assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, January 9, 2012

ANWAR BUKAN PELIWAT, HASAN ALI DIPECAT

Anwar menyampaikan ucapan di hadapan penyokong-penyokongnya
di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebaik sahaja beliau diputuskan
tidak bersalah oleh Hakim Dato' Mohd. Zabidin Mohd Diah.

Oleh Abdul Rahman Hashim

Anwar tidak bersalah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Anwar Ibrahim bukanlah seorang peliwat sebagaimana yang didakwa oleh pembancuh kopinya Saiful. Sebelum kesnya dibawa ke Mahkamah, doktor yang memeriksa duburnya juga menyatakan bahawa tidak terdapat petanda objek yang menerobos ekzosnya.

Saiful tidak mahu berputus asa untuk memberitahu komuniti alam ini bahawa ekzosnya benar-benar telah dirosakkan oleh Anwar. Dia mengadu kepada Najib (Masa itu Najib TPM), dia mengadu kepada Ketua Polis Negara (Musa Hassan) dan akhirnya dia merelakan kes eksoznya diputuskan sendiri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, Saiful juga berani bersumpah menjunjung Al-Quran di dalam masjid untuk membuktikan betapa eksoznya telah dibolosi oleh objek keras milik Anwar.

Anwar dicabar agar turut bersumpah, namun Anwar enggan berbuat demikian, sebaliknya Anwar meminta Mahkamah Syariah untuk mensabitkan Saiful melakukan QAZAF kerana membuat tuduhan zina tanpa membawa empat orang lelaki sebagai saksi terhadap dakwaannya itu. Permohonan QAZAF oleh Anwar telah ditolak oleh Mahkamah Syariah kerana mahukan kes itu diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi yang bakal dijalankan.

Sejak kes Saiful/Anwar berjalan lebih 3 tahun, Anwar telah dihadapkan dengan berbagai-bagai keaiban yang amat memalukan, sehingga budak-budak kecil pun ingin tahun apa maknanya MELIWAT? Kanak-kanak kecil juga ingin tahu apakah 'meliwat' itu bermakna 'melawat'? Hampir saban hari media utama negara menyiarkan kes meliwat Anwar/Saiful tanpa segan silu lagi, kerana di situ wujudnya agenda politik untuk memadamkan karier politik Anwar Ibrahim yang menjadi ancaman kepada kekuatan UMNO, kerana BN baru sahaja dinafikan majoriti 2/3 dalam PRU12 yang diadakan pada Mac 2008, malah BN telah kehilangan 5 negeri termasuk kalah 10 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.

Dalam kes liwat II Anwar ini, marathon perbicaraannya telah melampaui 3 tahun dan kes ini merupakan antara yang paling lama dalam sejarah penghakiman negara. Kes rasuah Dato' Harun Idris dan kes pembunuhan yang melibatkan Datuk Mokhtar Hashim pun tidak sepanjang kes Anwar. Anwar telah diberikan peluang untuk membela dirinya, malah bukannya sedikit Anwar ditempelak kerana dikatakan sengaja melengah-lengahkan kesnya dengan 60 kali penundaan sebagai suatu siri penangguhan perbicaraan yang terpanjang.

Hendak menuduh dan mendakwa seseorang itu meliwat atau berzina terutamanya terhadap Anwar bukannya semudah kes rogol atau kes yang seumpamanya yang melibatkan orang awam yang lain, tetapi kes yang diketengahkan ini melibatkan seorang tokoh politik yang berprofil tinggi, malah Anwar dianggap seorang yang amat berpengaruh bukan sahaja di dalam negaranya bahkan kes ini juga diikuti oleh seantero dunia. Banyak kesan-kesan sampingan yang mungkin tercuit jika perbicaraannya tidak mencerminkan keadilan mengikut sistem perundangan negara ini.

Kes ini juga membuatkan ramai pemimpin-pemimpin atasan UMNO malah terheret juga Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan para menteri yang lainnya untuk membuat libasan kononnya Anwar benar-benar 'kaki belakang'. Anwar menghadapi serangan bertalu-talu sehingga ke dinding sebagai 'kaki belakang' walaupun Mahkamah Tinggi belum lagi membuat keputusan samada Anwar bersalah ataupun tidak bersalah.

Dato' Sri Najib, Presiden UMNO juga memilih tema ucapannya menyerang pemimpin Pakatan Rakyat itu dengan pelbagai hujah sehingga mendorong perwakilan yang lain berucap untuk mencerca Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang tidak bermoral sehingga terlupa bahawa di dalam UMNO pun banyak yang melakukan kecurangan yang disembunyikan.

Walaupun kes liwat ini dikatakan bukannya membabitkan UMNO, tetapi UMNO telah mengheret dirinya untuk menumpang sekaki sehingga membabitkan Dato' Sri Najib yang berminat sekali untuk memperkatakannya. Serangan yang dibuat terlalu peribadi sehinggakan tergambar seolah-olah manusia yang paling jelik di dunia ini hanyalah Anwar Ibrahim, bukannya UMNO!

Mengapa ini terjadi? Ia terjadi sedemikian kerana manusia yang bernama Anwar Ibrahim dianggap sebagai musuh nombor wahid oleh UMNO dan Barisan Nasional. Ketua Pembangkang itu bukannya kucing kurap; bukan pula cicak mengkarung, tetapi Anwar Ibrahim boleh menjadi hantu yang membayangi keruntuhan kuasa politik UMNO jika ianya tidak cermat diuruskan. Di dalam ucapannya di hadapan penyokong-penyokong yang berhimpun di luar Mahkamah, Anwar dengan nada penuh keazamannya untuk menumbangkan kerajaan UMNO dan merampas Putrajaya menjelang PRU 13.

UMNO janganlah meremehkan isu ini, kerana ia mampu mengalihkan sokongan rakyat sebagaimana yang telah berlaku dalam PRU12 yang lalu. Walaupun sokongan orang Melayu dilihat telah cenderung semula kepada UMNO/BN, tetapi bukannya semua! Sokongan orang Melayu masih terbelah dua di antara menyokonng UMNO/BN dan juga yang menyokong PAS dan PKR.

Kecondongan sokongan pengundi Cina kepada BN tidak sekuat PRU 2004 dan sebelumnya. Sejak PRU 2008 hingga ke saat ini pengundi Cina tidak lagi menjadi paksi kekuatan BN. Pengundi Cina merasakan di saat inilah mereka akan menunjukkan kuasa penentu untuk menolak dominasi UMNO/BN di dalam PRU13 yang bakal tiba.

Fix deposit (Deposit Tetap) BN di Sabah dan juga di Sarawak semakin tidak menentu. Di Sarawak sahaja kelihatannya 10 kerusi yang dikuasai oleh pengundi Cina bakal terbang berpindah hinggap pada dahan DAP dan juga PKR. Kemelut politik yang masih meruncing di dalam Parti SUPP dan juga SPDP jika tidak menemui noktahnya, pasti ia menjadi penyebab samada BN masih hilang majoriti 2/3 atau pun mungkin hilang kuasa.

Pastinya keputusan terlepasnya Anwar Ibrahim daripada dipenjarakan akibat tuduhan liwatnya itu, akan memberi kesan kepada kekuatan UMNO/BN yang sedang berkira-kira untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 menjelang Mac 2012 ini. Mungkin juga UMNO/BN berpendapat, dengan keputusan membebaskan Anwar dari dipasungkan di penjara Sungai Buloh akan memberi manfaat kepada UMNO, kerana UMNO tetap yakin bahawa orang Melayu sudah mual dan benci tegar kepada Anwar Ibrahim yang telah dilabelkan selama ini sebagai peliwat.

Dr. Hasan Ali (Foto kiri) juga begitu terburu-buru sehingga tidak sempat menunggu sehari lagi akan keputusan Mahkamah Tinggi KL terhadap kes Liwat Anwar, dengan mensabitkan pemecatannya di dalam PAS kerana faktor Anwar Ibrahim. Dia tidak menyangka Anwar Ibrahim yang dianggapnya pemmpin tidak bermoral telah dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur keesokan harinya.

Hasan Ali yang terlalu mengagungkan skrol ijazah dan master yang dimilikinya sebagai alasan untuk beliau merendahkan orang lain. Beliau merasakan dirinya sahaja yang selayaknya dipercayai bukan Anwar, bukan Mat Sabu, bukan Mahfuz, bukan Azmin malah dia semakin meninggikan egonya bahawa dirinya sahaja yang betul belaka.

Dr. Hasan Ali kini sinonim dengan Ibrahim Ali (lihat foto) yang juga menikam
Parti PAS setelah menang pilihan raya atas tiket parti itu.
Ibrahim Ali pernah dipecat dari UMNO dan beliau bergegas ke Munich,
German menemui Anwar Ibrahim yang sedang menjalani rawatan di sana.

Hasan Ali semakin terlupa bahawa semakin banyak dia berkata-kata semakin terserlah belang dirinya. Kelibat Hasan Ali telah lama dikesan oleh partinya sebagai anggota jemaah yang sudah 'mufarakah' kerana ruku' dan sujudnya tidak lagi mengikut rentak jemaah yang lain. Hasan Ali merelakan dirinya menjadi populis menghina parti idaman kalbunya sehingga sanggup berteduh di bawah bayangan Nik Aziz dan Hadi Awang untuk menyerang orang lain.

Namun begitu kedua-dua ulamak yang disanjungnya itu tetap berpegang teguh dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Agung Parti untuk memecatnya. Oleh hal yang demikian eloklah Hasan Ali segera memohon menjadi Ahli UMNO yang mungkin menyamai dengan aspirasi perjuangannya untuk menjadikan Islam sebagai undang-undang dalam negara ini, mengukuhkan lagi ketuanan Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diungkapkan.

Rasanya perjuangan itu juga menyamai dengan perjuangan yang dilaungkan oleh Ibrahim Ali yang kini menjadi sahabat seperjuangannya. Tidak banyak perbezaan di antara kedua-duanya, Ibrahim Ali sebelum ini menang bertanding atas tiket PAS dan kemudiannya menikam parti yang memenangkannya. Begitu juga Hasan Ali yang menang atas tiket PAS, tetapi bertindak menjadi populis untuk mencerca keputusan partinya sendiri akibat tindak tanduk jahatnya sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib berkata isu pemecatan Hasan Ali adalah masalah dalaman parti PAS, bukannya masalah UMNO! Namun begitu isu Hasan Ali ini pastinya menjadi batu loncatan kepada UMNO kerana tindakan Hasan Ali selama ini lebih banyak menguntungkan UMNO. Apakah Hasan Ali masih tidak sedar untuk mempertahankan dirinya dengan menuding jari ke arah orang lain. PAS bukan lagi menjadi wadah perjuangannya, kerana parti itu telah memecat keahliannya.

Hasan Ali memang sinonim dengan Ibrahim Ali! Molek juga dia bergandingan memimpin PERKASA yang hanya menyebuk untuk PERKASAkan UMNO, dan bukan sebenar untuk memperkasakan MELAYU.


Thursday, December 29, 2011

JIKA ANWAR TIDAK DIPENJARAKAN UMNO AKAN HABIS - KU LI

Khabarnya, muafakat politik Anwar & Ku Li semakin intim?
Kedua-duanya bercita-cita besar menjadi PM...

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang semenjak 1974 yang juga Ketua UMNO Bahagian itu menjangkakan Anwar Ibrahim akan dipenjarakan, kerana menurutnya jika Anwar tidak dipenjarakan UMNO akan habis dalam PRU13 yang akan datang.

"Sekarang Anwar sedang menjadi dilema kepada Najib. Ini mengikut lojik yang kita lihat.Saya yakin Anwar akan masuk penjara. Kalau Anwar bebas UMNO akan habis. Tidak dapat tidak Anwar akan dipenjara", demikian komen Ku Li.

Tengku Razaleigh Hamzah juga meramalkan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang UMNO akan menerima kekalahan lagi. Menurutnya pengundi bukan Melayu didapati semakin menjauhkan diri dari Barisan Nasional.

Beliau juga berkata ada kemungkinan Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tidak memiliki majoriti yang meyakinkan. Bila terjadi sedemikian, katanya negara kita mungkin menghadapi krisis.

Menurut Ku Li, hampir 90% peratus pengundi China bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Ada pengundi India yang telah kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi majoriti masih bersama Pakatan Rakyat. Pengundi Melayu pula kini terbahagi kepada dua.


Ku Li, yang juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, menganggap pentabiran di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ini amat lemah dan tidak memahami krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang.


Mengikut Ku Li pentabiran sekarang ini selalu berdolak-dalik atau flip flop apabila mengemukakan sesuatu dasar. Dasar sorong tarik ini terjadi kerana ianya tidak difikirkan secara masak terlebih dahulu.


Ku Li, seorang bekas penuntut Malay College Kuala Kangsar (MCKK), berkata demikian dalam satu majlis makan tengah hari bersama beberapa orang murid tua MCKK minggu lalu.


Mengenai isu hak royalti minyak, Ku Li dengan tegas menyatakan bahawa perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri jelas disebutkan sebagai hak royalti dan tidak ada fasal yang menyebut wang ehsan.


Malah Ku Li amat berbangga kerana beliau sebagai Pengerusi Petronas 1974 telah bertanggung jawab membuat butiran perjanjian minyak ini atas arahan Tun Abdul Razak.


"Walaupun perjanjian ini dalam bahasa hukum-hakam tetapi amat jelas Petronas wajib memberi 5% kepada negeri dimana minyak ditemui."

Mengulas mengenai Tun Dr. Mahathir beliau berkata bahawa Mahathir ini bukanlah cerdik sangat. Dia selalu menjalankan dasar 'ad hoc'. Selalu mencuri idea dan pandangan orang lain dan mengakui sebagai haknya.

"Dia curi lah!. Saya selalu melihat dia 'playing to the gallery'," kata Ku Li, menerangkan pandangan dan pengalaman beliau selama 5 tahun bersama Mahathir Mohamad sebagai menteri.

Ku Li juga merumuskan bahawa pentabiran pimpinan Najib Razak kebelakangan ini bukan sahaja lemah malah dalam keadaan yang huru hara. Mengikut pandangan Ku Li, Najib Razak sebagai Presiden UMNO terlepas peluang yang amat besar di Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlangsung. Ketika mata dan telinga seluruh negara berpusat memandang ke PWTC, Najib tidak melakukan apa-apa terhadap Shahrizat.

"Shahrizat sepatutnya dibuang. Termasuk beberapa orang menteri yang nama mereka telah busuk ditelinga orang ramai. Tetapi Najib senyap membisu," katanya.

Wednesday, December 28, 2011

MAMPUKAH PAKATAN RAKYAT RAMPAS SETIAWANGSA?

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Wilayah Persekutuan ketika merasmikan
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa


Oleh Abdul Rahman Hashim

Apabila terbaca akhbar Sinar hari ini (28 Disember 2011), saya rasa terpanggil untuk membuat ulasan mengenai kenyataan yang dibuat oleh Teresa Kok (DAP) dan Nurul Izzah (PKR) yang cuba meyakinkan diri mereka untuk menawan kerusi BN di Parlimen Setiawangsa menjelang PRU13. Kedua-dua tokoh Pakatan Rakyat ini optimis untuk mengekalkan semua kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk untuk menawan Setiawangsa yang dimenangi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique daripada BN.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan ini kerana mereka juga berhak untuk menzahirkan keyakinan untuk memenangi kerusi-kerusi berkenaan, namun saya agak musykil apabila mereka menyatakan keyakinan untuk menawan kerusi Parlimen Setiawangsa. Apakah terlalu mudah untuk menjatuhkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang telah mencipta hatrik menang tiga kali berturut-turut untuk dirinya sejak pilihan raya 1999, pilihan raya 2004 dan juga pilihan raya 2008.

Kemungkinan mereka telah mencongak bahawa populariti Zulhasnan Rafique kian menurun setelah dirinya tidak lagi menjawat jawatan Menteri dalam kabinet Dato' Sri Najib Tun Razak. Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu, Zulhasnan dikejutkan kerana menghadapi 'kekalahan di dalam menang' akibat kemerosotan undi popular di beberapa peti undi terutama di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan juga saluran golongan 'Y'.

BN di Parlimen Setiawangsa bernasib baik hanya mencipta kemenangan setelah sebilangan besar undi pos di situ telah memihak kepada Zulhasnan. Zulhasnan berjaya diselamatkan waalaupun rakan-rakan incumbentnya di Lembah Pantai, Titiwangsa, Batu, Bandar Tun Razak, Segambut dan Wangsa Maju tertewas secara mengejut. Manakala kerusi-kerusi tegar DAP seperti di Bukit Bintang, Seputih, Kepong dan Cheras terus didominasi oleh mereka. Pakatan Rakyat nampaknya masih belum mampu untuk menembusi Putrajaya dan juga Labuan.

BN hanya berpuas hati memenangi tiga kerusi parlimen daripada 13 kerusi yang dipertaruhkan di Wilayah Persekutuan. Jika Wilayah Persekutuan dianggap sebagai sebuah 'negeri' tentunya negeri ini adalah negeri keenam yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan juga Kelantan.

Teresa Kok tidak berani menyebut untuk menawan Putrajaya dan Labuan, mungkin mereka mencongak agak sukar Pakatan Rakyat untuk menang di sana. Persoalan yang timbul ialah kenapa mereka begitu yakin untuk menawan Setiawangsa? Apakah mereka yakin dengan pertambahan mendadak pengundi-pengundi baru yang mereka lakukan di Setiawangsa akan memungkinkan berpihak kepada mereka? Mungkinkah mereka beranggapan jika BN terus mengekalkan Zulhasnan lagi akan menjadi lebih mudah untuk mereka menawan Setiawangsa?

Sebenarnya bukanlah kerja mudah untuk Pakatan Rakyat menerobos Setiawangsa kerana Setiawangsa adalah 'winnable area' kepada BN. Seimbas lalu warga UMNO Setiawangsa dilihat masih konsisten berkehendakkan Zulhasnan Rafique, walaupun terdapat beberapa tokoh lain yang turut berminat untuk menjadi winnable candidate menyaingi kehebatan penyandangnya.

Dalam blogg ini, saya pernah menyebutkan tedapat tokoh-tokoh lain yang boleh disenarai pendekkan untuk menjadi winnable candidate di Setiawangsa sekiranya ada kecenderungan pucuk pimpinan untuk menggantikan Zulhasnan. Di antara calon-calon yang boleh di ketengahkan adalah seperti Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, begitu juga dengan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Kedua-dua tokoh ini mungkin di dalam senarai pendek di samping nama-nama lain yang tidak boleh diperkecilkan seperti Hairunnisha Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Azmi Badaruddin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa dan juga Seriwani Sabtu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa.

Kemunculan nama Datuk Astaman Abdul Aziz yang ditonjolkan oleh pihak tertentu di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa juga bakal merancakkan lagi teka teki tentang siapakah yang lebih baik untuk menjadi winnable candidate di Parlimen Setiawangsa. Namun saya berpendapat siapa juga yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon BN, UMNO Bahagian Setiawangsa yang diterajui oleh Zulhasnan Rafique tidak mempunyai masalah untuk kerahan tenaga memenangkan BN.

Saya sendiri begitu mengenali tokoh-tokoh yang dinyatakan itu. Mereka bukanlah pengkhianat parti, mereka juga bukan 'musang berbulu ayam' dan bukan juga 'telunjuk lurus kelingking berkait'. Saya tak nampak kelibat nama-nama itu yang boleh merisaukan parti, kerana mereka tidak terjebak dengan kerja politik kotor yang dibenci oleh sebahagian daripada orang umno di Setiawangsa, malah Dato' Sri Zulhasnan, Dato' Halim, Dato' Fauzi, Kak Ani, Azmi dan Seriwani termasuk juga dengan Astaman mereka bukanlah tokoh politik yang berkecenderungan untuk menjurangkan permusuhan sesama sendiri, cuma kadang-kadang mereka dimusuhi oleh pihak-pihak tertentu yang telunjuk lurus kelingking berkait yang hidup di dalam unggun api permusuhan dan juga persengketaan.

Pakatan Rakyat bukanlah begitu kuat di Setiawangsa. Parti DAP, PAS dan juga PKR tidak banyak menubuhkan cawangan-cawangan atau cabang-cabangnya di kawasan parlimen ini jika dibandingkan dengan 48 buah cawangan UMNO di Bahagian Setiawangsa. Harus diingat, bahawa sokongan yang mereka perolehi di dalam PRU lepas adalah undi protes daripada sejumlah pengundi akibat sentimen isu-isu nasional yang bertempias di seluruh negara.

