
Oleh Abdul Rahman Hashim
Wasatiyah dan Asabiyah kedua-duanya merupakan istilah daripada perkataan bahasa Arab yang sering digunakan oleh orang-orang politik di dalam PAS dan juga UMNO. Bukan dua perkataan itu sahaja, malah banyak lagi istilah-istilah Arab yang diguna pakai untuk sinonimkan perjuangan parti masing-masing dengan perjuangan Islam, antaranya seperti ukhuwah Islamiah, dakwah, da'i, tarbiyah, madaniyah, hadhari, addin, wahdatul fikr, istiqomah, baldatun tayyibatun warabbul ghafur, ummatan wasatan, dan berbagai-bagai lagi.
Semasa Anwar di dalam UMNO banyak istilah-istilah Arab ini digunakan di dalam ceramah-ceramah beliau, kerana sebelum beliau berkancah di dalam UMNO beliau juga merupakan pemimpin ABIM yang ditarbiyahkan sebagai seorang pejuang Islam. Sejak itu perkataan-perkataan bombastik Islam ini telah mewarnai perjuangan UMNO persis sebuah parti Islam. Bukan bermakna sebelum kehadiran Anwar, orang-orang UMNO ini tuli terhadap Islam, cuma UMNO dilihat tidak islamik kerana pemimpin-pemimpin UMNO jarang mengguna pakai istilah-istilah Arab ini.


Anwar sering menggunakan perkataan wasatiyah sebelum ini, kini Najib menyerapkan semula untuk dijiwai di dalam UMNO.
Maka sebab itu, UMNO pada masa itu dilihat hanya sebuah parti yang memperjuangkan bangsa semata-mata tanpa roh Islam bahkan dianggap tidak berjiwa Islam, lantas begitu mudah dilabelkan sebagai parti yang memperjuangkan asabiyah yang dikaitkan sebagai pendekatan yang tidak islamik. UMNO yang membentuk hala tuju perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan agama selama ini telah dinafikan oleh PAS kerana PAS merasakan parti merekalah yang lebih Islam daripada UMNO.
Istilah Wasatiyah ini bukanlah perkara baru. Di kalangan tok-tok alim, guru-guru agama dan para ulamak juga sering menggunakan perkataan ini bagi menggambarkan Islam adalah agama yang toleran, tidak taksub (fanatik) sehingga menzalimi hak orang lain, atau dalam lain perkataan yang lebih mudah difahami iaitu bersederhana.
Apabila perjuangan UMNO pernah diAsabiyahkan oleh PAS, maka UMNO menafikannya kerana Asabiyah yang dilarang oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah perjuangan menegakkan sesuatu kaum atau bangsa itu secara menzalimi hak kaum lain. UMNO konsisten menyatakan bahawa perjuangan memartabatkan bangsa Melayu bukan bermakna hak kaum lain di negara ini dinafikan malah jauh sekali untuk dizalimi. Pemimpin UMNO meletakkan perjuangan politiknya adalah bersederhana, fleksibel dan saksama. Istilah Arab yang boleh diguna pakai ialah WASATIYAH. Sejauh mana konsep wasatiyah boleh diaplikasikan di dalam pembentukan dasar perjuangan, maka terserahlah di atas budi hikmah pemimpin-pemimpin UMNO untuk merakyatkannya.
UMNO sebagai sebuah parti yang diasaskan atas prinsip perjuangan kebangsaan lebih memberikan penekanan dalam aspek memartabatkan bangsa Melayu, dan hari ini skop kebangsaannya telah meluas dalam ruang lingkup tidak sekadar bangsa Melayu sahaja malah meliputi kaum-kaum bumiputera yang lainnya, termasuk Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau, Dusun, Kadazan, Bajau, Kayan dan berbagai lagi etnik rumpun Melayu tidak terkecuali meMelayukan orang India muslim dan juga orang Cina muslim.
Maka sebab itu di dalam UMNO keahliannya bukan sahaja dari kalangan orang Melayu sahaja, bahkan di dalamnya tergolong juga dari kalangan bumiputera yang disebutkan itu., walaupun ada sebahagian daripada mereka tidak beragama Islam. Orang Siam terutama di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand ramai juga yang menjadi ahli UMNO. Di dalam Perlembagaan UMNO tidak mensyaratkan keahliannya berbentuk anutan agama, asalkan Melayu atau Bumiputera maka seseorang itu boleh menjadi ahli UMNO.
Demikian murninya UMNO yang tertegak dengan perjuangan kebangsaannya yang pernah dipertikaikan oleh PAS sebagai perjuangan Asabiyah yang pernah dianggap oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS sebagai bertentangan dengan perjuangan Islam. Isu Asabiyah yang dipercikkan oleh Hj Hadi Awang ini pernah menjuruskan kepada pertelingkahan yang amat dahsyat dimana UMNO sekitar tahun 1981, 1982, 1983, 1984 dan 1985 telah disifatkan oleh 'Amanat Hadi Awang' sebagai kafir, zalim dan fasik.
Hadi Awang telah membuat hujahan bahawa UMNO menjadi kafir, zalim dan fasik kerana beliau menyifatkan parti UMNO tidak mahu melaksanakan hukum hakam Islam di negara ini sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Di serata ceruk, Haji Hadi Awang melemparkan tohmahan ini dengan menyandarkan dalil aqli (akal) dan juga dalil naqli (Al-Quran dan Al-Hadis) untuk menguatkan hujahnya betapa UMNO telah melanggar perintah Allah. Antara ayat-ayat Al-Quran yang dipaparkannya seperti di dalam Surah Al-Ahzab ayat 44, 45 & 46 yang memberi maksud:-
"Barang siapa tidak melaksanakan hukum-hukum Allah maka orang itu menjadi kafir...zalim...fasik"
AMANAT HAJI HADI

Amanat Haj Hadi ini tidak didendangkan lagi..
Amanat Haji Hadi Awang juga dianggap sebagai fatwa oleh ahli-ahli PAS merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu. Berikut ini sedutan daripada amanat Haji Hadi itu:-
Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah Jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Budha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi Kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.
Hari ini isu Asabiyah dan kafir mengkafir yang memecah belahkan umat Islam itu tidak berbangkit lagi, terbukti ia hanya berbaur politik. UMNO juga berhak membuat pendirian bahawa parti itu bukanlah Asabiyah yang taksub sehingga menzalimi bangsa-bangsa yang lain, malah UMNO begitu yakin bahawa ahli-ahlinya yang beragama Islam tidak mudah menjadi kafir sebagaimana tafsiran Haji Hadi Awang; sebaliknya UMNO bertegas untuk menyatakan bahawa partinya turut memperjuangkan Islam.
Wasatiyah atau sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan oleh Islam kepada Umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita. Tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar Umat Islam pun turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah 185 yang berbunyi :
“Allah menghendaki untuk kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesukaran…“
Begitu juga dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w dari Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Permudahkanlah, janganlah memberat-beratkan, tenangkanlah janganlah meliarkan ….. “
sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan oleh Islam kepada Umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita. Tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar Umat Islam pun turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah 185 yang berbunyi :
“Allah menghendaki untuk kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesukaran…“
Begitu juga dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w dari Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Permudahkanlah, janganlah memberat-beratkan, tenangkanlah janganlah meliarkan ….. “
Oleh hal yang demikian apabila Dato' Sri Najib telah cenderung untuk menghala tujukan perjuangan UMNO dengan 'wasatiyah' maka ini bermakna Presiden UMNO mahukan parti ini supaya tidak terdorong untuk melakukan sesuatu yang melampaui batas sehingga memudaratkan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO.
Najib mahukan UMNO terus relevan dan melekat di hati rakyat untuk mendokong gagasan 1Malaysia yang mendasari kepimpinannya sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan. Sebagai manusia biasa, tentunya beliau menyedari bahawa dirinya memerlukan banyak suntikan idea-idea baru untuk mensesuaikan konsep wasatiyah agar benar-benar menepati dengan ajaran Islam.
UMNO sendiri haruslah lebih bersedia untuk melakukan transformasi politiknya sesuai dengan aliran semasa. Wasatiyah yang digapai haruslah berpaksikan kepada keazaman untuk merakyatkan UMNO yang menjadi tunjang kekuatan politik bangsa yang meneraju negara.