assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, October 14, 2009

UMNO PERLU BERUBAH SEBELUM DIUBAH!

Perhimpunan Agung UMNO 2009 telah pun bermula. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun menggariskan 'Rukun Umno' yang perlu dijiwai oleh generasi UMNO semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada 13 Oktober yang lalu.

Ucapan sulung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO yang baru di dalam perhimpunan tersebut dilihat sebagai satu amanat ke arah memperkasakan jati diri UMNO yang dikatakan mengalami 'lowbatt' yang perlu dicaj semula akibat kerosakan yang terlampau terhadap parti terbesar orang Melayu di negara ini.

Dato' Sri Najib Tun Razak nakhoda baru yang menjadi harapan kepada UMNO untuk melakukan perubahan, sedang memikul beban yang ditinggalkan oleh nakhoda sebelumnya. Dato' Sri Najib Tun Razak terpaksa merakyatkan dirinya untuk mengejar pencapaian yang diidamkannya supaya Malaysia kembali gagah perkasa sebagai sebuah negara yang mampu bersaing dengan gagasan 1MALAYSIA yang kini disemarakkan ke seluruh pelusuk tanah air.

UMNO kelihatan sedang digilap semula setelah mengalami sindrom kebencian yang telah ditunjukkan oleh rakyat di dalam PRU12 yang lalu. Rakyat telah meluat dengan UMNO kerana parti itu tidak sebijak dahulu dalam menangani isu-isu rakyat, sebaliknya di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO lebih terserlah dengan agenda pengkayaan diri dan kontrak periuk nasi sehingga alpa dengan aspek mengurus kejayaan yang dipertanggungjawabkan.

UMNO perlu mengubahkan sauhnya supaya lebih cermat untuk membahterakan rakyat dan negaranya. UMNO sekiranya tidak mahu diubah oleh rakyat di dalam PRU13 nanti, perlulah prihatin dengan kehendak masyarakat akar umbi seterusnya mewarisi perjuangan membela rakyat yang pernah dijulang oleh UMNO sebelum ini.

Kerakusan merebut takhta juga merupakan wabak yang telah menjebakkan UMNO menjadi parti yang dilihat begitu eksklusif dan tidak merakyat. Keegoan pemimpin dengan kegemerlapan serba mewah telah menyebabkan rakyat marhain menyampah kepada UMNO lalu mereka mengubah haluan menyokong parti yang lain.

Generasi muda hari ini masih memandang serong kepada parti yang telah berjasa kepada mereka. Pada mereka UMNO hari ini tidak bertakhta lagi di hati, kerana UMNO telah digenangi dengan segala unsur yang melambangkan kerakusan, malah jenamanya telah dikaitkan dengan gejala rasuah yang masih longgar untuk dibanteras.

Oleh yang demikian, aspirasi Dato' Sri Najib yang mahu 'Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan' hendaklah diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan hanya laungan dan retorik. Semua pemimpin di segenap peringkat haruslah menjiwai kehendak Presiden parti, jika slogan itulah yang telah dimanterakan. Kata-kata sakti Najib itu hanya mencurah air di daun keladi sahaja, jika sekutu pemimpin yang lainnya hanya mampu bersorak tetapi syok sendiri dengan gendang tin yang kosong.

Saya sendiri mengikuti ucapan sulung Dato' Sri Najib ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO pada pagi ini (15 Oktober), di mana beliau telah meletakkan harapan menggunung kepada semua pendokong parti supaya merapatkan saf untuk menggapai bahtera kejayaan. UMNO dikatakannya perlu melakukan perubahan segera untuk meyakinkan rakyat terhadapnya.

SELAMAT BERSIDANG KEPADA SEMUA PERWAKILAN UMNO.



No comments: