Oleh Abdul Rahman Hashim
Ambiga terus popular di sisi media arus perdana
Ambiga terus dikecam, malah PERKASA juga memperkasakannya dengan berbagai gelaran buruk menjadikannya, namun Ambiga kelihatan lebih bernasib baik kerana publisiti dan promosi yang diberikan oleh media arus perdana selama ini terutamanya TV1, TV2, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan tidak kurang juga oleh media maya yang lainya telah menjadikan Datuk S. Ambiga terus perkasa di persada politik tanah air mengatasi populariti Anwar Ibrahim.
Bukannya mudah pihak yang menentang kerajaan di negara ini untuk mendapat liputan meluas media seperti yang diperolehi oleh Ambiga kebelakangan ini. Presiden PERKASA, Dato' Ibrahim Ali yang lantang mencelakakan Datuk S. Ambiga pun tidak dapat mengatasi populariti Pengerusi BERSIH itu, walaupun Ibrahim Ali menyatakan sokongan kepada kerajaan dalam isu yang diketengahkan oleh BERSIH.
Walaupun begitu Ibrahim Ali lebih terkehadapan dari segi publisiti terutama di dalam akhbar Utusan Malaysia jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin UMNO seperti Zahid Hamidi, Shapie Apdal, Hishammuddin, jauh sekali dengan Nazri Aziz. Ibrahim Ali tak payah pakai baju UMNO kerana beliau bukan ahli UMNO pun; atau berbaju 1Malaysia seperti yang diperagakan oleh kebanyakan pemimpin UMNO, namun Ibrahim Ali tetap bergaya di muka hadapan Utusan Malaysia hanya kerana kelantangannya mencelakakan Ambiga yang cenderung berbaur racisme.
Oleh kerana ghairahnya gelagat media yang menyokong kerajaan untuk menggagalkan perhimpunan BERSIH bukan sahaja melonjakan nama Ambiga malah telah mengundang titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya perhimpunan tersebut tidak diadakan di jalanan, sebaliknya jika mahu juga diadakan Ambiga diberikan tawaran untuk mengadakannya di tempat tertutup seperti di stadium.
Kerajaan Selangor menawarkan Stadium Melawati di Shah Alamuntuk Perhimpunan Bersih 9 Julai ini?
Kemungkinan BERSIH buat permohonan berhimpun di Stadium Merdeka?Ambiga diperkenan menerima menghadap Baginda Yang di-Pertuan Agong petang semalam di Istana Negara walaupun banyak pihak yang pro kerajaan merasakan tidak wajar beliau diberikan layanan setinggi itu, kerana banyak sanggahan terhadapnya sehingga ada gesaan supaya kerakayatannya dilucutkan. Di celah-celah penghinaan yang dilemparkan kepadanya, Datuk S. Ambiga diterima pula menghadap ke Istana Negara sehari selepas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberikan nasihat kepada BERSIH.
Presiden PERKASA, Dato' Ibrahim Ali berdukacita dan marah yang amat sangat kerana menurutnya Ambiga yang memimpin pertubuhan haram tidak wajar diberikan layanan diraja seperti yang diperolehinya dpetang kelmarin. Ibrahim Ali secara sinis menyatakan dakwaannya bahawa Ambiga yang anti Melayu dan anti Islam sepatutnya tidak dilayan sedemikian rupa sedangkan PERKASA yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negeri ini tidak berpeluang menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Ibrahim Ali juga menyatakan ukacitanya kerana kerajaan pimpinan Najib telah menawarkan stadium dijadikan tempat untuk BERSIH mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini. Lantaran itu Ibrahim Ali telah meminta pihak kerajaan supaya menawarkan juga kepada PERKASA untuk turut mengadakan perhimpunan serentak dengan perhimpunan BERSIH pada 9 Julai nanti. Setakat hari ini Pemuda UMNO belum lagi mengubah pendiriannya yang telah menyatakan pembatalan perhimpunan PATRIOT demi menjunjung kasih titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Apakah Pemuda UMNO juga akan meminta kerajaan supaya membenarkan PATRIOT untuk berhimpun di stadium sebagaimana yang diperkenankan terhadap BERSIH?
Keghairahan Pemuda UMNO sebelum ini untuk mengadakan perhimpunan haram PATRIOT dan kehangatan PERKASA pula dengan perhimpunan haram GERAK AMAN dengan berbaju merah merupakan sebagai langkah ofensif dan provokatif untuk menyekat kemaraan ratusan ribu penunjuk perasaan dari pihak BERSIH 2.0, namun tindakan menyerang itu telah dihidu oleh Seri Paduka Yang di-pertuan Agong yang boleh mengakibatkan keadaan menjadi huru hara, maka perhimpunan jalanan yang dirancang oleh pihak-pihak terbabit itu dititahkan supaya tidak diadakan, sebaliknya BERSIH ditawarkan mengadakan perhimpunan itu di stadium setelah Ambiga diterima menghadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Jikalau Pemuda UMNO dan Perkasa juga ingin meneruskan perhimpunan, bagaimana pula mereka dapat melontarkan provokatif cabar mencabar terhadap penunjuk perasaan BERSIH sedangkan BERSIH sudah pun menetapkan pendiriannya untuk mengubah lokasi perhimpunan itu di stadium. Apakah Pemuda UMNO dan Perkasa sanggup untuk berkogsi stadium dengan BERSIH?
Jika Pemuda UMNO dan PERKASA berkeras juga hendak berhimpun pada 9 Julai ini tanpa berkongsi stadium dengan BERSIH, maka perhimpunan PATRIOT dan juga GERAK AMAN itu dijangka tidak akan berlaku huru-hara. Kalau sebelum ini mereka berhasrat untuk mengadakannya serentak di jalanan, pastinya negara akan menyaksikan berlakunya provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan dan kemungkinan akan berlaku pertumpahan darah, silap-silap akan ada juga yang terkorban.
Biarlah Ibrahim Ali bertempik di kalangan penyokong-penyokongnya, biarlah KJ dan Naina Merican melalak sesama patriotnya, malah kalau Ambiga, Anwar dan Mat Sabu nak membakar semangat sekali pun hanya di kalangan mereka sahaja. Semuanya akan bersih dan terhindar dari segala kekotoran yang mencacatkan lanskap politik negara.
Sepatutnya tidak ada pihak yang mendakwa diri mereka menang atau kalah setelah titah Yang di-Pertuan Agong itu. Baginda lebih sayangkan rakyatnya, kerana bukan penyokong Pemuda UMNO dan PERKASA sahaja yang berhak mendakwa menjadi rakyat baginda, malah penyokong BERSIH juga merupakan warganegara yang menjadi rakyat ke Bawah DYMM Yang Dipertuan Agong. Janganlah cabar mencabar, hina menghina satu sama lain sehingga mendatangkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong!
Kadang-k

adang kita tersasar dalam tindakan. Belum pun terjadi perhimpunan haram itu, terlalu banyak provokasi murahan yang dilemparkan sehingga tidak melambangkan moral sejati Melayu yang dibangga-banggakan. Terlalu banyak andaian dan sangkaan buruk sehingga boleh menimbulkan kebencian sesama rakyat Malaysia dan kelihatannya ia jauh menyimpang daripada hasrat sebenar Dato' Sri Najib Tun Razak yang berbuih-buih melaungkan slogan
1MALAYSIA.Jika kita berpegang dengan slogan itu, maka penghinaan racisme yang dilontarkan bukan melambangkan ketelusan 1Malaysia seperti yang diungkapkan Presiden UMNO itu.