Begitu juga tidak pelik jika Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan lain-lain pemimpin bukan Islam menolak hukum Islam dilaksanakan di negara ini, kerana mereka tidak mendalami dan mungkin tidak pernah mempelajari selok belok hukum hakam Islam sebagaimana yang ditanzulkan oleh Allah SWT.
Dalam artikata lain, orang yang bukan Islam tentunya akan menolak Islam kerana mereka berpegang kuat dengan fahaman agama yang dianuti. Mungkin juga agama anutan mereka itu melarang mereka mempercayai agama Islam, sebagaimana Islam yang melarang kita mengengkari perintah-perintah Allah yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, termasuk melarang kita menyembah berhala.
Rukun Iman yang enam perkara telah menetapkan bahawa umat Islam wajib percayakan Allah sebagai Tuhan yang Esa, begitu juga di dalam Rukun Iman kita diwajipkan beriman kepada para Malaikat, beriman kepada kitab-kitab Allah, beriman kepada Rasul-Rasul, beriman pada hari kiamat dan beriman kepada qada dan qadar.
Jika kita meyakini keenam-enam perkara di dalam Rukun Iman itu maka terpancarlah keyakinan kita terhadap kemuliaan Islam. Pasti juga kita tidak tergamak untuk merendah-rendahkan hukum Islam walaupun mungkin ada perbezaan dalam aspek pendekatan dan perlaksanaannya.
Namun begitu janganlah pula kita terperangkap dengan emosi politik yang sempit sehingga kita tidak dapat membezakan penentangan hukum hakam Islam oleh Chua Soi Lek, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang tidak mempercayai Rukun Iman sehingga kita turut (terikut-ikut) menjadi seperti mereka.
Kalau pun kita tidak bersetuju dengan PAS, janganlah kita mengiyakan penentangan golongan ini terhadap Islam. Sedikit sebanyak kita harus terdesing di telinga kerana mereka sanggup menegang urat memperlekehkan hukum Allah, lalu pendapat mereka itu pula diberikan publisiti meluas seolah-olah UMNO juga terhasut untuk menentang hukum Allah.
UMNO kena melakukan dakwah secara berhikmah terhadap golongan yang tidak mempercayai Islam ini, bukannya selenggang sehayun dan bersekongkol dengan mereka semata-mata kita bermusuh dengan PAS. Perjuangan UMNO jangan sampai terlihat semata-mata Melayu didahulukan, Islam dikemudiankan. Inilah masalahnya apabila kita gagal meletakkan Islam sebagai ibu wadah perjuangan politik, kerana kita sering menuding jari dengan membuat alasan kononnya perjuangan menegakkan perundangan Islam ala-Pas tidak dapat diterima di negara ini, sehingga kita terlupa bahawa perjuangan memartabatkan Islam menjadi satu kewajipan kepada setiap umat Islam malah kita ditegaskan supaya tidak mengengkari segala ajaran yang diperintahkan oleh Allah, jika benar-benar kita beriman kepadaNya.
Perbezaan pendapat tentang kaedah perlaksanaan hukum hudud ini janganlah sampai keluhuran dan kesyumulan Islam berada di lapisan kedua, kerana kita telah meletakkan kepentingan politik kepartian berada di lapisan pertama sehingga menyebabkan sesama umat Islam terus dikelirukan. Akibatnya Islam sebagai agama 'a way of life' tidak dapat menambat hati golongan kafirin ini terhadap kebesaran Islam.
Kepada UMNO dan PAS, waspadalah apabila kita berhadapan dengan sanggahan puak-puak yang menentang agama wahyu Allah ini. Mereka menolaknya kerana mereka bukan beragama Islam, tetapi kita yang mengaku bahawa Islam adalah agama yang dianuti mestilah kita mempertahankannya dalam bentuk yang penuh berhikmah. Kita tak perlu terjebak dengan kecetekan fahaman mereka terhadap Islam, namun kita mesti bijak untuk memberikan penjelasan kepada mereka bahawa agama Islam bukan semata-mata memotong tangan jika terbukti seseorang itu mencuri. Itulah menakutkan mereka apabila Allah memerintahkan hukuman sedemikian.
Keceluparan Chua Soi Lek menghentamkan hukum Islam di hadapan ahli-ahli panel seperti Ustadz Kamal Saidin dan Ustadz Fathul (ulamak muda UMNO) yang dijemput untuk membahaskan tajuk forum mengenai hudud di Wisma MCA kelmarin, janganlah dibiarkan kehinaan itu naik ke muka kita, walaupun dia menentang hukum hudud cadangan PAS.
Apakah MCA hanya menentang hukum hudud (sebagai hukum Allah) kerana yang hendak melaksanakannya itu adalah PAS? Bagaimana pula pendirian mereka nanti jika UMNO mendapat hidayah Allah untuk melaksanakan perundangan Islam di negara ini? Namun jika hati mereka tetap tertutup rapat untuk menolak Islam, tentunya MCA apatah lagi DAP mereka sanggup menyingsing lengan mencabar UMNO supaya menghentikan niat itu!
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia jika PAS hendak melaksanakan hukum hudud di negara ini.Beliau melahirkan pandangan terbaru ini ketika polemik mengenai sistem perundangan Islam itu masih berterusan. Dua bulan lalu ketika kepimpinan PAS merayu kepada umum agar diberi peluang untuk melaksanakan hudud di Kelantan sebagai percubaan, Umno pula berkata kini bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
Sebagai seorang yang bukan beragama Islam Dr Chua berkata sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.
“Apabila rekod hak asasi kita tidak baik dan hukuman pula dianggap sebagai kejam, kedudukan global Malaysia akan merosot.
“Maka kita akan ada kesukaran untuk menarik pelaburan, malah pelabur-pelabur sedia ada juga kemungkinan keluar,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan forum mengenai hudud di Wisma MCA di sini.




1 comment:
Assamualaikum satu pandangan yang positif dan cukup anggun dari Abdul Rahman. Semua pemain politik khasnya orang Melayu dan Islam perlu menghayati tulisan ini. Pandangan dan kritikan sebeginilah yang kita perlu dari bloger dan fbooker kerana ia ada nilai dan profesional. Saya selalu membaca catatan Abdul Rahman dan ternyata ia konsisten dalam mengkriitkan dan memberi pandangan untuk semua. Tahniah, salam Mso.
Post a Comment