assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, November 18, 2009

ANWAR & NAJIB BOLEH DUDUK SEMEJA!

Anwar dan Najib pernah menjadi gandingan mantap ketika masing-masing berada di dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Anwar Ibrahim mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO sejak tahun 1982 setelah beliau menewaskan Haji Suhaimi Kamaruddin dengan kelebihan 10 undi.

(Foto - Anwar&Najib mereka telah duduk semeja semasa berehat di Parlimen pada 17 November lalu)

Najib Tun Razak pula ketika itu menjadi Menteri Besar Pahang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang seganding dan beregu bersama Anwar.

Pada tahun 1984, Anwar telah ditentang pula oleh Syed Hamid Albar. Namun begitu percubaan Syed Hamid Albar untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO dari tangan Anwar telah menghadapi kegagalan sehinggalah Anwar melepaskan jawatan itu kepada naibnya Dato' Sri Najib Tun Razak bagi membolehkan beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1987.

Anwar&Najib ketika mereka bersama di dalam Pemuda UMNO

Anwar sebagai Timbalan Presiden bersama
dengan team wawasannya di dalam UMNO.


Demikianlah intimnya gandingan Anwar&Najib yang telah membentuk imej Pemuda UMNO sebagai 'Pemuda Penggerak Zaman'. Saya masih teringat lagi era kegemilangan pimpinan Pemuda UMNO ini, kerana dalam era ini jugalah saya telah diberikan kepercayaan untuk membantu memantapkan gerak kerja sebagai Seiausaha I Biro Dakwah Pemuda UMNO Malaysia. Pengerusi Biro Dakwah pada masa itu ialah Sdra Ustadz Awang Jabar yang juga Ahli Parlimen Dungun.

Diantara barisan exco Pemuda UMNO Malaysia era Anwar&Najib pada masa itu ialah seperti Nazri Aziz, Muhyiddin Yassin, Megat Junid Megat Ayub (Arwah), Tamrin Ghafar, Ibrahim Ali, Dusuki Ahmad, Fahmi Ibrahim, Mazlan Dato' Harun, Mazlan Idris (Arwah), Drs. Suleiman Mohamed, Abu Bakar Dewa, Zakaria Said, Tajudin Rahman, Said Taib (Arwah) dan beberapa orang lagi tokoh-tokoh Pemuda yang tidak dapat saya senaraikan kesemuanya di sini.

Gandingan mantap Anwar&Najib kini telah menjadi nostalgia di dalam lipatan sejarah perjuangan Pemuda UMNO. Hari ini Anwar&Najib dilihat telah berseteru kerana masing-masing membawa hala tuju politik yang bersulamkan dendam kesumat.

Masing-masing bagaikan terlupa bahawa dahulunya mereka adalah bersahabat, pernah segandingan bertempur membelasah PAS yang pernah mengkafirkan UMNO, malah era kepimpinan mereka berdua jugalah Pemuda UMNO sentiasa kehadapan melonjakkan kegeraman terhadap DAP yang dilihat terlalu 'chauvinistic' sehingga menyentuh sensitiviti umat Melayu di negara ini.

Hari ini batas persahabatan diantara mereka tidak lagi seperti dahulu, kerana mereka kini saling bersengketa secara berpanjangan sehingga tidak terjumpa noktah dan garisan penamatnya. Sampai bilakah dendam peribadi ini harus menyelebungi perjuangan kedua-dua tokoh pemimpin ini yang dilihat semakin taksub menjerumuskan bangsa ke lembah kehancuran. Alangkah terpujinya sekiranya mereka berdua duduk semeja, melakukan muhasabah dan mencari titik persefahaman untuk membawa negara ini lebih terpimpin dengan segala kekuatan aura yang dimiliki oleh mereka berdua.

Abaikan sahaja petualang yang mengelilingi mereka berdua, kerana juak-juak yang menjadi petualang inilah yang membahangkan lagi suasana sehingga mereka terkabur untuk berdamai. Bahang persengketaan sesama umat Melayu ini hendaklah segera ditangani oleh Anwar&Najib sebelum nasi menjadi bubur.

Anwar & Najib - Mereka boleh duduk semeja semasa berehat
di Parlimen pada 17 November lalu.

Lihatlah gambar yang tersiar ini, biarlah posisi duduk semeja ini berterusan hendaknya, kerana kedua-dua tokoh ini sebenarnya mampu untuk melakarkan sejarah kebangkitan semula Melayu dengan sokongan juga daripada juragan-juragan di dalam PAS.

Apalah salahnya kita semua mendoakan agar Anwar&Najib dapat menjumpai formula untuk segera mensejahterakan bukan sahaja untuk umat Melayu, malah untuk kesejagatan 1Malaysia yang diimpikan oleh Perdana Menteri.


No comments: