assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, August 10, 2008

Zainal Tan Sri Mahmud memburu kelayakan bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian Setiawangsa, manakala Rafli Jusoh bakal menarik diri...


Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Kiri), dijangka menang
tanpa bertanding, manakala Zainal Tan Sri Mahmud (Kanan)
sedang memburu kelayakan untuk jawatan Naib Ketua



Zainal Tan Sri Mahmud yang sedang memburu kelayakan bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian Setiawangsa kini memperolehi satu lagi pencalonan daripada UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya yang bersidang pada Sabtu lalu (9 Ogos). Beliau hanya memerlukan dua pencalonan sahaja lagi untuk melayakkan dirinya menempah ke sirkit pertandingan merebut jawatan nombor tiga UMNO Bahagian ini.

Sebelum ini Zainal memperolehi pencalonan daripada UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju yang bersidang pada 16 Julai, dan diikuti oleh UMNO Cawangan Semarak Utara yang bersidang pada 3 Ogos lalu. Manakala di dalam satu perkembangan lain, Kapten (B) Rafli Jusoh penyandang jawatan ini dikatakan bakal menarik diri daripada bertanding, dan pemerhati politik di Bahagian ini meramalkan Dato' Izudin Ishak akan merebut peluang ini untuk meletakkan dirinya sebaris dengan calon-calon lain yang sudah pun layak menyertai pertandingan ini.

Diantara calon yang sudah pun menempah kelayakan untuk bertanding ialah Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang mendapat 17 pencalonan, Ahmad Yamin Dato' Rahim, 9 pencalonan dan termasuk juga Datuk Izudin yang baru saja mendapat kelayakannya hari ini dengan 5 pencalonan. Kapten (B) Rafli Jusoh yang menyandang jawatan ini sejak tahun 2004 tidak memperlihatkan keyakinannya untuk melepasi kelayakan pencalonan pada musim ini.

Namun begitu, pada persidangan UMNO Cawangan Setiawangsa Fasa Satu yang diketuai sendiri oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang diadakan hari ini telah menyaksikan pencalonan secara 'status quo' dibuat, dimana dirinya sendiri telah dicalonkan sebagai Ketua Bahagian, manakala Dato' Halim Samad pula telah dicalonkan sebagai Timbalan Ketua Bahagian disamping mengekalkan pencalonan Rafli Jusoh untuk jawatan Naib Ketua Bahagian.

Namun begitu, Cawangan Langgak Bukit yang diketuai oleh Dato' Halim Samad yang juga bersidang serentak dengan Cawangan Setiawangsa Fasa Satu tidak mengikut jejak langkah Cawangan yang diketuai Dato' Sri Zulhasnan itu yang mencalonkan Rafli Jusoh, sebaliknya cawangan ini telah mencalonkan Dato' Ahmad Fauzi Zahari sebagai Naib Ketua Bahagian. Perkembangan ini juga mengesahkan bahawa Dato' Halim Samad akan bertanding mempertahankan jawatannya sekarang ini secara bergandingan dengan Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang akan merebut jawatan Naib Ketua Bahagian.

UMNO Cawangan Kg. Padang Tembak yang diketuai oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang bersidang lebih awal juga dilihat bersepakat untuk mencalonkan Dato' Halim sebagai Timbalan Ketua, manakala dirinya sendiri telah dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian.

Sementara itu, dalam minggu ini sahaja (9 & 10 Ogos) sebanyak 11 cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa sudah pun menyempurnakan tanggungjawab mengadakan persidangan tahunan masing-masing. Ini menjadikan sejumlah 35 buah cawangan daripada 45 cawangan kesemuanya yang sudah menyempurnakan persidangan masing-masing. Tiga cawangan yang mengadakan persidangan pada hari Sabtu (9 Ogos) lalu ialah Cawangan AU3, Cawangan Air Panas Tambahan dan juga Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.

Manakala 9 buah cawangan yang lainnya telah bersidang pada hari ini (10 Ogos) ialah Cawangan Setiawangsa Fasa Satu, Cawangan Langgak Bukit, Cawangan Persiaran Kuantan, Cawangan Taman Tasik Titiwangsa, Cawangan Air Madu, Cawangan Kementah, Cawangan Seksyen 6 Wangsa Maju, Cawangan Setapak Jaya 1A dan juga Cawangan Immetex. Terdapat 13 cawangan lagi yang masih belum bersidang sebelum berakhir tempohnya pada 24 Ogos yang akan datang ini.

Sementara itu, di dalam satu perkembangan yang lain menyaksikan persidangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A yang diadakan pada petang hari ahad (10 Ogos), telah berlaku sedikit ketegangan yang membabitkan status Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO yang telah digantung. UMNO Cawangan yang diketuai oleh Ramli Jaafar (gambar sebelah) telah mengemukakan usul agar sayap kanan dan kiri itu digantung kerana kedua-duanya dikatakan telah mengadakan persidangan masing-masing sebelum ini secara 'terbang' dan 'sembunyi' dengan membelakangkan UMNO Cawangan.

Begitu juga, ketika diadakan pemilihan jawatan Ketua Cawangan, Ramli Jaafar telah menerima tentangan hebat daripada bekas Ketua Pemudanya, Awaludin Zaharin yang juga bertanding bagi jawatan ini. Ramli Jaafar telah memenangi semula jawatan ini dengan menewaskan Awaludin, dengan majoriti 8 undi. Undian secara angkat tangan ini menyaksikan Ramli memperolehi 62 undi, manakala Awaludin pula memperolehi 54 undi.

Persidangan UMNO Cawangan ini juga telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua Bahagian, manakala bagi jawatan Timbalan Ketua pula cawangan ini telah mencalonkan Shuib Ibrahim, dan Ahmad Yamin pula dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian.

Locengwangsa - Saya (Abdul Rahman Hashim) mengucapkan terima kasih kepada UMNO Cawangan ini yang telah mencalonkan diri saya sebagai calon G7 dan juga AJK Bahagian.


FAKTA PENCALONAN TERKINI (SEHINGGA 10 OGOS 2008)

Ketua Bahagian:
  • Dato' Sri Zulhasnan Rafique, 35 pencalonan

Timbalan Ketua Bahagian:

  • Dato' Halim Samad, 19 pencalonan
  • Shuib Ibrahim, 14 pencalonan.
  • Dato' Izudin Ishak, 2 pencalonan

Naib Ketua Bahagian:

  • Dato' Ahmad Fauzi Zahari, 17 pencalonan
  • Ahmad Yamin Dato' Rahim, 9 Pencalonan
  • Dato' Izudin Ishak, 5 pencalonan
  • Zainal Tan Sri Mahmud, 3 pencalonan
  • Kapten (B) Rafli Jusoh, 1 pencalonan

7 comments:

Anonymous said...

politik wang adalah umpama aur dan tebing, umpama irama dan lagu, jika dipisahkan keduanya, maka rosaklah irama, pincanglah lagunya. Sipa tak tahu yang politik wang adalah dua perkara yang berjalan seiring dan sejalan takkan dapat dipisahkan? Di mana ada ahli politik, di situlah adanya wang. Di mana ada wang, di situlah adanya tokoh-tokoh penyamun dlm jawatan politik serperti.... yang menghamburkannya. Inilah dunia politik yang penuh dengan kekotoran.

Anonymous said...

soal cawangan 'bunian' yang hanya berminat memegang jawatan dalam parti menjelang perhimpunan agung Umno. ada cawangan wanita tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh empat tahun tetapi apabila tiba musim pemilihan, masing-masing akan menampilkan diri untuk menentang pemimpin ketua wanita sedia ada.Untok mengawasi kewujudan cawangan 'bunian' ni kerana kebanyakan ahlinya menunjukkan sikap bertentangan dengan pimpinan wanita bahagian sedia ada. untuk membanteras cawangan wanita 'bunian' ini," cara yang paling berkesan,tangkap satu dua wanita ..buat mesyuarat lari..terbang,,nasihat pakar ,,BOMOH,,misti jaNGAN DI ABAIKAN..nak bomoh siam pergi kat tok pek kong kek kalau bomoh hindu pulak.kuil sri maha punn deek sungoh mujrab

Anonymous said...

Cawangan seksyen 5 bila nak bersidang....? Klu bersidang nanti nak calonkan Izudin jawatan apa? Timbalan atau Naib?

Anonymous said...

Cawangan Semarak Utara mencalonkan Yamin sbg Naib Ketua Bahagian, bukannya Zainal Mahmud...Rafli dah dpt 2 pencalonan Naib Ketua Bhg daripada Cawangan Zulhasnan dan juga Cawangan Wan Yaakob.
Jadi....Zainal dan Rafli sama-sama dapat dua pencalonan sahaja.

dayak said...

Kemanakah akhirnya bangsa ku Melayu? Wajarkah dominan Melayu dalam politik dan pemerintahan negara kini digadaikan dengan perpecahan dan kehancuran? Wajarkah dominan itu digadaikan dengan masa depan yang gelap? Wajarkah dominan itu digadaikan dengan kelangsungan, kealpaan serta survival Melayu yang tidak punya arah dan tujuan di bumi bertuah ini?


Maka, seharusnyalah umat Melayu sedar bahawa kecenderungan untuk menimbulkan sebarang perselisihan dan perbalahan yang didorong oleh sesuatu kepentingan yang sempit, adalah suatu perbuatan yang patut dihindarkan. Penghindaran ini perlu kerana segala perselisihan dan perbalahan yang bertujuan untuk memecah belahkan hanya akan menghancurkan masyarakat seluruhnya.


Seharusnya jugalah umat Melayu hari ini patut sedar dan insaf bahawa setiap perjuangan yang menyimpang dari jalan yang diredai Allah hanya akan berakhir dengan kegagalan. Setiap langkah yang tidak lurus hanya akan menuju ke lembah kehancuran. Jadi, masalah pokoknya sekarang, umat Melayu sekarang sedang berpecah belah. Dalam konteks politiknya, umat Melayu berpecah kepada beberapa kelompok. Juga yang menjadi masalah pokok mutakhir ini ialah, jika gagal di atasi dengan segera, pasti akan terus menggugat dominan, ketuanan ataupun keindukan Melayu dalam politik dan pemerintahan tanahair.


Keadaan mutakhir ini juga menjadi kian haru biru apabila perpecahan Melayu dan gugatan kepada ketuanan Melayu diporak perandakan lagi dengan campurtangan pemimpin politik bukan Melayu yang memang jelas tidak mahu menerima Melayu sebagai teras politik negara, apatah lagi menjadi teras kepada bangsa Malaysia.

Bagaimanakah keadaan ini harus di atasi? Kemanakah akhirnya Melayu yang sedang berpecah belah dan sedang diganggu gugat ketuanannya sekarang?


Persoalan-persoalan sedemikian perlu dipecahkan dan dirungkai dengan segera demi keutuhan politik Melayu dan dominen Melayu. Persoalan ini penting di atasi segera kerana dalam Pilihanraya Umum akan datang, kesetiaan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi kukuh seperti dulu. Sebaliknya, kesetiaan itu nampaknya terlalu rapuh dan goyah.


Masalah kesetiaan Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional yang tidak total ini adalah hakikat dan ianya adalah suatu krisis. Krisis ini bukan krisis UMNO. Atau krisis PAS mahupun krisis pengikut Anwar. Tapi krisis ini adalah krisis Melayu seluruhnya.

Krisis yang melanda sekarang adalah krisis Melayu yang sebenarnya kerana cauvenis DAP serta ekstrimis PAS yang kini bergabung dengan para pendokong reformasi, sebenarnya adalah satu kombinasi yang amat berbahaya dan boleh menghancurkan bangsa Melayu dan negara Malaysia dalam masa yang begitu singkat. Masalah ini tidak boleh dipandang ringan atau diperkecil-kecilkan oleh umat Melayu.


Kegagalan Melayu membendung dan mengatasi krisis ini akan merugikan Melayu sendiri. Ia sungguh merugikan kerana jika UMNO yang menjadi teras Barisan nasional gagal mempertahankan kedudukannya, maka gabungan pembangkang itulah yang akan menang. Kalau mereka menang, siapakah yang boleh menjamin kestabilan politik di Malaysia dan kesejahteraan rakyat ketika itu?



Dalam konteks ini, adakah impian Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP, PAS, PKR dan sekutunya mahu menukar kerajaan dalam Pilihanraya Umum akan datang bakal menjadi kenyataan? Andaian yang digembar-gemburkan oleh pembangkang ialah mereka menerima `durian runtuh ’ hasil pembebasan Anwar Ibrahim. Mereka berpendapat isu Anwar itu `bak bulan jatuh ke riba’ dan sekaligus menyemarakkan lagi nafsu rakus mereka mahu menumbangkan kekuasaan Melayu yang kini diterajui oleh UMNO! Ditambah lagi dengan kesan kenaikan minyak menyemarakkan lagi tekanan mereka terhadap BN.


Memang andaian adalah andaian semata-mata. Manusia merancang tapi Tuhan yang akan menentukan segala-galanya. Bagaimanapun andaian ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan Melayu tentang survival bangsanya. Tapi andaian ini cuma untuk meniupkan keinsafan dan kesedaran yang mendalam kepada bangsa Melayu dan pemimpin Melayu, betapa serius dan betapakah buruknya kesan percaturan politik yang mereka lakukan hari ini terhadap dominan Melayu dan masa depan bangsa Melayu. Senario inilah yang diandaikan sebagai krisis. Dan tanggungjawab mengatasi krisis ini adalah tanggungjawab seluruh bangsa Melayu. Melayu dari UMNO, Melayu dalam Pas atau Melayu yang bersimpati dengan gerakan reformasi tidak akan terlepas dari memikul tanggungjawab ini. Tidak ada siapa yang boleh menafikan amanah dan tugas berat ini.


Senjata yang paling keramat dalam mengatasi permasalahan Melayu Lawan Melayu ini adalah keinsafan dan kesedaran di kalangan seluruh jiwa bangsa Melayu bahawa apa yang disifatkan sebagai krisis Melayu ini adalah realiti, adalah suatu hakikat dan suatu yang memang wujud dan sedang dirasakan oleh keseluruhan bangsa Melayu.


Senjata yang amat keramat untuk mengatasi krisis Melayu ini adalah hati dan dada yang dibuka seluas-luasnya dan seikhlas-ikhlasnya disaingi dengan satu keinsafan yang mendalam bahawa di samping orang Melayu yang dikenali sebagai Melayu, orang Melayu juga sebenarnya adalah orang Islam, penganut agama Allah.

Apabila permis kesedaran dan keinsafan ini boleh diterima, semua pemimpin parti politik Melayu perlu bermusyawarah dan bermuzakarah. Ikatkan semula silaturahim yang tulen, gabungkan pemikiran yang tenang dan cetuskanlah gagasan perpaduan yang jitu dan diredai Allah.


Usaha seperti ini mustahil tidak boleh dijalankan kerana yang memecah belahkan umat Melayu hingga peringkat yang paling parah hari ini bukannya perbezaan akidah Islam. Yang memecah belahkan mereka adalah sebab-sebab yang `politikal’, sebab-sebab yang berunsur politik semata-mata. Pihak-pihak Melayu yang di luar politik, seharusnya mengambil usaha untuk menjadi `juru damai’ kerana sebaik-baik perbuatan dalam sesuatu persengketaan adalah menjadi juru damai yang ikhlas dan jujur dengan kepentingan bangsa dan agama melandasi segala usaha murni tersebut.


Sewajarnya, janganlah orang Melayu hanya mahu dan terdesak untuk kembali bersatu apabila nasi sudah menjadi bubur. Berpadulah segera. Hari ini juga. Ini penting kerana dalam keadaan orang Melayu yang masih tercicir dan tertinggal dalam mensejahterakan ekonominya, orang Melayu perlu memiliki kepemimpinan yang berkeupayaan, tabah, jujur dan ikhlas. Kepemimpinan Melayu, biar dari puak mana sekalipun, perlu kembali bertaut kerana orang Melayu masih memerlukan ketuanannya di negara yang berbilang kaum ini. Melayu masih perlu menjadi induk kepada bangsa Malaysia kerana orang Melayu tidak rela menjadi satu bangsa yang terhina akhirnya ditimpa nasib seperti “ itik di air mati kehausan, ayam di kepok mati kelaparan “.

Ingatlah bangsaku! Melayu sudah tidak mampu berpecah. Melayu sudah tidak berupaya untuk bersengketa. Jangan biarkan Melayu terus lawan melayu! Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ingatlah masa depan anak cucu kita. Jangan jadikan mereka nanti merempat di tanahair mereka sendiri di sebabkan kelalaian kita sekarang.

Inilah harapan ku sebagai seorang Melayu yang beragama Islam…Bersatulah iklas..TunTeja

Anonymous said...

Syabas kepada 'tun'yang menulis berasaskan kepada motivasinya supaya bangsa Melayu tidak menggadaikan maruahnya. Benar juga apa yang ditulis oleh Sdr Rahman di dalam blognya apabila mengupas isu Anwar, dimana beliau berkata bahawa kuasa politik orang Melayu dilihatkan bagaikan di hujung tanduk...akibat sengketa yang x berkesudahan.

Seharusnya ada keinsafan untuk bercantum semula. Buangkan sikap 'ego' masing-masing demi mempertautkan bangsa Melayu dan Islam. Tidak rugi jika ada kemahuan untuk duduk semeja, kerana itulah yang dituntut oleh Islam. Marilah kita doakan agar pemimpin-pemimpin besar kita tidak meneruskan persengketaan sesama sendiri. Janganlah mengheret rakyat untuk melebarkan lagi persengketaan ini.

"Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah (Bercerai berai, dan ingatlah kamu akan nikmat Allah terhadap kamu, dimana suatu masa dahulu kam berbantah-bantah, lalu Allah satukan hati-hati kamu dengan nikmatnya sehingga kamu BERSAUDARA...." demikinalah saranan Allah di dalam Al-Quran Surah Ali Imran.
Wallahu a'lam....

Anonymous said...

kepada Umno Cawangan yang belum mengadakan persidangan cawangan berilah pencalunan kepada kawan yang nak bertanding. Lagi ramai calun bertanding lagi meriah. Kita amalkan demokrasi