Jika dilihat secara makrifat, UMNO yang kini di tampuk kuasa seakan-akan semakin hilang taringnya sebagai penguasa di negara ini, angkara penguasa-penguasanya terlalu gilakan kuasa sehingga liat untuk melepaskan kuasa. Apakah UMNO hari ini yakin dengan kuasa yang berbaki ini untuk meyakinkan rakyat akar umbi supaya UMNO terus mendominasi kuasanya?
Adakah pemimpin UMNO hari ini sedar betapa gelagat mereka sedang diperhatikan oleh rakyat, dan akhirnya rakyat diperlihatkan ungkapan-ungkapan pemimpinnya yang diselaputi dengan 'hipocracy' yang menjuruskan kekuasaan UMNO yang rapuh untuk terus berkuasa.
wujud chah keting
Kenyataan-kenyataan yang menyongsang telah mengakibatkan pemimpin UMNO tidak sekata lagi dalam mempertahankan kuasa yang ada pada ketua mereka. Kewibawaan dan keperkasaan 'Ketua Parti' tidak lagi berbisa untuk diagungkan, kerana wujudnya 'chah keting' di dalam Majlis Tertinggi UMNO sendiri.
Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang telah mewarisi takhta Che' Det pada Oktober 2003 dianggap begitu lemah untuk memimpin UMNO. Pelbagai dasar koridornya dilihat tidak menyengat dan gagal menarik pelaburan untuk merakyatkan gagasan ekonomi yang dirancang. Sebenarnya kerancakan untuk merakyatkan pertumbuhan ekonomi di negara ini memerlukan iltizam kepimpinan yang lebih dinamik, dan maaf cakap, bukannya seperti Pak Lah!
populariti merudum
Sejak memimpin negara dan UMNO, faktor memanjakan KJ dan anaknya Kamaludin telah mengakibatkan popularitinya merudum hingga ke paras kebencian yang melampau. Remote control di tingkat 4 dikatakan begitu mendasari pemikiran politiknya. Tun Dr. Mahathir turut menyatakannya begitu sebagai tanda bersetujunya beliau dengan pendapat-pendapat yang lain yang membidas kepimpinan Pak Lah.
Ketika mempertahankan kritikan tersebut, Pak Lah juga pernah berkata bahawa Dr. Mahathir juga sama sepertinya memberikan muka kepada anaknya. Samada andaian itu benar ataupun tidak, tetapi kenyataan itu sudah cukup membuktikan betapa beliau dikatakan masih 'referency' kepada KJ dalam tindak tanduk politiknya.
Kini KJ yang meminta supaya dirinya dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO semakin menjadi liablity kepada kepimpinan Pak Lah. KJ kini menjadi semakin gelisah setelah MT membuat ketetapan menangguhkan perhimpunan agung UMNO yang dijadualkan pada bulan Disember tahun ini kepada Mac tahun hadapan.
KJ bimbang
Beliau tidak bersetuju dengan ketetapan tersebut bukan bermakna beliau bersetuju untuk menyegerakan peralihan kuasa yang bakal melenyapkan kuasa bapa mertuanya di dalam UMNO dan juga negara, tetapi KJ lebih bimbang dengan pengumuman bapa mertuanya pada 9 Oktober nanti untuk tidak bertanding sebagai Presiden UMNO dalam perhimpunan agung pada bulan Mac depan, yang akan memberi kesan kepada pencalonannya sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Sudah pasti KJ akan berhadapan dengan sindrom kebencian terhadap dirinya, dan kemungkinan besar KJ menghadapi laluan lebih sukar untuk melepasi pencalonan bagi jawatan yang diidamkan itu setelah Pak Lah mengumumkan tidak bertanding jawatan Presiden.
KJ lebih selesa dengan peralihan kuasa pada tahun 2010 sebagaimana yang dipinta oleh Pak Lah sebelum ini, kerana Pak Lah dikatakan akan bertanding jawatan Presiden di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan pada bulan Disember depan, dan hanya akan memindahkan kuasanya kepada Timbalannya nanti pada 2010 (Belum pasti Najib..).
KJ merasakan pengaruh bapa mertuanya itu mampu melonjakkan namanya untuk menggantikan Hishammuddin mengetuai Pemuda UMNO, seterusnya dilantik menjadi Menteri. KJ juga kecewa dengan desakan yang membuatkan bapa mertuanya kelihatan untuk berundur lebih awal.
Pak Lah terkejut
Sebelum ini Tan Sri Muhyidin Yasin, Naib Presiden UMNO telah membuat gesaan supaya Pak Lah menyegerakan peralihan kuasanya tanpa menunggu 2010. Desakan sedemikian telah membuatkan Pak Lah terkejut, kerana Muhyiddin adalah Menteri kabinetnya. Begitu juga Dr. Rais Yatim secara terbuka menggesa supaya jawatan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden dipertandingkan untuk memberi ruang dan peluang ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk menentukan sendiri peralihan kuasa di dalam UMNO.
Dato' Sri Najib juga telah terbabas membuat kenyataan menyinggung bosnya itu dengan menyatakan respon terhadap saranan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyidin Yasin. Dato' Sri Najib bersetuju supaya perwakilan UMNO yang menentukan peralihan kuasa, sekaligus telah menyanggah keputusan yang telah dicapai sebelumnya untuk menunggu sehingga 2010.
wujud tekanan
Pak Lah mulai terasa wujudnya suatu tekanan yang mendesak supaya beliau memikirkan untuk menyegerakan peralihan kuasa. Dipercayai bahawa diantara Pak Lah dan Najib telah kerap berbincang untuk mencari satu formula bagaimana untuk menyekat desakan yang begitu berombak menyuruhnya berhenti lebih awal.
Pak Lah telah menampakkan bunga-bunga untuk menyerahkan kuasanya kepada Najib dengan mengumumkan pertukaran jawatan Menteri Kewangan yang disandangnya kepada Dato' Sri Najib, manakala Pak Lah sendiri akan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan yang disandang oleh Najib sebelum ini. Apakah relevan daripada pertukaran jawatan itu? Terlalu banyak andaian dibuat mengenainya, namun begitu Pak Lah berkata ianya suatu proses transisi di dalam pelan peralihan kuasa yang telah dibincangkannya dengan Najib.
Transisi ikut telunjuk
Nampaknya Pak Lah begitu berminat untuk melakukan transisi kepimpinan UMNO mengikut telunjuknya tanpa menyedari bahawa proses pemilihan jawatan di dalam UMNO yang semakin hampir merupakan landasan terbaik untuk melakukan 'reformasi' kepada UMNO dan juga kerajaan.
Ketetapan yang menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO hingga ke bulan Mac tahun hadapan dilihat oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai kebudak-budakan. Beliau yang disebut-sebut akan memperolehi pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Presiden UMNO begitu kecewa dengan ketetapan yang diambil dan menyifatkannya sebagai satu sandiwara ataupun permainanm kebudak-budakan - 'mula-mula jadi, kemudian tak jadi, dulu Disember kemudian Mac, kemudian Jun'.
Menyerah Harta
Beliau menyifatkan pelan Perdana Menteri untuk menyerah kuasa kepada Timbalannya itu, umpama 'menyerahkan harta', dari seorang kepada yang lain. Beliau seterusnya dengan nada kecewanya menggesa supaya ahli-ahli UMNO menolak penangguhan itu, kerana beliau mendakwa tiada peruntukan dalam perlembagaan UMNO yang membuat demikian.
Katanya, jika ada pun peralihan kuasa mengikut perlembagaan parti, ia mesti dilkakukan setiap tiga tahun sekali di semua peringkat. Tengku Razaleigh juga menyifatkannya sebagai tidak demokratik dan Malaysia akan menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa.