assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, January 11, 2009

BN perlu kerja keras untuk menang di Kuala Terengganu..

BN perlu kerja keras untuk menang. Demikian saranan Pak Lah kepada jentera Barisan Nasional di Kuala Terengganu yang sedang menghadapi tekanan daripada 80,229 pengundi yang kelihatannya masih berpihak kepada ' Mohd. AbdulWahid Endut' daripada parti PAS.
Isu Wan Farid Wan Salleh yang dikatakan menjadi calon terbaik Barisan Nasional di Kuala Terengganu, begitu rimas diperkatakan oleh rata-rata warga pengundi di sana.
Saya tidak menjadi pelik jika calon BN ini ditolak oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat khususnya daripada parti PAS, tetapi saya menjadi 'terkejut biawak' kerana Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu ini masih mempunyai ramai musuh dalamannya yang begitu cenderong untuk melihat bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri ini tergolek di gelanggang sendiri.
Terkulai layu
Mereka ini tidak rasa bersalah langsung kepada Barisan Nasional untuk melihat Wan Farid yang dkatakan oleh Dr. Mahathir sebagai calon pilihan yang paling buruk, terkulai layu di negeri keropok lekor yang baru saja menghadapi kemelut perlantikan Menteri Besarnya. Isu puak dan kabilah di dalam UMNO di negeri ini begitu menebal sekali diperkatakan di dalam kehangatan berkempen di Kuala Terengganu ini.
Pengikut-pengikut setia kabilah tertentu di dalam UMNO negeri ini begitu cenderong untuk melihat faktor kekalahan Wan Farid nanti adalah berpunca daripada 'calon pilihan paling buruk' ini.
Pakai topi/Vest BN tapi caci calon BN
Mereka juga seolah-olah bersetuju dengan pendapat mantan Perdana Menteri yang juga menganggap Wan Farid sebagai calon proksi Pak Lah yang tidak lagi dicalonkan sebagai Presiden UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO Mac ini.
Inilah isu yang didendangkan sepanjang saya berada di Kuala Terengganu sejak hari sabtu yang lepas. Singgah berminum dan makan di beberapa buah warung kopi di sepanjang pantai Batu Burok hingga ke Bandaraya Kuala Terengganu telah menganggui selera saya untuk menikmati nasi dagang yang begitu saya idamkan apabila ke Kuala Terengganu ini. Bukan sahaja orang PAS yang menolak Wan Farid, tetapi orang-orang yang pakai topi dan vest BN pun turut bercakap-cakap tentang penolakan orang di sini terhadap Wan Farid.
bookie
Kedengaran juga pengundi-pengundi Cina begitu berminat untuk bertaruh memihak kepada calon PAS yang dikatakan bakal memenangi maraton pilihan raya kecil ini. Kehadiran Anwar yang telah menarik lautan manusia ketika mengetuai ceramah mega Pakatan Rakyat pada 6 Januari telah memikat sebahagian besar 'bookie' daripada rakan-rakan pengundi Cina yang melihat calon BN ini akan ditolak oleh pengundi-pengundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan calon pilihan Pak Lah ini.
Kempen Ezam memualkan
Mengikuti ceramah-ceramah yang dadakan oleh BN, terutama ceramah yang disampaikan oleh penyimpan 6 kotak perasuah pemimpin kerajaan BN (Ezam Mohd. Noor) dan konco-konconya yang pernah menelanjangkan kemunkaran pemimpin-pemimpin UMNO suatu ketika dahulu, adalah sesuatu yang yang memualkan. Mereka ini lebih berminat untuk mencaci mantan sifunya sendiri (Anwar Ibrahim) , seolah-olah mereka tuli betapa Anwar begitu berpengaruh daripada mereka ini di Kuala Terengganu.
Kehadiran orang ramai yang kurang daripada 200 orang di pentas Ezam dan konco-konconya pada 10 Januari lalu tidak dapat mengatasi kebanjiran ribuan manusia di pentas YB Nurul Izzah Anwar yang diadakan pada malam yang sama. Lokman yang mengiringi Ezam di dalam majlis ceramah yang diadakan di Kg. Kolam, Jalan Sultan Sulaiman itu hanya mampu berseloka dengan pengalamannya ketika berada di dalam tahanan ISA. Ezam masih dengan retoriknya berdendam dengan bos lamanya (Anwar) dan tidak berani menceritakan semula betapa jijiknya perasuah-perasuah di dalam kerajaan BN yang pernah disemboyankan di serata pelusuk tanah air.
Tendang ke gawang sendiri
Ezam dan konco-konconya kelihatan tidak mampu untuk menarik simpati pengundi di Kuala Terengganu, sebaliknya serangan yang dilakukan oleh mereka ini banyak yang tersasar ke dalam gawang BN sendiri. Dirasakan juga betapa mereka ini tidak perlu lagi menyertai kempen di Kuala Terengganu yang masih berbaki lima hari ini, kerana track record mereka tidak membawa keuntungan kepada Wan Farid yang semakin risau melihat gerafnya dikatakan merudum.
Dakyah dan juga propaganda BN yang menyebut betapa Dr. Syed Azman ADUN Batu Burok daripada PAS begitu kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon PAS di Kawasan Parlimen Kuala Terengganu ini dilihat tidak menjadi, malah ianya memakan diri sendiri. Penolakan ketara yang dibuat oleh pengikut-pengikut kabilah tertentu di dalam UMNO Bahagian Kuala Terengganu terhadap Wan Farid, sebenarnya lebih berjaya tertonjol daripada sentimen kononnya Syed Azman menolak Wan Farid.
Dengan meneruskan sentimen seumpama ini akan mengundang pihak PAS untuk menyatakan betapa kecewanya Zubir Embong yang dikehendaki oleh pihak tertentu di dalam UMNO, tetapi ditolak kononnya Pak Lah yang berkehendakkan sangat Wan Farid ini.
Golongan desperado Kuala Terengganu
Golongan tertentu yang dikatakan menjadi 'desperado' di dalam UMNO Kuala Terengganu yang pro Allahyarham Datuk Razali Ismail dilihat tidak mampu untuk menyembunyikan perasaan kecewa dan marahnya mereka, kerana Kekanda Wan Farid sendiri telah bertanding mengalahkan Datuk Razali Ismail bagi jawatan Naib Ketua Bahagian Kuala Terengganu baru-baru ini.
Isu penurunan harga minyak yang terpampang di dalam kain-kain rentang BN juga dilihat tidak begitu menyengat, kerana mereka berkata Anwar sudah pun memperkatakannya terlebih awal sewaktu kerajaan BN menaikkan harga minyak dahulu. Menaikkan harga minyak yang keterlaluan sebelum ini dilihat oleh mereka betapa kerajaan BN tidak bijaksana, sehingga mengakibatkan keperitan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barangan lain yang tidak diturunkan.
Apa pun, diharapkan jentera BN dapat mencari formula yang boleh diterima oleh sebahagian besar pengundi yang kini begitu cenderong untuk menyaksikan Wan Farid tertiarap di dalam pilihan raya kecil ini.
Penebus maruah BN
Kemenangan Wan Farid di dalam pilihan raya kecil ini amat diperlukan untuk menjadi suntikan semangat dan penebus maruah kepada BN yang telah dimalukan di dalam pilihan raya umum yang baru lalu. Diharapkan juga Datuk Wan Farid lebih bersikap terbuka dan akur betapa rakyat akar umbi hari ini begitu meluat terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang digenangi dengan banyak masalah.
Janganlah Wan Farid tergolong daripada kalangan mereka yang telah tercemar ini. Sesungguhnya UMNO hari ini perlu berbanyak-banyak muhasabah untuk berani melakukan perubahan demi menggilapkan semula UMNO yang dikatakan berkarat ini.

BANGGA...UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN TURUT MEMBANTU WAN FARID

Sebagai salah seorang AJK Bahagian Setiawangsa di Wilayah Persekutuan, saya turut merasakan kebanggaan apabila melhat dengan mata kepala sendiri betapa dedikasinya komitmen yang ditunjukkan oleh Jentera Bilik Gerakan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang menggunakan sebuah rumah banglo yang terletak di Lorong Haji Husein di dalam Kawasan DUN Bandar di Kuala Terengganu ini (Lihat Foto di atas).
Saya bersama rakan-rakan yang ikut serta iaitu Zulkernain (Bendahari UMNO Cawangan Bukit Wangsa), Awaludin (AJK Cawangan Bukit Wangsa) dan Mazlan Hamid@Penghulu daripada UMNO Bahagian Wangsa Maju yang tiba di Kuala Terengganu kira-kira pukul 5.00 pagi, telah memulakan kunjungan awal kami di Bilik Gerakan UMNO Wilayah Persekutjan pada jam 10.30 pagi. (lihat gambar di bawah)
Kami amat berbangga dan berterima kasih kerana kunjungan kami telah mendapat layanan mesra daripada para petugas yang ada di situ. Kemesraan ini menjadi lebih akrab kerana Ketua Sekretariatnya Cikgu Ahmad Laili Tajul Arus adalah rakan karib saya. Yahya Tahir salah seorang AJK Bahagian Setiawagsa juga turut kelihatan bersama-sama dengan Romy Abd. Rahman yang juga merupakan petugas di bilik gerakan ini.
Syabas kepada semua petugas di Bilik Gerakan UMNO WP kerana cabaran getir mereka yang akan berhadapan dengan 4,665 pengundi yang terdiri daripada 2,932 pengundi Melayu dan 1,630 pengundi Cina dan 96 pengundi India.
Kesemua 4,665 jumlah pengundi yang berada di bawah pemantauan UMNO WP merupakan purata jumlah undi yang berada di dalam dua peti undi, iaitu Peti Undi Paya Bunga yang mengandungi 2,516 pengundi, dan Peti Undi Pantai yang mempunyai 2,149 pengundi.
Kecekalan hati petugas-petugas yang diketuai Cikgu Mat Laili terbukti telah menggalas banyak cabarannya. Maklum sajalah, di dalam kehangatan dan karenah pengundi yang masih berbelah bahagi untuk menerima calon BN yang penuh kontroversi ini, namun petugas-petugas BN daripada Bilik Gerakan UMNO WP tetap cekal dan menelan sahaja apa yang telah dilemparkan terhadap Barisan Nasional.
Tugas dan tanggungjawab untuk menggalas kejayaan tetap di hati mereka. Mereka kelihatan tidak berputus asa, kerana masih ada masa untuk mengatur langkah meyakinkan pengundi di dua peti undi ini.
Saya angkat topi dengan sahabat saya Datuk Kamarudin Ambok, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP yang dilihat begitu 'humble' tetapi sentiasa bertegas dengan tanggungjawab yang digalas.
Sewaktu kehadiran saya di Bilik Gerakan ini, kelihatan Datuk Kamarudin Ambok begitu teliti memerhatikan segala dokumen perangkaan mengenai
kecenderungan pengundi sambil beliau
memberikan nasihat yang berguna kepada para petugas untuk mengemaskinikan lagi jentera di Bilik Gerakan UMNO WP. (lLihat foto).
Kita doakan kejayaan buat BN yang sememangnya memerlukan kemenangan kali ini. Kita juga mendoakan supaya entiti kekuatan dalaman UMNO tidak mudah diperkotak katikan oleh pihak lawan sehingga kita terlupa untuk mencari noktah kedamaiannya. Perlakuan cah keting sesama sendiri sungguh tidak menguntungkan, kerana dengan gejala inilah yang mengakibatkan UMNO dilihat bercemperana, dan tidak lagi digemari oleh generasi hari ini.


