


Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilihat selama ini sebagai mesra UMNO telah membuat teguran lagi supaya Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak tidak menghadiri upacara menyembah Tuhan bagi agama-agama lain seperti Thaipusam, kerana menurutnya perbuatan itu sebagai kufur dan ia boleh merosakkan aqidah.
Menurut Tan Sri Harussani lagi apabila kita menghadiri upacara perayaan seperti itu seolah-olah kita merestui agama mereka. Beliau menyatakan juga bahawa tindakan sedemikian sebagai syirik seterusnya meminta Dato' Sri Najib supaya jangan menggadaikan aqidah!
Mufti itu berkata dengan nada kecewa...."Kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan aqidah kita. Perkara ini serius kerana ia masalah aqidah, saya wajib tegur...kalau tidak mahu dengar, terpulang...".
Tan Sri Harussani Zakaria menyatakan demikian ketika mengulas kehadiran Dato' Sri Najib Tun Razak di dalam satu perayaan Hari Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lepas. Kehadiran Perdana Menteri dalam perayaan itu merupakan kunjungan kali ketiga sejak tahun 2010.
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.
Hari Thaipusam juga merupakan hari menunaikan nazar dan penganut Hindu juga mempercayai bahawa Hari Thaipusam merupakan hari menebus dosa di atas perbuatan dosa yang dilakukan selama ini.
Isu kehadirannya dalam perayaan agama Hari Thaipusam kini membangkitkan polemik yang mengundang keresahan seorang mufti yang begitu kecewa kerana Perdana Menteri tidak mempedulikan nasihatnya selama ini supaya jangan hadir lagi majlis-majis seperti itu.
Persoalannya sekarang ialah, mengapa Penasihat Agama Perdana Menteri Datuk Abdullah Zain dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Jamil Khir Baharom yang menjaga JAKIM termasuk ulamak-ulamak lain dalam UMNO terlepas pandang dengan masalah ini sehingga membiarkan Perdana Menteri kita membakul sampahkan pandangan ikhlas yang dilontarkan oleh Mufti Perak itu?
Apakah pandangan Mufti Perak itu tidak selari dengan syariat Islam? Adakah Harussani hanya memberikan pendapatnya terkeluar dari landasan fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan? Atau apakah Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa menghadiri majlis-majlis penyembahan Tuhan agama lain boleh diraikan juga oleh umat Islam?
Sememangnya benar bahawa Islam adalah agama resmi negara, manakala menganuti agama-agama lain juga menjadi hak kebebasan kepada penganutnya, tetapi di dalam agama Islam kita dilarang keras supaya tidak merayakan atau menyerupai orang kafir.
Seingat saya, Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak yang bersidang pada 19 Muharam 1425 bersamaan 11 Mac 2004 buat kali ke 162 telah membuat keputusan bahawa merayakan /menyerupai perayaan orang kafir adalah HARAM. Jadi, saya tidak pelik jika Mufti Perak mempertahankan ketetapan fatwa itu dengan meminta Perdana Menteri dan umat Islam supaya tidak menjadi kufur dengan perbuatan syirik itu.
Nasib baik kritikan pedas Mufti Perak itu tidak menjadi sajian berita di akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian atau pun dalam TV1/TV2/TV3 kerana yang ditegur itu ialah Dato' Sri Najib Tun Razak, bukannya Anwar Ibrahim atau Nik Aziz. Saya percaya jika teguran Harussani dibuat terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang terutama yang melibatkan Anwar, pasti berita itu akan disensasikan dengan berbagai-bagai pungutan pendapat sehingga melampaui batas yang melibatkan keImanan Anwar dipersoalkan.
Mungkin juga puak-puak PERKASA akan membuat sindiran pedas meminta umat Islam negara ini jangan mempercayai lagi Anwar kerana tidak berpegang lagi dengan aqidah Islam akibat perbuatan syiriknya menghadiri perayaan Hari Thaipusam itu. Najib boleh bersenang hati kerana media-media arus perdana ini tidak membuat kecaman terhadapnya, cuma Mufti Perak sahaja yang dilihat tidak bersimpati dengannya lagi.
Menghadiri rumah terbuka Deepavali atau Tahun Baharu Cina atau Hari Krismas tidaklah sama dengan menghadiri hari penyembahan Tuhan mereka. Sepatutnya biarkan mereka sahaja yang merayakan upacara penyembahan Tuhan masing-masing. Kenapa pulak kita mesti rasa terhambat untuk turut serta bersama-sama mereka?
Mungkin sekadar menyaksikan upacara itu tidak menyebabkan kita menjadi kufur, namun begitu sebagai pemimpin negara yang beragama Islam kehadirannya yang sebegitu rupa telah diraikan dengan meriahnya oleh penganut-penganut Hindu yang sedang mendewakan Dewa Murugan yang dikenali juga sebagai Dewa Subramaniam. Di sinilah sensitifnya kehadiran Najib pada Hari Thaipusam itu yang mendukacitakan Mufti Perak itu.









