pantas yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju membela rakyat, telah mendorong WCK menuduh pula Shafei mencampuri urusan DBKL, sedangkan apa yang dilakukan oleh Shafei bukannya kerana telah dirasuah oleh peniaga berkenaan, tetapi itu merupakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin UMNO untuk mampastikan rakyat yang terbabit itu dapat meneruskan perniagaannya.

Wee sepatutnya tidak gembira apabila melihat rakyatnya menghadapi kesulitan untuk meneruskan perniagaan, tetapi Wee dilihat begitu tidak senang hati apabila DBKL tidak meneruskan tindakan terhadap peniaga Melayu berkenaan, sebaliknya Wee menuding jari dengan mendakwa Shafei telah cuba mencampuri urusan DBKL.

Dalam isu yang berbangkit ini, tidak sepatutnya Wee Choo Keong mendakwa DBKL seolah-olah telah tunduk dengan UMNO. Apakah Wee berpendapat DBKL tidak perlu melayani rayuan pemimpin UMNO dalam menghadapi isu prasarana rakyat? Apakah Wee merasakan DBKL hanya patut melayani rayuan-rayuan yang dibuat oleh PKR, DAP dan PAS seolah-olah Wee merasakan DBKL kini berada di dalam Pakatan Rakyat?

Walaupun BN hanya menang di Parlimen Setiawangsa, namun ia tidak bermakna Pakatan Rakyat boleh meletakkan DBKL di bawah telunjuknya sahaja. DBKL merupakan penguasa tempatan yang diurus tadbirkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, manakala Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diberikan tanggungjawab untuk mengkodinasikan DBKL sebagai jentera pelaksana membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah Ibu Negara Malaysia.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Dato' Dr. Shafei Abdullah kerana telah menampilkan martabat jati diri UMNO yang kini sedang mengetuai kerajaan BN di peringkat persekutuan. UMNO mestilah bertindak mendepani segala isu rakyat dengan segala iltizam untuk mendahulukan rakyat. Persetankan sahaja apa yang dibangkitkan oleh Wakil Rakyat PKR itu, kerana Wee Choo Keong sebenarnya sedang berhadapan dengan kekuatan UMNO Wangsa Maju yang dipimpin oleh penerajunya yang begitu dekat di hati rakyat.

Semua peringkat UMNO hingga ke akar umbi haruslah memperkuatkan daya juang untuk membuktikan kepada rakyat di Wangsa Maju bahawa parti ini masih relevan dan berkeupayaan untuk menundukkan Wee Choo Keong daripada PKR di dalam PRU yang akan datang. Saya penuh yakin agenda Dato' Shafei untuk mengembalikan semula kerusi UMNO di Parlimen Wangsa Maju dalam PRU yang akan datang bakal meleburkan harapan Wee Choo Keong untuk mengekalkannya buat kali kedua.

No comments: