Isu 'doa' kini mencuri hati sanubari saya untuk mengupas serba sedikit mengenainya. Apa yang tercuit di dalam benak hati saya ialah mengenai seorang Tok Guru yang mursyid dan zuhud seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (Foto) yang kini mengepalai sebuah kerajaan di negeri Kelantan telah menzahirkan kekesalannya terhadap Perdana Menteri Malaysia yang didakwanya telah memanipulasikan isu royalti minyak (petroleum) yang dianggapnya sebagai telah menzalimi rakyat Kelantan.Tok Guru Nik Aziz sebagai seorang ulamak tentunya beliau mempunyai hujah tersendiri untuk mendoakan kebinasaan kepada seseorang hamba Allah yang pada fikirannya mempunyai niat yang tidak betul lagi jahat untuk mengenepikan hak rakyat Kelantan daripada memperolehi hak royalti terhadap hasil mahsul minyak yang terdapat di perairan Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Sambil mempertahankan tindakannya itu, Nik Aziz juga berkata bahawa cara doanya itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam sekiraya jelas Perdana Menteri benar-benar berniat jahat untuk menzalimi rakyat Kelantan, maka pada fikirannya wajarlah beliau mengadu kepada Allah SWT dengan memohon doa agar 'pelaku' yang berkenaan ditimpa bala.
Persoalannya sekarang apakah Nik Aziz sudah melafazkan doa bala itu terhadap Najib? Benarkah tindakannya itu dianggap telah menyimpang dari ajaran Islam sebagaimana yang didakwa oleh Datuk Seri Ali Rustam, Datuk Seri Zambry Kadir Menteri Besar Perak, begitu juga dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan beberapa tokoh UMNO Kelantan yang lainnya.
Mengapa cepat sangat tokoh-tokoh UMNO dan yang sekutu dengannya melemparkan dakwaan terhadap Tuan Guru Nik Aziz yang hanya mahu berdoa, sebagai menyalahi ajaran Islam, sedangkan Nik Aziz sendiri boleh menyenaraikan betapa banyaknya perlakuan, kealpaan dan penyongsangan yang berlaku di dalam pemerintahan UMNO selama ini yang tidak mencerminkan Islamisasi yang sebenarnya.
Andaian meleset itu sebenarnya hanya akan menikam diri sendiri, melainkan kita benar-benar telah meyakini bahawa dasar-dasar Islam telah terlaksana secara menyeluruh di negeri-negeri yang diperintah oleh UMNO/BN. Jika kita mampu berbuat sedemikian, barulah boleh kita berkata bahawa diri kita lebih tebal keImanan dan keIslaman daripada Tuan Guru Nik Aziz, malah tidak keterlaluan kita juga boleh berkata bahawa doa kitalah yang lebih mustajab dan akan dimakbulkan oleh Allah jika dibandingkan dengan doa Nik Aziz.
Jika kita kasyaf dengan keImanan kita selama ini tentunya kita tidak bimbang dengan doa yang dipohon oleh Nik Aziz itu. Sebaliknya jika kita berkata bahawa doa bala Nik Aziz itu telah menyimpang daripada ajaran Islam semata-mata sebagai pembelaaan terhadap mereka yang melakukan kesalahan atau pun untuk menutupi kemungkaran politik yang telah dilakukan, maka eloklah kita bertaubat serta menginsafi untuk tidak meneruskan kezaliman sebagaimana yang didakwa oleh Menteri Besar Kelantan itu sebagai pihak yang dizalimi. Doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah.
Mari kita renungi Sabda Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW:-
"Takutlah olehmu akan doa orang-orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah SWT tiada HIJABNYA."
Adakah kita tidak terfikir bahawa Nik Aziz sebagai hamba Allah cuma memohon doa (restu) dan belum pasti samada doanya itu dimakbul oleh Allah Rabbul Jalil? Jika beliau menggunakan mekanisme berdoa kepada Allah bermakna beliau yakin betapa Allah SWT adalah tempat mengadu yang paling aula (tinggi) mengatasi mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan yang terdapat di negara ini yang sering digunakan oleh UMNO termasuklah SPR.
Jika mahkamah tinggi menolak ketetapan SPR yang tidak mengosongkan kerusi Kota Siputeh untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan di kawasan DUN berkenaan, maka SPR telah mengemukakan rayuan pula kepada mahkamah rayuan untuk menangguhkan keputusan tersebut. SPR tidak menggunakan mekanisme 'berdoa' untuk mewajarkan tindakannya seperti yang diguna pakai oleh Nik Aziz untuk perjuangan membela nasib rakyatnya di Kelantan.
Justeru, Wakil Rakyat DUN Kota Siputeh daripada UMNO yang ponteng daripada menghadiri sidang DUN Kedah sebanyak dua kali berturut-turut itu juga tanpa segan silu berkata bahawa dirinya akan mengemukakan rayuan supaya kerusi yang disandang itu tidak kosong.
Jika ADUN UMNO itu hendak menggunakan doa tolak bala seperti yang dilakukan oleh Nik Aziz rasanya tiada siapa yang boleh menghalangnya, kerana itu adalah urusan diantara seorang hamba Allah dengan Tuhannya. Samada Tuhan memakbulkannya atau pun tidak itu merupakan urusan Allah Rabbul Jalil. Nik Aziz pun tidak boleh menyatakan tindakan berdoa ADUN Kota Siputeh itu sebagai tidak Islamik! Sebagai seorang hamba Allah, tentunya kita boleh pasrah dengan ketentuan Tuhan.
Begitulah kaedah yang telah diguna pakai oleh UMNO atau pun SPR untuk megelakkan sesuatu perkara yang dianggap tidak wajar berlaku. Pada saya walaupun pihak Pakatan Rakyat yang menjadi kerajaan di negeri Kedah merasa tidak senang hati dengan ketetapan mahkamah rayuan itu, namun itulah hakikat ketentuan Illahi yang telah memihak kepada UMNO sebagai pembangkang di negeri berkenaan. Sebagai seorang Islam, tentunya kita percaya semuanya itu mempuyai hikmahnya yang tersendiri.
Berbalik kepada isu doa yang dicetuskan oleh Nik Aziz yang memohon bala terhadap Perdana Menteri....sepatutnya pihak UMNO tidak menunjukkan sikap gundah gulananya. Perdana Menteri Datuk Sri Najib dan Umno tidak perlu risau dengan doa Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jika mereka berada di pihak yang benar mereka tak perlu bimbang dan risau. Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya.
Tetapi jika mereka menipu, merampas hak rakyat Kelantan dan terus menindas rakyat sebagaimana yang didakwa oleh Nik Aziz, maka patutlah kita bersedia menanti akibatnya. Doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Oleh itu jika pihak UMNO meyakini bahawa doa itu merupakan permohonan restu ke hadrat Allah SWT, maka tidak ada salahnya kita turut berdoa menolak bala supaya Allah memberikan pertunjuk dan hidayah kepada kita supaya terhindar daripada mara bahaya yang diperlakukan samada daripada manusia yang jahat ataupun daripada gangguan jin dan syaitan laknatullah. Tak payahlah kita menuding jari menuduh orang tertentu itu telah menyimpang dari ajaran Islam!
"Celakalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia akan binasa. Tidak berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan, kelak dia akan masuk ke dalam api yang membara. Dan begitu juga kepada isterinya pembawa kayu api yang di lehernya ada tali dari sabut."
Rasulullah juga pernah berdoa selepas kumpulan Abu Lahab meletakkan najis ketika baginda sedang bersembahyang. Doanya seperti berikut:-
"Ya Allah aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Abu Lahab Bin Hisham, Utbah Bin Rabi'ah, Syaibah Bin Rabi'ah, Al-Walid Bin Utbah, Ummayah Bin Khalaf dan Uqbah Bin Abu Mu'it."
Dipendekkan cerita, akhirnya kesemua nama-nama itu telah terbunuh di dalam peperangan Badar. Oleh itu tidak benarlah sangkaan Datuk Seri Zambry Kadir yang mendakwa Rasulullah tidak pernah mendoakan kebinasaan terhadap Abu Lahab. Na'uzubillah.....










