assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, March 12, 2013

TIGA LAGI PENGGANAS SULU DITEMBAK MATI HARI INI

Ops Daulat menjejaki saki baki musuh masih berjalan...
TERKINI: Pada jam 10.34 pagi tadi, Angkatan Tentera Malaysia telah melaporkan berlakunya serang hendap di kawasan ZL 10, Sungai Nyamuk. Beberapa siri berbalas tembakan telah berlaku menyaksikan 3 musuh telah ditembak mati manakala 2 lagi cedera.
Difahamkan musuh yang tercedera telah melarikan diri. Seorang anggota ATM juga telah tercedera ekoran dari pertempuran itu dan telah dikejarkan ke Hospital Sandakan dengan helikopter PDRM. Dilaporkan bahawa tembak menembak masih berlaku.

Sementara itu Polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bangau-Bangau, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, sepasukan polis dari IPD Semporna telkah menyerbu sebuah rumah selepas menerima aduan penduduk setempat yang memaklumkan terdapat individu disyakiu serpihan anggota kumpulan terbabit.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian itu.



Sunday, March 10, 2013

62 PENGGANAS SULU TERBUNUH, KIRAM ENGGAN MENGALAH

Oleh Abdul Rahman Hashim
 
Meskipun jumlah kematian pengikut Jamalul Kiram III meningkat 62 orang selepas operasi DAULAT dilancarkan oleh pasukan keselamatan Malaysia, namun semangat kental keluarga individu yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu tetap mengarahkan anggota kumpulan itu supaya bertahan dan tidak menyerah kalah.
Menurut laporan akhbar dalam talian Filipina ABS CBN News, anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel memberitahu yang bapa saudaranya, Agbimuddin Kiram dan para pengikutnya tidak akan meninggalkan Sabah walaupun menerima serangan bertali arus datang dari pasukan keselamatan Malaysia.
Malah beliau sebaliknya merayu kepada saki-baki kumpulan itu supaya kekal setia bersama Agbimuddin dan mengingatkan kehadiran mereka ke Lahad Datu semata-mata untuk mengambil kembali kampung halaman mereka sepertimana objektif utama mereka sebelum ini.

krisis lahad datu 2013 berita terkini lahad datu 10 mac 2013
"Sila kekal di sana. Ini adalah satu penghormatan buat kehidupan kita semua,” katanya dipetik ABN CBS News
Mereka mahu tinggal di sana. Ia merupakan kampung halaman mereka sendiri dan mereka mahu tinggal di sana secara aman,katanya lagi.
Pendirian Jamalul Kiram yang berusia 74 tahun itu tetap utuh, menurut laporan media antarabangsa beliau rela untuk dipenjarakan bagi membuktikan bahawa tuntutan ke atas Sabah dibuat bukan kerana wang bagi menafikan tuduhan itu.
Kenyataan itu dibuat Kiram III semasa dia melahirkan kesediaan untuk hadir di pejabat Biro Siasatan Nasional (NBI) di Manila selepas mendapat perintah berbuat demikian.
"Tiada wang menjadi taruhan dalam isu ini. Apa yang penting ialah maruah dan kehormatan kami. Impian saya adalah untuk meninggalkan legasi untuk tanah air kami, jelas Kiram
Kita akan menunjukkan kepada dunia bahawa kita memiliki bukti dan hak untuk tinggal di sana (Sabah),tambahnya
Malah, pemimpin tersebut percaya Sabah adalah sebahagian daripada tanah pusaka mereka selepas menerima kawasan di Borneo Utara itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu Kesultanan Brunei menewaskan satu pemberontakan pada 1704

Friday, February 22, 2013

MAJIS SYURA ULAMAK PAS LEBIH PERCAYAKAN KU LI JADI PM DARIPADA NAJIB DAN ANWAR?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tengku Razaeligh sering menikam UMNO namun dia juga berminat
hendak jadi PM di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat?
Boleh percayakah bahawa PAS mahukan Tengku Razalegh Hamzah menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya mengusir UMNO dari Putrajaya menjelang PRU13 nanti? Saya sendiri meraguinya, kerana kenyataan seumpama ini bukanlah suatu kenyataan rasmi yang diputuskan oleh PAS, jauh sekali ia bukan resolusi yang diputuskan oleh Muktamarnya, walaupun kedengaran ada seorang dua perwakilannya yang berhujah sedemikian.
Pada saya, orang UMNO tidak perlu buang karan untuk melihat kebenaran di sebalik andaian tersebut, lagi pun orang PAS tidak akan melayan keresahan ini jika ia datang daripada adu domba orang UMNO apatah lagi ia dimanipulasikan oleh pencacai-pencacai yang bukan dari kalangan yang ada authoriti untuk mengubah ketetapan yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin utama parti-parti yang terdapat di dalam Pakatan Rakyat.
Jika berpandukan kepada indikasi Dr Hasan Ali yang merasakan dirinya lebih murni daripada Anwar Ibrahiam, tentulah dia merasakan dirinya lebih layak menjadi Perdana Menteri jika beliau masih dalam Pakatan Rakyat. Mungkin dia merasakan dirinya lebih bersih berbanding Ku Li yang masih berada di dalam UMNO. Sebab itu Hasan Ali melihat ketinggian ilmu yang dimilikinya jauh lebih baik merentasi tokoh-tokoh hebat bukan sahaja di dalam PAS malah mungkin juga dia beranggapan dirinya lebih cerdik dan bijak daripada Najib termasuk Dr Mahathir sendiri. Setakat Noh Omar, Ismail Sabri, Ali Rustam, Tengku Adnan Mansor dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, mungkin Hasan Ali meletakkan dirinya berada di atas langit manakala mereka yang berkenaan itu hanya layak di letakkan di limbah rumput sahaja.
Begitu jugalah jika kita mempercayai bahawa PAS lebih sukakan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih bersenang lenang di dalam UMNO untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah nanti, merupakan andaian picisan di sebalik ketidakyakinan mereka terhadap Anwar Ibrahim untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri.
Sesi minum teh Anwar & Najib di Dewan Rakyat
Boleh diterima akal ke, Tengku Razaleigh yang akan bertanding atas tiket UMNO berlawan dengan calon PAS di Gua Musang dan menang menewaskan calon PAS berkenaan, kemudian semudah itu pula hendak mempelawa Ku Li menjadi PM? Pada saya daripada memperdayakan Ku Li lebih baik PAS menobatkan presiden mereka sendiri, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang. Apakah mereka tidak meyakini ketokohan Hadi Awang untuk mengepalai pemerintahan negara ini?
Jika itulah kepercayaan mereka, rasanya golongan inilah yang tidak boleh dipercayai berada di dalam parti, kerana mereka mencuba untuk memperdayakan pemimpin mereka sendiri. Apakah benar sikap buruk ini ada pada sebahagian golongan ahli Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat? Apakah dengan hanya berbeza pendapat dalam sesuatu isu yang dipolitikkan, maka ulamak-ulamak ini sanggup pula menghianati asas perjuangan mereka dalam PAS untuk menerajang UMNO dalam PRU13?
Jika benar ada kalangan ulamak PAS berkecenderungan untuk menjadikan Ku Li sebagai PM, ini bermakna mereka sendiri akan mencetuskan masalah dalam parti. Justeru, golongan ini dilihat tidak menghormati malah tidak yakin lagi kepada pucuk pimpinan mereka sendiri semata-mata terkabur dengan silauan yang dimiliki oleh Ku Li. Mungkinkah mereka ada formula terbaik untuk membawa Ku Li keluar daripada UMNO supaya boleh dia menyertai PAS sebelum diangkat menjadi PM? Persoalan lain yang mungkin timbul ialah, apakah Ku Li sanggup keluar UMNO dan masuk PAS? Kalau bukan masuk PAS, kalau bukan masuk PKR atau bukan masuk DAP apakah dia boleh diterima oleh gagasan Pakatan Rakyat untuk menjadi PM? 
Oleh yang demikian teori yang menyatakan bahawa Ku Li lebih layak daripada Anwar menjadi PM seolah-olah juga menafikan kelayakan Najib sebagai Perdana Menteri. Jika begitu, kenapa UMNO berminat sangat untuk memainkan sentimen yang dungu ini? Pada saya, jika terlalu kerap kita menghayunkan isu kononnya PAS lebih sukakan Ku Li daripada Anwar, sedangkan ia tidak mampu untuk merobah ketetapan yang telah dimaterai oleh PAS/PKR/DAP untuk melonjakkan Anwar menjadi PM, maka isu ini hanya membazirkan karan sedangkan Ku Li masih setia dengan UMNO. 
Anwar dibawa oleh Ku Li menyertai UMNO
Pengumuman Anwar menyertai UMNO di hadapan Mahathir, 1982
Kecualilah jika Ku Li memang sedang bermain mata dengan PAS untuk memperdayakan UMNO atau jadikan syarat kemasukan PAS dalam BN kelak, untuk mempastikan Ku Li menggantikan Najib sebagai PM. Apakah UMNO sanggup berkorban untuk menerima syarat PAS ini demi ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini?
Saya percaya jika syarat itulah yang diminati untuk dipersetujui, eloklah Najib mengikut rentak yang sedang dipalu oleh pencacai-pencacai supaya gesaan sebilangan ulamak PAS itu yang berkehendakkan Ku Li jadi PM boleh diterima pakai, dan Najib bersedia pula untuk digantikan. Apakah itu yang kita mahu??
Oleh yang demikian paluan gendang yang menjurus kepada desakan sebilangan Ahli Majlis Syura PAS yang mahukan Ku Li jadi PM bukanlah isu politik yang akan menguntungkan UMNO, sebaliknya ia akan tertendang ke gawang sendiri. Dr Haron Din tidak akan tergamak mengkhianati Hadi Awang, tidak tergamak untuk mengkhianati Nik Aziz semata-mata tidak bersetuju Anwar Ibrahim jadi PM.

 Biarlah mereka bertelagah sesama sendiri, kerana sebenarnya mereka juga tidak mempercayai PM kita untuk mengekalkan kuasanya. Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan Anwar, namun mereka lebih tidak bersetuju dengan Perdana Menteri yang ada, sebab itu mereka nakkan Ku Li menjadi PM. Apa pun Ku Li adalah insan yang bertanggungjawab membawa Anwar ke dalam UMNO sebelum dibawa berjumpa Dr Mahathir.

Friday, February 15, 2013

FENOMENA GANGNAM STYLE & BN STYLE UNTUK SAPU BERSIH PULAU PINANG?

Oleh Abdul Rahman Hashim

PSY nama sebenarnya PARK JAE-SANG
FENOMENA PSY GANGNAM STYLE UNTUK BN PULAU PINANG
Saya pun hairan macam mana lagu 'Oppa Gangnam Style' nyanyian PSY atau nama asalnya 'Park Jae-Sang' dari Korea Selatan ini tiba-tiba menjadi suatu fenomena dalam dunia entertainment dewasa ini. Kalau dahulu nama peninju sensasi dunia Muhamad Ali juga merupakan fenomena dalam sukan 'boxing', kini PSY@Gangnam Style adalah suatu jenama yang menjadi kegilaan bukan sahaja kepada giolongan muda, malah cendekiawan politik negara kita juga turut terpalit untuk merakyatkan 'Gangnam Style' kot-kot boleh memukau rakyat akar umbi supaya boleh menyokong BN khususnya di Pulau Pinang menjelang PRU13.
Peninju dunia Muhamad Ali pernah dibawa ke Kuala Lumpur oleh Pemuda UMNO pada 1 Julai 1975 untuk mengadakan perlawanan tinjunya dengan Joe Bugner. Hari ini pula Pemuda Gerakan Pulau Pinang yang disokong oleh kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan telah sanggup membawa Park Jae-Sang @ PSY untuk membuat persembahan hanya lebih kurang 4 minit sahaja sempena sambutan Tahun Baru Cina di Padang Kolej Han Chiang di Pulau Pinang pada 11 Februari lepas.
Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak, isteri dan anak-anaknya juga turut menyaksikan 'Gangnam Style' bersama-sama 80,000 ribu rakyat Pulau Pinang, namun saya agak kecewa dan terasa malu apabila rakyat Pulau Pinang yang hadir pada hari tersebut tidak menghormati Najib dengan berkata 'NO' apabila Najib bertanya 'Are u Ready For BN' sebanyak tiga kali.
Jawapan YES untuk PSY menggambarkan mereka yang hadir hanya untuk berhibur dengan penyanyi fenomena Oppa Gangnam Style itu, tetapi sorakan NO telah dijawab di hadapan Perdana Menteri sebagai penolakan spontan mereka kepada BN. 
Parti Gerakan atau pun MCA seharusnya membuat raptai terlebih awal dengan menampilkan kumpulan soraknya (Cheers Group) yang di tempatkan di hadapan pentas utama, supaya suara YES kepada BN lebih bergema daripada suara NO yang menolak BN.
Najib pun satu hal, sepatutnya apabila kedengaran suara NO for BN...janganlah diulang soalan yang sama  sampai tiga kali. Kalau soalan pertama 'Are u Ready For BN' dijawab NO, sepatutnya ajukanlah soalan lain ataupun mengajak rakyat supaya bersedia untuk menghadapi PRU13, kerana BN sentiasa yakin bahawa rakyat akan menentukan pilihan kerajaan yang terbaik untuk masa depan 1 Malaysia. 
PSY pun sepatutnya menghargailah jemputan BN Pulau Pinang dan beri muka lah sikit pada PM. Kenapa susah sangat nak naik ke pentas bersama-sama Perdana Menteri Malaysia untuk menggaul mee Yee Sang yang telah sedia terhidang? Oh, mungkin PSY merasakan bayaran pakej bayaran RM2.3 juta itu hanya untuk menyanyi satu lagu@4 minit, dan ia tidak termasuk menggaul mee bersama Perdana Menteri. Mungkin kalau dia akan menggaul mee bersama Perdana Menteri, maka ada caj tambahan RM1 juta kot?
Pemuda Gerakan Pulau Pinang sepatutnya dari awal memberitahu PSY bahawa bayaran RM2.3 juta itu bukan sahaja menyanyi satu lagu 'Oppa Gangnam Style' tetapi ia juga termasuk 'Menggaul Mee Yee Sang' bersama Dato' Sri Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor serta VIP's yang lainnya.
PM NAJIB TERNANTI-NANTI PSY UNTUK GAUL MEE BERSAMANYA
Pada saya keengganannya untuk menggaul mee Yee Sang itu merupakan aksi 'kebiadapannya' bukan sahaja kepada Perdana Menteri Malaysia, bahkan ia menggambarkan ketidak siumannya terhadap perayaan Tahun Baru Cina yang sedang diraikan oleh BN Pulau Pinang. Tolong jangan jemput lagi 'GANGNAM STYLE' ini! Kalau boleh gamkan sahaja lagu ini daripada siaran radio milik kerajaan BN, kerana terbukti ia memalukan BN di negeri Pulau Muitara itu.
Saya percaya jika perlakuan yang sama berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang menganjurkan majlis ini di hadapan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, pasti ia dipolemikkan bahkan akan menjadi sorakan pula oleh puak-puak UMNO/BN. Bukan itu sahaja, mungkin Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan yang sekutu dengannya akan tidak henti-henti siang dan malam hingga ke dini hari mensensasikan tindakan PSY yang telah menghina kerajaan Pakatan Rakyat. PSY tentunya akan diheret dalam kancah perbalahan politik. Sekarang ini pun PSY dilihat telah diheret oleh Barisan Nasional, namun insiden PSY di Pulau Pinang ini telah disensasikan oleh TV Singapura untuk edise seluruh dunia yag  memalukan Perdana Menteri.
Alasan kononnya PSY diancam untuk dibunuh jika menggaul mee bersama Najib di atas pentas adalah satu andaian yang tidak bijak. Persoalannya benarkah negara kita tidak selamat untuknya. Kalau ia benar tidak selamat, mengapa menggaul mee sahaja tak selamat, bagaimana pula dengan persembahannya di pentas yang sama? Nampak sangat ia merupakan alasan cover line seolah-olah orang yang hendak mengancam keselamatannya tidak jadi berbuat sedemikian setelah terhibur dengan persembahan GANGNAM STYLE.
Apa pun tahniah kepada pihak polis kerana berjaya mengawal keselamatan PSY daripada terus menerima ancaman tersebut. PSY tak diapa-apakan malah beliau boleh berbangga kerana Malaysia adalah negara yang paling selamat. PSY dikhabarkan telah balik ke negaranya Korea Selatan pada malam itu juga (Kira-kira jam 2:00 pagi) telah berada di Lapangan Terbang Pulau Pinang dengan kawalan ketat tanpa diketahui oleh orang awam. Saya tak menjangkakan PSY telah meminta maaf kepada BN atau kepada PM di atas ketidaksiumannya itu.
Demikianlah satira politik PSY@GANGNAM STYLE untuk BN STYLE di Malaysia dalam pasca PRU13. Semoga BN dapat membuat pukulan TKO bersama Gangnam Style kepada DAP yang sedang memerintah Pulau Pinang? Bukan sahaja Pulau Pinang, malah TV3 setiap malam telah mensyahdukan bahawa BN kononnya boleh menyapu bersih termasuk Kelantan? 
Daripada Gangnam Style lebih baik saya tonton filem Lagenda P. Ramlee '6 Jahanam' yang berjaya mengesan dan menamatkan riwayat musuhnya.

Saturday, February 9, 2013

SETIAWANGSA, ANTARA LESU DAN SELESA UNTUK MENANG PRU13

Oleh Abdul Rahman Hashim 

DATO' AHMAD FAUZI ZAHARI
BAKAL CALON SETIAWANGSA PRU13
DATO' SRI ZULHASNAN RAFIQUE
TIGA PENGGAL MENJADI AHLI PARLIMEN

Benarkah Dato’ Sri Zulhasnan Rafique tidak akan dicalon semula mewakili BN dalam PRU13 nanti? Zulhasnan yang mula ditonjolkan sebagai calon winnable dalam PRU10 pada tahun 1999 menggantikan Datuk Dr Kamal Salih (kini Tan Sri) telah mewakili Parlimen Wangsa Maju selama sepenggal; sebelum dipindahkan ke kawasan parlimen yang baru iaitu Parlimen Setiawangsa selama dua penggal, pada PRU11 tahun 2004 dan PRU12 tahun 2008.
Nama Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa kini merupakan 'calon menanti' sekiranya Ahli Parlimen yang sedia ada Dato' Sri Zulhasnan Rafique tidak dicalonkan semula. Legasi Zulhasnan yang menang hatrik selama tiga penggal selama ini bakal diteruskan oleh Fauzi Zahari setelah nama beliau dikatakan telah mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam PRU13.
Tanpa memperkecilkan kehebatan calon-calon lain seperti Datuk Seri Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Puan Hairunnisha Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Azmi Badarudin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Seriwani Sabtu, Ketua Puteri UMNO Bahagian; rasanya UMNO Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Zulhasnan Rafique tidak mempunyai banyak masalah untuk memberikan laluan meniti kemenangan kepada Fauzi Zahari kali ini.
Sekiranya perkhabaran ini benar, Fauzi Zahari yang pernah mengetuai Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan kini menjawat jawatan Setiausaha Kerja BN Wilayah Persekutuan akan berentap dengan Ibrahim Yaacob yang disebut-sebut bakal dicalonkan semula oleh PKR di Setiawangsa.Ibrahim Yaakob yang juga Ketua Staf pejabat Anwar Ibrahim dikatakan tidak disenangi oleh sebahagian daripada penyokong Pakatan Rakyat, terutamanya PAS di Setiawangsa. 
IBRAHIM YAACOB, CALON PKR
Walaupun nama Datuk Astaman Abdul Aziz dan Datuk Izudin Ishak juga dikaitkan sebagai calon-calon pilihan, namun penampilan Fauzi Zahari kini hanya menanti masa untuk menerima watikah daripada Pengerusi BN, Dato' Sri Najib Tun Razak untuk dinobatkan sebagai calon yang terbaik untuk Setiawangsa kali ini.
Menjelang PRU13 yang pasti diadakan dalam bulan Mac 2013 ini, rasanya kesinambungan mengekalkan kerusi BN di Parlimen Setiawangsa bukanlah suatu jangkaan yang mudah diperkatakan, kerana ia banyak bergantung kepada persediaan jentera pilihan raya di setiap 17 PDM dan 5 lagi Bilik Gerakan dalam P.118 Setiawangsa, terutama yang membabitkan keyakinan rakyat akar umbi terhadap Barisan Nasional. 
Lambakan isu-isu nasional begitu ketara sekali menghimpit parti-parti yang bertanding menjelang pilihan raya di kawasan-kawasan bandar seperti di Setiawangsa, berbanding dengan kawasan-kawasan pedalaman di luar bandar seperti di Pendang, Kedah, di Permatang Pauh, Pulau Pinang mahupun di Pekan, Pahang.
Isu-isu seperti kes moral peribadi Anwar Ibrahim di pihak Pakatan Rakyat dan begitu juga dengan kes moral yang membabitkan Rosmah Mansor yang dilihat bagaikan liabliti kepada UMNO/BN begitu terkesan di kalangan warga metropolitan kerana sumber maklumat dan pancaran lasernya begitu pantas menghangatkan cuaca politik semasa tanahair. Segala himpunan mega rakyat samada di pihak Pakatan Rakyat mahupun di pihak UMNO/BN semuanya mudah terlekat di hati rakyat kerana semuanya tertumpu di Kuala Lumpur.
Memanipulasikan maklumat dengan tujuan untuk mengaburi pengundi akar umbi di kampung-kampung pedalaman luar bandar dengan menggunakan propaganda media arus perdana bagaikan tidak lutsinar kepada warga kota di Kuala Lumpur. 
Sebab itu apabila Utusan Malaysia mahupun TV3 dan yang seangkatan dengannya melaporkan Himpunan Kebanglkitan Rakyat anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Merdeka kononnya hanya berjumlah 30,000 orang, sedangkan ia lebih berganda daripada itu; begitu juga apabila Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak yang hanya disambut dalam lingkungan 5,000 orang sekembalinya dari Davos dan juga Palestin, tetapi media arus perdana melaporkannya secara berganda melebihi 10,000 orang; maka warga kota menjadi keliru kerana media alternatif seperti laman-laman blog dan juga laman sosial facebook begitu pantas memaparkan imej yang berbeza seperti yang dilaporkan.
Justeru itu, Parlimen Setiawangsa tidak dapat mengelakkan diri daripada tempias sedemikian. Setiawangsa walaupun dianggap kawasan selamat kepada UMNO/BN malah Setiawangsa juga dikategorikan sebagai ‘zon putih’ berbanding dengan beberapa kawasan parlimen lain di Wilayah Persekutuan ada yang kelabu malah ada juga yang hitam.
Mungkin juga Setiawangsa selama ini dianggap putih dan mudah menang kerana kawasan pilihan raya ini memiliki ‘fix deposit’ pengundi-pengundi pos dari Angkatan Tentera@ATM dan juga Polis@PDRM yang berlebihan jika dibandingkan dengan kawasan pilihan raya yang lainnya. Dianggarkan lebih 14,000 pengundi pos terdapat di dalam P.118 Setiawangsa pada PRU12 2008. 
Sebab itu apabila Zulhasnan Rafique mengalami kekalahan dalam pengiraan jumlah undi mengikut daerah peti-peti undi dalam PRU12 tahun 2008 yang lepas, namun setelah dicampurkan dengan bilangan undi pos, jelas memperlihatkan kekurangan undi pada UMNO/BN itu dapat ditampung dengan kekuatan jumlah undi pos sehingga Zulhasnan daripada UMNO/BN menang dengan majoriti besar 8,134 undi.
Dalam PRU12, Dato’ Sri Zulhasnan Rafique daripada UMNO/BN memperolehi 25,489 undi, berbanding dengan Ibrahim Yaacop daripada PKR yang meraih undi 17,355 undi. Pengiraan awal di peringkat peti-peti undi pada masa itu, Zulhasnan mengalami kekurangan lebih kurang 1,800 undi berbanding dengan calon PKR. 
Jelas terbukti wujudnya undi protes yang tidak memihak kepada Zulhasnan walaupun beliau pada masa itu merupakan seorang Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan. Saya melihat kapasiti beliau sebagai seorang Menteri pada masa itu tidak patut beliau boleh kalah dengan undi rakyat seperti yang telah diperolehinya.
Banyak program rakyat yang dijalankan oleh beliau sebelum PRU12, namun usaha dan kerja kerasnya masih tidak berbaloi apabila majoriti rakyat yang mengundi tidak memihak kepadanya.Undi pos dianggap telah menyelamat jangka hayat BN di Setiawangsa. Apakah jumlah pengundi di kalangan anggota Polis dan juga Angkatan Tentera yang hanya berbaki sekitar 11,000 orang sekarang ini di Parlimen Setiawangsa memungkinkan BN boleh menang selesa kali ini?
Jika ditanya di kalangan orang-orang kuat UMNO di Setiawangsa, memperlihatkan tahap keyakinan mereka untuk BN mengulangi kemenangan dalam PRU13 ini begitu tinggi. Namun diingatkan UMNO/BN tidak harus terpesona dengan unjuran yang dibuat, kerana pihak Pakatan Rakyat juga mempunyai keyakinan yang sama untuk menumpaskan BN kali ini. 
PKR begitu kerap mengadakan program-program mendekati rakyat sejak akhir-akhir ini, malah tahap keceriaan bendera-bendera mereka juga semakin menenggelamkan bendera dacing yang masih kurang kelihatan di lokasi-lokasi strategik. Walaupun saya percaya keadaan ini mungkin akan berubah selepas pembubaran parlimen nanti, namun saya mengharapkan mood untuk menang hendaklah disemarakkan secara berterusan oleh pihak UMNO/BN.
Hendaknya, komponen BN yang lain seperti MCA, MIC dan PPP di Setiawangsa janganlah mereka bersikap dingin untuk menghangatkan gerak kerja menawan hati rakyat yang mereka wakili. Jikalau MCA Parlimen Wangsa Maju dilihat tidak supportive bersama UMNO untuk menawan semula Wangsa Maju dari PKR, maka diharapkan MCA di Parlimen Setiwangsa tidak mengikuti perangai buruk rakan mereka di Wangsa Maju itu.
Pengundi Cina sekitar 35 peratus di kawasan Parlimen Setiawangsa harus digerakkan segera untuk mengekalkan momentum kemenangan BN dalam PRU13. Keraguan terhadap kecenderungan pengundi Cina yang masih tidak memihak kepada MCA bakal merebahkan keyakinan BN untuk mencipta kemenangan yang lebih besar berbanding PRU12 yang lalu.
Manakala kekuatan 56 peratus pengundi Melayu di Setiawangsa bukannya 100 peratus milik UMNO. Pengundi Melayu yang menyokong UMNO dengan pengundi Melayu yang pro PKR dan PAS akan menyaksikan betapa rumitnya untuk menyatukan hati-hati mereka supaya tidak menyokong Pakatan Rakyat. Pertambahan mendadak pengundi-pengundi di kalangan orang muda juga dilihat menjadi faktor untuk memungkinkan mana-mana parti boleh menang dalam pilihan raya kali ini. 
Justeru, saya berharap 'Setiawangsa' boleh mengekalkan momentum zon kemenangan kali ini, bukannya terus diulit mimpi yang lesu akibat terlalu selesa untuk menang. Di antara kelesuan yang dialami dengan keselesaan untuk menang di Setiawangsa, jangan sampai ditenggelami dek ombak yang berada di hadapan kita semua. Sindrom politik 'Bangau Oh Bangau' jangan sekali-kali diciplak oleh pencatur politkus UMNO untuk menghancurkan kekuatan yang telah dibina. 
Bakal-bakal calon seperti Dato' Ahmad Fauzi Zahari seharusnya memiliki ciri-ciri 'mesra rakyat' dan tidak terlalu mengharapkan kebergantungan dicatur oleh orang lain. Kekuatan syaksiah diri yang dimiliki hendaklah menjadi ikutan yang disenangi oleh rakyat akar umbi bukan untuk dibenci.

Sunday, February 3, 2013

PRU13, ANTARA BADUT POLITIK DAN CALON KITAR SEMULA

 Oleh Abdul Rahman Hashim
DR HASAN ALI, CALON BN DUN GOMBAK SETIA
DATUK NALLAKARUPAN, CALON BN PUCHONG
IBRAHIM ALI, CALON BN PASIR MAS
EZAM MOHD NOOR, CALON BN PJ SELATAN
Saya terpaksa tidak bersetuju jika ada sesiapa yang cuba melabelkan Ibrahim Ali, Hassan Ali, Ezam Mohd Nor, Zulkifli Nordin, Zahid Md Arip, Ruslan Kasim, Zaharin Hashim, Nallakarupan, Gobalakrishnan, Wee Chee Keong sebagai 'Badut-Badut Politik' untuk memPERKASAkan UMNO yang dahulunya pernah mereka perkasamkan. Antara PERKASA dan PERKASAM memang ada perbezaannya.
Bukankah mereka sanggup mengorbankan maruah politik mereka dengan mengkhianati perjuangan parti yang telah memenangkan sebahagian daripada mereka dalam pilihan raya umum yang lepas? Ibrahim Ali sanggup menghina dan mencerca PAS walaupun dia menang di Pasir Mas atas tiket PAS berlawan dengan UMNO/BN dan kini menjadi orang paling perkasa menyokong UMNO. 
Dr Hasan Ali, ADUN Gombak Setia juga sedemikian, sebelum ini begitu lantang mengkritik dasar perjuangan UMNO yang dianggap tidak islamik, tetapi hari ini setelah dipecat darpada PAS beliau beralih arah untuk bersekongkol dengan UMNO dan melupakan sahaja bahawa parti UMNO bukanlah serasi dengan perjuangan Islamnya.
Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang bertanding atas tiket PKR walaupun kemenangannya dalam PRU12 dahulu penuh dengan kontroversi akhirnya beliau diiktiraf juga sebagai pemenang menumpaskan calon UMNO. Hari ini sebagai Ahli Parlimen Bebas beliau dianggap sebagai orang kuat Najib yang mendapat berbagai layanan istimewa melebihi tokoh-tokoh UMNO yang lain. Sebelum ini Zul Nordin begitu alergik dengan perjuangan UMNO yang pernah dianggapnya sebagai tidak Islamik.
Begitu juga dengan Ezam Mohd Noor yang pernah menjadi tonggak perjuangan 'Reformasi' dalam PKR dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Anwar pada zaman kegemilangan Anwar di dalam UMNO, kini menjadi kesayangan UMNO untuk menibai Anwar. Beliau pernah mendakwa memiliki 6 peti tentang salah laku pemimpin-pemimpin kerajaan BN, namun hari ini beliau mungkin menyesal membuat dakwaan itu sebaliknya hari ini beliau menyatakan bahawa pemmpin-pemimpin UMNO hari ini lebih bersih daripada pemimpin-pemmpin Pakatan Rakyat.
ZAHID MD ARIP, CALON BN DI MELAKA
Zahid Md Arip cucu Tun Ghafar Baba pula hari ini dijulang sebagai Mursyidul Am TIBAI yang menyamai Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau di antara tokoh pemuda PKR yang jijik melihat perlakuan songsang pemimpin-pemimpin UMNO; namun hari ini beliau bagaikan menarik semula apa yang dilontarkannya itu demi untuk membelai hati Perdana Menteri Datuk Seri Najib. Zahid Md Arip merasakan perjuangan TIBAI yang mendedahkan keaiban Anwar Ibrahim bagaikan dituntut oleh Islam. Sebagai Mursyidul Am TIBAI, perbuatan menibai orang lain mungkin menjadi halal di sisinya.
Ruslan Kassim bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia yang pernah menjadi Ketua Penerangan PKR kini terpaksa pasrah bersama UMNO kembali. Beliau sering menghentam UMNO semasa dalam PKR, namun hari ini demi suvival dirinya beliau bukan sahaja bersukaria di dalam UMNO malah Ibrahim Ali juga adalah ikon perjuangan politiknya dengan memberikan tempat kepada Ruslan Kassim sebagai Ketua Penerangan PERKASA.
RUSLAN KASIM,
CALON BN KUALA PILAH
ZULKIFLI NORDIN,
CALON BN KULIM BANDAR.BARU
WEE CHEE KEONG
CALON BN WANGSA MAJU
M. Nallakarupan rakan baik Anwar Ibrahim hari ini bukan sahaja bergelar Datuk tetapi lebih dariipada itu, beliau juga diberi kepercayaan oleh boss barunya Najib sebagai seorang Ahli Dewan Negara@Senator. Begitu pantas pendakian politik Nallakarupan sehingga melangkahi tokoh-tokoh MIC lain yang banyak berjasa kepada BN. Nalla kini mengetuai sebuah sebuah parti India yang mesra BN dan rasanya beliau akan teus mendapat layanan istimewa oleh Najib selagi beliau sanggup menjadi pencacai mendedahkan tembelang Anwar Ibrahim.,
Wee Chee Keong Ahli Parlimen Wangsa Maju yang menang majoriti 150 undi dalam PRU12, kini meninggalkan PKR untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas. Beliau tak boleh menyertai UMNO, tetapi beliau juga tidak dikehendaki oleh MCA dan juga GERAKAN. Wee Chee Keong kini begitu akrab hubungannya dengan Najib dan beliau sanggup berdansa di pentas aidilfitri bersama-sama Najib dan Rosmah untuk melorongkan dirinya menjadi calon semula di Wangsa Maju. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang atas tiket DAP sebelum dsingkirkan oleh parti itu. Dalam PRU12, Wee Chee Keong bertanding atas tiket PKR menewaskan Yew Teong Look dari MCA di Wangsa Maju.
Datuk Seri Zaharin Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru juga sanggup berkorban meninggalkan PKR untuk menyokong UMNO. Hari ini beliau memperolehi 'specal treatment' daripada Najib di atas jasa-jasanya memburukkan Anwar dan PKR. Sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra BN, rasanya Zaharin Hashim akan diberikan pertimbangan untuk menjadi calon BN menentang PKR di Bayan Baru?
UMMI HAFILDA ALI LAWAN AZMIN ALI
CALON BN GOMBAK
PENGKHIANAT YANG BERJASA KEPADA UMNO?
RANGKAIAN DATUK T YANG BERJAYA MEMALUKAN ANWAR
Saya terdorong untuk membuat kupasan atas isu ini, kerana ada rasa kebimbangan di sudut hati saya bahawa pengorbanan mereka mengkhinati parti mereka sebelum ini tidak dapat diterima oleh sebahagian pemimpin UMNO terutama di kawasan parlimen masing-masing. Rasanya tidak adil jika wujud penolakan terhadap mereka ini, kerana UMNO harus membuat pengorbanan memberikan laluan kepada mereka yang berjasa ini untuk bertanding dalam PRU13 nantI. Usaha menampilkan Ummi Hafilda dan Ustadz Nasharudin Mat Isa sebagai calon mesra BN dalam PRU13 juga adalah yang terbijak jika ia mampu mencipta kejayaan menawan hati rakyat. Ummi Hafilda yang sanggup berpatah arang dengan abangnya Azmin Ali wajar diberikan peluang melawan adik beradik kandungnya sendiri di Parlimen Gombak.
Jika kemenangan yang diperlukan, rasanya Ibrahim Ali, Hassan Ali, Ezam Mohd Noor, Zaharin Hashim, Nallkarupan, Ruslan Kasim, Zahid Md Arip, Gobalakrishnan termasuk Datuk 'T' pengedar video lucah Anwar merupakan rangkaian badut politik UMNO/BN yang wajar dilonjakkan menjadi rangkaian calon 'Kitar Senula' untuk masa depan UMNO yang lebih cemerlang, gemilang dan terbiilang.
Saya bimbang jika kesetiaan mereka ini tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan parti, akan wujud pula sindrom TIBAI untuk menibai pemimpin-pemimpin UMNO selepas ini. Jika mereka boleh tibai Anwar, rasanya mungkin perbuatan yang sama akan berlaku kepada UMNO selepas ini apabila nama mereka tidak dihargai menjadi calon winnable UMNO/BN. Sudah tiba masanya UMNO tidak mensabotaj mereka.

Saturday, February 2, 2013

JANGAN SABOTAJ JIKA IBRAHIM ALI, ZUL NORDIN, HASAN ALI TANDING CALON BN

Mereka ini terlalu berjasa kepada UMNO. Jangan sabotaj mereka!
Oleh Abdul Rahman Hashim

Demam pilihan raya semakin menjadi topik hangat yang membahangkan. Orang politik di seluruh tanah air kini tidak bersabar lagi untuk menantikan detik pengumuman rasmi tarikh pembubaran Parlimen yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Ada kemungkinan besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen selepas perayaan Chap Goh Mei; angin bertiup kencang meramalkan bahawa Parlimen akan dibubar pada 22 Februari ini. Penamaan calon mungkin pada 21 Mac diikuti pula dengan hari pembuangan undi pada 30 Mac 2013. Cuti sekolah penggal pertama akan bermula pada 23 Mac -31 Mac. Tarikh-tarikh ini mungkin sesuai untuk diadakan pilihan raya umum kali ke-13.
Kerajaan yang sedia ada yang dipimpin oleh Barisan Nasional kini akan menyerahkan mandat kepada rakyat yang layak mengundi menjelang PRU13. Ada yang meramalkan BN tidak mampu bertahan lagi dengan ombak yang bakal membadai; tidak kurang juga yang meramalkan Pakatan Rakyat akan dapat ditumbangkan bukan sahaja di Kedah, Pulau Pinang, Selangor malah Najib juga telah didendangkan oleh pencacai bahawa Kelantan juga akan disapu bersih oleh UMNO/BN.
Keyakinan ini semakin membuak-buak kerana ada juga pencacai UMNO yang telah meyakinkan Najib/Muhyiddin bahawa Anwar Ibrahim juga bakal rebah di Permatang Pauh? Bukan itu sahaja orang UMNO yang memPERKASAkan Datuk Paduka Haji Ibrahim Ali juga meramalkan bahawa Najib telah merestui Ibrahim Ali bertanding atas tiket BN setelah dia berjaya mengkhianati PAS dalam PRU12 yang lalu.
Orang UMNO juga teruja kononnya Najib akan memberi laluan terhormat kepada mereka yang telah mengkhianati parti asal mereka dalam Pakatan Rakyat untuk dicalonkan atas tiket BN menentang Pakatan Rakyat.
Orang-orang yang setia dengan Najib sekarang ini seperti Zulkifli Nordin mantan PKR, Zaharin Hashim juga mantan PKR, Ezam Mohd Nor juga pernah menjadikan Anwar sebagai ikonnya, Datuk Dr Hasan Ali mantan pemimpin PAS termasuk Wee Chee Keong dari PKR yang menang di Wangsa Maju sebelum ini, malah ramai lagi yang berpaling telah menyokong UMNO/BN kini akan diberikan peranan yang maha penting untuk bertarung dengan calon-calon Pakatan Rakyat.
Mungkin juga Ustadz Nasharudin Mat Isa yang teringin sangat supaya dirinya dipecat daripada PAS agar kali ini dapat diberikan laluan bertanding atas tiket BN menentang samada Haji Hadi Awang ataupun berdepan dengan Nik Aziz. Pencacai UMNO mungkin boleh meramalkan Ustadz Nasha sahaja yang mampu menundukkan Tok Guru berkenaan. 
Namun begitu saya tidak bersetuju Nasharudin berentap dengan Hadi mahupun Nik Aziz, seelok-eloknya UMNO utamakan kehebatan ulamaknya seperti Jamil Khir yang sedang tercari-cari kawasan selamat untuknya, begitu juga tonjolkan kehebatan Ustadz Muda yang menjadi kebanggaan UMNO iaitu Ustadz Pathul Bari, ada kemungkinan mereka ini mampu membuat kejutan menewaskan pemimpin kanan PAS tersebut.
Dalam artikata lain, jika benar mood rakyat kali ini berpihak kepada UMNO/BN kenapa harus kita takut  untuk  untuk memberi peluang kepada mereka ini sebagai mengenang jasa dan budi mereka terhadap UMNO. Rasanya Perdana Menteri dan Timbalannya boleh meyakinkan tokoh-tokoh UMNO yang lain supaya berkorban untuk ketika ini demi untuk menyapu bersih semua kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS, PKR dan DAP.
UMNO Bahagian Gombak mungkin boleh memberi laluan kepada Hasan Ali supaya bertanding semula di DUN Gombak Setia atas tiket BN walaupun dia pernah berkata tetap yakin dengan perjuangan PAS. Begitu juga UMNO Bahagian Kulim Bandar Baru, elok juga berpakat baik-baik supaya dapat memberi laluan kepada Zulkifli Nordin sekali lagi untuk bertanding atas tiket BN kali ini.
Datuk Seri Zaharin Hashim pula dilihat layak untuk mewakili BN di kawasannya sekarang di Bayan Baru, Pulau Pinang. Berkat kesetiaan melampaunya kepada Najib sekarang ini mungkin dia mampu membuktikan kepada Najib bahawa hanya dia sahaja yang boleh menewaskan calon PKR di situ nanti.
Inilah dia transformasi politik yang perlu diuji oleh Najib untuk membuktikan bahawa mereka juga memiliki kriteria sebagai winnable candidate untuk BN. Berasaskan kepada kesahihan laporan yang dibuat oleh agensi-agens seperti Jasa, Kemas, MIO, SB dan responden yang lainnya seperti Utusan, TV3, Berita Harian malah jika kita berpuas hati dengan respon hanya dengan tiga buah universiti yang memuji Najib, maka apa lagi yang hendak ditunggu, percepatkan tarikh pembubaran Parlimen sebelum ada yang beralih arah. Bimbang juga ada yang masuk ingin akhirnya biskut menjadi lemau
Datuk Paduka Ibrahim Ali, Datuk Zulkifli Nordin, Datuk Dr Hassan Ali, Datuk Seri Zaharin Hashim, Wee Chee Keong, Ustadz Nasharudin Mat Isa, Dato' Ezam Mohd Noor, Datuk Nallakarupan, termasuk Mursyidul Am TIBAI, Zahid Md Arif dan yang sekutu dengannya, anda tak perlu khuatir kerana UMNO tidak akan mensabotaj jika anda diberikan peluang bertanding atas tiket BN dalam PRU13 nanti. Orang UMNO telah dilentur agar tidak mengkhianati partinya sendiri! Orang UMNO juga terhutang budi dengan anda semua kerana anda dikatakan telah berjaya menjadikan UMNO lebih mantap berbanding sebelum ini.
Walaupun saya tidak bersetuju anda mengkhianati parti yang telah memenangkan anda dalam PRU12 yang lalu, namun saya juga mungkin tidak bersetuju jika ada di kalangan ahli UMNO yang mungkin akan mensabotaj anda jika anda diberi peluang bertanding atas tiket BN dalam PRU13. Ikut sahajalah keputusan pucuk pimpinan jangan bantah jika UMNO/BN tidak mahu kecundang lagi.