Kemenangan besar Barisan Nasional di DUN Bagan Pinang bukan sahaja telah menebus maruah UMNO dan BN yang telah kalah 7 kali di dalam 8 pilihan raya kecil sebelum ini, malah kejayaan ini juga merupakan pemanis buat ISA SAMAD yang telah menjalani hukuman 3 tahun digantung keahliannya di dalam UMNO setelah dibuktikan oleh Lembaga Disiplin UMNO bahawa beliau merupakan pengamal politik wang yang dikategorikan oleh Isa Samad sebagai 'bukannya rasuah'.Kemenangan Isa Samad memang dijangkakan kerana rakyat di situ sememangnya mengenali ketokohan mantan MB Negeri Sembilan lebih daripada 25 tahun yang lampau. Ayahandanya Dato' Abdul Samad juga merupakan orang yang cukup dikenali dan berpengaruh di Teluk Kemang khususnya dan juga Negeri Sembilan amnya.
Majoriti 5,435 undi yang dimenangi oleh Isa Samad membuktikan betapa rakyat di Bagan Pinang masih tertawan hati untuk mengekalkan BN yang begitu kempunan dengan kemenangan apabila berlakunya lapan pilihan raya kecil bermula dengan kekalahan UMNO di dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu sehinggalah di DUN Permatang Pasir, kecuali di DUN Batang Ai Sarawak yang satu-satunya dimenangi oleh BN.
Daripada sembilan pilihan raya kecil yang telah diadakan, BN bukan sahaja kalah di tujuh kawasan pilihan raya, malah kerusi UMNO yang sepatutnya dipertahankan kemenangannya di Parlimen Kuala Terengganu telah dirampas oleh PAS. Manakala enam lagi kawasan pilihan raya iaitu di Permatang Pauh, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir masing-masing milik Pakatan Rakyat tetapi tidak berjaya dirampas oleh UMNO/BN.
Kejayaan UMNO/BN di Bagan Pinang merupakan kemenangan mengekalkan kerusi yang telah dimenangi di dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Dalam artikata yang lainnya, BN hanya menang di dua kawasan yang dimilikinya sebelum ini, iaitu satu di Batang Ai Sarawak oleh PBB dan satu lagi di Bagan Pinang, Negeri Sembilan oleh UMNO. Sementara Pakatan Rakyat pula bukan sahaja berjaya mengekalkan semua kerusi miliknya sebelum ini, malah telah berjaya menawan kubu kuat UMNO di Kuala Terengganu.
Oleh itu, saya berpendapat kejayaan UMNO/BN di Bagan Pinang hendaklah dijadikan iktibar supaya UMNO tidak berlagak terlalu kuat, kerana kita juga harus ingat semua permasalahan dan kemelut politik yang dihadapi oleh UMNO dan komponen BN yang lainnya sekarang ini bukanlah fenomena yang sihat untuk menjadikan BN lebih perkasa.
Jika diperhatikan kemelut yang melanda MCA dan MIC yang sedang di dalam krisis, membuatkan BN kelihatan masih rapuh yang memerlukan banyak pengorbanan pemimpin-pemimpinnya. Ong Tee Kiat, Presiden MCA telah dikecundangkan oleh ahli-ahlinya di dalam EGM yang baru lalu, dimana beliau telah diberikan indikasi supaya berundur segera daripada jawatannya itu. Chua Soi Lek, Timbalan Presidennya yang digantung keahlian pula tidak dibenarkan menjawat semula jawatan itu walaupun keahliannya di dalam MCA telah diterima balik.
Tidak kurang juga hebatnya kemelut yang melanda MIC terutama yang melibatkan pemimpin nombor satunya Datuk Seri S. Samy Vellu yang tidak berkesudahan berseteru dengan Datuk S. Subramaniam. Kemunculan satu lagi parti India iaitu Makhal Sakhti yang telah direstui oleh Dato' Sri Najib Tun Razak telah mengundang kecurigaan di kalangan masyarakat India yang pro MIC. MIC merasakan partinya tercabar dengan kemunculan Makhal Sakhti, walaupun Makhal Sakhti belum tentu lagi disokong oleh MIC untuk menyertai BN.
Walau apa jua pun andaian yang dilontarkan terhadap kekuatan BN, bukan bermakna BN tidak lagi bekeupayan untuk menebus maruahnya. Maruah BN sebenarnya bergantung kepada keupayaan pemimpinnya dalam menangani isu-isu integriti yang melibatkan keyakinan rakyat terhadapnya. Kebijaksanaan Dato' Sri Najib yang memperkenalkan slogan 1Malaysia hendaklah dirakyatkan tanpa mengira lapisan masyarakat mahupun anutan ideologi politiknya. Semuanya adalah rakyat Malaysia! Najib adalah Perdana Menteri Malaysia dan bukannya milik UMNO/BN sahaja.
Kesamarataan 1Malaysia haruslah dinikmati oleh semua warga untuk mempastikan sokongan merata rakyat kepada Barisan Nasional dalam PRU13 nanti tidak dikhianati.


No comments:
Post a Comment