Monday, January 5, 2009

Kuala Terengganu - Diantara hudud, rasuah dan dominasi Melayu. ...

Sekali lagi BN dan PR akan berentap di dalam satu pilihan raya kecil setelah berakhirnya episod kempen yang begitu panas di Kawasan Parlimen Permatang Pauh. Kali ini kawasan pilihan raya P.36 Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi tumpuan seluruh negara kerana esok 6 Januari akan diadakan penamaan calon bagi kawasan pilihan raya tersebut, dan sekiranya ada pertandingan maka hari pengundian bagi pilihan raya kecil P.36 Kuala Terengganu ini akan diadakan pada 17 Januari hadapan.
Barisan Nasional telah menamakan calonnya terlebih awal dimana Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri yang hanya akan melepaskan jawatan Timbalan Menterinya pada hari ini (5 Januari 2009) telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional.



Datuk Wan Farid juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu. dan dijanjikan akan dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri jika beliau menang di dalam pilihan raya kecil ini. Manakala Pakatan Rakyat pula telah merestui PAS untuk meletakkan calonnya sekali lagi di dalam pilihan raya kecil ini.
PAS telah memilih tarikh 1 Januari lalu untuk menamakan calonnya. Presidennya sendiri Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang telah mengumumkan nama calon PAS berkenaan. Calon tersebut ialah Mohd. Abdul Wahid Bin Endut yang juga ADUN Wakaf Mempelam iaitu salah satu Kawasan DUN di dalam Parlimen Kuala Terengganu. Mohd. Abdul Wahid Endut juga merupakan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu.
Dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu PAS telah mempertaruhkan Mat Sabu sebagai calonnya, tetapi calon ini telah tertewas di tangan calon BN Datuk Razali Ismail (Allahyarham) dengan jumlah undi yang kecil (625 undi sahaja).
Kuala Terengganu bukanlah kawasan dominan parti PAS ataupun BN. Mana-mana parti yang menang di kawasan ini, jurang majoriti yang tipis yang diperolehi oleh parti yang menang membuktikan betapa Kuala Terengganu begitu sukar untuk dibuat telahan parti mana yang bakal merangkul kemenangan.
Jika di Permatang Pauh, begitu kuat telahan yang memihak kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berjaya mengungguli bahawa Permatang Pauh adalah kubu kuatnya. Jika dia bertanding atas tiket apa sekali pun rakyat di kawasan Permatang Pauh akan memihak kepadanya. Sememangnya dominasi Anwar di Permatang Pauh telah berakar umbi sejak tahun 1982 lagi dimana beliau buat pertama kalinya bertanding atas tiket BN pada tahun berkenaan telah menewaskan calon PAS yang telah lama berkubu di kawasan tersebut.
Royalti Minyak
Tetapi Kuala Terengganu bukanlah Permatang Pauh. Begitu sukar untuk diramalkan, malah diantara PAS dan BN dilihat mempunyai peluang 50-50. Ini bergantung kepada isu yang akan dicanangkan oleh kedua-dua pihak. BN telah memulakan perang sarafnya lebih awal daripada PAS dengan pegumuman Timbalan Perdana Menteri menyerahkan sebahagian royalti minyak berjumlah RM400 juta kepada kerajaan negeri Terengganu yang pernah dituntut oleh kerajaan PAS sebelumnya.
Penyerahan royalti ini pula telah dibuat selepas kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, sekaligus menandakan bahawa kempen memikat hati rakyat sudah pun bermula untuk melaksanakan maraton kempen pilihan raya kecil di kawasan P.36 ini.
Tidak sekadar itu, malah hari ini juga Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Pelajaran telah mengumumkan peruntukan khas sejumlah RM58 juta untuk membagunkan infrastruktur pendidikan bagi sekolah-sekolah Cina di Negeri Terengganu. Beruntung sungguh MCA kerana begitu berjaya melicikkan kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO sehingga luruhnya berjuta-juta ringgit untuk menampung prasarana pendidikan masyarakat Cina di Terengganu.
Hudud diserulingkan semula
Pelbagai isu sensitif yang lain telah diketengahkan selagi isu berkenaan dilihat mampu meraih simpati dan sokongan rakyat. Isu hudud yang sudah lama tidak didendangkan, kali ini kedengaran diserulingkan lagi oleh pihak yang merasakan ianya mampu meraih sokongan rakyat.
Pihak media arus perdana sekali lagi membuat kupasan dan liputan seolah-olah hukum hudud ini suatu bentuk hukuman yang bukan daripada hukum Allah. Kelihatan isu ini diketengahkan seakan-akan hukum Allah ini boleh dipersendakan sebegitu rupa.
Persoalan ataupun cabaran samada hukum ini mampu dilaksanakan oleh PAS, sepatutnya tidak dibangkitkan oleh UMNO kerana PAS bukannya parti yang sedang memerintah samada di peringkat negeri Terengganu mahupun di perigkat persekutuan.
Lagipun sewaktu mereka memerintah negeri ini, PAS sudah pun melunaskan tanggungjawabnya setelah Dewan Undangan Negeri Terengganu meluluskan draf undang-udang hudud ini untuk dilaksanakan di negeri ini, namun ianya terbantut kerana tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh BN.
Memakan diri
Pada saya, isu yang diputarkan oleh UMNO yang mengakui parti ini sebagai sebuah parti Melayu dan Islam, akan memakan diri, kerana Kuala Terengganu bukannya kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan Islam yang boleh ditakut-takutkan dengan isu hudud. Kawasan Kuala Terengganu yang mempunyai kekuatan pengundi Melayu/Islam tentunya mereka tidak tergamak melihat hukum Allah ini dipersendakan oleh UMNO yang membanggai Konsep Islam Hadhari selama ini.
Tentunya PAS sebagai parti yang berwadahkan perjuangan Islam akan tetap mempertahankan hudud sebagai hukum Allah yang sedang diperlekehkan oleh UMNO dan BN. Janganlah dilaga-lagakan isu ini seolah-olah DAP sahaja yang layak dicabar supaya menolak hudud Allah ini, sedangkan di dalam BN pun ada parti yang sedarah kecinaannya dengan DAP, seperti MCA, Gerakan dan SUPP.
Siapa yang anti hudud?
Parti-parti kecinaan yang berada di bawah tempurung BN ini juga sebenarnya anti hudud. Apakah UMNO sanggup meletakkan partinya sebagai penentang hudud sebagaimana parti-parti Cina yang lainnya? Kita harus ingat bahawa hukum hudud di dalam Islam hanya diguna pakai kepada umat Islam tidak kira dia UMNO ataupun PAS. Tentunya hudud tidak dikuatkuasakan kepada pengundi DAP, MCA, Gerakan dan SUPP, kerana mereka bukan beragama Islam.
Tentunya kita akan marah sekiranya PAS akan menuding jari kepada kita dengan menyatakan bahawa UMNO juga dua kali lima dengan parti-parti itu yang dianggap jahil dengan hukum hakam Islam. Sepatutnya kita membahaskan persoalan hukum Allah ini dengan penuh santun dan cermat, bukannya mengheret isu ini sehingga undang-undang Islam ini dilihat sebagai tidak relevan di zaman moden ini.
UMNO terikut rentak tarian singa?
Janganlah sampai UMNO dilihat lebih kuat membenci undang-undang Islam daripada DAP, MCA dan lain-lain parti yang bukan Islam. Pemimpin-pemimpin parti ini yang keras membantah kerana sermemangnya mereka tidak faham mengenai Islam, tetapi yang malangnya kenapa UMNO harus terikut-ikut dengan rentak tarian singa itu?
Apakah kita rela melihat pemimpin UMNO, sudahlah tidak faham selok belok hukum hakam di dalam Islam, namun berlagak lebih arif dan berterusan pula memperkatakan hukum hudud ini secara dangkal? KJ di dalam satu forum di Kota Bharu pula dengan begitu bangga dan angkuh menolak undang-undang hudud ini dilaksanakan di negara ini tanpa rasa bersalah bahawa hukum yang dipersendakan itu adalah hukum Allah yang termaktub di dalam Al-Quran.
Jangan putar lagi lagu dangdut ini
Kenapakah kita berminat sangat untuk memperlekehkan hudud ciptaan Allah ini, semata-mata kerana ianya diperjuangkan oleh PAS? Lebih baik lagu-lagu dangdut ini jangan diputarkan lagi, akibatnya bukan sahaja boleh menambahkan kebencian pengundi-pengundi Islam di Kuala Terengganu terhadap UMNO, malah dibimbangi boleh merosakkan akidah kita terhadap kesyumulan Islam. Na'uzubillah!
Oleh kerana UMNO begitu kuat sangat memburuk-burukkan hukum hudud ini, maka sebab itulah Tuan Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS menyatakan mengundi PAS akan mendapat pahala.
Selain hudud, dipercayai isu rasuah juga akan bergema di dalam kempen-kempen pilihan raya kecil ini. Pastinya UMNO tidak berminat untuk memperkatakannya, kerana di dalam UMNO sendiri dilihat begitu tegar sekali aura rasuahnya.
Rasuah mengangkat dan menjatuh pemimpin
Musim pemilihan jawatan di dalam UMNO yang bermula Ogos tahun lalu dilihat begitu meriah dengan kerakusan penggila kuasanya dengan sajian berunsur rasuah untuk memikat ahli-ahli dan juga perwakilan untuk mengangkat dan menjatuhkan pemimpin tertentu; bukan sahaja ianya berlaku di dalam cawangan, malah telah melilit ke peringkat Bahagian sehingga ia menjadi bertambah parah menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO pada 25 Mac 2009.
Terlalu banyak aduan rasuah dibuat bukan sahaja telah dikemukakan kepada Lembaga Disiplin UMNO, malah terdapat juga aduan yang tersasar ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebagai penanda aras, sejauh mana ketegasan badan yang dianggap bebas oleh Pak Lah itu akan bertindak memerangi gejala rasuah yang membarah di dalam parti terbesar yang memimpin Barisan Nasional.
Parti pembangkang dari Pakatan Rakyat dijangka akan terus memperkatakan isu rasuah ini, kerana kebejatan rasuah ini dikatakan begitu dibenci rakyat, dan isu ini juga mudah memesongkan kecenderungan pengundi supaya beralih arah mengundi 'Mohd. Abdul Wahid Endut' daripada PAS. Mereka akan terus berkata bahawa kerajaan BN wajar ditukar kerana parti ini digenangi dengan masalah rasuah yang berpanjangan.
Difahamkan pihak Pakatan Rakyat juga sudah membuat aduan resmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perlakuan pemimpin-pemimpin kerajaan BN yang dikatakan terjebak dengan masalah rasuah selama ini. Mereka hendak menguji tindakan Suruhanjaya ini samada akan menjalankan siasatan tanpa memilih bulu ataupun membiarkan sahaja tersisip di dalam fail aduan.

