BANTAH KUIL HINDU, KEPALA LEMBU YANG JADI MANGSA, ANGKARA SIAPA NI..?
Renungan:
Allah berfirman, "Katakanlah (Muhamad), wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan sembah apa yang kau sembah. Dan kau tidak akan sembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kau sembah. Dan kau pula tidak pernah sembah apa yang aku sembah. Bagimu agamamu, bagi aku agama aku." (Maksud Al-Quran Surah Al-Kafirun)
Bodoh macam lembu! Mereka yang mengusung kepala lembu yang telah disembelih (masih berdarah) di Shah Alam kelmarin, telah melakukan tindakan provokasi bodoh yang telah mencemari ramadan.Amat dikesali kerana pelakunya adalah individu Islam. Kumpulan ini telah berarak bersama-sama dengan kepala lembu yang masih bertitisan darahnya, sambil mereka bertakbir menuju ke pejabat SUK Selangor di Shah Alam selepas mereka menunaikan solat jumaat.
Kumpulan ini telah bertindak kononnya sebagai bantahan terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor yang memindahkan kuil Hindu di kawasan mereka di Seksyen 23 Shah Alam. Kepala lembu yang menjadi simbol kesucian penganut agama Hindu itu telah diletakkan oleh mereka yang berkenaan di pintu pagar bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor, untuk dijadikan hadiah kepada Khalid Ibrahim Menteri Besar, Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam dan juga kepada Rodziah (Exco Selangor).
Jurucakapnya pula telah berkata kepada wakil-wakil media dengan penuh emosi bahawa dirinya sanggup melakukan apa saja walaupun dengan bergadai nyawa sekalipun hingga ke titisan darah yang terakhir....demi mempertahankan kawasan penempatannya dari dicemari dengan pembinaan kuil Hindu berkenaan.
Sementara itu Perdana Menteri telah melahirkan rasa kesalnya di atas kejadian ini. Datuk Sri Najib Tun Razak telah menelefon segera IGP Tan Sri Musa Hassan supaya menyiasat insiden ini setelah mendapat laporan daripada Setiausaha Agung MIC Datuk Dr. S. Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia. Sebagai pemimpin kanan kepada parti yang mewakili masyarakat India di negara ini, tentunya beliau tidak senang hati dengan tindakan yang dilakukan oleh mereka yang terbabit.
Datuk Seri S. Samy Velu pemimpin nombor satu MIC juga 'melompat' dan kesal dengan tindakan provokasi berkenaan. Beliau biimbang penganut agama Hindu di negara ini akan mengambil tindakan yang tidak diingini ekoran kejadian ini. Samy mahukan supaya mereka yang terlibat itu diambil tindakan yang sewajarnya.
Begitu juga Ketua Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaludin turut menyesali dengan kejadian yang beliau sifatkan telah mencemari bulan ramadan. KJ merasakan tindakan ini boleh menyinggung dan membangkitkan kemarahan penganut agama yang berkenaan; dan tidak sepatutnya ia berlaku sedemikian.
Saya tidak mahu komen banyak, melainkan saya ingin menyarankan agar umat Islam tidak terjebak dengan sentimen kebencian dan permusuhan terhadap agama lain di negara ini. Seharusnya kita menghormati hak dan kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan negara.
Tentunya kita akan marah jika penganut agama lain mengambil tindakan memijak kitab suci Al-Quranul Karim sebagai membantah pembinaan surau atau masjid di kawasan tertentu. Demikian jugalah perasaan mereka apabila lambang kesuciannya telah diperlakukan secara hina oleh golongan ekstrimis ini.
Renung-renungkanlah cebisan ayat Al-Quran Surah Al-Kafirun yang tertera di atas, dimana Allah telah menegaskan kepada baginda Rasulullah SAW tentang toleransi beragama di kalangan umat manusia. Eloklah kita mengambil iktibar di bulan Ramadan Al-Karim ini supaya tidak menimbulkan keresahan di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum ini.
Tuhan menjadikan manusia berbilang suku kaum di muka bumi ini bukannya untuk dipermusuhi, sebaliknya untuk kita saling kenal mengenal diantara satu sama lain. Jalinan perpaduan ini amat penting dipupuk, kerana kaedah inilah yang sedang dikumandangkan setiap hari di corong-corong radio dan kaca TV sebagai menyahut gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri kita hari ini.
Janganlah dicemari juga semangat kemerdekaan yang menuntut agar semua rakyat di negara ini hidup harmoni tetapi dengan provokasi kebencian yang ditiupkan oleh segelintir golongan ekstrim ini akan merosakkan susu sebelanga.
Mari kita sama-sama merenungi Firman Allah dalam Surah Al-An'am ayat 108:-
Maksudnya: "Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa kamu ketahuinya. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." 








