assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, March 15, 2010

7 AHLI PARLIMEN BEBAS, 2 DARIPADANYA TETAP BERSAMA PAKATAN RAKYAT?


Empat Ahli Parlimen PKR menjadi Ahli Bebas

Persidangan Dewan Rakyat Ke-12 bagi penggal ke-3 sudah pun bermula hari ini. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sudah pun menyempurnakan perasmiannya pagi ini. Semua 222 Ahli Dewan Rakyat akan mula bersidang seperti biasa pagi esok.

Sementara itu, seluruh rakyat akan tertumpu kepada persidangan kali ini, kerana lensa politik juga akan tertumpu kepada lanskap tempat duduk ahli-ahli Dewan Rakyat yang kini sudah berubah, terutama yang membabitkan empat Ahli Parlimen PKR yang tidak lagi sebumbung dengan parti itu setelah mereka bermufarakah untuk meninggalkan parti yang telah memenangkan mereka dalam PRU12 yang lalu.

Empat Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Seri Zahrin Hashim dari Bayan Baru, Tan Tee Beng dari Nibong Tebal, Mohsin Fadzli Samsuri dari Bagan Serai dan Zulkifli Noordin dari Kulim Bandar Baru sehingga kini tidak lagi terikat dengan mana-mana parti seperti Ibrahim Ali daripada Pasir Mas.

Berdasarkan kepada angkanya kini terdapat tujuh orang ahli Parlimen bebas di sidang parlimen kali ini dan pastinya mereka tidak sebaris lagi dengan barisan pembangkang mahupun dalam BN. Mereka ini tidak terikat dengan mana-mana 'whip' bahkan mereka juga bebas untuk menentukan pendirian masing-masing.

Selain Datuk Ibrahim Ali dari Pasir Mas dan empat ahli dari PKR yang kini menjadi ahli bebas terdapat dua lagi Ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Eric Majimbun, Sepanggar dan Datuk Dr Chua Soon Bui, Tawau. Namun yang bebas dalam kontek kedudukan di parlimen hanya lima orang.

Ini berikutan kenyataan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee Khamis lalu bahawa Eric dan Dr Chua tidak akan menyertai apa yang dipanggil blok bebas Ahli Parlimen yang meninggalkan PKR baru-baru ini. Katanya bahawa SAPP tetap bekerjasama dengan pembangkang Pakatan Rakyat di Parlimen.

Beliau menyatakan demikian sebagai menyangkal komen MP Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dalam portal berita, Malaysiakini, dan media lain yang mengandaikan bahawa dua MP SAPP itu berada dalam "blok bebas”.
Dalam satu perkembangan lain, difahamkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin yang dipecat daripada PKR baru-baru ini akan mencabar Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang ekoran parti yang diwakilinya kini sudah kehilangan majoriti jika dibandingkan dengan kelebihan satu kerusi daripada DAP.

Setelah kehilangan 4 kerusi kini PKR mempunyai 27 kerusi, manakala DAP kekal dengan 28 kerusi. PAS pula kekal dengan 23 kerusi dan PSM 1 kerusi. Walau pun begitu, difahamkan DAP dan PAS bersepakat untuk mengekalkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang. Pakatan Rakyat menempelak Zulkifli Noordin kerana menurut mereka bahawa isu itu bukan lagi urusannya.

No comments: