assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, June 19, 2008

Kriing, kriingg..UMNO Setiawangsa berentap


Dato' Sri Zulhasnan Rafique

Menjelang persidangan UMNO yang akan bermula pada pertengahan Julai ini, UMNO di seluruh negara akan terus menjadi perhatian kerana fokus tentunya tertumpu kepada pemilihan jawatan di semua peringkat cawangan, bahagian dan juga di peringkat Majlis Tertinggi. UMNO selepas pasca pilihan raya umum ke-12 menyaksikan betapa terhakisnya sokongan rakyat kepada parti ini sekaligus memperlihatkan lima buah negeri, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan termasuk juga Wilayah Persekutuan yang tersungkur ke riba Pakatan Rakyat.

Ahli-ahli UMNO sendiri 'swing' kerana kecewa melihat kelibat dan tingkah laku penguasa-penguasa parti keramat ini yang gagal menangani beberapa isu rakyat yang semakin mengelisahkan mereka. Sepatutnya pilihan raya itu tidak perlu disegerakan kerana kerajaan BN masih punya waktu sehingga tahun 2009 untuk menyerahkan semula mandatnya kepada rakyat. UMNO sendiri telah menangguhkan persidangan selama 18 bulan untuk mengelakkan musim pemilihan jawatan dalam parti tidak membawa kepada perpecahan.
Rupa-rupanya jangkaan itu meleset, kerana pilihan raya secepat itu telah mencampakkan wajah UMNO ke jurang binasa. Berbagai alasan dan tudingan jari diperkatakan sehingga membawa kepada desakan akar umbi yang mahukan Pak Lah bertanggungjawab dan meletakkan jawatannya. Suatu insiden yang memilukan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menerajui UMNO selama 22 tahun turut mendesak Pak Lah meletakkan jawatan dan beliau juga secara terbuka mengumumkan dirinya keluar daripada UMNO, dan hanya akan kembali semula ke dalam UMNO jika Pak Lah tidak lagi menerajui UMNO.
Demikianlah kesannya pilihan raya umum ke-12 yang tidak direncanakan secara strategik semata-mata kerana bimbang dan cuak kemunculan Anwar di dalam senario pilihan raya tersebut. Akhirnya Pakatan Rakyat telah muncul dalam lanskap politik negara yang dilihat menjadi pesaing utama kepada BN. Mereka muncul dengan sokongan rakyat memerintah lima negeri yang berkenaan dan pastinya mereka menggunakan peluang ini untuk memperkukuhkan lagi strategi partinya memancing sokongan rakyat.
Politiking UMNO tidak terhenti setakat pilihan raya saja, malah ia akan terus memanaskan iklim dalamannya dengan percaturan 'upload' dan 'download' pemimpinnya di semua peringkat. Persidangan di peringkat cawangan hanya akan bermula pada 13 Julai ini dan akan berjalan selama satu bulan sebelum diadakan persidangan perwakilan di peringkat bahagian yang akan diadakan dalam bulan ogos nanti.
Episod lobi melobi akan rancak berjalan untuk menaiki takhta idaman di semua peringkat. Lazimnya kempen yang dijalankan oleh pemimpin UMNO akan berkisar kepada isu-isu dalaman dan sudah tentu hanya pemimpin yang berduit akan memonopoli pentas pemilihan jawatan, kerana budaya politik wang di dalam UMNO begitu menebal dan amat sukar dibanteras lagi. Kempen yang berjalan tidak sahaja kepada menonjolkan kebolehan masing-masing, malah ia terjebak juga kepada unsur2 peribadi yang melibatkan fitnah memfitnahi sehingga maruah peribadi pemimpin tertentu tergamak ditelanjangi.
UMNO Bahagian Setiawangsa merupakan salah satu bahagian yang menjadi fokus di WP Kuala Lumpur, kerana di bahagian inilah satu-satunya kawasan parlimen yang dimenangi oleh BN di dalam pilihan raya umum yang lalu, selain Labuan dan Putajaya. Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan adalah Ketua UMNO Bahagian ini dan beliau telah memenangi kerusi parlimen setiawangsa dengan penurunan sokongan pengundi yang telah memberikan kemenangan besar di dalam pilihan raya sebelumnya.
Walau apa pun, Datuk Seri Zulhasnan Rafique adalah salah seorang pemimpin UMNO yang terselamat daripada dilanda tsunami yang telah merebahkan banyak pemimpin UMNO yang bertanding di dalam pilihan raya umum yang lalu. Datuk Seri Shahrizat Jalil seorang menteri juga tewas di tangan Nurul Izzah yang bertanding atas tiket PKR di parlimen lembah pantai.
Boleh juga dikatakan kekalahan banyak kerusi di Wilayah Persekutuan merupakan satu tamparan yang hebat kepada Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang juga mengetuai Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan. Kemenangan Datuk Seri Zulhasnan Rafique di Parlimen Setiawangsa tidak membolehkan beliau berketawa besar, kerana beliau begitu optimistik dapat merampas banyak kerusi pembangkang di WP selain daripada akan mengekalkan kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh BN sebelum ini.
Tetapi andaiannya meleset, angin kebencian terhadap pemimpin UMNO/BN begitu sepoi bahasa sehingga kita tidak mempercayainya begitu lembutnya undi protes yang telah diberikan oleh pengundi terhadap BN. Walau apapun kita bersyukur kerana BN masih memperolehi majoriti yang mencukupi untuk membentuk semula kerajaan di peringkat persekutuan.
Di dalam keadaan UMNO yang memerlukan penambahbaikan untuk terus mengekalkan kuasanya, kini UMNO berhadapan dengan satu lagi ujian yang akan menguji ketahanan mental dan fizikal ahli-ahlinya.
Di Bahagian Setiawangsa nampaknya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique masih mampu bertahan dan kelihatan sokongan yang diterimanya tidak mungkin beliau dapat digugatkan. Tidak terdapat mana-mana tokoh yang mampu bersaing dengannya. Datuk Seri Zulhasnan Rafique berjaya mendominasikan kehebatannya sebagai seorang pemimpin yang telah banyak memahat jasa dalam membangunkan prasarana rakyat di kawasannya.
Sejak beliau menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju di dalam pilihanraya umum tahun 1999 yang lalu, hinggalah ke hari ini setelah menang pilihan raya tahun 2004 bagi kerusi Parlimen Setiawangsa dan mengulangi kejayaannya pada pilihan raya 2008 yang lalu, membuktikan beliau adalah pemimpin yang mempunyai track record dan popular di kalangan rakyat di kawasannya.
UMNO Bahagian Setiawangsa berbangga kerana memiliki seorang pemimpin yang dinamik dan kuat bekerja. Sebab itu di dalam kemelut perebutan jawatan di peringkat bahagian ini, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dikategorikan sebagai pemimpin yang cukup selesa untuk mengekalkan jawatan Ketua Bahagian.
Namun begitu, satu perkembangan yang menarik untuk diperkatakan di sini ialah kerusi Timbalan Ketua dan Naib Ketua Bahagian akan menyaksikan perebutan yang tidak dapat dibendung lagi. Datuk Halim Samad, penyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian bakal ditentang oleh calon ultra yang kian bertapak di hati pemimpin-pemimpin cawangan iaitu 'Shuib Ibrahim' yang pernah sekatil sebantal dengan Datuk Halim Samad sebelum ini. Shuib Ibrahim yang juga ahli jawatankuasa Bahagian telah diberikan kepercayaan oleh Datuk Seri Zulhasnan sebagai Bendahari BN Parlimen Setiawangsa sewaktu diadakan pilihan raya yang lalu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Cawangan Seksyen 6 Mutiara dijangka akan memberikan saingan yang hebat terhadap Halim Samad, kerana majoriti ketua-ketua cawangan telah berkabilah dengan beliau termasuklah ketua-ketua cawangan yang pernah memberikan sokongan kepada Datuk Halim Samad sebelum ini. Datuk Halim Samad pernah menentang Ahmad Yahya Yaakob yang menjadi Timbalan Ketua Penaja Bahagian Setiawangsa pada tahun 2004 lalu, dan beliau telah memenanginya setelah menerima pencalonan cukup makan daripada 9 UMNO Cawangan yang tertentu.
Ahmad Yahya Yaakob pada mulanya dianggap calon yang bakal mengulangi saingannya kali ini dengan Datuk Halim Samad untuk jawatan Timbalan Ketua, namun beliau dilihat begitu baik hati untuk melorongkan Shuib Ibrahim yang dikatakan sesuai untuk berhadapan dengan penyandang jawatan tersebut. Hampir semua penyokong Ahmad Yahya dikatakan akan memberikan sokongan kepada Shuib Ibrahim.
Sementara itu bagi jawatan Naib Ketua Bahagan tidak kurang juga hebatnya, kerana ia bakal menyaksikan pertarungan di antara penyandang jawatan itu Kpt (B) Rafli Jusoh yang bakal menerima tentangan daripada beberapa calon yang cuba menonjolkan diri. Di antara yang dilihat berminat untuk menawarkan diri bagi merebut jawatan ini ialah Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Bendahari Bahagian dan Datuk Izudin Ishak, Ketua Pemuda Bahagian yang akan menamatkan zaman Pemudanya.
Walaupun terdapat nama-nama lain yang disebut akan menawarkan diri, namun tokoh-tokoh yang disebutkan tadi merupakan saingan yang akan berentap yang mendapat perhatian daripada perwakilan cawangan-cawangan. Datuk Ahmad Fauzi Zahari dikatakan calon yang bakal menawan hati para perwakilan nanti, kerana beliau dilihat sebagai tokoh pelapis yang sesuai diletakkan di jawatan Naib Ketua Bahagian. Pengaruh Datuk Izudin Ishak juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja, kerana beliau dijangka akan mendapat sokongan daripada ketua-ketua pemuda yang bakal menjadi perwakilan cawangan masing-masing.
Datuk Seri Zulhasnan Rafique tidak perlu gusar dengan pergelutan ini, kerana semua calon-calon yang bertanding di peringkat jawatan Timbalan dan Naib adalah anak-anak buah beliau yang terbukti kesetiaan terhadapnya. Walaupun Datuk Seri Zulhasnan mempunyai calon favouritenya namun beliau tidak akan menampakkan kelibat sokongannya secara terbuka kepada mana-mana calon yang bertanding. Jika menoleh pengalaman lalu, Datuk Seri Zulhasnan Rafique tidak terlalu mudah untuk diheret di dalam kancah perebutan jawatan Timbalan dan Naib. Cuma mungkin kali ini beliau agak terpanggil untuk melihat sejauh mana calon yang bertanding itu boleh memberikan sokongan kepada sifunya Pak Lah yang bakal menerima tentangan di peringkat jawatan Presiden parti.
Sudah tentu beliau mahukan bahagian ini solid memberikan undi kepada Pak Lah, kerana jawatan Menterinya juga mudah tergugat andainya Pak Lah tidak mendapat sokongan daripada Bahagian yang dipimpinnya. Percaturan politik di peringkat nasional juga dilihat menjadi penanda aras kepada pertandingan di peringkat bahagian.
Setakat ini Tg Razaleigh dikatakan berminat untuk bertanding jawatan Presiden, manakala Datuk Seri Najib juga telah diandaikan sebagai calon menunggu yang bakal melakar sejarah UMNO untuk turut mengadu nasib sebagai Presiden. Jika ini berlaku, lanskap politik UMNO Setiawangsa juga akan terseret dengan faktor ini. Datuk Halim Samad dan Datuk Izudin Ishak dilihat sebagai tokoh yang begitu 'extreme' dengan Datuk Seri Najib. Jika begitu, Shuib Ibrahim dan Datuk Fauzi Zahari akan mirip ke mana?

Kriing...kriingg....Biarlah musim pertandingan merebut jawatan kali ini tidak menjurus kepada perpecahan sehingga menenggelamkan kapal yang sudah pun pecah ini. Buktikanlah bahawa UMNO masih relevan dengan agenda perjuangan membela bangsa Melayu dan agama Islam di bumi Malaysia tercinta ini.
Sekian - Abd. Rahman Hashim Bukitwangsa.

8 comments:

Anonymous said...

Saya tak terperanjat sekiranya Zulhasnan juga akan ditentang, kerana senoario politik nasional juga memungkinkan kesan yang akan melimpah terhadap perjalanan politik Umno di peringkat bahagian.
Andaikata Dato' Najib tergerak hatinya untuk menentang Pak Lah bagi jawatan Presiden UMNO tentunya ada proksi beliau yang akan menentang Zulhasnan di Bahagian Setiawangsa.
Semua org tahu bahawa Zulhasnan naik mendadak kerana Pak lah. Dia bukanlah hebat sangat, kerana Pak Lah pun tidak sehebat mana pun. Jika Pak Lah ditentang, pasti muncul proksi yang akan langgar Zulhasnan. Siapakah gerangan proksi Najib di Setiawangsa? Orang itu ialah Dato' Halim Samad, Timbalannya sendiri dan juga Dato' Izudin Ishak, Ketua Pemuda Bahagian sekarang.
Kedua-dua tokoh ini merupakan orang harapan Najib di Setiawangsa yang standby dan akan menjadi calon menanti untuk beregu menentang Zulhasnan di Setiawangsa.
Siapakah diantara kedua mereka yang akan menentang Zulhasnan? Jika dicongak sefer politik Setiawangsa, tokoh yang layak dan mampu menggegarkan Zulhasnan ialah Dato' Paduka izudin Ishak. Beliau begitu berpengaruh di kalangan Pemuda dan dikatakan begitu rapat dengan beberapa Ketua Cawangan dalam Bahagian ini.
Dato' Paduka Izudin juga dikatakan sedang diteropong oleh Zulhasnan untuk mengesan sejauhmana kebenaran andaian mengatakan beliau akan ditentang oleh Izudin.
Jika ini berlaku, tentunya sokongan terhadap Zulhasnan akan terhakis. Satu perkara menarik yang perlu diperhatikan ialah ke arah mana sokongan Ahmad Fauzi Zahari, Bendahari Bahagian yang begitu kuat menyokong Datuk Seri Hishammuddin yang hendak bertanding Naib Presiden UMNO Malaysia. Semua orang tahu Hishammuddin ialah sepupu kepada Najib, dan mereka berdua dikatakan sedang membentuk regu di peringkat nasional bersama-sama Muhyiddin Yasin.
Apakah Dato'Fauzi Zahari akan bergandingan dengan Dato'Izudin dan Dato' Halim sebagai proksi Najib di Bahagian Setiawangsa? Sama-samalah kita menyaksikan adegan yang cukup dramatk ini.

Anonymous said...

Woww...kitorang pasti sokong Izudin lwn Zulhasnan. Apa dah jadi dengan persatuan bolasepak KL yang tidak mendapat perhatian dpd Zulhasnan sebagai Menteri WP. Ini mengecewakan Izudin yang menjadi pengurus bolasepak KL. Kitorang tercabar dengan sikapnya itu, dan kitorang sokong Izudin menentang Zulhasnan. Hidup Izudin!

Anonymous said...

eurowangsa..... awak ni sokong sape? gayanya nak menjahanamkan izudin... biarlah zulhasnan tu tak ditandingi, dia ok ape? kerja kuat.. bakti ditabur.. sikit-sikit tu biasalah, dia pun manusia biasa jugak tak lepas dari buat kesalahan....... org setiawangsa tahu apa!!!

Anonymous said...

Jangan marah la brader, inilah dia politik. Kalau takut ditentang lebih baik kita jangan masuk politik. Takutkan ombak jangan dekat di tepi pantai. Dulupun Dr. Kamal Salih ditentang. Zulhasnan sokong Shafie dan Rahman Hashim jatuhkan Kamal Salih, dan akhirnya kumpulan mereka angkat Zulhasnan jadikan dia calon MP Wangsa Maju. Zulhasnan tewas berentap dengan Astaman sebagai Ketua Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2000. Kini dia mengetuai pula Bahagian Setiawangsa. Takkan dia nak menongkat langit untuk kekal selama-lama jadi Ketua Bahagian. Pak Lah tak jadi PM, habislah dia..

Anonymous said...

en rahman tak bertanding ker? dah lepas ke kes bangkrap,, ingat pesat emak ayah, jangan jadi pengacau, lepas berucap,keluar dewan, mcm tak ada teloq !!

Tapi tak pa yg penting abg masukkkk !! Jgn tinggal saya udah ler.ok Beb, selamat berjuang

Anonymous said...

eurowangsa, skrg ni izudin mcm hantu raya, kata org dia ni conman & coneman

1 Kelantan tahu,1 WP tahu,1 Kepong tahu,1 Korea tahu,

ok john!!

Anonymous said...

Jabatan Insolvensi Malaysia mengesahkan 'Rahman Hashim' bukan seorang muflis sejak 2001 lagi. Sila lihat surat pengesahan tersebut di blog ini. Dakwaan sebelum ini yang menyatakan Rahman Hashim masih muflis adalah TIDAK BENAR dan tidak berbangkit lagi. Ok...puas hati.

Anonymous said...

Aunty Tupperware,
Salam semua, Saya cuma nak sentuh hal Wanita ni....hai sampai bila agaknya mantan dealer Avon nak berubah. Belajar-belajar lah jadi macam Ibu Zain. Setakat party-party "tupperware" nak dijadikan persidangan Wanita cukuplah pada zaman Batu dan wangsa Maju. Zaman dah berubah bawalah muhasabah diri.