Terengganu bergolak lagi.....kali ini Menteri Besarnya Datuk Ahmad Said (Lihat foto) terasa dirinya akan menerima undi tidak percaya daripada sebilangan ADUN Barisan Nasional sendiri di dalam Persidangan DUN yang sedang berlangsung.Dalam reaksinya ketika mengulas isu ini, Ahmad Said telah memberi amaran keras kepada mana-mana ADUN BN yang berhajat untuk mengemukakan dan yang menyokong usul undi tidak percaya terhadapnya agar tidak berbuat demikian. Menurutnya, jika tindakan itu dibuat juga mereka yang terbabit akan dikenakan tindakan disiplin termasuk memecat Ahli Dewan Undangan Negeri yang berkenaan.
Menghangatkan lagi suhu yang kian membara ini tiba-tiba muncul tiga orang ADUN BN yang dikatakan telah menerima ugutan mengancam nyawanya, daripada SMS yang dihantar kepada mereka. SMS itu berbunyi "BAIK JANGAN TERUSKAN NIAT YB, YB TAK SAYANG NYAWA".

Lanjutan daripada ancaman ini, 10 orang ADUN Barisan Nasional telah mengambil ketetapan untuk tidak hadir di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang telah berlangsung selama dua hari itu. Kesepuluh-sepuluh ADUN ini dilihat tidak berpihak kepada Menteri Besar, sebaliknya kelibat mereka dikatakan menongkah arus sehingga timbul kesangsian kononnya mereka ini jugalah yang dikatakan bakal mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Datuk Ahmad Said.
Ugutan SMS yang berbau ancaman nyawa itu juga menguatkan lagi andaian wujudnya ketegangan diantara kabilah yang menyokong Ahmad Said dan kabilah yang tidak mahu menerimanya lagi sebagai Menteri Besar. Kemelut ini menyaksikan berlakunya perpecahan dalaman yang tidak menguntungkan UMNO yang baru saja bermegah dengan peralihan kuasa yang menobatkan Dato' Sri Najib sebagai Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri.
Nampaknya UMNO Terengganu tidak berminat untuk melihat kegembiraan yang sedang diraikan oleh UMNO sebaik saja mendapat Presidennya yang mahukan parti ini terus diperkukuhkan di akar umbi dengan berslogankan 'Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan".
Sepatutnya semua pihak di dalam UMNO Terengganu jangan membiarkan suhu yang berlalu dipanaskan semula. Tidak serikkah mereka dengan rakyat yang terpaksa menolak UMNO di Kuala Terengganu ketika diadakan pilihan raya kecil yang lalu akibat persengketaan yang tidak menggambarkan keserasian sesama sendiri.
UMNO Terengganu nampaknya tidak mahu bermuhasabah tentang kekalahannya itu, sebaliknya masih berminat untuk mengungkit dan menuding jari melemahkan pemimpinnya.Oleh itu kepada 10 ADUN BN yang hendak mengkhianati Menteri Besar pilihan Istana itu hendaklah mematuhi sahaja arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri supaya menghadiri persidangan DUN Terengganu yang sedang berjalan sekarang ini. Janganlah jadi 10 budak hitam yang sering menimbulkan masalah sehingga meruntuhkan kerajaan yang sudah dibina itu. Janganlah terlalu percaya dengan ugutan itu, seolah-olah Menteri Besar Terengganu itu seorang 'GEDEBE'?
Janganlah biarkan penyu terus menangis teresak-esak melihatkan gelagat pemimpin UMNO 'Ganu Kite' yang sering bercakaran sesama sendiri sehingga terlupa kuasa yang ada boleh terlucut jika UMNO terus bersengketa.

















































