assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, September 11, 2009

BEKAS MB NEGERI SEMBILAN PERNAH MENANG NAIB PRESIDEN UMNO DAN PERNAH DIGANTUNG KEAHLIANNYA, BAKAL CALON BN BAGAN PINANG?

Tan Sri Mohd. Isa Samad, mantan MB Negeri Sembilan yang paling lama ini bukan sahaja telah lama memimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang, malah Isa Samad juga merupakan mantan Naib Presiden UMNO yang juga mantan Menteri Wilayah Persekutuan pernah digantung keahliannya di dalam UMNO setelah beliau disabitkan terlibat dengan gejala 'politik wang' oleh Lembaga Disiplin UMNO enam tahun yang lalu.

Sementara itu kerusi DUN N.31 Bagan Pinang yang berada dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil akan berlaku sedikit masa lagi di DUN berkenaan setelah kerusi ini menjadi kosong dengan kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor yang telah menang dalam PRU12 lalu.

Ekoran daripada kekosongan kerusi ini, UMNO Bahagian Teluk Kemang telah pun mengemukakan hanya satu nama calon yang harus dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti untuk dipertaruhkan di dalam pilihan raya kecil itu nanti. Calon tunggal yang berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu sendiri, iaitu Tan Sri Mohd. Isa Samad.

Nampaknya Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Presiden UMNO tidak begitu gembira dengan ketetapan yang telah dambil oleh UMNO Bahagian Teluk Kemang itu, sebaliknya beliau berharap UMNO Bahagian Teluk Kemang dapat mengemukakan nama-nama lain yang berkelayakan bagi memudahkan pemilihan calon yang benar-benar layak dapat dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri itu tentunya akan menimbulkan spekulasi seolah-olah calon tunggal yang dikemukakan itu harus dikaji semula dengan penuh teliti, supaya ianya tidak menimbulkan masalah sehingga terjumpa 'lubang angin' yang mungkin dibolosi oleh pembangkang. Kesilapan memilih calon di Permatang Pasir telah menjadi pengajaran kepada UMNO/BN kerana calon berkenaan dikatakan diselaputi dengan banyak masalah peribadi yang tidak tertanggung oleh pucuk pimpinan parti untuk menangkisnya.

Apakah Tan Sri Mohd. Isa Samad dianggap sebagai calon yang bermasalah? Benarkah rekod penyingkirannya daripada jawatan Naib Presiden UMNO oleh Lembaga Disiplin UMNO bakal dihangatkan semula oleh soldadu pembangkang di dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang nanti?

Bagaimanakah pihak UMNO untuk mencuci mangkok yang dikatakan pernah dikotori oleh Tan Sri Mohd. Isa? Apakah UMNO akan berkata bahawa keputusan Lembaga Disiplin yang pernah menggantung keahlian Tan Sri Mohd. Isa Samad itu sebagai perkara yang tidak betul? Apakah bentuk hukuman yang diterimanya itu boleh dianggap sebagai satu penganiayaan ataupun sabotaj akibat permainan kotor di dalam UMNO sendiri? Kalau begitu siapakah gerangan pencatur yang mengheret Isa Samad sehingga terlucut jawatannya itu?

Nampaknya kejijikan dalaman UMNO akan terbarai dan mungkin diulang tayang oleh pihak pembangkang untuk bahan tontonan rakyat tentang peri laku pemimpin UMNO. Oleh itu memang wajarlah saranan pucuk pimpinan itu supaya UMNO Bahagian Teluk Kemang dapat mengemukakan nama-nama lain selain Ketua Bahagiannya. Harap-harap janganlah pilih calon bagaikan biskut lemau.

Kita pun boleh baca apa yang akan dikatakan oleh Dr. Mahathir tentang calon yang tidak bersih dan yang tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya.



No comments: