assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, October 31, 2009

BADRUL HISHAM KINI ADUN BEBAS YANG MENYOKONG PEMBANGKANG

Gempar seluruh negara apabila media arus perdana menyiarkan Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah (foto) keluar PKR dan kini menjadi Adun Bebas yang menyokong parti pembangkang di negeri Selangor.

Apabila beliau mengumumkan dirinya keluar daripada parti PKR sekaligus menjadikan dirinya tidak lagi berada di dalam Pakatan Rakyat yang menjadi kerajaan di negeri Darul Ehsan itu, sebaliknya beliau dilihat terketar-ketar ketika mengumumkan dirinya sebagai adun Bebas yang menyokong BN yang menjadi pembangkang di negeri Selangor.

Dalam arti kata yang lainnya, Badrul Hisham yang sebelum ini merupakan wakil rakyat daripada blok parti yang memerintah kerajaan negeri Selangor, kini telah bersekongkol dengan BN yang berada di blok pembangkang. Khir Toyo adalah Ketua Pembangkang yang kini menjadi bosnya di dalam DUN Selangor.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO pula telah menyatakan kesediaan Barisan Nasional khususnya UMNO untuk memberikan sokongan dan apa jua bantuan kepada Adun Bebas ini yang dikatakan begitu rendah prestasinya dari kaca mata rakyat di kawasan DUN berkenaan.

Badrul Hisham kini merasakan dirinya telah tertebus maruah kerana ada pihak (BN) yang sanggup mencuci mangkoknya yang telah dicemari dengan kotoran yang menjijikkan sehingga Tan Sri Khalid Ibrahim memintanya supaya segera mengubah tabiatnya yang malas berjumpa dengan rakyat sebelum dirinya dikenakan tindakan disiplin.

Jika UMNO menyokong wakil rakyat seperti ini, eloklah jemput sahaja Badrul Hisham menyertai UMNO dan bolehlah selepas ini Badrul Hisham merayu kepada Muhyiddin Yassin supaya membenarkan dirinya bertanding semula atas tiket BN di dalam PRU13 nanti menentang PKR.

Mungkin juga Adun seperti inilah yang dikatakan memenuhi KPI Perdana Menteri yang memperkenalkan slogan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan!


Thursday, October 29, 2009

KEMELUT PAS - ISU KERAJAAN PERPADUAN DITUTUP, SEMINAR GANTI EGM, PAS SELANGOR BAKAL DIHADAP TRIBUNAL

Parti PAS sekali lagi menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan bersama UMNO tidak berbangkit lagi malah telah ditutup rapat. Demikian sebahagian daripada ketetapan yang telah diambil oleh mesyuarat khas PAS pusat yang berlangsung selama lebih empat jam di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur kelmarin, yang berakhir kira-kira jam 1.00 pagi.

Mesyuarat itu yang dihadiri bersama oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat telah dipengerusikan oleh Presidennya sendiri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Di dalam mesyuarat itu juga PAS telah mengambil ketetapan untuk mengadakan seminar pada 7 November depan bagi menggantikan EGM yang telah dicadangkan oleh Nik Aziz.

Selain itu PAS juga bersetuju untuk membawa kes Perhubungan PAS Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Dato' Dr. Hassan Ali kepada Jawatankuasa Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Naib Presidennya Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Difahamkan isu ini telah dibahaskan dengan panjang lebar seterusya menyerahkan mandat kepada Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat secara terperinci sebelum diambil apa-apa tindakan selanjutnya.

Dalam arti kata lainnya, kelicikan Hassan Ali yang dilihat terjebak dengan 'main nyorok-nyorok' bersama UMNO telah dapat dikesan oleh partinya sendiri sehingga Mursyidul Amnya semakin menyinga. Kelibat Dr. Hassan Ali juga dilihat semakin mencurigakan kerana sebelum ini beliau juga dikatakan telah dijanji manis oleh UMNO untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya pakatan kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan.

Difahamkan juga terdapat beberapa desakan supaya Dr. Hassan Ali dipecat sebelum ianya membarah. Namun begitu Hadi Awang telah meminta supaya ianya di siasat terlebih dahulu sebelum menghukum kedurjanaan yang dicetuskan oleh Pengerusi PAS Selangor itu. Dipercayai juga Dr. Hassan Ali begitu tersinggung dengan beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau, malah isu ini dilihat bakal merobah lanskap politik negeri Selangor yang amat menggerunkan PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat amnya.

Mencongak politik terhadap isu ini bakal menyaksikan UMNO akan terus melipat gandakan usahanya untuk menangguk sehingga dapat memenangi hati Hassan Ali yang terlalu cintakan 'perpaduan'.


Sunday, October 25, 2009

ISU EGM PAS - NIK AZIZ, KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN?


Nampaknya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat begitu istiqomah untuk tidak berkompromi lagi dengan UMNO sehingga tergamak untuk menggesa partinya (PAS) supaya mengadakan muktamar agong khas (EGM) khusus untuk menetapkan pendirian terhadap dua tiga kerat pemimpinnya yang dikatakan pro umno.

PEMIMPIN PAS PRO UMNO?

Benarkah mereka ini pro UMNO? Jika benar, kenapa tidak sertai saja parti yang pernah mereka anggap selama ini sebagai parti sekular?

Nasharudin Mat Isa, Mustafa Ali dan Hassan Ali telah dirujuk sebagai dua tiga kerat pemimpin PAS yang bermasalah yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu. Pandangan sinis Nik Aziz itu kini telah menggegarkan parti berkenaan, dan media arus perdana pula terus memberikan gambaran betapa PAS kini berada di ambang pergolakan yang serius.

Sindrom EGM telah mempengaruhi fikiran Tok Guru, setelah beliau merujuk betapa parti-parti lain seperti MCA, MIC, PKR dan UMNO yang turut terpaut dengan EGM masing-masing sebagai formula memperkasakan parti-parti berkenaan. Beliau berpandangan jika EGM ini terpaksa dilakukan, kemungkinan ianya akan memperkuatkan lagi hala tuju parti PAS untuk menghadapi PRU13 nanti.

Mengulas mengenai isu ini, saya berpendapat kerunsingan Mursyidul Am PAS itu lebih berkisar kepada keengganannya untuk mengheret PAS bersekongkol dengan UMNO. Kebenciannya terhadap UMNO telah bertakhta di benak kalbunya sehingga terhijab untuk mentarbiahkan UMNO dan PAS supaya berdamai di dalam ikatan ukhuwah Islamiah seperti yang dituntut oleh Islam.

Di sisinya, lebih afdal PAS bermusuh dengan umat Islam yang menyokong UMNO, daripada DAP yang jelas menolak Islam. Apakah benar..tidak adanya nas naqli yang dijumpainya untuk mencantumkan hati-hati umat Islam yang terluka ini?

Jika Al-Quran dan Al-Hadis (Nas Naqli) menyuruh umatnya bersatu padu, kukuhkan silaturrahim serta menjalinkan kasih sayang sesama insan - mengapa pula ada Tuan Guru yang membencinya? Hina sangatkah umat Islam yang menjadi AHLI UMNO? Mulia sangatkah PARTI PAS sehingga orang lain yang tidak sebumbung dengan PAS wajar dijauhi? Jika itulah pegangan Tuan guru, malang sungguh umat Islam di Malaysia ini, kerana PAS hanya wujud di Malaysia...bagaimana pula umat Islam seantero dunia yang masihbelum lagi menjadi AHLI PAS...apakah mereka ini juga wajar dimusuhi?

Apa kata kita semua meneliti intipati hujah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS di atas isu yang dicetuskannya itu seperti yang dipetik di bawah ini.


Sumber :
blog tok guru

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.”

Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata.

Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari ini pun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.

i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)

Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin di dalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :
“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”
Pandangan Saya:

Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini.

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?


Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini.

Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
:
02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Wednesday, October 14, 2009

UMNO PERLU BERUBAH SEBELUM DIUBAH!

Perhimpunan Agung UMNO 2009 telah pun bermula. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun menggariskan 'Rukun Umno' yang perlu dijiwai oleh generasi UMNO semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada 13 Oktober yang lalu.

Ucapan sulung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO yang baru di dalam perhimpunan tersebut dilihat sebagai satu amanat ke arah memperkasakan jati diri UMNO yang dikatakan mengalami 'lowbatt' yang perlu dicaj semula akibat kerosakan yang terlampau terhadap parti terbesar orang Melayu di negara ini.

Dato' Sri Najib Tun Razak nakhoda baru yang menjadi harapan kepada UMNO untuk melakukan perubahan, sedang memikul beban yang ditinggalkan oleh nakhoda sebelumnya. Dato' Sri Najib Tun Razak terpaksa merakyatkan dirinya untuk mengejar pencapaian yang diidamkannya supaya Malaysia kembali gagah perkasa sebagai sebuah negara yang mampu bersaing dengan gagasan 1MALAYSIA yang kini disemarakkan ke seluruh pelusuk tanah air.

UMNO kelihatan sedang digilap semula setelah mengalami sindrom kebencian yang telah ditunjukkan oleh rakyat di dalam PRU12 yang lalu. Rakyat telah meluat dengan UMNO kerana parti itu tidak sebijak dahulu dalam menangani isu-isu rakyat, sebaliknya di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO lebih terserlah dengan agenda pengkayaan diri dan kontrak periuk nasi sehingga alpa dengan aspek mengurus kejayaan yang dipertanggungjawabkan.

UMNO perlu mengubahkan sauhnya supaya lebih cermat untuk membahterakan rakyat dan negaranya. UMNO sekiranya tidak mahu diubah oleh rakyat di dalam PRU13 nanti, perlulah prihatin dengan kehendak masyarakat akar umbi seterusnya mewarisi perjuangan membela rakyat yang pernah dijulang oleh UMNO sebelum ini.

Kerakusan merebut takhta juga merupakan wabak yang telah menjebakkan UMNO menjadi parti yang dilihat begitu eksklusif dan tidak merakyat. Keegoan pemimpin dengan kegemerlapan serba mewah telah menyebabkan rakyat marhain menyampah kepada UMNO lalu mereka mengubah haluan menyokong parti yang lain.

Generasi muda hari ini masih memandang serong kepada parti yang telah berjasa kepada mereka. Pada mereka UMNO hari ini tidak bertakhta lagi di hati, kerana UMNO telah digenangi dengan segala unsur yang melambangkan kerakusan, malah jenamanya telah dikaitkan dengan gejala rasuah yang masih longgar untuk dibanteras.

Oleh yang demikian, aspirasi Dato' Sri Najib yang mahu 'Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan' hendaklah diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan hanya laungan dan retorik. Semua pemimpin di segenap peringkat haruslah menjiwai kehendak Presiden parti, jika slogan itulah yang telah dimanterakan. Kata-kata sakti Najib itu hanya mencurah air di daun keladi sahaja, jika sekutu pemimpin yang lainnya hanya mampu bersorak tetapi syok sendiri dengan gendang tin yang kosong.

Saya sendiri mengikuti ucapan sulung Dato' Sri Najib ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO pada pagi ini (15 Oktober), di mana beliau telah meletakkan harapan menggunung kepada semua pendokong parti supaya merapatkan saf untuk menggapai bahtera kejayaan. UMNO dikatakannya perlu melakukan perubahan segera untuk meyakinkan rakyat terhadapnya.

SELAMAT BERSIDANG KEPADA SEMUA PERWAKILAN UMNO.



Monday, October 12, 2009

ISA masih di hati...

Kemenangan besar Barisan Nasional di DUN Bagan Pinang bukan sahaja telah menebus maruah UMNO dan BN yang telah kalah 7 kali di dalam 8 pilihan raya kecil sebelum ini, malah kejayaan ini juga merupakan pemanis buat ISA SAMAD yang telah menjalani hukuman 3 tahun digantung keahliannya di dalam UMNO setelah dibuktikan oleh Lembaga Disiplin UMNO bahawa beliau merupakan pengamal politik wang yang dikategorikan oleh Isa Samad sebagai 'bukannya rasuah'.

Kemenangan Isa Samad memang dijangkakan kerana rakyat di situ sememangnya mengenali ketokohan mantan MB Negeri Sembilan lebih daripada 25 tahun yang lampau. Ayahandanya Dato' Abdul Samad juga merupakan orang yang cukup dikenali dan berpengaruh di Teluk Kemang khususnya dan juga Negeri Sembilan amnya.

Majoriti 5,435 undi yang dimenangi oleh Isa Samad membuktikan betapa rakyat di Bagan Pinang masih tertawan hati untuk mengekalkan BN yang begitu kempunan dengan kemenangan apabila berlakunya lapan pilihan raya kecil bermula dengan kekalahan UMNO di dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu sehinggalah di DUN Permatang Pasir, kecuali di DUN Batang Ai Sarawak yang satu-satunya dimenangi oleh BN.

Daripada sembilan pilihan raya kecil yang telah diadakan, BN bukan sahaja kalah di tujuh kawasan pilihan raya, malah kerusi UMNO yang sepatutnya dipertahankan kemenangannya di Parlimen Kuala Terengganu telah dirampas oleh PAS. Manakala enam lagi kawasan pilihan raya iaitu di Permatang Pauh, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir masing-masing milik Pakatan Rakyat tetapi tidak berjaya dirampas oleh UMNO/BN.

Kejayaan UMNO/BN di Bagan Pinang merupakan kemenangan mengekalkan kerusi yang telah dimenangi di dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Dalam artikata yang lainnya, BN hanya menang di dua kawasan yang dimilikinya sebelum ini, iaitu satu di Batang Ai Sarawak oleh PBB dan satu lagi di Bagan Pinang, Negeri Sembilan oleh UMNO. Sementara Pakatan Rakyat pula bukan sahaja berjaya mengekalkan semua kerusi miliknya sebelum ini, malah telah berjaya menawan kubu kuat UMNO di Kuala Terengganu.

Oleh itu, saya berpendapat kejayaan UMNO/BN di Bagan Pinang hendaklah dijadikan iktibar supaya UMNO tidak berlagak terlalu kuat, kerana kita juga harus ingat semua permasalahan dan kemelut politik yang dihadapi oleh UMNO dan komponen BN yang lainnya sekarang ini bukanlah fenomena yang sihat untuk menjadikan BN lebih perkasa.

Jika diperhatikan kemelut yang melanda MCA dan MIC yang sedang di dalam krisis, membuatkan BN kelihatan masih rapuh yang memerlukan banyak pengorbanan pemimpin-pemimpinnya. Ong Tee Kiat, Presiden MCA telah dikecundangkan oleh ahli-ahlinya di dalam EGM yang baru lalu, dimana beliau telah diberikan indikasi supaya berundur segera daripada jawatannya itu. Chua Soi Lek, Timbalan Presidennya yang digantung keahlian pula tidak dibenarkan menjawat semula jawatan itu walaupun keahliannya di dalam MCA telah diterima balik.

Tidak kurang juga hebatnya kemelut yang melanda MIC terutama yang melibatkan pemimpin nombor satunya Datuk Seri S. Samy Vellu yang tidak berkesudahan berseteru dengan Datuk S. Subramaniam. Kemunculan satu lagi parti India iaitu Makhal Sakhti yang telah direstui oleh Dato' Sri Najib Tun Razak telah mengundang kecurigaan di kalangan masyarakat India yang pro MIC. MIC merasakan partinya tercabar dengan kemunculan Makhal Sakhti, walaupun Makhal Sakhti belum tentu lagi disokong oleh MIC untuk menyertai BN.

Walau apa jua pun andaian yang dilontarkan terhadap kekuatan BN, bukan bermakna BN tidak lagi bekeupayan untuk menebus maruahnya. Maruah BN sebenarnya bergantung kepada keupayaan pemimpinnya dalam menangani isu-isu integriti yang melibatkan keyakinan rakyat terhadapnya. Kebijaksanaan Dato' Sri Najib yang memperkenalkan slogan 1Malaysia hendaklah dirakyatkan tanpa mengira lapisan masyarakat mahupun anutan ideologi politiknya. Semuanya adalah rakyat Malaysia! Najib adalah Perdana Menteri Malaysia dan bukannya milik UMNO/BN sahaja.

Kesamarataan 1Malaysia haruslah dinikmati oleh semua warga untuk mempastikan sokongan merata rakyat kepada Barisan Nasional dalam PRU13 nanti tidak dikhianati.


Monday, October 5, 2009

KENAPALAH UMNO MENGHUKUM TAN SRI ISA??

Setelah Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju Isa dicalonkan di DUN Bagan Pinang, namun begitu UMNO/BN terpaksa juga akur dengan tekanan yang diterimanya daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang yang mendesak agar Ketua Bahagian mereka itu dijadikan calon di dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Senario keterpaksaan ini sedikit sebanyak akan mendedahkan tembelang betapa UMNO telah tersilap menjatuhkan hukuman kepada Tan Sri Mohd. Isa yang ketika itu merupakan Naib Presiden UMNO (terkanan) yang mengatasi kedudukan Mohd. Ali Rustam dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Begitu juga jika Isa tidak dipalitkan dengan kesalahan politik wang itu (BUKAN RASUAH?) barangkali kerusi Timbalan Perdana Menteri sekarang bukannya milik Muhyiddin Yassin. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam Naib Presiden UMNO pula yang mengatasi kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah Tan Sri Isa dijatuhkan hukuman gantung keahliannya sehingga tergugur semua jawatannya di dalam parti, telah mendorongkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO di dalam musim pemilihan parti yang telah tertunda sehingga Mac 2009 yang baru lalu.

Impian Ali Rustam juga berkecai! Belum pun sempat masuk ke gelanggang namanya telah disekat di pertengahan jalan angkara disabitkan dengan gejala 'politik wang' yang bukannya RASUAH!? Ali Rustam telah dilarang bertanding jawatan No. 2 di dalam parti itu, sekaligus telah memusnahkan harapannya untuk dinobatkan sebagai orang nombor dua kepada Perdana Menteri sekarang. Sekali lagi yang menghukumnya bukan PKR, bukan PAS, bukan DAP tetapi partinya sendiri, yang berjenama UMNO telah menyekat kemaraan tokoh-tokoh yang bernama ISA SAMAD dan ALI RUSTAM.

Tan Sri Muhyiddin Yassin jugalah yang beruntung di sebalik hukuman terhadap pengamal politik wang yang membabitkan Isa dan juga Ali itu. Penyandang Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri 1Malaysia ini boleh tersenyum lebar kerana dirinya tidaklah seburuk tokoh-tokoh yang telah diaibkan itu. Dalam artikata lain, Muhyiddin Yassin adalah Timbalan Presiden UMNO yang BEBAS dari gejala politik wang (TIDAK RASUAH?). Itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh UMNO, maka sebab itu UMNO telah MENOLAK Tan Sri Mohd. Isa Samad dan juga Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

UMNO mahu dilihatkan serius untuk menangani gejala politik wang yang dianggap jijik itu. Maka sebab tu Lembaga Disiplin UMNO tidak mahu berkompromi lagi sehingga mereka sanggup menggantung keahlian Isa di dalam UMNO selama 3 tahun dan melarang Ali Rustam meneruskan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Penyingkiran mereka ini walaupun telah dikambing hitamkan, namun semua orang tahu banyak lagi ikan-ikan paus yang tidak tertangkap, yang habitatnya suka dengan permainan politik wang yang bukan rasuah.

