LEBIH DUA MINGGU TIDAK BERSUA
Salam kepada semua!
Saya mohon maaf kerana sudah lama tidak posting di dalam ruangan ini. Kali terakhir saya muncul ialah pada 12 Jun lalu. Pada masa itu saya masih berada di Bintulu kerana terpaksa menghadiri mesyuarat bersama dengan Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Ketua-Ketua Kaum (KK) dalam daerah Bintulu untuk memberikan taklimat mengenai 'Kor Keselamatan Komuniti 69 Daerah Bintulu' yang bakal ditubuhkan oleh Skuad 69 PDRM Sarawak.
Mesyuarat tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu, di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Hari Jumaat, 12 Jun 2009, kira-kira jam 9.00 pagi. Turut hadir di dalam mesyuarat itu ialah wakil Residen, Cik Nursyarmilla Jeruis dan Timbalan Ketua PBB DUN Jepak, Encik Shamsuddin Abd. Razak. Saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat tersebut.


Kali ini agak lama juga saya berada di Sarawak. Saya baru saja pulang ke Kuala Lumpur semalam, 24 Jun 2009, setelah tiga hari berada di Kota Kinabalu, Sabah dan 15 hari di Sarawak.
(Foto Atas - Gambar beramai-ramai di Dewan Assyakirin. Foto Bawah: Sesi Ceramah Penerangan di ParkCity Mall, Bintulu)
Semua urusan berjadual semasa saya berada di Sabah dan Sarawak telah dapat berjalan dengan lancarnya. Di antara program yang terlaksana di Sarawak ialah 'Pameran Keamanan SatuMalaysia' yang diadakan pada 19, 20 dan 21 Jun 2009, di ParkCity Mall, Bintulu.
Selain mengadakan pameran, kami daripada Skuad 69 PDRM Sarawak juga telah mengadakan majlis 'Pengisahan Perjuangan Menentang Komunis PARAKU di Sarawak' bersama-sama dengan Ketua-Ketua Kaum dan Pengerusi JKKK Daerah Bintulu di Balai Raya Assyakirin, di Bintulu. Majlis ini telah diadakan pada hari Jumaat, 19 Jun 2009, bermula jam 9.00 pagi; yang telah dirasmikan oleh Encik Ismawie Salleh, Timbalan Residen Bahagian Bintulu.
Semasa di Bintulu juga, Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya buat kali ke-III pada Sabtu, 20 Jun 2009, di New World Suites, Bintulu. Sementara di sebelah malamnya pula kami telah mengadakan majlis makan malam yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, ADUN Jepak yang juga Pengerusi SEDC Sarawak.(Foto di New World Suites Bintulu - Datuk Talib Zulpilip di tengah-tengah bersama-sama dengan DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM)
Sepanjang tiga hari program 'Jelajah Amal Keamanan Satu Malaysia' diadakan di Bintulu, kami amat terharu dengan sambutan dan juga kerjasama yang telah diberikan oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit, di antaranya Pejabat Residen Bahagian Bintulu sendiri, pejabat Daerah Bintulu, Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Belia dan Sukan Daerah, Jabatan Penerangan Daerah, Jabatan Pertahanan Awam, AADK dan juga pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.
Liputan media yang diberikan oleh Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Borneo Post, See Hua Daily, Sin Chew Daily, Eastern Times dan juga RTM sepanjang tiga hari program itu berjalan juga amat mengharukan kami. Setiap hari berita dan juga maklumat tentang aktiviti kami telah disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan.
Saya memohon maaf kepada rakan-rakan seperjuangan di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa kerana tidak sempat untuk bersama-sama meraikan persidangan tahunan UMNO cawangan-cawangan yang sedang berjalan.
Kali terakhir saya sempat menghadiri persidangan cawangan ialah di UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya di mana cawangan tersebut telah mengadakannya pada 5 Jun yang lalu dengan penuh kemeriahan. Sebagai wakil UMNO Bahagian, saya juga sempat diberikan peluang oleh tuan rumah untuk menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Abang Yatim Mohamad, Ketua UMNO Cawangan Kg. Loke Yew kerana telah memaklumkan kepada saya bahawa persidangan tahunan UMNO Cawangannya yang diadakan pada ahad lalu, 21 Jun telah mencalonkan diri saya sebagai salah seorang calon G7. Abang Yatim sendiri telah menelefon saya di Sarawak tentang perkara ini.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dimyati Jafaar, Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju yang juga telah memaklumkan tentang perjalanan persidangan cawangannya yang diadakan pada 20 Jun yang lalu.
Begitu juga kepada Puan Norsiah yang telah menelefon saya bahawa dirinya telah dilantik sebagai Ketua UMNO Cawangan KLSC. UMNO Cawangan KLSC tidak dapat menyempurnakan persidangannya pada tahun 2008 yang lalu. Saya mengucapkan tahniah kepada Norsiah!
Untuk makluman semua, Cawangan saya, iaitu UMNO Cawangan Bukit Wangsa akan bersidang pada 29 Jun ini, jam 8.00 malam, bertempat di Perkarangan Blok C11 Seksyen 10 Wangsa Maju. Semua rakan-rakan seperjuangan saya di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa dijemput hadir ke persidangan tersebut.
Seperti biasa, selepas ini saya bersedia dengan isu-isu semasa yang bakal dikupas untuk tatapan anda yang masih setia dengan locengwangsa.















