assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, September 11, 2009

BEKAS MB NEGERI SEMBILAN PERNAH MENANG NAIB PRESIDEN UMNO DAN PERNAH DIGANTUNG KEAHLIANNYA, BAKAL CALON BN BAGAN PINANG?

Tan Sri Mohd. Isa Samad, mantan MB Negeri Sembilan yang paling lama ini bukan sahaja telah lama memimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang, malah Isa Samad juga merupakan mantan Naib Presiden UMNO yang juga mantan Menteri Wilayah Persekutuan pernah digantung keahliannya di dalam UMNO setelah beliau disabitkan terlibat dengan gejala 'politik wang' oleh Lembaga Disiplin UMNO enam tahun yang lalu.

Sementara itu kerusi DUN N.31 Bagan Pinang yang berada dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil akan berlaku sedikit masa lagi di DUN berkenaan setelah kerusi ini menjadi kosong dengan kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor yang telah menang dalam PRU12 lalu.

Ekoran daripada kekosongan kerusi ini, UMNO Bahagian Teluk Kemang telah pun mengemukakan hanya satu nama calon yang harus dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti untuk dipertaruhkan di dalam pilihan raya kecil itu nanti. Calon tunggal yang berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu sendiri, iaitu Tan Sri Mohd. Isa Samad.

Nampaknya Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Presiden UMNO tidak begitu gembira dengan ketetapan yang telah dambil oleh UMNO Bahagian Teluk Kemang itu, sebaliknya beliau berharap UMNO Bahagian Teluk Kemang dapat mengemukakan nama-nama lain yang berkelayakan bagi memudahkan pemilihan calon yang benar-benar layak dapat dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri itu tentunya akan menimbulkan spekulasi seolah-olah calon tunggal yang dikemukakan itu harus dikaji semula dengan penuh teliti, supaya ianya tidak menimbulkan masalah sehingga terjumpa 'lubang angin' yang mungkin dibolosi oleh pembangkang. Kesilapan memilih calon di Permatang Pasir telah menjadi pengajaran kepada UMNO/BN kerana calon berkenaan dikatakan diselaputi dengan banyak masalah peribadi yang tidak tertanggung oleh pucuk pimpinan parti untuk menangkisnya.

Apakah Tan Sri Mohd. Isa Samad dianggap sebagai calon yang bermasalah? Benarkah rekod penyingkirannya daripada jawatan Naib Presiden UMNO oleh Lembaga Disiplin UMNO bakal dihangatkan semula oleh soldadu pembangkang di dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang nanti?

Bagaimanakah pihak UMNO untuk mencuci mangkok yang dikatakan pernah dikotori oleh Tan Sri Mohd. Isa? Apakah UMNO akan berkata bahawa keputusan Lembaga Disiplin yang pernah menggantung keahlian Tan Sri Mohd. Isa Samad itu sebagai perkara yang tidak betul? Apakah bentuk hukuman yang diterimanya itu boleh dianggap sebagai satu penganiayaan ataupun sabotaj akibat permainan kotor di dalam UMNO sendiri? Kalau begitu siapakah gerangan pencatur yang mengheret Isa Samad sehingga terlucut jawatannya itu?

Nampaknya kejijikan dalaman UMNO akan terbarai dan mungkin diulang tayang oleh pihak pembangkang untuk bahan tontonan rakyat tentang peri laku pemimpin UMNO. Oleh itu memang wajarlah saranan pucuk pimpinan itu supaya UMNO Bahagian Teluk Kemang dapat mengemukakan nama-nama lain selain Ketua Bahagiannya. Harap-harap janganlah pilih calon bagaikan biskut lemau.

Kita pun boleh baca apa yang akan dikatakan oleh Dr. Mahathir tentang calon yang tidak bersih dan yang tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya.



Sunday, September 6, 2009

TOLONG JANGAN NYALAKAN API PERKAUMAN....


Mintak tolong jangan nyalakan api perkauman! Kalau nak berunding mengenai isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam itu, mengapa masih ada di kalangan kita yang menampakkan kebencian terhadap agama lain? Boleh tak jangan aibkan UMNO sehingga parti Melayu ini terjebak dengan emosi perkauman?

Kalau masih ada 'pemain' berwajah UMNO yang meniupkan sentimen perkauman yang melampau ini, saya lebih bimbang gagasan 1MALAYSIA yang dicetuskan oleh Presiden UMNO ini hanya manis di bibir saja, tetapi gagal dihayati oleh UMNO sendiri. Macam mane kita nak menarik sokongan masyarakat majmuk di negara ini terhadap kewibawaan UMNO/BN, jika kita masih dilihat tidak toleran terhadap mereka?

