'ANAK EMAS' YANG DITOLAK OLEH RAKYAT PERMATANG PASIR
Permatang Pasir 'Anak Emas'?Jika melihat kain rentang Barisan Nasional ini, DUN N.11 Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat PAS sejak 1999 telah diiktiraf sebagai 'anak emas' kepada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Sri Najib Tun Razak. Terpampang jelas gandingan foto Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan bahawa 'Permatang Pasir' sememangnya telah menjadi
'anak emas' mereka.
Apakah aku janji 'anak emas' terhadap Permatang Pasir ini akan kekal di hati kedua-dua pemimpin BN ini, walaupun rakyat di situ
enggan beralih arah untuk menduka larakan PAS dan Anwar Ibrahim yang begitu dekat di hati mereka?

Keputusan rakyat di DUN Permatang Pasir yang telah menolak UMNO/BN dengan menobatkan kejayaan calon PAS
Tuan Haji Salleh Man (Foto) di dalam pilihan raya kecil di kubu kuat Anwar Ibrahim ini jelas memperlihatkan betapa rakyat di situ tidak tergoda dengan gula-gula kerajaan persekutuan itu.
Seperti yang dijangkakan, kealpaan Zahid Hamid yang kini menerajui UMNO Pulau Pinang untuk menonjolkan calon BN yang mampu menewaskan calon PAS di DUN Permatang Pasir dilihat telah gagal, kerana rupa-rupanya
Rohaizat Othman bukanlah calon yang bersih untuk dipertaruhkan berhadapan dengan calon Parti Islam Se Malaysia itu.
Rohaizat Othman yang licik itu dilihat telah berjaya melepasi saringan
'audition' sehingga pemimpin tertinggi UMNO/BN tidak terhidu langsung betapa calon ini mempunyai masalah yang telah membebankan harapan UMNO untuk menjulang kejayaan '
1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang digagaskan oleh Datuk Seri Najib.Kekalahan Rohaizat yang hanya mampu meraih
5067 undi telah membenamkan maruah UMNO/BN ke dalam
'lubuk pasir' di Permatang Pasir. Calon PAS Tuan Haji Salleh Man dilihat begitu selesa dengan kemenangan yang diperolehinya. Beliau berjaya menambat hati
9618 pengundi yang mengundinya di dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang diumumkan kelmarin.
Kejayaan Salleh Man itu walaupun tidak disenangi oleh Datuk Seri Najib, namun Perdana Menteri dengan nada sinis menyatakan bahawa beliau mengetahui akan punca-punca kekalahan yang memalukan itu. Sementara itu, Timbalannya Tan Sri Muhyidin Yasin pula akur dengan kekalahan itu sambil mengakui bahawa faktor Anwar Ibrahim yang begitu dominan di kawasan ini adalah menjadi penghalang terbesar untuk UMNO memenanginya.
Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah merupakan pengundi di kawasan DUN Permatang Pasir. Sudah tentu pengaruhnya yang telah berakar sejak 1982 itu telah menjadikan kubu kuat PAS itu agak sukar untuk diruntuhkan.
Walaupun Anwar Ibrahim telah dinista sebagai
'pengkhianat Melayu' oleh rakannya sendiri Muhyidin Yasin, namun rakyat lebih mempercayai Anwar daripada Muhyidin. Pengundi Melayu di situ tidak boleh menerima tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu, sebaliknya rakyat Permatang Pasir amat marah kerana pemimpin mereka (Anwar Ibrahim) dilumat sedemikian rupa.
Jika benar Anwar dilabelkan sebagai pengkhianat Melayu, sepatutnya rakyat Permatang Pasir harus mengiyakan dakwaan Muhyidin Yasin itu dengan menewaskan calon Pakatan Rakyat itu. Senario yang berlaku ini amat jelas memperlihatkan betapa rakyat masih belum boleh beralih arah untuk menghukum Anwar Ibrahim.
Muhyidin dan Zahid Hamidi merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim semasa di dalam UMNO dahulu. Kedua-dua pemimpin UMNO ini gagal menandingi kehebatan pengaruh Anwar di Permatang Pasir, malah mereka terpaksa pasrah dengan kehendak rakyat Permatang Pasir yang telah diangkat sebagai 'anak emas' kerajaan persekutuan.
Kemenangan Salleh Man mengulangi kejayaan Allahyarham Hamdan di DUN Permatang Pasir sejak 1999 itu membuktikan rakyat di Parlimen Pauh dan di DUN berkenaan khususnya masih tegar dengan pendirian untuk mengekalkan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan di Pulau Pinang, manakala UMNO/BN hanya layak menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Hairannya, semasa berkempen rata-rata pemimpin UMNO tidak boleh menerima hakikat bahawa parti ini telah menjadi pembangkang di Negeri Pulau Pinang. Mereka sering menuding bahawa Pakatan Rakyat adalah pihak pembangkang, sedangkan Pakatan Rakyat telah dinobatkan sebagai kerajaan di negeri ini. PAS merupakan sebahagian daripada Pakatan Rakyat, walaupun hanya memenangi satu kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri.
Agak mengecewakan juga apabila keceluparan kenyataan Ismail Sabri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam sidang medianya di Permatang Pasir telah mencabar Pakatan Rakyat yang didakwanya sebagai 'pembangkang' supaya membuktikan kepadanya jasa-jasa yang telah diberikan untuk faedah rakyat selama memerintah negeri ini. Janganlah angkuh sangat dengan kenyataan yang boleh
'back fire' kepada UMNO sendiri.
Takkanlah UMNO sahaja yang layak untuk menjadi pejuang rakyat. Jika begitu andaiannya lebih baik beliau mencadangkan di Dewan Rakyat nanti supaya parti-parti yang menjadi alergiknya itu diharamkan sahaja....
Apa pun diharapkan UMNO dapat melakukan muhasabah secara tuntas dan merelakan parti ini untuk dibedah siasat supaya bebas daripada bibit-bibit kemarahan rakyat di negara ini. Kejayaan yang lebih cemerlang tidak mudah tercapai di dalam PRU13 nanti jika UMNO tidak mampu untuk menjenamakan hala tuju perjuangannya.