Begitulah seksa dan aibnya Isa Samad yang telah dimalukan oleh partinya sendiri sebagai 'pengamal politik wang' yang dianggap oleh PAS di Bagan Pinang sebagai PERASUAH? Tercalonnya Isa Samad untuk bertanding di dalam PRK Bagan Pinang telah membuktikan juga betapa SILAPNYA Lembaga Disiplin UMNO yang telah mengkategorikan Isa Samad sebagai pesalah yang terbukti mengamalkan politik wang.

Seharusnya UMNO mendesak agar pernyataaan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO yang telah menjatuhkan hukuman gantung keahlian Tan Sri Samad di dalam UMNO selama 3 tahun sehingga menyingkirkan dirinya sebagai Naib Presiden UMNO agar hukuman itu DITARIK BALIK bagi tujuan membersihkan dirinya yang sedang dicerca oleh pihak pembangkang di Bagan Pinang.

Mereka berkata bahawa UMNO telah memilih calon yang telah disabitkan oleh UMNO sendiri sebagai petualang politik wang di dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang. Parti UMNO kini sedang ditempelak dan dilabelkan sebagai parti perasuah, kerana telah memilih Isa Samad yang tidak lagi bersih di sisi UMNO. Hari ini semua jentera UMNO terpaksa bekerja keras untuk membuktikan betapa Lembaga Disiplin UMNO telah tersalah hitung dalam menjatuhkan hukuman terhadap Tan Sri Isa.

Sama-samalah kita saksikan apakah keputusan Lembaga Disiplin UMNO pada tahun 2004 yang lalu itu menepati natijahnya atau hanya satira kambing hitam sebagai agenda menjatuhkan Isa Samad dan kemudiannya menyisihkan pula Ali Rustam.

Tan Sri Muhiyiddin Yassin dilihat sedang berusaha gigih untuk membuktikan bahawa dirinya sememangnya bersimpati dengan Isa Samad yang telah menerima keaiban oleh partinya selama ini. Oleh itu Isa Samad perlu dimenangkan...Datuk Seri Mohamad Hassan MB Negeri Sembilan tentu lebih gembira jika Isa Samad menang nanti.

Selepas ini pula Isa Samad bolehlah buat come back di dalam UMNO bertanding jawatan tinggi di dalam UMNO, kerana UMNO sendiri telah memberikan lampu hijau kepada mereka yang pernah dijatuhkan hukuman setelah terbukti dia melakukan politik wang. Ali Rustam juga boleh senyum panjang, kerana pastinya dia juga boleh bertanding lagi.

Friday, September 25, 2009

APA PENTINGNYA ISA DITANDINGKAN SEMULA?

Tan Sri Mohd. Isa Bin Dato' Abdul Samad, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan nampaknya berminat betul untuk mempertaruhkan dirinya sebagai calon BN di dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang bakal diadakan nanti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang kelihatannya masih mengharapkan supaya dirinya dicalonkan bagi membolehkannya menduduki kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan dari Barisan Nasional yang kini diterajui oleh Menteri Besar, Dato' Mohamad Hassan.

Persoalannya jika Mohd. Isa menang di Bagan Pinang, apakah beliau boleh dijadikan MB semula menggantikan Mohamad Hassan? Lazimnya jika seseorang yang tidak lagi menjadi Menteri Besar yang telah diganti dengan tokoh yang lain, mustahil untuk dirinya diangkat semula menjadi Menteri Besar di negeri berkenaan.

Begitu juga agak janggal jika Mohd. Isa yang pernah menjadi Menteri Besar dan pernah juga menjadi seorang Menteri di peringkat persekutuan, kemudiannya dilantik sebagai salah seorang 'Exco' di dalam kerajaan Negeri Sembilan. Ia dianggap sebagai penyongsangan politik terhadap seorang tokoh besar seperti Mohd. Isa Samad.

Jika itu juga tidak sesuai untuk Tan Sri Mohd. Isa, maka jawatan apakah yang paling sesuai untuknya di peringkat Negeri Sembilan, selain hanya seorang ADUN biasa sahaja? Apakah pengikut taksubnya di Teluk Kemang yang dikatakan tidak berganjak mahukan Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai calon DUN Bagan Pinang hanya berpuas hati meletakkan idolanya hanya di takuk Adun biasa sahaja? Apakah itu yang mereka mahukan sedangkan Isa Samad mempunyai kelayakan yang lebih daripada itu yang perlu difikirkan juga oleh Dato' Mohamad Hasan selepas ini.

Di Sabah, Tun Datu Mustapha yang pernah menjadi Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri berkenaan. Begitu juga dengan Tan Sri Sakaran Dandai yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan kemudiannya beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri itu setelah dirinya tidak lagi menjadi Ketua Menteri.

Di Sarawak pula, Tun Datu Patinggi Abdul Rahman Yakub yang pernah menjadi Ketua Menteri Sarawak telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri berkenaan setelah beliau tidak lagi menjadi Ketua Menteri. Sebenarnya agak janggal jika mereka ini ditandingkan semula sebagai Adun biasa sahaja.

Sebagaimana yang saya jangkakan, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentunya tidak berapa bersetuju jika Isa Samad dicalonkan di Bagan Pinang kali ini. Tun Mahathir berpendapat UMNO harus kelihatan serius untuk menangani gejala politik wang tanpa terpengaruh dengan desakan untuk meletakkan Isa Samad yang terbukti menurutnya sebagai pesalah politik wang yang telah menerima hukuman daripada partinya.

Dalam arti kata yang lain, Dr. Mahathir beranggapan jika BN meletakkan Isa Samad juga sebagai calonnya di Bagan Pinang, maka UMNO telah merestui perasuah yang telah digantung keahliannya untuk mewakili partinya.

Ketua Pemuda Bahagian Telok Kemang telah menempelak pandangan Dr. Mahathir itu sambil menyebutkan bahawa Dr. Mahathir pun pernah dipecat daripada UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman, dan telah diterima semula di zaman Tun Razak seterusnya diberikan peluang bertanding dalam pilihan raya.

Isa Samad dalam komennya pula berkata tidak menjadi apa-apa halangan untuk dirinya bertanding, sambil merujuk betapa Anwar yang juga seorang bekas banduan pun boleh bertanding. Berdasarkan kenyataan itu, nampaknya Isa Samad benar-benar bersedia untuk menjadi calon seterusnya menjadi wakil rakyat di Bagan Pinang, sedangkan dirinya sudah berpuluh tahun menjadi Adun, seolah-olah UMNO Telok Kemang memang ketandusan tokoh sehingga mereka terkabur untuk melonjakkan tokoh-tokoh yang lainnya.

Namun begitu, UMNO Bahagian Telok Kemang berhak menyatakan pendirian mereka itu, lagipun mereka mempunyai alasan tersendiri untuk menyatakan kepada pucuk pimpinan bahawa hanya Isa Samad sahajalah yang layak sebagai galang ganti untuk bertanding di DUN Bagan Pinang dalam menghadapi cabaran yang bakal ditandingi oleh PAS.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula perlulah menimbangkan semasak-masaknya desakan yang dibuat oleh UMNO Bahagian Telok Kemang itu, jika tidak, jentera pilihan raya UMNO dan BN di Bagan Pinang pasti akan menjadi lumpuh dan tersasar dengan kekalahan BN buat kali yang kedelapan selepas DUN Permatang Pasir.

Demikianlah sulitnya UMNO untuk memilih calonnya kali ini di kubu sendiri. Kemelut ini jika tidak cermat ditangani ianya bakal menimbulkan pelbagai polemik yang mengundang perpecahan dalaman khususnya di dalam UMNO Negeri Sembilan itu sendiri.