Sejak akhir-akhir ini UMNO masih dilihat sebagai sebuah parti yang sedang menari dengan gendang perkauman yang akhirnya menimbulkan kebencian kaum lain terhadap tarian kita itu. Apabila berlaku pilihan raya kecil, kita menjadi tercengang kerana kaum-kaum berkenaan tidak mempercayai kita lagi. Bahaya sungguh permainan ini!

Janganlah kita terperangkap lagi sehingga terbawa-bawa pula isu perkauman melampau ini di dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang nanti. Jika benar DUN Bagan Pinang merupakan kubu kuat UMNO, bukan bermakna orang Melayu di situ terdorong untuk menyalakan api perkauman. Mungkin UMNO dilihat berminat untuk meniupkan nafiri ini, tetapi sebenarnya kita terlupa bahawa tindakan ekstrim kita itu telah menebalkan lagi kebencian kaum lain terhadap UMNO/BN, dan akhirnya kita tewas lagi.

Berwaspadalah.....selain kita hanya berbangga dengan satu kemenangan sahaja di Batang Ai Sarawak, sebenarnya kita juga terlupa bahawa PRK di Kuala Terengganu, Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan di Permatang Pasir - majoriti rakyat di 7 kawasan ini telah memihak kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya UMNO/BN masih terbuai dengan slogan-slogan syok sendirinya.

BAGAN PINANG janganlah terheret sama dengan masalah LEMBU ini.

Saturday, September 5, 2009

PILIHAN RAYA KECIL KE-9 DI N31 BAGAN PINANG MILIK SIAPA KALI INI?

Akan berlaku lagi pilihan raya kecil buat kali yang ke-9, dan kali ini di Negeri Sembilan. ADUN Bagan Pinang (N31) daripada UMNO/BN Azman Mohd. Nor (Foto) telah kembali ke rahmatullah pada jam 2.30 petang kelmarin akibat serangan jantung, di hospital pakar di Seremban.

Dalam kenyataan takziahnya, YAB Datuk Sri Najib Tun Razak turut menyatakan bahawa UMNO/BN akan pasti menyertai pilihan raya kecil yang bakal diadakan di DUN berkenaan. Tentunya YAB Perdana Menteri mahukan pilihan raya kecil kali ini akan menjadi milik UMNO untuk memenanginya, setelah tujuh kali tewas di dalam semua lapan pilihan raya kecil sebelum ini.elah

Di dalam PRU12 yang lalu, Allahyarham Azman Mohd. Nor daripada UMNO telah memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini dengan kelebihan 2,333 undi. Berdasarkan statistik, YB Allahyarham Azman Mohd. Nor berjaya mengekalkan kerusi N.31 Bagan Pinang ini pada PRU12 2008 dengan pertambahan sebanyak 463 undi berbanding 5,967 undi yang diperolehi oleh UMNO/BN pada PRU sebelumnya.

PAS pula menerusi calonnya Ramli Ismail berjaya memperolehi 4,097 undi berbanding sebanyak 1,556 undi pada PRU11, pertambahan sebanyak 2,541 undi, bukanlah suatu fakta yang memungkinkan UMNO/BN berada dalam keadaan selesa untuk mengulangi kejayaannya. UMNO haruslah bekerja keras untuk mengembalikan semula imejnya di dalam PRK kali ini. Jika calon UMNO yang diletakkan kali ini tewas juga di tangan PAS, maka jelaslah rakyat telah menolak UMNO di kawasan miliknya.

Apa pun kita mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham Azman Mohd. Nor. Al-Fatihah!

Saturday, August 29, 2009

BANTAH KUIL HINDU, KEPALA LEMBU YANG JADI MANGSA, ANGKARA SIAPA NI..?

Renungan:
Allah berfirman, "Katakanlah (Muhamad), wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan sembah apa yang kau sembah. Dan kau tidak akan sembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kau sembah. Dan kau pula tidak pernah sembah apa yang aku sembah. Bagimu agamamu, bagi aku agama aku." (Maksud Al-Quran Surah Al-Kafirun)

Bodoh macam lembu! Mereka yang mengusung kepala lembu yang telah disembelih (masih berdarah) di Shah Alam kelmarin, telah melakukan tindakan provokasi bodoh yang telah mencemari ramadan.

Amat dikesali kerana pelakunya adalah individu Islam. Kumpulan ini telah berarak bersama-sama dengan kepala lembu yang masih bertitisan darahnya, sambil mereka bertakbir menuju ke pejabat SUK Selangor di Shah Alam selepas mereka menunaikan solat jumaat.

Kumpulan ini telah bertindak kononnya sebagai bantahan terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor yang memindahkan kuil Hindu di kawasan mereka di Seksyen 23 Shah Alam. Kepala lembu yang menjadi simbol kesucian penganut agama Hindu itu telah diletakkan oleh mereka yang berkenaan di pintu pagar bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor, untuk dijadikan hadiah kepada Khalid Ibrahim Menteri Besar, Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam dan juga kepada Rodziah (Exco Selangor).

Jurucakapnya pula telah berkata kepada wakil-wakil media dengan penuh emosi bahawa dirinya sanggup melakukan apa saja walaupun dengan bergadai nyawa sekalipun hingga ke titisan darah yang terakhir....demi mempertahankan kawasan penempatannya dari dicemari dengan pembinaan kuil Hindu berkenaan.

Sementara itu Perdana Menteri telah melahirkan rasa kesalnya di atas kejadian ini. Datuk Sri Najib Tun Razak telah menelefon segera IGP Tan Sri Musa Hassan supaya menyiasat insiden ini setelah mendapat laporan daripada Setiausaha Agung MIC Datuk Dr. S. Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia. Sebagai pemimpin kanan kepada parti yang mewakili masyarakat India di negara ini, tentunya beliau tidak senang hati dengan tindakan yang dilakukan oleh mereka yang terbabit.

Datuk Seri S. Samy Velu pemimpin nombor satu MIC juga 'melompat' dan kesal dengan tindakan provokasi berkenaan. Beliau biimbang penganut agama Hindu di negara ini akan mengambil tindakan yang tidak diingini ekoran kejadian ini. Samy mahukan supaya mereka yang terlibat itu diambil tindakan yang sewajarnya.

Begitu juga Ketua Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaludin turut menyesali dengan kejadian yang beliau sifatkan telah mencemari bulan ramadan. KJ merasakan tindakan ini boleh menyinggung dan membangkitkan kemarahan penganut agama yang berkenaan; dan tidak sepatutnya ia berlaku sedemikian.

Saya tidak mahu komen banyak, melainkan saya ingin menyarankan agar umat Islam tidak terjebak dengan sentimen kebencian dan permusuhan terhadap agama lain di negara ini. Seharusnya kita menghormati hak dan kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

Tentunya kita akan marah jika penganut agama lain mengambil tindakan memijak kitab suci Al-Quranul Karim sebagai membantah pembinaan surau atau masjid di kawasan tertentu. Demikian jugalah perasaan mereka apabila lambang kesuciannya telah diperlakukan secara hina oleh golongan ekstrimis ini.

Renung-renungkanlah cebisan ayat Al-Quran Surah Al-Kafirun yang tertera di atas, dimana Allah telah menegaskan kepada baginda Rasulullah SAW tentang toleransi beragama di kalangan umat manusia. Eloklah kita mengambil iktibar di bulan Ramadan Al-Karim ini supaya tidak menimbulkan keresahan di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum ini.

Tuhan menjadikan manusia berbilang suku kaum di muka bumi ini bukannya untuk dipermusuhi, sebaliknya untuk kita saling kenal mengenal diantara satu sama lain. Jalinan perpaduan ini amat penting dipupuk, kerana kaedah inilah yang sedang dikumandangkan setiap hari di corong-corong radio dan kaca TV sebagai menyahut gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri kita hari ini.

Janganlah dicemari juga semangat kemerdekaan yang menuntut agar semua rakyat di negara ini hidup harmoni tetapi dengan provokasi kebencian yang ditiupkan oleh segelintir golongan ekstrim ini akan merosakkan susu sebelanga.

Mari kita sama-sama merenungi Firman Allah dalam Surah Al-An'am ayat 108:-

Maksudnya: "Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa kamu ketahuinya. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan."

Thursday, August 27, 2009

CHUA SOI LEK DIPECAT......MCA DALAM TRAUMA!

Bencana politik kian melanda Barisan Nasional......Setelah UMNO mengalami kekalahan dalam pilihan raya kecil di DUN Permatang Pasir yang merunsingkan Datuk Sri Najib, kini MCA pula buat hal yang semakin mengusutkan dengan terpecatnya Datuk Seri Chua Soi Lek dari jawatan Timbalan Presiden MCA.

