“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Monday, March 19, 2012
KADIR SHEIKH FADZIR AKHIRNYA KELUAR UMNO
“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Wednesday, March 14, 2012
BENARKAH ANWAR NAK HANCURKAN PALESTIN?
Kenyataan Anwar di dalam akhbar WSJ telah diperhangatkanseolah-olah Anwar benar-benar bersekongkol dengan Israel
nak menghancurkan rakyat Islam Palestin?
Isu Israel memang sensitif di negara ini. UMNO menuduh Anwarsehati sejiwa dengan Israel, begitu juga Pakatan Rakyat sering
menggunakan isu Apco untuk mengIsraelkan 1Malaysia?
Isu Israel telah menggamatkan Sidang Dewan Rakyat hari ini (14 Mac 2012). Anifah Aman, Menteri Luar ketika memberikan jawapan lisan di atas soalan asal yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Libaran berkata Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) lebih mementingkan keselamatan Israel daripada keselamatan Palestin sambil memetik apa yg dinyatakan oleh Anwar dalam AWSJ, namun Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Azmin Ali, Ahli Parlimen Gombak dari PKR membantah kenyataan itu sambil mendakwa bahawa Menteri Luar itu cuba berbohong kerana menurut Azmin Menteri Luar tu hanya membaca sekerat sahaja kenyataan Anwar sambil menyatakan bahawa Anifah Aman tidak memahami maksud Bahasa Inggeris seperti yang tertera di dalam akhbar itu.Persoalannya, benarkah Israel lebih disayangi oleh Anwar daripada Palestin, semata-mata kerana Anwar menggesa supaya Israel mengiktiraf negara Palestin, sebelum Israel diberi jaminan keselamatannya? Nampaknya ada yang terperangkap dengan 'persepsi negatif' semata-mata kerana wujudnya persengketaan politik diantara UMNO dengan Pakatan Rakyat.
Jika benar kita 'purely' anti Israel, lebih baik kerajaan memutuskan sahaja hubungan dengan negara sekutu terkuat Israel iaitu AS. Berbaik dengan AS memberi persepsi bahawa kita juga bersekutu dengan Israel, kerana negara itu bersekongkol dengan Israel menjahanamkan bumi Palestin. Namun begitu, saya tetap merasakan bahawa kerajaan Malaysia tidak sanggup berbuat demikian kerana negara kita masih banyak terikat dengan kepentingan-kepentingan tertentu.
Menyebut soal persepsi ini, saya teringat Tun Dr. Mahathir pernah menjawab soalan Ustadz Nakhaei Ahmad, Ahli Parlimen Baling dari PAS di Dewan Rakyat sekitar tahun 1980 bahawa "Pas lebih bahaya daripada Komunis" kerana beliau merujuk Firman Allah yang menyatakaan perbuatan memfitnah itu lebih bahaya daripada membunuh.
Pada Dr Mahathir, PAS disifatkan asyik membuat fitnah, manakala komunis pula kerjanya mengganas dan membunuh orang. PAS membantah kenyataan Dr. Mahathir itu kerana mereka tak mahu parti mereka dilabelkan sedemikian rupa. PAS menyatakan bahawa Dr Mahathir cuba membuat persepsi jahat terhadap parti mereka.
Demikianlah bahayanya 'persepsi negatif' yg dicanangkan oleh penggiat-penggiat politik yang sering terjebak dengan sindrom persengketaan. Diantara mereka kelihatan sering mengibarkan jalur keegoaan masing-masing.
Sunday, March 4, 2012
SIAPA CALON BN DI WANGSA MAJU, UMNO ATAU MCA?
Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Majudilihat lebih winnable menjadi calon BN Wangsa Maju kali ini.
Insya Allah, pada malam ini (4 Mac 2012) gerakan menyuntik semangat memperkasakan Barisan Nasional di hati rakyat akan diteruskan di kawasan Parlimen Wangsa Maju. Saya sendiri telah dijemput untuk bersemuka dengan pengundi akar umbi di situ untuk menyampaikan ceramah politik secara bergandingan dengan penceramah daripada Parti Gerakan dan juga MIC.
MCA kena ingat juga bahawa ramai juga calonnya akan bertanding di beberapa kawasan yang majoriti pengundi Melayu. Undi Melayu juga penting untuk kemenangan mereka, maka YTL harus bertegas untuk menukar pendiriannya menjadi lebih patriotik terhadap Barisan Nasional.
Saya berharap saya mampu untuk berhadapan dengan kemelut politik ini di dalam majlis ceramah yang dianjurkan oleh BN Wangsa maju pada malam ini (4 Mac 2012). Misi untuk menawan semula kerusi Parlimen Wangsa Maju bukanlah kerja yang mudah, namun kita meyakini kerja yang rumit ini akan menjadi lebih mudah jika kita yakin dengan kekuatan yang dimiliki.
Sunday, February 26, 2012
BADRUL AMIN DIDATANGI OLEH PEGAWAI JAIP SEJURUS DISERANG DAN DIKURUNG DALAM BILIK
(Ini bukan wanita yang disensasikan itu!)
Gambaran yang cuba diberikan ialah seolah-olah Dr. Badrul Amin berselingkuh dengan wanita itu yang datang bersama-sama anaknya dengan tujuan untuk mendapatkan perlindungan setelah wanita itu menghubungi Dr. Badrul Amin mengadu tentang keselamatan dirinya yang sering bertelingkah dengan suaminya selama ini.
Selepas beliau diserang oleh sekumpulan 20 orang yang datang secara tiba-tiba pada jam 2.30 pagi, lalu suami kepada wanita itu membawa lari isteri dan anaknya keluar dari premis itu, dan kemudian Ustadz Dr. Badrul Amin dikurung seorang diri dalam sebuah bilik sebelum pegawai JAIP datang menyerbu 20 minit kemudiannya.
Namun hari ini hampir semua media arus perdana telah mensensasikan berita ini secara ala pornografi yang memualkan. Saya merasakan rentetan isu ini sekali lagi akan menjadi bola tanggung kepada UMNO/BN, kerana jelas ia berunsurkan tuduhan dan fitnah yang dilarang oleh Islam.
Berikut ini ialah kenyataan penuh Ustadz Dr. Badrul Amin:-
Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.
Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.
Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.
Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.
Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.
Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.
Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.
Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.
Sunday, February 12, 2012
NAJIB DIMINTA JANGAN GADAI AQIDAH?



Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilihat selama ini sebagai mesra UMNO telah membuat teguran lagi supaya Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak tidak menghadiri upacara menyembah Tuhan bagi agama-agama lain seperti Thaipusam, kerana menurutnya perbuatan itu sebagai kufur dan ia boleh merosakkan aqidah.
Menurut Tan Sri Harussani lagi apabila kita menghadiri upacara perayaan seperti itu seolah-olah kita merestui agama mereka. Beliau menyatakan juga bahawa tindakan sedemikian sebagai syirik seterusnya meminta Dato' Sri Najib supaya jangan menggadaikan aqidah!
Mufti itu berkata dengan nada kecewa...."Kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan aqidah kita. Perkara ini serius kerana ia masalah aqidah, saya wajib tegur...kalau tidak mahu dengar, terpulang...".
Tan Sri Harussani Zakaria menyatakan demikian ketika mengulas kehadiran Dato' Sri Najib Tun Razak di dalam satu perayaan Hari Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lepas. Kehadiran Perdana Menteri dalam perayaan itu merupakan kunjungan kali ketiga sejak tahun 2010.
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.
Hari Thaipusam juga merupakan hari menunaikan nazar dan penganut Hindu juga mempercayai bahawa Hari Thaipusam merupakan hari menebus dosa di atas perbuatan dosa yang dilakukan selama ini.
Isu kehadirannya dalam perayaan agama Hari Thaipusam kini membangkitkan polemik yang mengundang keresahan seorang mufti yang begitu kecewa kerana Perdana Menteri tidak mempedulikan nasihatnya selama ini supaya jangan hadir lagi majlis-majis seperti itu.
Persoalannya sekarang ialah, mengapa Penasihat Agama Perdana Menteri Datuk Abdullah Zain dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Jamil Khir Baharom yang menjaga JAKIM termasuk ulamak-ulamak lain dalam UMNO terlepas pandang dengan masalah ini sehingga membiarkan Perdana Menteri kita membakul sampahkan pandangan ikhlas yang dilontarkan oleh Mufti Perak itu?
Apakah pandangan Mufti Perak itu tidak selari dengan syariat Islam? Adakah Harussani hanya memberikan pendapatnya terkeluar dari landasan fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan? Atau apakah Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa menghadiri majlis-majlis penyembahan Tuhan agama lain boleh diraikan juga oleh umat Islam?
Sememangnya benar bahawa Islam adalah agama resmi negara, manakala menganuti agama-agama lain juga menjadi hak kebebasan kepada penganutnya, tetapi di dalam agama Islam kita dilarang keras supaya tidak merayakan atau menyerupai orang kafir.
Seingat saya, Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak yang bersidang pada 19 Muharam 1425 bersamaan 11 Mac 2004 buat kali ke 162 telah membuat keputusan bahawa merayakan /menyerupai perayaan orang kafir adalah HARAM. Jadi, saya tidak pelik jika Mufti Perak mempertahankan ketetapan fatwa itu dengan meminta Perdana Menteri dan umat Islam supaya tidak menjadi kufur dengan perbuatan syirik itu.
Nasib baik kritikan pedas Mufti Perak itu tidak menjadi sajian berita di akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian atau pun dalam TV1/TV2/TV3 kerana yang ditegur itu ialah Dato' Sri Najib Tun Razak, bukannya Anwar Ibrahim atau Nik Aziz. Saya percaya jika teguran Harussani dibuat terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang terutama yang melibatkan Anwar, pasti berita itu akan disensasikan dengan berbagai-bagai pungutan pendapat sehingga melampaui batas yang melibatkan keImanan Anwar dipersoalkan.
Mungkin juga puak-puak PERKASA akan membuat sindiran pedas meminta umat Islam negara ini jangan mempercayai lagi Anwar kerana tidak berpegang lagi dengan aqidah Islam akibat perbuatan syiriknya menghadiri perayaan Hari Thaipusam itu. Najib boleh bersenang hati kerana media-media arus perdana ini tidak membuat kecaman terhadapnya, cuma Mufti Perak sahaja yang dilihat tidak bersimpati dengannya lagi.
Menghadiri rumah terbuka Deepavali atau Tahun Baharu Cina atau Hari Krismas tidaklah sama dengan menghadiri hari penyembahan Tuhan mereka. Sepatutnya biarkan mereka sahaja yang merayakan upacara penyembahan Tuhan masing-masing. Kenapa pulak kita mesti rasa terhambat untuk turut serta bersama-sama mereka?
Mungkin sekadar menyaksikan upacara itu tidak menyebabkan kita menjadi kufur, namun begitu sebagai pemimpin negara yang beragama Islam kehadirannya yang sebegitu rupa telah diraikan dengan meriahnya oleh penganut-penganut Hindu yang sedang mendewakan Dewa Murugan yang dikenali juga sebagai Dewa Subramaniam. Di sinilah sensitifnya kehadiran Najib pada Hari Thaipusam itu yang mendukacitakan Mufti Perak itu.
Wednesday, February 1, 2012
DARJAH 'SERI MAHKOTA WILAYAH' UNTUK DATUK SERI HALIM SAMAD
Datuk Seri Haji Abdul Halim Bin Abdul Samad, 73 merupakan Pengerusi KUB (M) Berhad, sementara jawatan politiknya pula beliau merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dan pernah menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wliayah Persekutuan seawal penubuhan Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.
Secara peribadi saya mengenali Datuk Seri Halim Samad sejak tahun 1979, kerana bermula pada tahun berkenaanlah saya membarisi Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinannya pada tahun 1979 hingga 1980, kerana pada masa itu sebagai Setiausaha Pemuda Bahagian saya turut mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Damansara bersama-sama dengan Ketua Pemuda Bahagian saya Allahyarham Zainuddin Bendahara dan Naib Ketuanya Zakaria Salleh. Pada masa itu Wilayah Persekutuan hanya mempunyai lima bahagian sahaja iaitu Setapak, Damansara, Kuala Lumpur Bandar, Sungai Besi dan juga Kepong.
Dalam era itu, Datuk Seri Abdul Halim Samad merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setapak. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa dan hari ini beliau masih lagi menjadi Timbalan Ketua UMNO di Bahagian Setiawangsa yang disandangnya sejak tahun 2004.
Sebagai seorang yang sudah lama bergelumang dalam kancah politik, Datuk Seri Abdul Halim Samad sewajarnya memperolehi pengiktirafan yang diterimanya hari ini. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Dato' Sri Najib Tun Razak melampaui jangka masa yang panjang selama 20 tahun. Justeru, beliau dilihat sebagai orang kepercayaan Dato' Sri Najib bukan sekadar urusan di kantor, bahkan beliau amat intim dalam hal-hal kekeluargaan Perdana Menteri itu.
Perlantikannya sebagai Pengerusi KUB (M) Berhad pada Disember 2009 merupakan suatu kepercayaan dan keyakinan tinggi Dato' Sri Najib Tun Razak kepada Datuk Seri Abdul Halim Samad untuk melakukan transformasi di dalam syarikat konglemerat Melayu yang ditubuhkan oleh UMNO sejak sekian lama dahulu.
Datuk Harun Idris dan Datuk Hasan Harun merupakan tokoh UMNO yang pernah menjadi Pengerusi KUB (M) Berhad. Kemunculan nama Datuk Seri Abdul Halim Samad merupakan suatu iltizam korporat sebagai warisan kesinambungan untuk menjadikan KUB (M) Berhad lebih inovatif dan semakin perkasa sejajar dengan aspirasi transformasi yang digagaskan oleh Perdana Menteri.
Datuk Seri Abdl Halim Samad tidak sekadar menjadi Pengerusi KUB (M) Berhad, malah beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif Stamford College Berhad dan terlibat juga menerajui beberapa buah syarikat korporat yang lainnya. Dalam arti kata yang lain, Datuk Seri Abdul Halim Samad bukan sahaja dikenali sebagai seorang pendidik di beberapa buah sekolah sebelum ini, malah beliau kini merupakan tokoh korporat Melayu yang innocent dan terbukti beliau berjaya dengan sifat-sifat low profilenya.
Tuesday, January 31, 2012
BUDAYA FITNAH BUKAN LAGI KEBATILAN?
Di antara fitnah besar pada zaman ini ialah budaya fitnah memfitnah dalam berpolitik. Ia adalah mainan kotor orang politik yang di warisi dari idelogi barat. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ianya semakin terserlah sebagai “political game” yang terhias indah pada segala medium massa rakyat sehingga ia menjadi budaya kepada pemain-pemain politik yang begitu rakuskan kuasa.
Malangnya orang orang politik yang beragama Islam pun turut serta dalam ‘political games” yang jijik ini kerana mungkin mereka tidak mahu tersingkir dari arena atau gelanggang politik. Mereka tergamak menghalalkan permainan kotor ini atas alasan terpaksa (darurat). Sebab itu kita sering berhadapan dengan tentangan dari golongan ini apabila kita kata fitnah, mengumpat, mengata, memaki hamun, mengaibkan orang walaupun dalam berpolitik, adalah haram, iaitu berdosa besar.
Mereka kata dalam berpolitik perbuatan ini di benarkan oleh Islam berdasarkan hukum fiqh (maslahat politik). Tetapi itulah akibatnya, kata Imam Ghazali, apabila seseorang hanya mengambil fiqh dalam membuat keputusan ke atas sesuatu masaalah (tanpa pertimbangan ilmu tasauf) maka dia akan menjadi sombong dan akan merasakan diri dia sentiasa betul dan benar malah terlalu sukar untuk menerima pendapat orang lain.
Golongan ini pada zahirnya dilihat berpegang kuat kepada agama, tetapi pada hakikatnya mereka mematuhi pendapat dan fikiran dangkal mereka sendiri. Mereka membuat keputusan mengikut kehendak hawa nafsu atas kecenderungan dan keperluan sentimen politik mereka. Mereka kemudian cuba menyesuaikan agama mengikut selera politik mereka. Maka mereka pada hakikatnya adalah golongan yang memperalatkan agama untuk kepentingan dan “survival” kejijikan politik.
Berwaspadalah! Jangan kita terjebak dengan kemungkaran politik seumpama ini. Berpolitik bukannya bermakna seseorang itu mesti berada di dalam limbah yang digenangi dengan najis sehingga kita tidak mampu lagi untuk membezakan di antara yang makruf dan yang mungkar.
Jika Allah berfirman bahawa orang yang melakukan perbuatan memfitnah itu adalah lebih merbahaya daripada perbuatan membunuh, maka sewajarnya kita menjiwai kalam Tuhan itu malah perbuatan haram itu wajib kita menjauhinya kerana di situ ada DOSA.
DOSA bukanlah eksklusif hanya kepada musuh politik kita sedangkan mungkin kita lebih berdosa kerana menabur fitnah sesama manusia sehingga ia tidak terkawal lagi. Melakukan fitnah bukannya Tuhan menjanjikan PAHALA sebaliknya kita yang mendapat BALA. Kadang-kadang kita terlupa dek kerana nafsu serakah membencikan seseorang yang dimusuhi, maka kita telah menjerumuskan diri dengan kemurkaan Allah. Jika itu terjadi, nescaya politik kita akan menjurus kepada bibit-bibit kemusnahan. Na'uzubillah!
Sedapat mungkin jauhkan diri dari berhubung atau berinteraksi dengan pemimpin politik atau dengan mereka yang gemar menabur fitnah, mengata, mencerca, mengumpat dan mengaibkan orang lain.
Apabila kita berhadapan dengan isu-isu yang berbaur fitnah yang di cetuskan oleh orang politik, jangan libatkan diri, kerana kita mesti percaya bahawa perebuatan jijik itu akan mengotorkan jiwa dan akhlak politik kita. Seelok-eloknya minta nasihat dan pandangan alim ulama yang bebas (yang tidak berpihak), Kerana jiwa seorang ulamak akan berpegang teguh dengan syariat Islam yang menggesa umatnya supaya lebih mencintai kebaikan daripada terjebak dengan amalan kemungkaran.
Ulamak Hasan Al-Basri Rahimahumullah pernah mengungkapkan kata-katanya:
“Sesungguhnya fitnah ini, jika dia datang maka sudah diketahui oleh setiap alim dan jika dia sudah pergi maka baru diketahui oleh setiap yang jahil.”
Maksudnya lebih kurang begini, kita sebagai insan biasa kadang kadang kita tidak tahu bahawa sesuatu isu itu adalah isu berbentuk fitnah sehingga kita terikut-ikut dalam menyebarkannya. Adalah lebih baik kita bertanya kepada alim ulama untuk mendapatkan nasihat sebelum kita bertindak. Jika ada pula di kalangan orang-orang alim yang bertindak mengikut jalur fahaman politik yang dianutinya maka dibimbangi dia juga akan terjerumus dengan serakah fitnah sehingga sanggup pula membuat kenyataan berperisa fitnah semata-mata menuruti kehendak orang yang bersangka jahat terhadap musuh politiknya.
Budaya fitnah pada suatu ketika dahulu situasi dan tempatnya sangat terpinggir dan terpencil serta tersembunyi tetapi kini ianya terserlah dan terpampang di dada akhbar serta terdapat juga yang dibukukan di dalam buku yang berkulit indah dan dijual dengan harga yang berpatutan, malah ada juga yang mahal, media elektronik juga tidak ketinggalan memberi ruang sepuas-puasnya kepada budaya buruk ini.
Laman blog dan facebook serta laman maya yang lain juga turut mengambil bahagian untuk memburukkan lagi persoalan tersebut. Oleh itu masyarakat kita dari berbagai kalangan meratahnya setiap hari.Fitnah telah dihias indah sehingga kelihatan ia bukan lagi KEBATILAN.
Peringatan untuk kita dari Surah Al-Hujurat Ayat 6 yang bermaksud:-
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".






