Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dilihat semakin selesa dan terus mendominasi pencalonan untuk mengekalkan beliau di tampuk jawatan nombor satu UMNO Bahagian Setiawangsa pada musim ini.Setakat 35 cawangan daripada jumlah keseluruhan 48 cawangan di Setiawangsa yang sudah bersidang, jelas memperlihatkan penguasaannya tanpa sebarang cabaran, walaupun di peringkat jawatan Timbalan Ketua dan juga Naib Ketua di Bahagian ini terus bergelut.
Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang baru saja memenangi semula kerusi 'Parlimen Setiawangsa' di dalam pilihan raya umum ke -12 baru-baru ini bakal dinobatkan semula sebagai Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, kerana jumlah cawangan yang berbaki yang masih belum bersidang dikatakan semuanya bakal memberikan pencalonkan kepada beliau, sekaligus akan mengulangi rekod 'menang tanpa bertanding' yang dicatatnya pada musim lalu (2004). Di dalam Perlembagaan UMNO Fasal 15.5 menyebutkan bahawa quota pencalonan Ketua Bahagian ialah 20 peratus daripada jumlah keseluruhan cawangan di dalam Bahagian berkenaan.
Diantara cawangan-cawangan yang akan meneruskan misi pencalonan Ketua Bahagian kepada Zulhasnan ialah seperti Cawangan Bukit Setiawangsa, Cawangan AU5D Lembah Keramat, Cawangan Jalan Semarak, Cawangan Kg. Semarak, Cawangan Jln Padang Tembak, Cawangan Jalan Pahang, Cawangan Rampai Town, Cawangan KLSC, Cawangan Seksyen 5 Wangsa Maju, Cawangan Seksyen 6 Mutiara, Cawangan Dataran Sg. Bonus dan juga Cawangan Bukit Wangsa.
Rata-rata Ketua-Ketua Cawangan berkenaan yang ditemui telah menyatakan ikrar masing-masing untuk mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Menurut kata mereka, Zulhasnan wajar dikekalkan menerajui Bahagian ini sebagai tanda sokongan padu ahli-ahli UMNO kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu. Lagipun kata mereka, Zulhasnan berkemampuan untuk meneruskan visi memperkukuhkan semula keyakinan orang-orang Melayu di kawasan ini khasnya kepada UMNO yang dikatakan merudum pengaruhnya di dalam pilihan raya umum lalu.
Sewaktu saya bersama-sama dengan Rosli Mohammad menemui Dato' Sri Zulhasnan di kediamannya bulan lalu, masih segar di dalam ingatan saya betapa beliau begitu optimis untuk merakyatkan program-program UMNO di peringkat akar umbi yang akan dilaksanakan oleh UMNO di peringkat Cawangan. Beliau menyatakan perkara ini kepada kami berasaskan kepada pengamatannya setelah berlangsung pilihan raya umum lalu, yang memperlihatkan betapa UMNO perlu diperkasakan terus menerus dengan mendekatkannya di hati rakyat.
Beliau juga yakin bahawa semua pemimpin UMNO Cawangan di Bahagian Setiawangsa akan menyahut pendekatan ini yang bakal dilaksanakan selepas selesai musim persidangan cawangan, Bahagian dan juga Perhimpunan Agung nanti.
Beliau juga yakin bahawa semua pemimpin UMNO Cawangan di Bahagian Setiawangsa akan menyahut pendekatan ini yang bakal dilaksanakan selepas selesai musim persidangan cawangan, Bahagian dan juga Perhimpunan Agung nanti.
UMNO Dekat Di Hati
Sebagai respon kepada kesungguhan azam Dato' Sri Zulhasnan itu, sukacita saya mengesyorkan supaya program ilham Ketua UMNO Bahagian ini dinamakan sebagai 'UMNO DEKAT DI HATI'. Program 'UMNO Dekat Di Hati' ini boleh dilaksanakan secara merakyat dengan melibatkan Ketua-Ketua Cawangan mengikut pecahan 'Zon Peti Undi' supaya terbentuk sebuah jawatankuasa penyelaras zon berkenaan yang akan dipantau oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian, di mana Dato' Sri Zulhasnan sebagai Wakil Rakyat akan turun padang bermesra dengan rakyat menerusi aktiviti-aktiviti yang disusun rapi.
Diantara pengisian program 'UMNO Dekat Di Hati' hendaklah meliputi kecerakinan dan penglibatan aktif golongan muda lelaki dan wanita juga yang menembusi golongan pelajar, intilektual, masyarakat peniaga di samping tidak melupakan program amal di masjid dan surau serta bekerjasama dengan PIBG sekolah-sekolah. Badan-badan bukan kerajaan yang terdapat di Bahagian ini seperti persatuan-persatuan penduduk, Jawatankuasa Rukun Tetangga juga perlu dilibatkan supaya hati-hati mereka turut tergerak untuk menyokong kita. Yayasan Amal Wangsa boleh bertindak sebagai 'Penaja' untuk merealisasikan program ini.
Sudah tentu perlaksanaannya akan melibatkan implikasi kewangan yang bukan sedikit, namun ianya bukanlah suatu faktor yang tidak mampu diusahakan oleh peneraju-peneraju UMNO Bahagian ini, kerana mereka juga begitu arif sewaktu berkempen untuk memenangi hati perwakilan supaya tertawan memilihnya sebagai pemimpin. Mustahil pemimpin ini akan hilang kebijakannya setelah berjaya berhempas pulas untuk menjadi pemimpin bahagian, kemudian menghilangkan diri takut untuk berhadapan dengan tanggungjawab kepada rakyat akar umbi.
Pemimpin yang hanya bijak melobi jawatan, tetapi dangkal menjiwai hati rakyat hendaklah DITOLAK supaya mereka tidak lagi menjadi beban kepada UMNO. Pemimpin bermusim jenis ini hanya muncul di khalayak menunjukkan kehebatannya dengan segala 'daya helah' memancing hati supaya memilihnya, tetapi tidak berdaya pula untuk merakyatkan UMNO secara berterusan.
Pemimpin Hitech
Begitu juga UMNO hari ini perlu disinergikan dengan gandingan kepimpinan yang dinamik dan tahu betapa dirinya perlu segera melepaskan baton kepada orang yang lebih bertenaga untuk membantu Ketua Bahagian memperkasakan UMNO. Malang sungguh nasib UMNO jika masih dibebani dengan 'tongkat usang' yang hanya menjadi penghias untuk dipuja. Zaman yang beredar pantas ini, harus dipersadakan dengan pemimpin yang 'hitech', bukan lagi yang menghadapi masalah 'low-battery'. Tidak bermakna yang usang dan lowbatt ini tidak diperlukan lagi, cuma UMNO perlu segera diperkuatkan untuk berhadapn dengan frequency baru yang berkehendakkan 'tuning' perjuangan UMNO memenuhi selera semasa.
Mudah-mudahan UMNO Bahagian Setiawangsa yang diterajui oleh Dato' Sri Zulhasnan ini terus mara ke hadapan dengan penampilan agenda mendekati rakyat sebagai persiapan awal untuk menghadapi cabaran pilihan raya akan datang. Ingatlah, kita menyertai UMNO kerana kita mahukan UMNO terus menjadi pemerintah di negara ini. Tidak guna kita bermegah menjadi ahli UMNO, tetapi tidak bijaksana untuk menjadikan UMNO sebagai jaksa di negara ini.
