Chua Soi Lek dipecat dari jawatannya itu selepas diadakan mesyuarat tergempar Majlis Presiden MCA yang diadakan malam semalam yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden parti itu Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Ong Tee Kiat yang merasa terancam dengan kekuatan Chua Soi Lek selama ini memaklumkan perkara ini selepas berakhirnya mesyuarat tersebut yang diadakan berjam-jam lamanya setelah meminta Chua Soi Lek keluar dari mesyuarat itu untuk membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa disiplin parti itu terhadap perlakuan sumbang seks yang pernah dilakukan oleh Soi Lek dua tahun yang lalu.

Jawatankuasa disiplin parti itu mungkin berpendapat Soi Lek bukan sahaja telah mencalarkan imejnya malah telah memalukan MCA secara keseluruhannya. Presiden MCA Ong Tee Kiat pula dalam sehari dua ini terpaksa berhadapan dengan desakan daripada beberapa Bahagian-Bahagian dari negeri Perak yang menggesa supaya Ong Tee Kiat digantung jawatanya, ekoran dari penglibatan dirinya di dalam skandal PKFZ yang membabitkan dakwaan pemberian RM10 juta untuk dirinya.

Sebelum ini MCA telah digemparkan dengan terkeluarnya Datuk Chua Jui Meng dari MCA yang telah menyertai PKR. Datuk Chua Jui Meng merupakan mantan Menteri Kesihatan yang pernah bertading jawatan Presiden MCA sebelum ini.

Apakah episod selanjutnya? Kini kedua-dua mantan Menteri Kesihatan itu telah membawa wabak bukan sahaja kepada MCA malah virusnya bakal mengancam kestabilan Barisan Nasional. Bukan MCA sahaja, MIC juga sedang bergolak. Samy Velu dengan Subra bercakaran lagi. Mengapakah insiden seperti ini berlaku di saat-saat BN memerlukan kekuatan untuk menggempur Pakatan Rakyat? Petanda apakah ini?


Wednesday, August 26, 2009

'ANAK EMAS' YANG DITOLAK OLEH RAKYAT PERMATANG PASIR

Permatang Pasir 'Anak Emas'?

Jika melihat kain rentang Barisan Nasional ini, DUN N.11 Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat PAS sejak 1999 telah diiktiraf sebagai 'anak emas' kepada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Sri Najib Tun Razak. Terpampang jelas gandingan foto Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan bahawa 'Permatang Pasir' sememangnya telah menjadi 'anak emas' mereka.

Apakah aku janji 'anak emas' terhadap Permatang Pasir ini akan kekal di hati kedua-dua pemimpin BN ini, walaupun rakyat di situ enggan beralih arah untuk menduka larakan PAS dan Anwar Ibrahim yang begitu dekat di hati mereka?

Keputusan rakyat di DUN Permatang Pasir yang telah menolak UMNO/BN dengan menobatkan kejayaan calon PAS Tuan Haji Salleh Man (Foto) di dalam pilihan raya kecil di kubu kuat Anwar Ibrahim ini jelas memperlihatkan betapa rakyat di situ tidak tergoda dengan gula-gula kerajaan persekutuan itu.

Seperti yang dijangkakan, kealpaan Zahid Hamid yang kini menerajui UMNO Pulau Pinang untuk menonjolkan calon BN yang mampu menewaskan calon PAS di DUN Permatang Pasir dilihat telah gagal, kerana rupa-rupanya Rohaizat Othman bukanlah calon yang bersih untuk dipertaruhkan berhadapan dengan calon Parti Islam Se Malaysia itu.

Rohaizat Othman yang licik itu dilihat telah berjaya melepasi saringan 'audition' sehingga pemimpin tertinggi UMNO/BN tidak terhidu langsung betapa calon ini mempunyai masalah yang telah membebankan harapan UMNO untuk menjulang kejayaan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang digagaskan oleh Datuk Seri Najib.

Kekalahan Rohaizat yang hanya mampu meraih 5067 undi telah membenamkan maruah UMNO/BN ke dalam 'lubuk pasir' di Permatang Pasir. Calon PAS Tuan Haji Salleh Man dilihat begitu selesa dengan kemenangan yang diperolehinya. Beliau berjaya menambat hati 9618 pengundi yang mengundinya di dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang diumumkan kelmarin.

Kejayaan Salleh Man itu walaupun tidak disenangi oleh Datuk Seri Najib, namun Perdana Menteri dengan nada sinis menyatakan bahawa beliau mengetahui akan punca-punca kekalahan yang memalukan itu. Sementara itu, Timbalannya Tan Sri Muhyidin Yasin pula akur dengan kekalahan itu sambil mengakui bahawa faktor Anwar Ibrahim yang begitu dominan di kawasan ini adalah menjadi penghalang terbesar untuk UMNO memenanginya.

Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah merupakan pengundi di kawasan DUN Permatang Pasir. Sudah tentu pengaruhnya yang telah berakar sejak 1982 itu telah menjadikan kubu kuat PAS itu agak sukar untuk diruntuhkan.

Walaupun Anwar Ibrahim telah dinista sebagai 'pengkhianat Melayu' oleh rakannya sendiri Muhyidin Yasin, namun rakyat lebih mempercayai Anwar daripada Muhyidin. Pengundi Melayu di situ tidak boleh menerima tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu, sebaliknya rakyat Permatang Pasir amat marah kerana pemimpin mereka (Anwar Ibrahim) dilumat sedemikian rupa.

Jika benar Anwar dilabelkan sebagai pengkhianat Melayu, sepatutnya rakyat Permatang Pasir harus mengiyakan dakwaan Muhyidin Yasin itu dengan menewaskan calon Pakatan Rakyat itu. Senario yang berlaku ini amat jelas memperlihatkan betapa rakyat masih belum boleh beralih arah untuk menghukum Anwar Ibrahim.

Muhyidin dan Zahid Hamidi merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim semasa di dalam UMNO dahulu. Kedua-dua pemimpin UMNO ini gagal menandingi kehebatan pengaruh Anwar di Permatang Pasir, malah mereka terpaksa pasrah dengan kehendak rakyat Permatang Pasir yang telah diangkat sebagai 'anak emas' kerajaan persekutuan.

Kemenangan Salleh Man mengulangi kejayaan Allahyarham Hamdan di DUN Permatang Pasir sejak 1999 itu membuktikan rakyat di Parlimen Pauh dan di DUN berkenaan khususnya masih tegar dengan pendirian untuk mengekalkan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan di Pulau Pinang, manakala UMNO/BN hanya layak menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Hairannya, semasa berkempen rata-rata pemimpin UMNO tidak boleh menerima hakikat bahawa parti ini telah menjadi pembangkang di Negeri Pulau Pinang. Mereka sering menuding bahawa Pakatan Rakyat adalah pihak pembangkang, sedangkan Pakatan Rakyat telah dinobatkan sebagai kerajaan di negeri ini. PAS merupakan sebahagian daripada Pakatan Rakyat, walaupun hanya memenangi satu kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri.

Agak mengecewakan juga apabila keceluparan kenyataan Ismail Sabri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam sidang medianya di Permatang Pasir telah mencabar Pakatan Rakyat yang didakwanya sebagai 'pembangkang' supaya membuktikan kepadanya jasa-jasa yang telah diberikan untuk faedah rakyat selama memerintah negeri ini. Janganlah angkuh sangat dengan kenyataan yang boleh 'back fire' kepada UMNO sendiri.

Takkanlah UMNO sahaja yang layak untuk menjadi pejuang rakyat. Jika begitu andaiannya lebih baik beliau mencadangkan di Dewan Rakyat nanti supaya parti-parti yang menjadi alergiknya itu diharamkan sahaja....

Apa pun diharapkan UMNO dapat melakukan muhasabah secara tuntas dan merelakan parti ini untuk dibedah siasat supaya bebas daripada bibit-bibit kemarahan rakyat di negara ini. Kejayaan yang lebih cemerlang tidak mudah tercapai di dalam PRU13 nanti jika UMNO tidak mampu untuk menjenamakan hala tuju perjuangannya.




Tuesday, August 25, 2009

ZAHID MENJANGKAKAN BN MENANG, TAPI PAS YANG HAMPIR MENANG BESAR?

TERKINI di Permatang Pasir....Malam tadi ketika saya sempat menonton berita di TV3, Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zahid Hamidi berkata beliau yakin BN kali ini akan menang menewaskan calon PAS di Permatang Pasir.

ManakalaTimbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin juga turut optimis bahawa BN kali ini yang mempertaruhkan Rohaizat yang dikatakan banyak masalahnya bakal memenangi pilihan raya kecil di Permatang Pasir. Boleh dikatakan UMNO/BN begitu yakin memenangi kerusi ini setelah melihat perkembangan mutakhir yang melibatkan ADUN Lunas daripada PKR yang telah melompat menjadi anggota Bebas dua hari lalu.

Namun begitu tinjauan lewat petang ini menyaksikan betapa sukarnya UMNO/BN untuk menjangkakan kemenangan yang diimpikan itu. PAS diramalkan akan memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar, tidak jauh daripada keputusan pada pilihan raya umum tahun lepas.

Menurut sumber PAS, calonnya Mohd Salleh Man mendapat 9712 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5050 undi.

Bekas ADUN allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat majoriti 5,433 undi - kemenangan PAS kali ketiga di kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999.