Jika dilihat peratusan pengundi di Setiawangsa, jelas terlihat bahawa pengundi Melayu masih menguasai dari segi peratusannya. UMNO kena bekerja keras untuk memikat hati pengundi-pengundi Melayu ini supaya jangan berganjak lagi untuk terus menyokong BN. Gerak kerja yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO yang turut digerakkan oleh Puteri dan juga Pemuda UMNO di Setiawangsa janganlah diganggu lagi dengan karenah politikus tertentu yang sibuk dengan adu domba dan agenda membenci sesama sendiri sehingga menjadikan sebahagian daripada orang UMNO yang tidak disukai sebagai musuh serangannya.

Golongan parasit UMNO ini yang menggemari politik permusuhan sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri hendaklah dijauhi oleh pencinta UMNO Setiawangsa, kerana mereka ini menjadi lebih berbahaya daripada pembangkang. Perbuatan iri hati, hasad dengki, cantas mencantasi dan memandang rendah orang yang tidak disukainya akan mengakibatkan kekuatan UMNO menjadi lemah.

Jika kerakusan ini tidak dibanteras dan semakin membarah, sudah pasti UMNO akan berhadapan dengan masalah untuk membereskan kerjanya. Namun begitu saya tetap yakin bahawa gelagat si musang berbulu ayam ini bukanlah ramai sangat di Setiawangsa, jikalau ada pun saya tidak fikir semua orang-orang UMNO Setiawangsa bersetuju untuk bersekongkol menjadi musang yang berbulu ayam ini.

Kepada Teresa Kok dan juga Nurul Izzah disarankan agar mereka tidak dibuai mimpi dengan provokasi murahan untuk menawan kerusi Parlimen Setiawangsa. Nurul Izzah sendiri dijangka akan menerima saingan yang hebat daripada Dato' Raja Nong Chik yang mungkin menjadi calon BN menentangnya di Lembah Pantai dalam PRU13 nanti. UMNO Setiawangsa pula jangan memperlekehkan kenyataan yang dibuat oleh Teresa Kok dan Nurul Izzah itu, kerana di dalam politik kita sering tersasar dan tersilap jangkaan. Namun begitu saya tetap yakin walaupun wujudnya pemegang watak 'si musang berbulu ayam' dan mereka yang berkelakuan 'telunjuk lurus kelingking berkait' di dalam UMNO Setiawangsa, namun ianya bukanlah menjadi faktor yang kuat sehingga boleh melemah dan menumbangkan Barisan Nasional di Setiawangsa.

Berdasarkan kepada kesiapsiagaan jentera pilihan raya BN Setiawangsa yang telah dibentuk, saya yakin UMNO/BN di Bahagian ini tidak mempunyai banyak masalah untuk menggemblengkan kekuatannya menggempur pihak lawan. Itu pun jika tidak berlaku unsur-unsur penyisihan dan sabotaj pihak tertentu yang mahukan telunjuknya diikuti sehingga mengenepikan hasrat sebenar Dato' Sri Zulhasnan yang mahukan jentera ini merangkumi semua pihak.

Namun begitu saya lebih yakin, tidak semuanya akan terjebak dengan kerangka jahat yang dicipta oleh si musang berbulu ayam ini. Lagi pun golongan ini bukanlah mendominasi UMNO Bahagian Setiawangsa, kerana saya turut tak percaya apakah Dato' Sri Zulhasnan juga terperangkap dengan permainan kotor yang sedang berlaku.

Monday, December 19, 2011

MAHATHIR & ANWAR DITUDUH PEMBOHONG?

Mahathir & Anwar dituduh berbohong?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Anwar Ibrahim dituduh berbohong oleh orang UMNO apabila rancangannya untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2009 tidak berjaya menjadi kenyataan. Sekarang ini orang-orang PKR pula mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad berbohong (tidak bercakap benar) kerana mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu telah membuat pinjaman kepada Bank Dunia bagi menangani kemelut krisis kewangan 1997/1998, walaupun beliau dilihat amat membenci IMF.

Kedua-dua tokoh ini pernah menjadi Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri, malah kedua-duanya juga pernah menjadi Menteri Kewangan. Kini kedua-dua mantan pemimpin UMNO itu telah dicap sebagai pembohong oleh musuh-musuh politik mereka.

Semasa Anwar di dalam kerajaan tidak ada pun yang berani mendakwa beliau berbohong walaupun pembohongan politik tetap wujud dan lazim berlaku kepada orang-orang politik. Dr. Mahathir juga mungkin tidak terlepas daripada melakukan pembohongan politik, kerana mungkin pembohongan yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada strategi untuk berhadapan dengan musuh politiknya.

Apabila kita enggan mendedahkan sesuatu yang menjadi rahsia/sulit, maka kita mungkin terpaksa berbohong kerana ia adalah strategi yang tidak boleh didedahkan. Dalam hal ini, para wartawan sering berhadapan dengan pembohonganp-pembohongan politik yang menyebabkan mereka keliru samada kenyataan sang pemimpin itu boleh dipercayai.

Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri sering juga memberikan reaksi balas yang tidak tepat kepada wartawan apabila disoal tentang kerahsiaan strategi politiknya dalam menghadapi kemelut atau isu-isu politik yang melanda UMNO dan juga kerajaan. Kadangkala beliau terpaksa berbohong walaupun maklumat kerahsiaan itu telah dihidu oleh pihak media.

Contohnya beliau terpaksa berbohong tentang kerahsiaan tarikh untuk membubarkan parlimen, kadang-kadang terpaksa juga bercakap tidak benar tentang maklumat rombakan kabinetnya apabila ia diketahui oleh pihak media. Dr. Mahathir dilihat tidak suka maklumat strateginya diketahui oleh pihak lain, walaupun maklumat itu bukannya pembohongan.

Melanjutkan lagi tentang isu pembohongan ini, Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri sekarang ini juga tidak terlepas dari dakwaan oleh pihak tertentu sebagai 'pembohong'. Pada 16 September 2011, Najib mengumumkan akan menghapuskan akta ISA, namun beliau dituduh sebagai pembohong kerana terus melakukan tangkapan terhadap 10 orang di Sabah di bawah akta yang sama setelah beliau merasakan akta ISA masih diperlukan untuk keselamatan negara.
Mungkin beliau mempunyai alasan yang konkrit untuk berbuat demikian, namun musuh politiknya akan mencanangkan bahawa Najib adalah PM pembohong.

Mengandaikan bahawa Anwar adalah pembohong terbesar di dunia semata-mata tidak berjaya menunaikan hasratnya untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2009 lalu, itu juga adalah taktik beliau untuk membuatkan UMNO/BN terus menggelabah. Akibat provokasi politik yang dianggap sebagai satu pembohongan oleh orang-orang UMNO itu, mengapa pula pihak BN dilihat seakan-akan mempercyaianya? Jikalaulah itu sebagai pembohongan, rasanya tak payahlah pihak kerajaan BN pergi menghantar lebih daripada 30 orang ahli-ahli parlimennya ke Taiwan pada masa itu semata untuk mengelakkan sebahagian daripada mereka itu keluar parti meninggalkan BN.

Bukankah kita telah tertipu dengan dakwaan pembohongan kita terhadap Anwar? Mungkin Anwar tidak berbohong, cuma perancangannya sahaja tidak kesampaian dan berkecai. Dalam hal ini, kita telah bertindak lebih pantas kerana terhidu dengan dakwaan bahawa Anwar telah membohongi kita! Persoalannya, kenapa UMNO/BN harus tertipu dengan kelicikan politik Anwar, lantas kita telah melabelkan Anwar seorang pembohong? Lain kali sebelum kita menuding orang lain sebagai pembohong, kita juga harus pastikan bahawa semua orang UMNO bukanlah pembohong dan yang afdal ialah kita jangan memohongi rakyat.

Jika kita bertekad untuk mendahulukan rakyat, kita mesti bersama-sama dengan rakyat jelata bukannya sekadar retorik politik membohongi mereka. Apakah kita yakin bahawa orang UMNO berada dalam posisi yang tidak berbohong? Jika kita tidak mahu rakyat mendakwa kita sebagai pembohong, maka jangan sekali-kali kita berbohong dengan mereka. Dengan menuding bahawa Anwar sebagai pembohong, kita juga terkedu kerana mereka semakin berani mendakwa Tun Dr. Mahathir juga telah berbohong.


Sunday, December 11, 2011

HARAP-HARAP UTUSAN MALAYSIA BUKAN JADI LIABILITI UMNO?

Jika Anwar dilucahkan, bimbang Najib yang memikul beban?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Kenapa sejak dua menjak ini akhbar Utusan Malaysia begitu asyik maksyuk untuk memberikan publisiti kepada PAS yang pernah di sepak terajang sebelum ini? Agaknya Utusan, akhbar milik UMNO ini terlupa bahawa parti PAS adalah musuh UMNO yang pernah diserangnya sehingga menimbulkan kegelisahan pemimpin-pemimpin parti Islam itu, lalu mereka merasakan akhbar utusan benar-benar telah menjadi tali barut UMNO. Kadang-kadang serangan melampau utusan terhadap PAS menyebabkan ramai pembacanya beralih arah kerana meluat dengan gaya hantukan yang menyebabkan Melayu sesama sendiri berkecamuk?

Menyingkap seimbas lalu kronologi akhbar utusan menyerang PAS, bagaikan kita tidak mempercayainya sekarang ini utusan telah menukar kiblat menjadi agen publisiti kepada parti itu. Jika utusan mengharapkan perkahwinan antara PAS dan UMNO boleh menjadi kenyataan, biarlah utusan tidak hanya memberikan kredit mileage kepada Hasan Ali sahaja, sebaliknya utusan kena juga pastikan mereka tidak lagi menghina Mursyidul Am PAS, utusan juga kena tarik brek tidak lagi menerkam Mat Sabu yang pernah dimalukan oleh akhbar milik UMNO itu, mungkin juga Mat Sabu boleh bertukar fikiran menarik balik hasratnya untuk meneruskan samannya terhadap utusan.

Hasan Ali dikambing hitamkan?

Saya memang banyak kenalan di utusan itu, malah saya mengenali juga Dato' Zaini Hassan editor kanan utusan yang banyak mencetuskan kontroversi perkahwinan PAS & UMNO yang melibatkan Hasan Ali. Saya tidak hairan Zaini Hassan bersikap sedemikian, kerana utusan itu bukan dia punya...dia hanya menjadi pengarang yang disuruh begitu. Kalau tak disuruh begitu pun, dia kena jadi begitu, baru sesuai menjadi Pengarang akhbar Utusan Malaysia.

Kalau dia mengambil sikap berpihak kepada PAS, itu yang boleh dipoersoalkan. Tetapi sekarang ini Utusan Malaysia nampaknya lebih mesra PAS, kerana Zaini sedang berusaha untuk mempengaruhi Hasan Ali supaya PAS dapat dikahwinkan dengan UMNO! Mungkin Zaini tahu bahawa Hasan Ali tak boleh buat apa-apa, sebab Hasan Ali bukan lagi di dalam hirarki parti yang begitu berpengaruh untuk berbuat demikian.

Namun begitu utusan dilihat mempunyai agenda politik untuk meretakkan jalinan kepimpinan di dalam PAS dengan mengkambing hitamkan Dr. Hasan Ali. Saya tak terfikir utusan sanggup melonjakkan PAS sebagai pencetus kepada perpaduan Melayu, kerana UMNO telah diwajahkan oleh utusan sebagai mendahulukan Melayu berbanding PAS yang mendahulukan Islam. Oleh kerana itu tidak sewajarnya utusan bercakap soal perpaduan PAS dan UMNO, sedangkan sentimen menghina pemimpin PAS yang lain masih malar segar di dalam bentuk pemberitaan yang lainnya.

Macamana hendak mencantumkan PAS dan UMNO, jika utusan masih berwatak batu api sehingga Hasan Ali yang dipujanya kini menjadi mangsa kambing hitam, dan PAS kelihatannya tidak teruja dengan formula yang dibuat oleh utusan.

Saya tidak mahu mengheret emosi meluat dan meloya saya kepada pemberitaan utusan ini. Cuma saya merasakan utusan kini bukan lagi seperti perjuangan Utusan Melayu pada zaman-zaman Melayu dihimpit dengan kolonialisme atau imperialisme sebelum Melayu dimerdekakan. Utusan Malaysia pada hari ini menjelikkan malah kadang-kadang melucahkan kerana ia hanya menjadi utusan kepada Sang Batu Api sehingga Melayu PAS dan Melayu UMNO menjadi mangsa kepada bahang percikan api yang dicetuskan oleh Utusan. Menghina Anwar...memang tak boleh dinafikan sehingga utusan tanpa silu-silu lagi menjadi juara mengaibkan orang lain, walaupun Islam melarangnya.

Utusan dipornokan....utusan melucahkan

Gaya Utusan membela PAS?

Jika DAP terkeliru terhadap hukum hudud Islam, akhbar utusan tanpa berlengah lagi membesar-besarkan unggun api supaya menimbulkan kebencian masyarakat Islam terhadapnya, tetapi apablia MCA pula menghina hukum Islam, utusan mendiamkan diri tidak seperti kutukan dewatanya terhadap DAP. Walaupun MCA itu adalah rakan karib UMNO, tetapi tidak adil jika MCA dilayan lebih mulia daripada PAS yang lebih Islam daripada MCA. Nampaknya utusan telah memperlihatkan gayanya yang sebenar saling tak tumpah persis akhbar nyamuk yang lainnya. Kadang-kadang berdesing juga telinga saya apabila ada yang berkata akhbar utusan hanya menjadi barua....penabur fitnah!

Harap-harap Utusan Malaysia tidak menjadi beban kepada UMNO untuk mengembalikan semula majoriti 2/3 dalam PRU13 nanti.



Wednesday, December 7, 2011

HASAN ALI LEBIH LAYAK JADI MB SELANGOR DARI NOH OMAR?

Utusan lebih menonjolkan Hasan Ali dari Noh Omar

Oleh Abdul Rahman Hashim
Utusan kata Dr. Hasan Ali boleh menjadi penyelamat kepada orang Melayu yang sedang berpecah di Selangor. Kenapa Utusan tak iktiraf 'orang umno' yang patut menjuarai perpaduan Melayu ini...bukankah UMNO yang terjerit-jerit perjuangkan Melayu.
Hasan Ali itu orang PAS yang disyaki sebagai 'mata-mata' UMNO, akibatnya jawatan Pengerusi PAS selangor yang disandangnya selama ini pun sudah pun dilucutkan, silap-silap PRU13 nanti dia tidak akan dicalonkan semula oleh partinya sendiri. Apakah Utusan bersetuju supaya UMNO Selangor terima beliau sebagai winnable candidate BN jika PAS merasakan beliau bukan lagi layak menjadi orang PAS? Lepas itu suruh dia teruskan usaha menyatukan PAS/UMNO...boleh jadi ke? Utusan nampaknya tak yakin lagi dengan Dato' Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sehingga tergamak melonjakkan orang kuat PAS yang bakal direbahkan oleh partinya sendiri.
Dato' Dr Hasan Ali...Utusan sedang memusingkan kepalanya

Elok juga selepas ini Utusan mencadangkan kepada pucuk pimpinan UMNO supaya calonkan Dr. Hasan Ali sebagai Menteri Besar Selangor jika usaha Dr. Hasan Ali berjaya mengkahwinkan UMNO/PAS. Buat apa nak melantik orang UMNO, kerana Utusan lebih menonjolkan kehandalan Hasan Ali daripada Noh Omar.

Kaedahnya mudah sahaja, jika Hasan Ali dipecat atau digugurkan daripada menjadi calon PAS dalam PRU13 nanti, Utusan harus memberikan pembelaan terhadap Dr. Hasan Ali supaya dia menjadi winnable candidate BN di kawasannya di DUN Gombak Setia, dan nasihatkan UMNO Gombak supaya bermati-matian menangkan Hasan Ali, untuk mengalahkan calon PAS yang baru nanti.

UMNO Bahagian Gombak harus berkorban memberikan laluan kepada tokoh PAS ini yang dijulang oleh Utusan Melayu, dan lupakan sahaja hasrat untuk meletakkan winnable candidate dari UMNO Bahagian itu bagi membolehkan Dato' Dr. Hasan Ali diangkat menjadi Menteri Besar Selangor yang baru, itu pun jika Utusan merasakan Hasan Ali boleh melakukan kejutan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat.


PARTI KITA TETAP SOKONG PEMBANGKANG - ZAID

Datuk Zaid Ibrahim, Presiden KITA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Zaid Ibrahim yang mengetuai parti barunya iaitu Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air atau KITA sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa parti itu akan bersama-sama dengan parti pembangkang yang lainnya dalam menghadapi PRU13 nanti.

Datuk Zaid Ibrahim, Presiden Parti KITA dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa parti itu akan memberikan sokongan mutlak kepada pembangkang dalam apa juga cara untuk memastikan "kemenangan rakyat".

KITA mengambil pendirian itu setelah mengambil kira kenyataan daripada pemimpin UMNO terhadap parti pembangkang sejak kebelakangan ini yang didakwa memberi petanda buruk ke atas trend politik nasional, katanya.

"Untuk menunjukkan solidariti kita dengan pembangkang, dan penolakan kita terhadap idea fasis dan autoritarian, KITA ingin menyatakan semula bahawa kita akan terus menyokong pembangkang dengan harapan untuk perubahan sebenar,"
katanya.

Antara kenyataan yang paling keras menghentam pembangkang disuarakan daripada timbalan presiden UMNO sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Malaysia akan menjadi negara republik sekiranya pembangkang menang pilihan raya.

Zaid menyifatkan kenyataan Muhyiddin di perhimpunan agung UMNO minggu lalu itu sebagai "berbahaya dan tidak bertanggungjawab." Mengulas lanjut, Zaid berkata kenyataan itu juga dikesali dan amat membimbangkannya kerana ia hanya akan melebarkan lagi jurang di antara kelompok kaum.

"DAP telah dilabel sebagai parti rasis dan orang Melayu di dalam pembangkang disifatkan sebagai pak turut golongan Cina. Nampaknya pemimpin kita hari ini mahu menang pilihan raya umum dengan apa jua cara, dan mereka hanya mementingkan kedudukan dan kuasa sendiri berbanding kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya", katanya.

Zaid juga berkata, serangan ke atas DAP hanya akan merenggangkan masyarakat Cina tetapi tidak akan menyakiti golongan berkenaan yang mampu berdidikari. Sebaliknya, orang Melayulah yang akan derita kerana UMNO hanya hanya menawarkan retorik liar seperti itu, kata beliau lagi.

Berdasarkan maklumat dan kenyataan yang dibuat itu, Zaid Ibrahim yang pernah berada di dalam UMNO dan juga PKR kini semakin terdorong untuk memenangi semula hati-hati rakannya yang berada di dalam Pakatan Rakyat setelah beliau bertindak keluar dari PKR dan menubuhkan parti baru.

Pemerhati politik sebelum ini melihat tindakannya keluar dari PKR telah menjejaskan kekuatan parti itu apabila beberapa orang tokoh PKR yang lainnya juga mengambil tindakan keluar parti. Namun mereka yang keluar parti menjadi Ahli Parlimen BEBAS seperti Zaharin Hashim, Zulkifli Nordin dan Wee Chee Keong tidak menyertai mana-mana parti yang lain namun mereka kini berlagak persis 'Mesra BN'.

Rasanya dalam PRU13 nanti mereka yang Mesra BN, walau setinggi langit sekalipun puji-pujian mereka terhadap Najib dan kerajaan BN, tidak mungkin UMNO/BN akan memilih mereka sebagai winnable candidate untuk bertanding mewakili BN. Jika mereka mahu menyerai sirkit PRU13 nanti, kenalah bertanding atas tiket Bebas untuk menentang BN dan juga calon Pakatan Rakyat.

Kalau mereka mahu mengekalkan kedudukan sebagai ahli parlimen di situ, Zaharin dan Zul Nordin terpaksalah mereka berhempas pulas menyenaraikan semula kebejatan BN selain mencerca parti asal mereka, PKR.

Berbeza dengan Datuk Zaid Ibrahim, dalam PRU13 nanti beliau mungkin tidak bertanding atas tiket PKR, namun dengan kenyataan terbarunya ini apakah mungkin Pakatan Rakyat akan melorongkan diri beliau untuk bertanding di mana-mana kerusi yang winnable pembangkang memenanginya?

Zaid Ibrahim janganlah mengharapkan Najib akan memberi lampu hijau untuk beliau bertanding atas tiket BN semata-mata beliau telah bertindak mufarakah dengan PKR. Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang sebelum ini menang kerana beliau bertanding mengunakan lambang PAS di Pasir Mas, namun tak mungkin kali ini beliau boleh menang lagi di situ, kecuali Najib merasakan Presiden PERKASA itu wajar mengenepikan calon-calon UMNO di Pasir Mas untuk beliau bertanding mewakili BN menentang PAS. Siapalah yang mahukan Ibrahim Ali lagi, UMNO atau PAS?