assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, June 17, 2008

Kring, kringgg...Rakyat naik minyak



Assalamu Alaikum Wr Wb. dan Salam Sejahtera!

Negara kita sedang dilanda kemelut 'naik minyak' akibat kemarahan rakyat yang semakin memuncak apabila berlakunya pertarungan politik di kalangan pemegang-pemegang kuasa politik yang dilihat berghairah melocengkan manifesto dan hala tuju masing-masing. Kadangkala kita runsing melihat gelagat penguasa politik ini yang tuli dan tidak peka dengan kegelisahan rakyat yang mengalami tekanan demi tekanan sehingga mereka meluat untuk mendengar penjelasan yang memperbodohkan rakyat.

Pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini telah memeranjatkan penguasa politik ini, kerana rakyat telah menyahkan BN dari terus berkuasa di lima buah negeri termasuk di WP. Dalam sejarah 50 tahun Malaysia merdeka, penguasa politik ini begitu gah dengan slogannya - Cemerlang Gemilang & Terbilang, tetapi rakyat membuat penilaian pemilik slogan berkenaan sendiri tidak secemerlang, segemilang dan langsung tidak terbilang dalam menangani permasalahan rakyat di negara ini. Rakyat tidak lagi terpesona dengan dendangan yang dilocengkan itu dan bertambah mual untuk menghayatinya.

Islam Hadhari yang ditempelkan oleh penguasa politik ini juga tidak menjadi ikutan malah kerajaan negeri Selangor yang berkuasa hari ini pun telah mengambil tindakan menyahkan konsep Islam yang dislogankan itu, sebaliknya mereka mahukan Islam tidak dilabelkan sedemikian rupa kerana Islam itu syumul, malah sudah lengkap dengan segala ramuannya serta menjadi agama suci yang memberi rahmat sekelian alam.

Islam Hadhari, hanyalah Islam yang ada 'Had' dan ada 'Hari' sahaja. Apabila penguasa politik ini tidak lagi bertakhta, rasanya konsep Islam Hadhari ini akan pupus dan tidak akan tergelincir Iman seseorang itu jika tidak mengikut Islam Hadhari. Kita tidak akan disoal di alam barzah mengapa menolak Islam Hadhari ciptaan penguasa politik ini, dan bukanlah isunya sehingga kita akan tercampak ke dalam neraka jahanam semata-mata memadamkan slogan Islam itu Hadhari. Oleh yang demikian Islam Hadhari tidak wajar dijadikan ikutan dan juga tidak sesuai dijadikan kurikulum di dalam sistem pendidikan negara ini, kerana ia mencelarukan pemikiran umat Islam.

Tun Mahathir seorang pemimpin agung yang cukup hebat dalam dekad ini, juga memandang sepi dengan Islam yang telah dislogankan sedemikian rupa. Beliau yang melonjakkan penguasa politik ini menggantikan dirinya sehingga begitu berkuasa, dan kini masih tidak sedar lagi betapa rakyat akar umbi mahukan penguasa politik ini digantikan dengan orang lain. Tun Mahathir yang pernah memimpin UMNO selama 22 tahun juga 'geli geleman' melihat gelagat penguasa politik yang semakin ego ini.

Penguasa politik yang sedang berkuasa ini 'sengaja' tidak mahu menerima hakikat betapa merakyatnya kebencian akar umbi terhadap gelagat kepimpinannya yang dianggap paling 'weak' dalam sejarah 50 tahun Malaysia Merdeka. Pecacai-pecacai yang berada di sekelilingnya pula begitu megah sebagai pengampu sehingga penguasa politik ini terus terlena dengan fantasi kuasanya.

Rakyat menyampah dan kini 'naik minyak' untuk menolak penguasa politik ini yang telah menaikkan harga minyak begitu mendadak sekali. Derita rakyat bagaikan tidak dirasai oleh penguasa-penguasa politik durjana ini. Berbagai alasan diberikan sehingga rakyat berkata bahawa itu adalah alasan untuk memperbodohkan rakyat jelata.

Kelibat Pak Menteri di kaca TV yang menjaga hal ehwal penguna dilihat tidak lagi membela rakyat yang menjadi pengguna. Pak Menteri berkenaan yang berkata bahawa mungkin harga minyak akan naik pada bulan Ogos nanti, tiba-tiba dipaksa berhadapan dengan keluhan rakyat yang terperanjat dengan pengumuman serta merta penguasa politiknya yang telah menaikkan harga minyak di paras yang tertinggi. Rakyat diminta memahami sebab musabab kenaikan harga minyak ini, dan penguasa politik ini berharap tidak ada demonstrasi jalanan yang membantah kenaikan harga minyak ini. Walaupun peringatan telah diberikan, namun rakyat tetap menggelisah dan demonstrasi tetap diadakan. Lebih daripada 4,000 orang telah mengadakan perhimpunan dan berarak daripada masjid Kg. Baru hingga ke Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur, sebaik saja selesai solat Jumaat pada 12 Jun lalu. Media kerajaan hanya menyebut 500 orang saja yang berhimpun.

Rakyat disogokkan dengan kadar rebat yang menggula-gulakan rakyat yang dianggap sebagai pemulangan subsidi. Apakah kaedah ini mampu mengurangkan 'naik minyak' rakyat yang lemas dengan kenaikan harga minyak ini?

Kadar rebat yang diberikan itu tetap 'disebat' rakyat. Pos Malaysia yang diberi hak untuk menjadi 'hub rebat' telah menjadi tumpuan rakyat yang diharapkan tidak lagi bersuara sumbang. Selepas kehabisan 'manisan rebat' itu, rakyat akan berterusan menderita kerana terpaksa berhadapan pula dengan beberapa kenaikan harga barang keperluan.

Mereka diajak berjimat kerana kerajaan dikatakan belum bersedia untuk menaikkan gaji rakyat. Belum lagi selesai isu kenaikan harga minyak ini, rakyat dikejutkan pula dengan berita gaji CEO TNB akan dinaikkan seratus peratus sehingga akan mencecah ratusan ribu ringgit sebulan. Tidak ada tekanan pemotongan gaji ataupun elaun dikenakan terhadap CEO ini.

TNB sebagai GLC yang berkeuntungan besar bukanlah sebuah konglomerat yang menghadapi persaingan tenaga di negara ini, dan kenaikan seratus peratus gajinya itu dianggap wajar oleh Khazanah Malaysia, manakala penguasa politik kerajaan pula berkata kemungkinan TNB mempunyai kewajaran tersendiri untuk menaikkan gaji CEOnya itu. Demikianlah bebalnya paparan politik Malaysia hari ini yang meletakkan taraf rakyat sebagai kelas terbawah yang tidak berhak menerima kenaikan gaji, tetapi golongan atasan dilihat wajar untuk menerima ganjaran besar ini.

Rakyat terus dipaksa melihat berita sensasi ini dipaparkan oleh media, dan penguasa Khazanah Malaysia Berhad begitu angkuh menyatakan bahawa isu ini tidak perlu disensasikan. Selama ini pun rakyat sering disogokkan dengan maklumat-maklumat yang memaksa supaya memahami kenapa harga minyak ini dinaikkan. Kenapa suka sangat membuat perbandingan dengan negara jiran tetangga, sedangkan pendapatan perkapita rakyat negara yang disebutkan itu lebih tinggi daripada perkapita rakyat negara ini. Lagipun negara kita pengeluar minyak, tak seharusnya rakyat menerima kenaikan harga yang begitu tinggi sebagaimana yang telah diumumkan.

Di dalam kemelut 'naik minyak' inilah, rakyat mula beralih arah untuk melihat tawaran menarik yang dibuat oleh Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim yang punyai karismatik tersendiri begitu bijak menggunakan kesempatan ini dengan menawarkan pakej penurunan harga petrol sekiranya PR memerintah negara ini. Beliau berhujah dengan segala fakta yang dimilikinya bagi meyakinkan rakyat marhain betapa prihatinnya beliau melihat penderitaan yang dialami oleh rakyat.

Rakyat yang terhimpit dengan tekanan harga minyak ini amat teruja dengan pakej yang ditawarkan itu dan rasanya penguasa politik yang memerintah ini tidak berkesempatan untuk melakukan peralihan kuasa yang berjadual kepada timbalannya, kerana senario lanskap politik Malaysia ini akan berubah, BN dilihat terumbang ambing sekarang ini dan pemerintahan negara ini akan beralih arah kepada PR yang dikemudi oleh Anwar Ibrahim. Destinasi PR menuju ke Putaraja akan menjadi kenyataan dicelah-celah kebencian rakyat terhadap penguasa politik yang liat untuk menurun takhtanya.

Kriiinggg...kriiinggg! - Kita berharap penguasa politik yang sedang memimpin kerajaan ini cepat sedar bahawa loceng garisan penamat telah berbunyi untuk dirinya menghabiskan larian.

8 comments:

Anonymous said...

Kriing, kriing.. saya ucapkan syabas dengan kemunculan locengwangsa. Diharap pemberitaannya nuetral dan memaparkan maklumat yang segar serta menjadi pilihan hati pelawat blog ini.
Saya bersetuju bahawa Pak Lah tak layak menerajui slogan cemerlang, gemilang dan terbilang kerana dirinya tidak sedemikian. Pak Lah pemimpin yang hanya tau tidur saja.
Baru-baru ini saya hadir di stadium perpaduan di kuching menyaksikan sambutan Hari Gawai Dayak, kelihatan Pak Lah terlentuk tidur di hadapan pentas sedangkan penonton bergembira dengan persembahan di atas pentas.
Datuk Shafie Apdal yang menjadi Pengerusi sambutan terkebil-terkebil melihat bosnya tidur begitu nyenyak di hadapan rakyat.

Anonymous said...

Kring..kring...tahniah lahirnya loceng wangsa. Locengkanlah ke telinga pemimpin Islam Hadhari itu.
Dia bercakap tentang menjaga hati rakyat, tapi dia sendiri telah menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga petrol sehingga mencecah paras 40%. Dia suruh rakyat berjimat, tapi dia restu kenaikan gaji CEO TNB naik seratus peratus. Gaji pekerja tidak naik juga. Saya setuju dengan locengwangsa, Paklah itu pemimpin tuli, dia memang tak layak meneruskan kepimpinan negara ini. Locengkanlah kuat-kuat supaya dia berhenti setakat di sini saja. Biarlah rakyat merelakan pemergiannya.

Anonymous said...

Such a great Thinker.....

Anonymous said...

salam kpd penulis..

Tiada siapa yang dpt menyangkal perilaku dan taktikal Jerung-Jerung buas yang semakin mengganas ini.. pelik2 tapi benar... Jerung Jerung "bijak" ni meletakkan diri mereka d dalam sebuah akuarium yang hampir bocor... ramai penonton2 d luar yg menyaksikan gelagat mereka yang konon nya menjadi raja d lautan luas... mgkin mereka ini menganggap penonton2 mereka ini masih lg bdk2 hingusan yang belum mumaiz... walhal penonton2 itu sudah pun beruban dan naik muak melihat aksi sarkis peringkat kebangsaan... apa yang mnjadi kerisauan saya... jgn sampai akuarium itu bocor dan akhir sekali jerung2 itu lemas tidak bernafas... lalu di gantikan dengan ikan lain.... ketika itu kita sudah terlambat.... sudah terlambat dan sudah terlambat...

Anonymous said...

Sesuai dgn nama loceng wangsa...saya harap blog ini dpt memperjuangkan masalah rakyat di kawasan Metropolitan Wangsa Maju dan kawasan sekitarnya....kita harus buka mata dan minda betapa hebatnya pembangunan di Bandar Wangsa Maju tetapi tahukah anda syarikat pemaju hartanah yang membangunkan kawasan ini diterajui oleh 'Singaporean'...Lama -kelamaan nanti wangsa maju jadilah spt Bandar Metropolitan Singapura...Kondominium bagaikan cendawan tumbuh tp hanya mampu dihuni oleh bangsa 'cha' manakala melayu hanya layak duduk dalam 'sarang burung merpati'..silap-silap pilihanraya akan datang pengundi 'cha' melebihi pengundi melayu...LET'S THINK ABOUT IT............

Anonymous said...

hari ini tudung saji yang menutup bangkai menipu sudah terbau,walaupon tidak terbuka lagi..mesyuarat wanita setiawangsa terbang terburaii

simple simon said...

maruah org melayu terletak ditgn kite..jika org China ditindas, mrk blh pergi ke negara dorg China...tapi bangsa kite org melayu, jika hak kepentingan kite tiada lagi dan kite ditindas, kemana lg kite akan pergi?
Sbb Malaysia adlh negara kite...so, org melayu kena bersatu..pertahankan hak kite

Mr Glocalatic said...

Assalamualaikum,

Tahniah diatas pembukaan blogspot ini. Ingin saya nyatakan disini bahawasanya kena ada kempen pengunaan IT di kalangan ahli UMNO Setiawangsa dengan mengadakan program kursus pengunaan e-mail dan blogspot. Saya menawarkan diri untuk membantu dalam program seperti ini kerana ingin melihat warga Setiawangsa celik IT

-Wan F1- 0123630192