Wan Farid benar-benar pilihan yang sangat buruk?
Satu lagi isu yang memilukan pihak UMNO dan BN ialah apabila bekas Presiden UMNO dan juga mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya telah menyifatkan bahawa calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh merupakan calon proksi Pak Lah yang akan mengelilingi Najib apabila menjadi Perdana Menteri kelak.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini sebagai "benar-benar pilihan yang sangat buruk".
Kenyataan Tun Dr. Mahathir ini dibimbangi akan dipergunakan oleh pihak Pakatan Rakyat untuk menggambarkan betapa kecelaruan yang berlaku di dalam kepimpinan UMNO. Kita berharap politiking di dalam UMNO terutama yang melibatkan Pak Lah dan Najib yang digembar gemburkan dewasa ini tidaklah benar, kerana jika ianya benar akan merumitkan lagi UMNO dan BN untuk memenangi pilihan raya kecil ini.
Apa pun andaian mengenai isu yang berbangkit nanti, kita mengharapkan tidak menjejaskan hasrat UMNO untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan hari ini. Kejayaan UMNO di dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini merupakan penebus maruah Barisan Nasional yang hampir ditolak oleh rakyat dalam PRU12 yang lalu. Sebaliknya, kecundangnya UMNO di dalam pilihan raya kecil kali ini akan menguatkan lagi hujah Pakatan Rakyat betapa UMNO tidak relevan lagi kepada orang Melayu.
Kepada semua pemimpin Melayu samada di dalam Pakatan Rakyat mahupun di dalam UMNO diserukan supaya tidak terlalu ghairah mengejar kuasa sehingga terlupa persengketaan yang berlarutan ini akan membawa akibat hilangnya kuasa Melayu di bumi Melayu ini. UMNO dan PAS haruslah bermuhasabah mengenai fenomena ini supaya kita tidak menerima sumpahan daripada generasi selepas ini. Carilah noktah pergeseran yang merugikan ini, supaya Islam dapat tertegak dengan kekuatan yang kita miliki.

Sunday, December 21, 2008

Wan Farid akan letak jawatan Senator untuk jadi calon BN di Kuala Terengganu..

Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri (Lihat Foto) telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan. Ia diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis pengumuman calon BN di Kuala Terengganu kelmarin (20 Dis 08).
Najib juga merupakan pengarah pilihanraya kecil tersebut. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Januari depan dan sekiraya ada pertandingan tarikh pembuangan undi ialah pada 17 Januari 2009.
PAS dijangka akan membuat pengumuman calonnya pada hari ini (21 Dis 08). Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail di Genting Highland pada 28 November lalu.

Di dalam PRU12 yang lalu, PAS telah mempertaruhkan Naib Presidennya Mohamad Sabu menentang calon BN Datuk Razali Ismail, tetapi beliau tertewas dengan majoriti yang kecil. Dari segi pungutan jumlah undi bagi keseluruhan pengundi di Kuala Terengganu dalam PRU12, jelas memperlihatkan calon-calon BN tidak berupaya untuk mengatasi majoriti yang diterima oleh calon-calon pembangkang. Sejumlah undi (lebih kurang 685 undi) yang diterima oleh calon Bebas dalam PRU12 lalu sudah cukup membuktikan populasi undi tidak berpihak kepada BN.
Namun begitu kita harus ingat bahawa pilihan raya kecil sumpama ini merupakan satu medan yang akan dipergunakan secara habis-habisan oleh pihak-pihak yang akan bertanding. Masing-masing meletakkan harapan untuk memenangi kerusi ini.
Kerajaan BN Terengganu dijangka akan menggunakan segala daya upaya mereka untuk meyakinkan rakyatnya terhadap BN, setelah menerima kekalahan yang teruk di Permatang Pauh. Begitu juga tentunya PAS yang berada di dalam Pakatan Rakyat akan digerakkan dengan segala kekuatan yang terdapat di seluruh negara untuk membuktikan parti mereka mampu membuat upset sebagaimana tercabutnya dominasi UMNO/BN di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, kelantan dan juga di Wilayah Persekutuan.
Sudah pasti peranan Anwar Ibrahim bakal merancakkan lagi siri kempen yang akan dijalankan di dalam pilihan raya kecil ini. Mungkinkah Anwar Ibrahim akan membuat pendedahan demi pendedahan terhadap Dato' Sri Najib dengan isu Altantuya yang bakal dihangatkan lagi? Begitu juga apakah akan berlaku lagi cabaran untuk melakukan sumpahan demi sumpahan sebagai kaedah untuk menghalalkan cara?
Untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap BN yang sedang tercalar ini, UMNO dan BN memang perlu menang untuk mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya dalam PRU12 lepas. Jika BN kalah kali ini di Kuala Terengganu ini merupakan satu tragedi malang yang terpaksa diterima oleh BN sebagai petanda betapa rakyat sudah tidak yakin lagi kepada UMNO.
Kehangatan berkempen untuk merebut jawatan tertinggi di dalam UMNO mungkin bakal melemahkan lagi jentera UMNO yang sepatutnya tertumpu kepada gerak kerja pilihan raya. Tentunya semua calon UMNO yang hendak bertanding di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac tahun depan akan berkampung di Kuala Terengganu sambil menyelam minum air.
Bagaimana pula masalah kabilah di dalam UMNO Terengganu yang sedikit sebanyak juga bakal menjadi faktor melemahkan jentera parti. Semua orang tahu kabilah Idris Jusoh yang disokong kuat oleh Pak Lah telah tercabar begitu hebat akibat bersengketa dengan satu lagi kabilah Ismail Said yang sedang memerintah negeri keropok lekor ini.
Lihat sajalah calon BN yang sudah diumumkan kelmarin merupakan bekas Setiausaha Politik Pak Lah semasa Pak Lah menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dahulu. Persoalannya ialah mengapa Wan Farid yang sudah menjadi Senator yang berkedudukan sebagai Timbalan Menteri dipilih juga sebagai calon BN kali ini? Apakah tidak ada calon wibawa yang lain di kalangan tokoh UMNO di Kuala Terengganu yang boleh ditonjolkan?
Tanpa memiih Wan Farid sebagai calon bukannya bermakna Wan Farid akan kehilangan jawatan Timbalan Menteri. Tetapi jika Wan Farid tertewas, bermakna tumpasnya seorang Timbalan Menteri di gelanggang sendiri.
Penyertaan Wan Farid di dalam pilihan raya kecil ini berkehendakkan beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Senator yang dengan sendirinya akan terlucut jawatan Timbalan Menteri yang disandangnya hari ini. Demikianlah risiko yang dihadapi oleh calon BN Wan Farid ini.
Keadaaan seperti ini jugalah yang telah berlaku di Permatang Pauh, dimana Datuk Arif Shah yang berkedudukan sebagai ADUN Seberang Jaya telah dicalonkan bertanding dalam piihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, sekaligus telah mengenepikan calon-calon lain yang mungkin lebih layak termasuk mengenepikan Datuk Jalil, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh yang telah berkecil hati.
Kita mengharapkan kelemahan dan kecuaian pihak pembangkang sahaja yang mungkin dapat memberikan signal untuk kemenangan calon BN kali ini. Disamping tegarnya sokongan akar umbi kepada PAS di kawasan ini, kita juga mengharapkan pengaruh Anwar Ibrahim tidak lagi mampu membolosi kubu BN kali ini.
Kegilaan pihak media terutamanya RTM dan TV3 termasuk media cetak arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian yang terlalu 'over reack' ketika membuat laporan juga bakal menjadi kemarahan sebahagian besar rakyat yang akan meluat dengan BN. Kesilapan Datuk Zam yang memperkudakan RTM menyebabkan rakyat tidak berminat untuk mengundi BN.



Monday, December 15, 2008

UMNO Bahagian Setiawangsa: Iltizam memperkasa pimpinan, merakyatkan UMNO


Dato' Sri Zulhasnan mempengerusikan mesyuarat


Dato' Sri Zulhasnan beramah mesra dengan Pemimpin Pemuda


Suasana Ramah Mesra Pemimpin UMNO Setiawangsa
Hampir semua ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa telah menyatakan janji di hadapan Ketuanya Dato' Sri Zulhasnan Rafique untuk memberikan sokongan dalam memperkasakan kepimpinan serta beriltizam untuk merakyatkan perjuangan UMNO khususnya di Bahagian Setiawangsa.
Pengakuan ini dibuat oleh ahli-ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa yang menghadiri mesyuarat pertamanya pada hari ahad 14 Disember yang lalu di bilik mesyuarat pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa.
Mesyuarat yang pertama ini telah bermula pada jam 9.05 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam telah dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Semua ahli jawatankuasa Bahagian yang terpilih di dalam persidangan perwakilan UMNO Bahagian yang lalu, kecuali Mohd. Rawi Hashim dan Ismail Che' Wan telah menghadiri mesyuarat tersebut.
Kelihatannya mesyuarat ini telah berjalan dalam suasana yang amat harmoni, juga menyaksikan keyakinan Dato' Sri Zulhasnan sendiri yang telah menerima sokongan padu daripada semua AJK ketika mereka menyampaikan ucapan masing-masing.
Bermula dengan Dimyati Jaffar sehinggalah kepada ucapan Naib Ketua Bahagian Dato' Ahmad Fauzi Zahari dan diakhiri dengan ucapan Timbalan Ketua Bahagiannya Dato' Abd. Halim Samad, kesemuanya begitu optimis dengan menyatakan sokongan padu kepada Dato' Sri Zulhasnan Rafique untuk merakyatkan perjuangan UMNO yang sedang bergelut dengan krisis keyakinan akar umbi.
Dato' Ahmad Fauzi Zahari sendiri di dalam ucapannya telah menyeru semua ahli jawatankuasa Bahagian agar sentiasa berpendirian teguh di belakang pucuk pimpinan dan jangan ragu-ragu untuk menangkis apa jua cemuhan yang dilemparkan kepada Ketua Bahagian selama ini.
Saya sendiri (Abdul Rahman Hashim) juga telah meminta supaya semua ahli jawatankuasa Bahagian sentiasa berada dalam posisi bersiap siaga untuk menghadapi apa jua cabaran yang terbentang sebagai persediaan menghadapi PRU13. Saya juga telah menggesa supaya setiap ahli jawatankuasa mengenepikan perkara remeh temeh dan tidak lagi mengamalkan budaya menuding jari, mencari kesilapan serta mengelakkan diri masing-masing daripada politik kabilah yang akan melemahkan UMNO.
Lain-lain ahli jawatankuasa seperti Othman Baba, Shaari Sidek, Yahya Tahir, Ahmad Laili, Haji Yusof Ishak, Razak Karim, Azhar Kassim, Yahya Bakar, Haji Osman Sab, Hamzah Marakan, Hamid Mayuni, Yatim Mohamad, Samad Saim, Roziana Osman, Abas Md. Dom dan Muner Nasution termasuk Ketua ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri juga telah menyatakan komitmen dan sokongan yang padu untuk memperkukuhkan jentera parti sebagai pernyataan harapan baru untuk UMNO Bahagian Setiawangsa.
Sementara itu dalam satu perkembangan lain, Dato' Sri Zulhasnan Rafique telah mengumumkan perlantikan semula Abdullah Mat sebagai Setiausaha UMNO Bahagian untuk sesi 2008-2011. Manakala bagi jawatan Ketua Penerangan, Bendahari dan 7 orang ahli jawatankuasa Bahagian tidak diumumkan di dalam mesyuarat kali ini, sebaliknya beliau menyatakan bahawa perlantikan tersebut akan diumumkan di dalam mesyuarat yang akan datang.
Sebaik sahaja selesai mengadakan mesyuarat tersebut, Ketua Bahagian dan ahli-ahli jawatankuasa Bahagian yang lainnya telah beramah mesra dengan Ketua-Ketua Cawangan 4 Peringkat yang turut dijemput untuk bersua mesra di dalam satu majlis jamuan ringan di perkarangan pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa. Turut meraikan majlis ini ialah Datin Sri Ana Razak, Isteri Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Saturday, December 13, 2008

Puteri Setiawangsa anjur pertandingan boling antara cawangan


Seriwani Sabtu

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan Pertandingan Boling Diantara Cawangan-Cawangan dalam Bahagian ini, pada hari Sabtu, 13 Disember 2008, bertempat di Ampang Bowl, Ampang Point, Selangor.
Pertandingan ini akan bermula pukul 9.30 pagi dan akan berakhir pada lewat tengahari. YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa akan merasmikan majlis penutupan seterusnya akan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Ketua Puteri Bahagian, Seriwani Sabtu (foto) menjemput semua pemimpin UMNO di dalam Bahagian Setiawangsa hadir di majlis perasmian penutup berkenaan. TAHNIAH...Pu3 Setiawangsa!

Thursday, December 11, 2008

UMNO BAHAGIAN SETIAWANGSA ADAKAN MESYUARAT AJK YANG PERTAMA 14 DISEMBER INI...

UMNO Bahagian Setiawagsa akan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa yang pertama pada hari Ahad ini, 14 Disember 2008, jam 9.00 malam, bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat UMNO Bahagian.

Notis mesyuarat tersebut yang ditandatangani oleh Abdullah Mat (Foto) Setiausaha UMNO Bahagian telah pun diedarkan kepada semua ahli jawatankuasa Bahagian minggu lepas. Saya sendiri telah menerima notis berkenaan.

Difahamkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian akan mengumumkan beberapa perlantikan pegawai dan juga ahli jawatankuasa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan UMNO.
Apa yang sudah pasti ialah jawatan Setiausaha Bahagian telah pun diketahui, kerana notis mesyuarat yang dikeluarkan itu telah pun ditandatangani oleh 'Abdullah Mat' sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa. Selain akan mengumumkan perlantikan pegawai dan ahli jawatankuasa yang lainnya, nama Pak Lak yang sudah diketahui sebagai Setiausaha Bahagian juga akan diumumkan dengan resminya (endorsement) di dalam mesyuarat 14 Disember nanti.
Jika Samsuri Shahrom selama ini mengidamkan jawatan Setiausaha Bahagian bagi menggantikan Pak Lah, adalah lebih baik beliau melupakan sahaja idaman itu, kerana jawatan itu telah pun diisi dengan Pak Lah yang telah dilantik semula oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Namun begitu, Samsuri juga pernah berkata kepada saya bahawa beliau juga idamkan jawatan 'Ketua Penerangan Bahagian' untuk menggantikan Haji Ahmad Hashim..? Apakah jawatan itu akan tersinggah ke pundak Samsuri kali ini? Sama-samalah kita tunggukannya pada 14 Disember nanti.




Saturday, December 6, 2008

Runtuhan menyembah bumi di Bukit Antarabangsa..



Akibat hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari ini telah menyebabkan tiga kejadian tanah runtuh berlaku di sekitar ibu negara, satu daripadanya berlaku di Ulu Yam, Selangor yang telah meragut dua nyawa adik beradik.
Selang beberapa hari sahaja, terjadi satu lagi runtuhan di Jalan Semantan dekat Damansara yang menimpa 14 buah kereta. Nasib baik tidak ada yang terkorban.
Kawasan Bukit Antarabangsa, Ulu Klang sekali lagi telah menyaksikan kejadian tanah runtuh berlaku. Kejadian yang menyayat hati ini telah berlaku secara tiba-tiba diantara jam 3.00 - 4.00 pagi, yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama ranap.
Setakat berita ini ditulis pasukan penyelamat telah menemui empat mayat yang tertimbus, dan gerakan mencari beberapa orang lagi yang dipercayai masih tertimbus sedang diperhebatkan. Diharapkan mereka yang tertimbus ini masih ada harapan untuk diselamatkan
Sementara itu, Datuk Thajudeen Abdul Wahab (Foto) Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri mengucapkan syukur kerana terselamat daripada kejadian itu. Salah sebuah banglo yang terlibat adalah miliknya, dan semasa kejadian itu berlaku beliau bersama keluarganya tidak berada di rumah tersebut kerana tidur di rumah ibunya di Kg. Bharu. Datuk Thajudeen terperanjat apabila melihat kejadian ini berlaku yang telah melibatkan banglonya.
Di dalam satu perkembangan lain pihak berkuasa telah mengarahkan lebih 3000 penduduk yang tinggal di lokasi berdekatan supaya berpindah segera, kerana bimbang kejadian susulan tanah runtuh ini akan berulang lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melawat ke tempat kejadian juga telah mengarahkan semua projek di kaki bukit sekitar Bukit Antarabangsa dihentikan sementara menunggu selesai kajian kestabilan tanah.

Sila lihat gambar-gambar kesan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa: