assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, August 26, 2009

'ANAK EMAS' YANG DITOLAK OLEH RAKYAT PERMATANG PASIR

Permatang Pasir 'Anak Emas'?

Jika melihat kain rentang Barisan Nasional ini, DUN N.11 Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat PAS sejak 1999 telah diiktiraf sebagai 'anak emas' kepada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Sri Najib Tun Razak. Terpampang jelas gandingan foto Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan bahawa 'Permatang Pasir' sememangnya telah menjadi 'anak emas' mereka.

Apakah aku janji 'anak emas' terhadap Permatang Pasir ini akan kekal di hati kedua-dua pemimpin BN ini, walaupun rakyat di situ enggan beralih arah untuk menduka larakan PAS dan Anwar Ibrahim yang begitu dekat di hati mereka?

Keputusan rakyat di DUN Permatang Pasir yang telah menolak UMNO/BN dengan menobatkan kejayaan calon PAS Tuan Haji Salleh Man (Foto) di dalam pilihan raya kecil di kubu kuat Anwar Ibrahim ini jelas memperlihatkan betapa rakyat di situ tidak tergoda dengan gula-gula kerajaan persekutuan itu.

Seperti yang dijangkakan, kealpaan Zahid Hamid yang kini menerajui UMNO Pulau Pinang untuk menonjolkan calon BN yang mampu menewaskan calon PAS di DUN Permatang Pasir dilihat telah gagal, kerana rupa-rupanya Rohaizat Othman bukanlah calon yang bersih untuk dipertaruhkan berhadapan dengan calon Parti Islam Se Malaysia itu.

Rohaizat Othman yang licik itu dilihat telah berjaya melepasi saringan 'audition' sehingga pemimpin tertinggi UMNO/BN tidak terhidu langsung betapa calon ini mempunyai masalah yang telah membebankan harapan UMNO untuk menjulang kejayaan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang digagaskan oleh Datuk Seri Najib.

Kekalahan Rohaizat yang hanya mampu meraih 5067 undi telah membenamkan maruah UMNO/BN ke dalam 'lubuk pasir' di Permatang Pasir. Calon PAS Tuan Haji Salleh Man dilihat begitu selesa dengan kemenangan yang diperolehinya. Beliau berjaya menambat hati 9618 pengundi yang mengundinya di dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang diumumkan kelmarin.

Kejayaan Salleh Man itu walaupun tidak disenangi oleh Datuk Seri Najib, namun Perdana Menteri dengan nada sinis menyatakan bahawa beliau mengetahui akan punca-punca kekalahan yang memalukan itu. Sementara itu, Timbalannya Tan Sri Muhyidin Yasin pula akur dengan kekalahan itu sambil mengakui bahawa faktor Anwar Ibrahim yang begitu dominan di kawasan ini adalah menjadi penghalang terbesar untuk UMNO memenanginya.

Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah merupakan pengundi di kawasan DUN Permatang Pasir. Sudah tentu pengaruhnya yang telah berakar sejak 1982 itu telah menjadikan kubu kuat PAS itu agak sukar untuk diruntuhkan.

Walaupun Anwar Ibrahim telah dinista sebagai 'pengkhianat Melayu' oleh rakannya sendiri Muhyidin Yasin, namun rakyat lebih mempercayai Anwar daripada Muhyidin. Pengundi Melayu di situ tidak boleh menerima tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu, sebaliknya rakyat Permatang Pasir amat marah kerana pemimpin mereka (Anwar Ibrahim) dilumat sedemikian rupa.

Jika benar Anwar dilabelkan sebagai pengkhianat Melayu, sepatutnya rakyat Permatang Pasir harus mengiyakan dakwaan Muhyidin Yasin itu dengan menewaskan calon Pakatan Rakyat itu. Senario yang berlaku ini amat jelas memperlihatkan betapa rakyat masih belum boleh beralih arah untuk menghukum Anwar Ibrahim.

Muhyidin dan Zahid Hamidi merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim semasa di dalam UMNO dahulu. Kedua-dua pemimpin UMNO ini gagal menandingi kehebatan pengaruh Anwar di Permatang Pasir, malah mereka terpaksa pasrah dengan kehendak rakyat Permatang Pasir yang telah diangkat sebagai 'anak emas' kerajaan persekutuan.

Kemenangan Salleh Man mengulangi kejayaan Allahyarham Hamdan di DUN Permatang Pasir sejak 1999 itu membuktikan rakyat di Parlimen Pauh dan di DUN berkenaan khususnya masih tegar dengan pendirian untuk mengekalkan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan di Pulau Pinang, manakala UMNO/BN hanya layak menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Hairannya, semasa berkempen rata-rata pemimpin UMNO tidak boleh menerima hakikat bahawa parti ini telah menjadi pembangkang di Negeri Pulau Pinang. Mereka sering menuding bahawa Pakatan Rakyat adalah pihak pembangkang, sedangkan Pakatan Rakyat telah dinobatkan sebagai kerajaan di negeri ini. PAS merupakan sebahagian daripada Pakatan Rakyat, walaupun hanya memenangi satu kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri.

Agak mengecewakan juga apabila keceluparan kenyataan Ismail Sabri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam sidang medianya di Permatang Pasir telah mencabar Pakatan Rakyat yang didakwanya sebagai 'pembangkang' supaya membuktikan kepadanya jasa-jasa yang telah diberikan untuk faedah rakyat selama memerintah negeri ini. Janganlah angkuh sangat dengan kenyataan yang boleh 'back fire' kepada UMNO sendiri.

Takkanlah UMNO sahaja yang layak untuk menjadi pejuang rakyat. Jika begitu andaiannya lebih baik beliau mencadangkan di Dewan Rakyat nanti supaya parti-parti yang menjadi alergiknya itu diharamkan sahaja....

Apa pun diharapkan UMNO dapat melakukan muhasabah secara tuntas dan merelakan parti ini untuk dibedah siasat supaya bebas daripada bibit-bibit kemarahan rakyat di negara ini. Kejayaan yang lebih cemerlang tidak mudah tercapai di dalam PRU13 nanti jika UMNO tidak mampu untuk menjenamakan hala tuju perjuangannya.




Tuesday, August 25, 2009

ZAHID MENJANGKAKAN BN MENANG, TAPI PAS YANG HAMPIR MENANG BESAR?

TERKINI di Permatang Pasir....Malam tadi ketika saya sempat menonton berita di TV3, Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zahid Hamidi berkata beliau yakin BN kali ini akan menang menewaskan calon PAS di Permatang Pasir.

ManakalaTimbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin juga turut optimis bahawa BN kali ini yang mempertaruhkan Rohaizat yang dikatakan banyak masalahnya bakal memenangi pilihan raya kecil di Permatang Pasir. Boleh dikatakan UMNO/BN begitu yakin memenangi kerusi ini setelah melihat perkembangan mutakhir yang melibatkan ADUN Lunas daripada PKR yang telah melompat menjadi anggota Bebas dua hari lalu.

Namun begitu tinjauan lewat petang ini menyaksikan betapa sukarnya UMNO/BN untuk menjangkakan kemenangan yang diimpikan itu. PAS diramalkan akan memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar, tidak jauh daripada keputusan pada pilihan raya umum tahun lepas.

Menurut sumber PAS, calonnya Mohd Salleh Man mendapat 9712 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5050 undi.

Bekas ADUN allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat majoriti 5,433 undi - kemenangan PAS kali ketiga di kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999.


Saturday, August 22, 2009

SALAM RAMADAN DAN SELAMAT BERPUASA


MARI KITA MENGHAYATI HADIS INI:

1. Daripada Abu Hurairah menyatakan: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.

(Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.

(Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Tuesday, August 18, 2009

DUA PENJURU....PAS BERTEMBUNG BN DI DUN PERMATANG PASIR.
Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon BN dan PAS. BN kali ini yang menjadi 'pembangkang' di Pulau Pinang telah meletakkan calonnya Rohaizat Othman yang telah menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.03 pagi di pusat penamaan calon, akan bertemu dengan calon PAS, Salleh Man pada pilihan raya 25 Ogos 2009.

Mohd. Salleh Man ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, manakala Rohaizat Othman pula merupakan SU UMNO Bahagian Permatang Pauh.

Selepas kedua-dua calon menyerahkan borang pencalonan masing-masing, di saat-saat akhir calon Bebas yang pernah bertanding pada tiga pilihan raya kecil yang lalu, Kamarul Ramizu datang ke pusat penamaan calon tetapi tidak sempat untuk menyerahkan borang pencalonannya.

Pilihan raya kecil kali ini merupakan yang ke-8 selepas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau, DUN Batang Ai, DUN Penanti dan juga DUN Manek Urai.

Daripada tujuh pilihan raya kecil yang telah diadakan sebelum ini, BN hanya mampu memenangi kerusi di DUN Batang Ai, di Sarawak sahaja, manakala yang lainnya telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat.


Sunday, August 16, 2009

TAHNIAH KEPADA USTADZ AKHIL HAYY & WAHEEDA

Kemesraan selepas diijab kabul

Bekas isterinya, bertudung merah.

Episod kedua-dua mereka berakhir di jinjang pelamin juga.
Tahniah kepada Ustadz Akhil Hayy dan Waheeda. Janganlah hendaknya kebahagiaan ini sehingga Ustadz Akhil Hayy terlupa kebahagiaan anak-anaknya yang masih memerlukan perhatian kamu wahai Ustadz....

Kepada bekas isterinya diharapkan bersabar dan tabah menghadapi ujian hidup ini. Peliharalah anak-anakmu itu dengan sebaik-baiknya. Mungkin ada hikmah yang tersirat di sebalik ujian ini.


Friday, August 14, 2009

AL-FATIHAH BUAT 'VOKALIS RABBANI' ALLAHYARHAM USTADZ ASRI IBRAHIM..

Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Mohamad Asri bin Ibrahim (Vokalis kumpulan Rabbani) yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi kelmarin (13 Ogos) akibat serangan sakit jantung. Semoga beliau dicucuri rahmat dan diletakkan bersama golongan mukminin dan solihin. Salam takziah dari kami, warga locengwangsa.blogspot.com.

Allahyarham tiba-tiba telah rebah ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.45 pagi pada 13 Ogos 2009. Setelah diperiksa, Ustadz Asri dikatakan telah meninggal dunia dan kemudiannya Allahyarham telah dibawa ke hospital. Jenazahnya telah dikebumikan selepas solat maghrib.

Ustadz Asri Ibrahim dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Kelang. Menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak 1 Mac 1997. Kumpulan Rabbani di bawah pimpinannya telah memenangi banyak anugerah sebagai pengiktirafan kepada kumpulan nasyid ini. Ustadz Asri bukan sahaja memiliki suara lunaknya di dalam bernasyid, malah suara azannya juga sering berkumandang di stesen TV RTM.

Kepada isteri dan anak-anaknya, bersabarlah dengan u,jian ini. Ingatlah juga bahawa Allah lebih menyayanginya.


Monday, August 10, 2009

PILIHAN RAYA KECIL DUN PERMATANG PASIR. PENAMAAN CALON 17 OGOS, PENGUNDIAN 25 OGOS.

Terkini.
Pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos, dan penamaan calon pula pada 17 Ogos. Umat Islam dijangka akan menyambut awal Ramadan pada 22 Ogos ini.

Demikian pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof pagi ini. Pengerusi SPR itu berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan pilihanraya kecil itu dalam bulan puasa "ia merupakan masa yang palng sesuai sekali untuk menyelesaikan secepat yang boleh kerana umat sedang berpuasa".

"Waktu itu juga merupakan masa cuti sekolah," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Putrajaya hari ini. Pilihanraya kecil kelapan ini diadakan ekoran kematian ADUN tunggal di negeri tersebut, Datuk Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu.

Permatang Pasir adalah satu daripada tiga kerusi negeri dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Kubu kuat PAS ini dipertahankan selama tiga penggal berturut-turut oleh allahyarham sejak pilihanraya umum 1999, sewaktu memuncak kemarahan orang ramai susulan insiden pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno.

Di dalam perkembangan yang berkaitan, PAS dijangka akan mencalonkan ayam tambatannya 'Mohamad Sabu' untuk bersabung dengan calon UMNO yang bakal diumumkan nanti. Mat Sabu merupakan ahli jawatankuasa pusat PAS. Selain Mat Sabu, Peuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man juga berada di dalam senarai pendek untuk dipertimbangkan sebagai calon di Permatang Pasir.

Pilihan raya kecil ini dijangka sengit, kerana UMNO ingin membuktikan betapa parti ini semakin diterima rakyat setelah pencapaian undi yang diperolehinya di dalam pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.