assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, November 11, 2011

SIAPA CALON BN SETIAWANGSA PRU13 NANTI?



Oleh Abdul Rahman Hashim

Jika Dato' Sri Najib berkata kriteria calon yang bakal diketengahkan dalam PRU13 nanti ialah calon yang boleh menang (winnable), tanpa mengira samada calo
n itu tua atau muda atau calon kitar semula atau di kalangan mereka yang pernah bertanding sebelum ini, maka di SETIAWANGSA P.118 terdapat beberapa nama yang boleh dipertimbangkan, diantara mereka itu ialah Dato' Sri Zulhasnan Rafique sendiri (Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa) menyandang jawatan Ahli Parlimen sekarang, begitu juga dengan Dato' Halim Samad (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa) dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa).



Nama-nama besar yang lain seperti Datuk Astaman Abd. Aziz (Mantan Ahli Parlimen Titiwangsa/Mantan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju) dan juga Dato' Izudin Ishak (Mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa) juga dilihat berminat m
enjadi calon menjelang PRU13.

Jika ditanya kelima-lima mereka ini samada bersedia untuk dicalonkan dalam PRU13 nanti di Setiawangsa, saya pasti mereka tidak akan menolaknya. Jadi terserahlah kepada Dato' Sri Najib untuk memilih yang terbaik di kalangan mereka. Terdengar juga desas desus, kemungkinan calon helikopter atau pun calon payung terjun juga bakal diletakkan bertanding di sini untuk berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat yang berjaya meraih undi besar di sebahagian besar peti-peti undi di bahagian pilihan raya P.118 Setiawangsa dalam PRU12 yang lalu.

Kemungkinankah Dato' Seri Shahrizat Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang kalah di tangan Nurul Izzah di Lembah Pantai dalam PRU12 lalu akan diterjunkan di Setiawangsa sekiranya pucuk pimpinan enggan mengekalkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique buat kali yang ke-4 bertanding di kawasan ini? Begitu juga terdengar bisikan kononnya Dato' Seri Jamil Khir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan cukup berpengaruh di kalangan anggota tentera di Mindef juga ada hati untuk mempertaruhkan diri sebagai calon BN di Setiawangsa.

Kedua-dua tokoh bertaraf senator yang berjawatan menteri ini dikatakan sedang meneropong kawasan selamat untuk membolehkan jangka hayat jawatan menteri yang sedang disandang sekarang ini tidak terhenti selepas PRU13. Walaupun nama Shahrizat disebut juga akan dicalonkan di Putrajaya kononnya untuk menggantikan Tengku Adnan yang dikatakan bakal menjadi TYT di sebuah negeri tidak beraja di negara ini, namun Setiawangsa dilihat lebih sinonim dengannya kerana beliau pernah berada di dalam syarikat konglomerat Island & Peninsular Berhad yang membangunkan kawasan Taman Setiawangsa beberapa tahun yang lalu sebelum Zulhasnan menjadi Ahli Parlimen di situ.



Di peringkat UMNO Bahagian Setiawangsa sendiri
masih belum ada ketetapan atau mandat rasmi untuk menamakan calon-calon yang layak untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti. Rasanya nama Ketua UMNO Bahagian itu, Dato' Sri Zulhasnan Rafique tidak menjadi masalah besar malah dilihat menjadi pilihan utama di kalangan Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa untuk mengekalkan namanya semula buat penggal yang ke-4 sebagai calon BN di Parlimen Setiawangsa.

Penyusunan jentera pilihan raya di peringkat BN Parlimen Setiawangsa juga memperlihatkan betapa bersungguh-sungguhnya Dato' Sri Zulhasn
an mempersiapkan diri untuk bertanding semula sebagai calon BN di kawasan ini.

Walaupun terdapat juga berbagai spekulasi kononnya beliau mempunyai harapan
tipis untuk dicalonkan semula, namun kelibat sinergi Ketua UMNO Bahagian ini dilihat semakin terdorong untuk mencipta sejarah dirinya buat kali yang ke-4, setelah menang pada tahun 1999 di Parlimen Wangsa Maju dan menang sekali lagi pada PRU 2004 di kawasan parlimen baru iaitu Parlimen Setiawangsa, dan beliau juga telah menang buat kali ketiga dalam PRU12 pada tahun 2008 di P118. Setiawangsa. Namun begitu sekiranya beliau tidak dicalonkan semula dalam PRU13, saya menjangkakan beliau tidak mempunyai masalah untuk memberikan sokongan padu kepada calon baru pilihan Dato' Sri Najib.

Sebagai ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa, saya pernah meng
ajukan persoalan ini kepadanya secara bersemuka di dalam satu majlis dailog seterusnya meminta beliau supaya tidak rasa kecundang dan mengharapkan beliau tidak 'menutup kedai' jika pucuk pimpinan tidak memilihnya lagi sebagai calon dalam PRU13. Secara tulus beliau memberikan jawapan jika itulah yang akan berlaku, beliau akan tetap memberikan sokongan demi untuk kemenangan parti.

Sebagai pemimpin UMNO Bahagian ini, beliau mahukan agar semua pihak di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa melipatgandakan usaha mengekalkan rekod tanpa kalah di Parlimen Setiawangsa. Beliau berjanji tidak akan bertindak songsang jika dirinya tidak dicalonkan semula.

Kemunculan nama-nama baru dalam ranking calon-cal
on BN Setiawangsa yang menjadi sebutan mutakhir ini bukanlah bermakna UMNO Bahagian ini berada dalam lingkaran keretakan. Walaupun wujud kabilah-kabilah tertentu yang mencanaikan 'kerja politik' untuk melonjakkan calon tertentu dalam ranking 'winnable candidate' tetapi ianya tidak membahang sangat sehingga keadaan tidak terkawal.


Zulhasnan sendiri memaklumi malah menyedari adanya pergerakan kabilah tertentu yang tidak disenanginya sedang mencuba nasib untuk menyaingi dominasi politik pimpinannya selama ini. Kemunculan Datuk Astaman di dalam arena Setiawangsa mutak
hir ini sedikit sebanyak telah mencuri perhatian beberapa pihak di kalangan pemimpin-pemimpin cawangan, terutama yang pernah menjadi penyokong setia semasa Astaman menjadi Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju sebelum kewujudan Bahagian Setiawangsa sekitar rahun 2001 - 2004.

Benarkah Datuk Astaman kini yang tidak memegang sebarang jawatan politik di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa menjadi faktor yang mengancam
kedudukan politik Dato' Sri Zulhasnan? Sekiranya itu menjadi faktor ancamannya, saya merasakan Zulhasnan akan berhadapan dengan satu lagi cabaran dimana kemunculan nama Dato' Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagiannya yang disebut-sebut semakin bersinar untuk menjadi calon baru yang winnable dalam PRU13 nanti.

Nama Fauzi Zahari dikatakan menjadi fa
vourite kerana beliau dikaitkan sebagai orang harapan Muhyiddin Yassin yang mengetuai Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan. Fauzi sendiri adalah Setiausaha Kerja BN Wilayah Persekutuan, dan beliau dikatakan di antara muka baru yang bakal dilonjakkan dalam saf calon-calon winnable pasca PRU13.

Dalam satu perkembangan lain, nama Dato' Halim Samad iaitu Tim
balan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa juga dikaitkan bakal dipertimbangkan menjadi calon BN di Setiawangsa jika Zulhasnan tidak dicalonkan. Sebelum ini nama beliau bagaikan tersisih atas faktor usia ketuaannya.

Namun apabila Perdana Menteri menyatakan kali ini kriteria menentukan calon tidak akan terikat dengan faktor usia muda atau pun tua, maka nama Halim Samad iaitu tokoh veteran yang pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Dato' Sri Najib ini tiba-tiba kelihatan semakin relevan untuk diketengahkan seganding dengan nama Dato' Fauzi Zahari dan juga Datuk Astaman Abdul Aziz. Dato' Halim Samad juga merupakan mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO WP dan mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setapak; dan kini beliau juga merupakan Pengerusi KUB (M) Berhad dan juga Pengerusi Eksekutif Stamford College yang beribu pejabat di Petaling Jaya.

Sementara itu, nama Dato' Izudin Ishak mantan Ketua P
emuda UMNO Bahagian Setiawangsa juga dikatakan menjadi favourite. Walaupun nama beliau tidak semekar dahulu, namun usahanya untuk meletakkan diri dalam ranking calon winnable di Setiawangsa tidak harus diperkecilkan.

Memperkatakan relevansi kelima-lima tokoh seperti Zulhasnan, Halim, Fauzi, Astaman dan Izudin sebagai calon BN yang sesuai untuk dipertandingkan
dalam PRU13, bukan bermakna hanya mereka berlima itu sahaja mempunyai kelayakan, malah UMNO Setiawangsa juga mempunyai beberapa nama lagi yang sesuai dan berkelayakan untuk menjadi calon.

KETUA-KETUA SAYAP UMNO SETIAWANGSA



Nama-nama besar seperti Hairunnisha Ismail, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Azmi Badarudin, Ketua Pergerakan Pemuda dan juga Seriwani Sabtu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiawangsa juga membarisi di antara tokoh tempatan yang layak untuk dikemukakan sebagai calon BN menjelang PRU13 nanti. Ketiga-tiga pemimpin sayap ini juga mempunyai pengaruh tersendiri yang mampu membuat kejutan jika mereka diberikan peluang.

Pucuk pangkalnya ialah kesepaduan jentera parti yang hendak digemblengkan haruslah tidak menyenget hanya kepada kelompok tertentu sahaja sehingga tidak menggambarkan kekuatan sebenar UMNO/BN di Setiawangsa. Jika usaha penyatuan ini gagal digemblengkan, sudah pasti politik bersuku-sukuan ini akan menyebabkan parti menerima padah kekalahannya. Janganlah hendaknya kita masih berbangga dengan takabur usang kononnya UMNO masih berada dalam zon selesa sedangkan dalamannya luka membarah.

Dalam suasana politik tanah air yang dirundung berbagai kemelut, parti haruslah sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dalam menguruskan isu-isu yang melanda. Isu-isu nasional yang menikam diri kadang-kadang bahangnya terkesan di peringkat akar umbi sehingga rakyat menolak gagasan BN walaupun kita meletakkan calon yang winnable.

Sebagai sebuah kawasan parlimen yang dianggap mudah menang (winnable area), Setiawangsa janganlah terlalu yakin untuk menang (over confident) dengan menampilkan calon winnable hanya dari kaca mata kita sahaja, sedangkan rakyat tidak boleh lagi menerima UMNO/BN akibat kerakusan menguruskan urusan rakyat, sehingga rakyat tidak lagi diutamakan. UMNO harus menjiwai sedalam-dalamnya maksud yang tersirat di sebalik gagasan yang diperkenalkan oleh Dato' Sri Najib, "1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Thursday, November 10, 2011

UMNO DAN AMANAH JANGAN BERSENGKETA!

Oleh Abdul Rahman Hashim


Benarkah UMNO kini sedang meminggirkan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin? Demikian isu berbangkit yang ditiupkan oleh Pegawai Khas Tengku Razaleigh Hamzah Muhd. Lukhman Ghani ekoran teguran Muhyiddin terhadap kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa kononnya kebebasan bersuara tidak ada lagi di dalam UMNO.

Muhyiddin Yassin ketika mengulas dakwaan Ku Li itu berkata adalah tidak benar UMNO menyekat kebebasan bersuara, malah beliau menyatakan ahli-ahli UMNO di semua peringkat masih bebas bersuara dan boleh memberikan buah fikiran demi untuk kebaikan dan masa depan parti.

Di dalam portal Malaysiakini hari ini Lukhman Ghani dipetik sebagai berkata bahawa Muhyiddin juga tidak sedar bahawa dirinya juga sedang dipinggirkan UMNO. Pegawai suruhan Ku Li itu juga menambah bahawa status Muhyiddin mungkin berada di tangga kelima dalam carta 'orang yang diberi prioriti' oleh UMNO.

Saya agak runsing apabila mengikuti isu ini, apatah lagi Lukhman Ghani yang juga AJK UMNO Bahagian PJ Utara mendakwa bahawa wujudnya pengampu-pengampu Najib seperti Senator Ezam Mohd. Nor, Zaid Mat Arip dan beberapa orang Ahli Parlimen Bebas yang mesra BN yang tibai Anwar secara melampau, kini berada di dalam ranking 'top four'. Muhyiddin dikatakan tidak ada dalam ranking empat yang utama, apatah lagi Naib-Naib Presiden UMNO yang lainnya.

Lukhman Ghani yang juga Ahli Majlis Tertinggi Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) yang diketuai oleh bossnya sendiri Ku Li, mungkin berkata dia berhak membuat kenyataan seperti itu, namun mungkin dia sendiri tidak menyedari bahawa dirinya juga masih seorang ahli UMNO yang kelihatan begitu bebas malah bernada keras mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO.

UMNO yang dilabelkan oleh Ku Li sebagai tidak demokratik, kini ditibai oleh Ku Li dan Lukhman juga dlihat sedang menari mengikut tempo bossnya. Tidak demokratikkah UMNO apabila tindakan menghina pemimpin sendiri dilakukan sendiri oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang? Benarkah hilangnya kebebasan bersuara di dalam UMNO, sedangkan Lukhman Ghani seorang AJK UMNO Bahagian PJ Utara juga bebas berpencak mendakwa Muhyiddin sedang disisihkan oleh UMNO?

PENGAMPU INI DALAM RANKING UMNO?


Senator Ezam Mohd. Nor & Zaid Md Arip, benarkah mereka pengampu Najib?

Walaupun itu hanyalah luahan pendapat Ku Li dan Lukhman, namun tidak bermakna UMNO harus memperlekehkan kenyataan seumpama itu. Jika benar pengampu-pengampu Najib seperti Ezam, Zaid Mat Arip, Zulkifli Nordin, Zaharin Bayan Baru dan beberapa orang lagi dilihat begitu selesa dan berbahagia sebagai 'tukang kipas' atau 'pengampu' tanpa bersusah payah menjaga UMNO selama ini, maka dikhuatiri tiang seri UMNO yang kelihatan rapuh akan runtuh dimakan oleh anai-anai ini.

DUA ZAHARIN YANG KOTROVERSI

Dato' Seri Zaharin Hashim,
dulu hentam UMNO, kini mesra UMNO.

Zaharin Yasin (ZMY),
Sentiasa mengkritik UMNO secara membina

Memetik sedikit apa yang diungkapkan oleh sahabat saya Zaharin Mohd. Yasin (ZMY) di dalam muka bukunya (facebook) bahawa dirinya mungkin hari ini telah dilantik senator jika beliau juga bersikap menghina dan menghentam UMNO semasa berada di luar parti, malah berbohong sedikit kononnya memiliki satu kapal dokumen-dokumen penyelewengan pemimpin UMNO, dan kemudian menyesal berbuat bohong lalu menyertai UMNO serta mengutuk Anwar habis-habisan, selepas itu diberi habuan menjadi senator dan ada juga memperolehi gelaran Datuk. Demikianlah hinanya sipenghina berkenaan yang berjaya meloloskan diri masing-masing sehingga menjadi lebih 'istimewa' daripada pemimpin UMNO yang lebih setia di dalam perjuangan.

Mengandaikan mereka ini lebih istimewa daripada Muhyiddin Yassin merupakan satu penghinaan yang berat, dan UMNO harus disarankan supaya tidak tersasar membuat penilaian yang salah itu, kerana mereka yang pernah menodai UMNO itu sememangnya tidak wajar diberikan keistimewaan melampaui jasa bakti yang dilakarkan oleh pejuang UMNO lain yang lebih taat dan setia, tidak seperti si pengampu-pengampu itu..!!

Kadang-kadang hal seumpama ini bakal menjadikan UMNO lebih sukar untuk menjawab keluh kesah dan rintihan akar umbi yang dimomok-momokkan oleh penyokong pembangkang yang pernah melonjakkan si pengampu ini.

Rasanya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu untuk melayani karenah desperado yang dibayangi oleh Tan Sri Tengku Razalegh Hamzah itu yang pasti mempunyai agenda sulitnya untuk melepaskan pucuk dan menangguk di dalam air yang keroh.

Ahli-ahli UMNO hendaklah merapatkan saf perjuangan untuk berhadapan dengan cabaran politik yang semakin getir menjelang PRU13 nanti. Sebarang percubaan untuk melaga-lagakan sesama pemimpin UMNO merupakan jerangkap samar yang bakal menjerumuskan UMNO dengan mimpi ngeri yang tidak berkesudahannya.

Seelok-eloknya disarankan UMNO dan AMANAH janganlah bersengketa. Janganlah terperangkap lagi sehingga yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.


Thursday, November 3, 2011

SEKSUALITI MERDEKA FESTIVAL GAMPANG!

Oleh Abdul Rahman Hashim
Mengapa Festival Gampang seperti ini hendak dibudayakan di negara ini?
Datuk Ambiga, mantan Presiden Majlis Peguam yang pernah
menerima anugerah 'Women Of Courage' pada 12 Mac 2009
turut menyatakan sokongan SEKSUALITI MERDEKA?

SEKSUALITI MERDEKA? Benarkah festival seks bebas ini hendak diadakan di negara ini pada 9 November depan? Tujuan murni apa pesta seumpama ini hendak dianjurkan? Biarpun Bar Council negara ini menyokong penganjurannya konon sebagai menghormati hak kebebasan namun kebebasan melacurkan maruah adalah sesuatu yang mesti ditentang dan disekat oleh pihak berkuasa negara ini.
Berselindung atas nama SEKSUALITI MERDEKA bukan bermakna festival seks songsang ini benar-benar menjiwai persis seorang patriot yang patut disanjung apatah lagi untuk melabelkan mereka sebagai pejuang-pejuang kemerdekaan? Kita boleh menyanjung penyanyi legenda Melayu, R.Azmi dan Dato' M.Daud Kilau yang terlihat 'kelembutan' fizikalnya - selagi dia tidak terjebak dengan amalan songsang sebagaimana yang diperjuangkan oleh penganjur "Seksualiti Merdeka", maka kewajaran apakah AMBIGA turut memberikan sokongan padu terhadap penganjuran festival seks yang hendak diadakan itu?
Benarkah penganjuran SEKSUALITI MERDEKA yang hendak diadakan nanti bertujuan untuk mempromosikan dan menggalakkan perlakuan seks bebas LBGT - iaitu Lesbian, Bisexual, Gay & Transgender? Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tertekan dengan tuduhan dan dakwaan bahawa dirinya telah melakukan seks di luar tabi'e tidak sensitif dengan festival yang disokong oleh rakannya sendiri, iaitu Ambiga??
Ada juga manusia bertabiat haiwan seperti ini?
Mempromosikan dan menghalalkan amalan seks songsang dan luar tabi'e lesbianisma (wanita dengan wanita), bisexual (semua jantina boleh balun), gay (seks melalui dubur/Eksoz) dan transgender (pertukaran jantina) adalah amalan seks songsang yang bersifat kehaiwanan yg ditolak bukan sahaja tamadun kemanusiaan, malah ditolak oleh semua agama termasuk agama samawi Islam, Kristian & Yahudi.

Benar-benar saya ingin tahu mengapa Majlis Peguam dan mantan Presidennya Datuk Ambiga hendak menyokong festival maksiat ini? Tidak cukupkah Ambiga yang telah mengguris hati maysrakat Islam di negara ini apabila beliau mempertikaikan hukum syariah dalam artikel 121 (1A) berkaitan dengan kes Lina Joy satu masa dahulu, maka kini beliau hendak memberikan sokongan pula kepada penganjuran Seksualiti Merdeka? Pada saya tindakan Ambiga ini semakin dibenci oleh umat Islam di negara ini.
Mungkin ramai juga ingin tahu apakah pendirian PKR, PAS & DAP terhadap isu ini? Saya tidak fikir ketiga-tiga Parti Pakatan Rakyat ini akan memberikan respon yang positif atau dalam lain perkataan akan menyokong Festival Gampang ini, begitu juga dengan UMNO/BN!

Monday, October 24, 2011

SAAT KEPALA GADDAFI DITEMBAK

Oleh Abdul Rahman Hashim

Nafas terakhir- sepucuk pistol dihalakan ke arah Gaddafi yang berlumuran darah
ketika dia diletakkan di dalam van ambulan.
Tidak lama kemudian
Gaddafi dilihat sudah mati di khalayak ramai.


Saat kematiannya - Gaddafi memegang kerongkongnya ketika pistol
ditekan ke kepalanya.


Foto kiri - Pistol yang ditujukan ke bahu Gaddafi menguatkan lagi kemungkinan
dia ditembak untuk kali pertama,

kemudian pistol itu dihalakan ke kepalanya (Foto Kanan)


Detik terakhir - Gaddafi dipalingkan supaya menghadap ke tanah,
satu tanda yg jelas yang biasa dijalankan untuk mengelakkannya
daripada melihat mata si pembunuh


Terbunuh - Tubuh badannya tidak bermaya lagi, lalu terkulai di atas tanah

Gaddafi di dalam van ambulan. Pemandu ambulan berkata Gaddafi
sudah mati, dan dia tidak cuba memulihkan Gaddafi.


Kelihatan mayat Gaddafi bersebelahan mayat anaknya Mutassim
di tempatkan di dalam bilik penyejuk daging


Detik-detik terakhir sebelum Gaddafi mati ditembak menjadi lebih jelas apabila muncul beberapa imej di saat pistol diacukan ke kepalanya. Beberapa saat selepas itu suara Gaddafi tidak lagi kedengaran. Adegan seterusnya menunjukkan badannya sudah tidak bermaya dan terkulai di atas tanah. Matanya ditutup dan dia tidak lagi bernafas.

Laporan tengah malam semalam memaklumkan bahawa Majlis Peralihan Negara akan menyerahkan mayat bekas pemimpin Libya itu kepada ahli-ahli keluarganya. Rakaman dramatik yang terbaru ini menjawab beberapa misteri bagaimana punca kematian Gaddafi ketika balunya memohon siasatan dijalankan untuk mengetahui bagaimana suaminya meninggal dunia.

Imej-imej yang muncul ini menolak dakwaan kerajaan baru Libya kononnya bekas pemimpin itu telah dibunuh tembakan curi semasa di dalam perjalanan ke hospital. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa pelaksanaan hukuman bunuh yang penuh kegilaan ini semasa Gaddafi dikelilingi oleh pemberontak yang bersorak. Pemandu ambulans, Ali Jaghdoun, berkata Gaddafi telah mati ketika dia melihatnya dan kemudian keluar dari bandar Misrata. 'Saya tidak cuba untuk merawatnya kerana dia sudah meninggal'.

Pemangku Perdana Menteri Mahmoud Jibril berkata hari ini bahawa siasatan ke atas siapa yang menembak Gaddafi akan diteruskan.

Dia telah memberikan pandangannya sendiri peristiwa-peristiwa yang mungkin membawa kepada kematian bekas pemimpin Libya itu.

Beliau berkata: 'Ia seolah-olah ada pertempuran di antara pasukan keselamatan Qatar Gaddafi dan pejuang kebebasan. Dia bersembunyi di sejenis saluran kumbahan. Salah seorang daripada tentera upahan dari Mauritanian telah menemuinya (Gaddafi dan memaklumkan) kepada pejuang-pejuang kebebasan yang Gaddafi bersembunyi di dalam saluran tersebut,'.

'Jadi mereka pergi ke sana membawanya keluar dan menaiki trak itu untuk membawanya ke hospital.

'Di dalam perjalanan mereka, mereka terperangkap di dalam tembak-menembak di antara pejuang-pejuang kebebasan dan pasukan keselamatan. Dia ditembak di kepala. Kami tidak tahu sama ada beliau telah ditembak oleh pejuang-pejuang kebebasan atau pasukan keselamatan.'

Tubuhnya kini disimpan di dalam bilik penyejuk daging bersebelahan Mutassim, anaknya yang turut mati. Luka peluru boleh dilihat dada dan bahagian atas lengan kirinya. Seorang saksi yang melihat dari dekat dapat melihat saki-baki serbuk letupan di sekeliling luka yang sering selaras dengan keadaar ia ditembak pada jarak dekat. Pelawat diberikan topeng untuk dipakai kerana bau busuk.

Seorang tokoh kanan di kalangan pejuang-pejuang di Misrata berkata mereka dia malu dan kesal dengan cara seorang lelaki memaklumkan berita kematian Gaddafi kepada anak perempuannya, Aishah, yang menghubungi Gaddafi sejurus selepas dia ditembak.



Sunday, September 11, 2011

PERJANJIAN PANGKOR 1874 MENGUNDANG CAMPUR TANGAN INGGERIS DI NEGERI-NEGERI MELAYU

Oleh Abdul Rahman Hashim

Perjanjian Pangkor 1874 detik permulaan campur tangan Inggeris
di negeri-negeri Melayu

Perjanjian Pangkor (bertulis) yang ditandatangani

Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani di antara Sir Andrew Clarke iaitu Gabenor Negeri-Negeri Selat di pihak Inggeris dan Raja Abdullah ibni Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah. Perjanjian ini sekaligus telah memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak - satu kesilapan yang telah dilakukan oleh Raja Abdullah sehingga membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu.

Raja Muda Abdullah Ibni Sultan Jaafar, Sultan Perak ke-26 dari 1874 - 1876

Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-Negeri Selat

Perjanjian ditandatangan di atas kapal HMS Pluto pada tanggal 20 Januari 1874. Selain Sir Andrew Clarke dan Raja Abdullah Perjanjian Pangkor ini juga disertai oleh ketua kongsi gelap Cina, Ghee Hin iaitu Chin Ah Yam dan ketua kongsi gelap Hai San iatu Kapitan Chung Ah Kwee yang membawa kepada tamatnya Perang Larut di mana kedua-dua kumpulan kongsi gelap ini terlibat merebut kawasan lombong bijih timah di negeri Perak.

Kapitan Chung Ah Kwee,
Ketua Kongsi Gelap Hai San

Perjanjian ini berputik daripada kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah sepatutnya dilantik sebagai sultan baru tetapi Raja Ismail yang telah dilantik. Perasaan tidak puas hati inilah yang mendorong Raja Abdullah meminta bantuan Inggeris, lalu baginda mengutus sepucuk surat kepada Sir Andrew Clarke menyatakan hasrat untuk meletakkan Perak di bawah naungan Inggeris. Satu lagi sebab ialah permusuhan dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin and Hai San untuk merebut lombong bijih timah.


Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang bersemayam di Tanjong Belanja, Parit dari pangkat Sultan dan membenarkan pula Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen seribu ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.

Campurtangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang-orang Melayu, khasnya golongan istana yang merasa kuasa mereka telah hilang. Rasa tidak senang itulah yang membuka jalan nekad orang Melayu Perak bertindak. Tanpa takut dan gentar, mereka telah berpakat membunuh JWW Birch yang akibatnya ialah Perak berhadapan dengan Inggeris dalam siri peperangan hingga tahun 1876.

Ramai wira Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain. Walaupun wira-wira bangsa ini berjaya dibunuh oleh Inggeris, namun peristiwa Pasir Salak itu telah mengajar Inggeris bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah dan memperbodohkan orang Melayu.

Inggeris kemudiannya telah membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang getah. Bandar-bandar baru telah muncul dengan pesatnya di Perak. Kemunculan bandar-bandar baru ini telah dengan sendirinya mengasingkan orang Melayu daripada pembangunan.

Sunday, September 4, 2011

MAT INDERA BURUAN PENJAJAH INGGERIS MATI DI TALI GANTUNG

Oleh Abdul Rahman Hashim

Allahyarham Mat Indera digantung sampai mati
oleh Kolonial Inggeris pada tahun 1953

Mat Sabu kini sekali lagi telah memanaskan bahang politik negara, kali ini pihak media arus perdana kelihatan lebih cenderung untuk mempalitkan Mat Sabu dan partinya PAS sebagai pro komunis, kerana Mat Sabu begitu kuat mempertahankan Mat Indera sebagai seorang wira@hero Melayu yang berani mencabar kekuatan Inggeris yang sedang menjajah Malaya pada masa itu.

Mat Indera seorang pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bagi daerah Muar di Johor menjadi kecaman oleh media di negara ini kerana beliau dikatakan berjuang bersama Parti Komunis Malaya lalu dilabelkan sebagai pengkhianat bangsa dan negara akibat tindakannya menyerang Balai Polis di Bukit Kepong pada tahun 1950 yang menyebabkan kematian 25 anggota polis sekaligus memusnahkan keseluruhan struktur bangunan balai polis berkenaan.

Mat Indera yang sudah pun mati di tali gantung di tangan pemerintah Inggeris pada tahun 1953 kini dibela pula oleh Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS. Mat Sabu tetap dengan pendiriannya dan tidak mahu memohon maaf di atas kenyataannya itu, kerana beliau merasakan perjuangan Mat Indera melawan Inggeris merupakan suatu tindakan yang berani dan menyebabkan pihak Inggeris telah tercabar.

Mat Indera dilabelkan oleh Inggeris sebagai pengganas komunis yang paling dikehendaki pada masa itu kerana Inggeris merasakan tindakan Mat Indera itu sebagai pengkhianat bangsa dan negara.

Isu Mat Indera dan Mat Sabu kini memasuki era 'jerangkap politik' kerana kelihatannya UMNO dan PAS masing-masing berhujah tentang kewajaran patrotisme Mat Indera yang tidak berpihak kepada penjajah Inggeris semata-mata kerana dianya berjuang atas platfom komunisme yang menyerang balai polis Bukit Kepong; sedangkan di pihak yang cenderung menyerang Mat Sabu pula mempersoalkan kenyataan Mat Sabu di dalam satu ceramah politik di Tasek Gelugor, Pulau Pinang tempoh hari seolah-olah pemimpin PAS itu bagaikan berjiwa komunis seperti Mat Indera.

Apakah cara membesarkan isu ini seolah-olah ada kecenderungan untuk menyatakan Mat Sabu juga komunis? Benarkah Mat Sabu itu berfahaman komunis di dalam PAS? Jikalau benar isu Mat Indera berjaya mengkomuniskan Mat Sabu, maka hebat sungguhlah roh Mat Indera yang telah berjaya menghantui puak-puak kolonial dan sekutunya semasa hayat Mat Indera di kandung badan lagi.

Saya menjangkakan hasrat pihak tertentu untuk mengesahkan bahawa Mat Sabu adalah seorang pejuang komunis semata-mata dengan hujah kononnya beliau membela Mat Indera, pasti ianya akan menemui kegagalan sebaliknya akan menjadi jerangkap politik kepada parti pemerintah.

Mat Sabu sudah pasti akan berhujah bahawa dirinya bukan sahaja 'tidak berminat' dengan komunisme malah akan mendakwa pula bahawa UMNO memang ternyata begitu pro kolonialisme Inggeris yang pernah dibenci oleh rakyat sebelum ini. Mendakwa Mat Sabu sebagai pro komunis samalah juga mengheret partinya iaitu PAS sebagai pro komunis.

Apakah untungnya kepada UMNO jika mendakwa Mat Sabu dan PAS sebagai komunis sedangkan elemen komunisme tidak sedikit pun terpahat di hati mereka? Bukankan isu ini akhirnya akan menjadi sumber fitnah yang memerangkap dan memakan diri, malah mungkin menjadi modal politik pihak pembangkang untuk meremehkan UMNO yang telah mereka anggap sebagai 'radio buruk'.

Parti Komunis Malaya yang diasaskan pada tahun 1930 telah diperkudakan oleh Inggeris untuk melawan fasis Jepun yang menduduki Malaya selama tiga setengah tahun sejak Disember 1941. Pihak Inggeris telah mempersenjatai Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya untuk melawan tentera Jepun dan akhirnya Jepun berjaya dinyahkan sebelum Inggeris kembali menjajah Malaya.

Pada tahun 1948 pihak Inggeris terpaksa mengisytiharkan darurat di seluruh Malaya kerana Inggeris begitu mendendami gerila Komunis yang kian memperhebatkan gerakan bersenjata secara gerila di dalam hutan untuk menghalau penjajah Inggeris. Perjuangan menentang penjajahan ini begitu ketara sekali malah rakyat mempunyai pilihan sendiri samada menyokong perjuangan gerila yang dicetuskan oleh PKM ataupun menyokong gerakan politik secara diplomatik yang digagaskan oleh Dato' Onn Jaafar yang kemudiannya menyerahkan baton kepimpinan kepada Tunku Abdul Rahman mengetuai perjuangan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Akhirnya perjuangan secara dipomatik terpaksa dirintis menerusi platfom politik UMNO dan Perikatan setelah Inggeris merasa serik untuk berhadapan dengan gerakan bersenjata yang dipelopori oleh gerila PKM, dan sebelumnya gerakan politik kiri yang dirintis oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Kita seharusnya berterima kasih kepada semua pejuang kemerdekaan yang telah menggunakan berbagai daya dan helah untuk menegakkan kemerdekaan tanah air. Lebih 446 tahun negara kita dijajah hinggalah tanggal 31 Ogos 1957 menjadi detik bersejarah menyaksikan negara bangsa ini berjaya dimerdekakan.

Menikmati arti kemedekaan ini, janganlah sampai kita terlupa dengan keringat dan airmata malah bukan sedikit tertumpahnya darah pejuang nasiolnalis kita terutama di sekitar tahun 1930an hingga membawa kepada pendudukan Jepun sekitar tahun 1941-1945 yang membabitkan pejuang-pejuang di dalam KMM, AWAS, API dan kemudiannya PKMM. UMNO telah menjadi pelengkap kepada era perjuangan kemerdekaan apabila semua pertubuhan termasuk PKMM bergabung menubuhkan PEKEMBAR atau UMNO untuk membulatkan azam perjuangan menebus kembali tanah air dari tangan penjajah.

Kita mendoakan pejuang bangsa seperti Dato' Maharaja Lela, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Mat Kilau janganlah mereka ini dianggap sebagai penderhaka semata-mata kerana mereka bergadai nyawa melawan Kolonial Inggeris pada masa itu.


Dato' Maharajala Lela, Mat Kilau, Dato' Bahaman & Tok Janggut


Pak Sako, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam & Rosli Dhoby

Begitu juga jangan dilupai Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Musa Ahmad, Ustadz Abu Bakar Al-Baqir, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi tokoh nasionalis yang masih hidup seperti Abdullah CD yang pernah berjuang di dalam KMM, PKMM dan kemudiannya di dalam PKM - semua mereka ini telah melakarkan tawarikh perjuangan bangsa yang bukan alang kepalang untuk dikenang jasanya. Mereka berjuang dengan penuh semangat untuk melihat negara ini bebas dari cengkaman penjajah.

Dalam meneruskan legasi kemerdekaan ini, bukanlah perpecahan dan persengketaan sesama sendiri yang wajar dipertahankan, sebaliknya apa yang wajar dipertahankan ialah semangat perpaduan tulen di kalangan rakyat jelata. Kita berharap isu Mat Indera tidak menjebakkan diri kita untuk menuding jari lagi kepada arwah itu tentang penderhakaannya kepada kolonial Inggeris yang dah lama mencengkam kehidupan kita.

Biarlah arwah Mat Indera, Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau, Rosli Dhobi di Sarawak, Mat Salleh di Sabah dan Tok Maharaja Lela yang membunuh JWW Birch terus bersemadi dengan penuh syahdu di pusara masing-masing. Generasi mendatang tetap tidak akan melupai jasa-jasa mereka.

MAT INDERA SEPINTAS LALU

Mat Indera duduk di depan (bertanda bulatan merah)

Mat Indera ketika ditahan Polis

Nama penuh: AHMAD BIN INDERA, berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.

Beliau memiliki sifat terpuji seperti lemah lembut, peramah, mudah tersenyum, suka melawak, tidak mudah marah dan tidak gemar menyakiti hati orang lain.

Mat Indera juga seorang hafiz Al-Quran, gemar bernasyid, berqasidah dan berzanji. berguru kepada Kiayi Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat DYMM Sultan Ibrahim

Pemuda Melayu ini dilahirkan pada 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor. Menamatkan persekolahan peringkat darjah enam sekolah agama pada tahun 1937, dan bertugas sebagai seorang guru agama di Parit Setongkat, Muar. Beliau melibatkan diri dalam pergerakan politik dengan tujuan memerdekakan tahahair daripada penjajahan inggeris

Mat Indera pernah menjadi ahli sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak haji Mohammad (Pak Sako), dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API), atau dikenali sebagai Angkatan Pembunuh Inggeris oleh golongan pemuda fanatik pada masa itu.

Mat Indera telah masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan secara gerila pada bulan Jun 1948, mungkin beliau terpengaruh dengan perjuangan Indonesia menentang Belanda, dan bergerak di daerah Muar, sekitar kawasan Lenga, Pagoh, Jorak, Bukit Kepong dan Poris.

Satu-satunya gerila di hutan ialah kumpulan orang-orang Cina dikenali sebagai Bintang Tiga. Hendak tak nak Mat Indera perlu membina hubungan dengan mereka sebagai pelindung walaupun hakikatnya matlamat perjuangan berbeza, lalu Mat Indera dicop oleh pihak Inggeris sebagai komunis yang ganas, berbahaya dan tidak beragama. Mat Indera menjadi ketua Komunis Melayu bagi daerah Muar, Batu Pahat dan juga Melaka. Dalam artikata lain pihak Inggeris ketika itu menganggap Mat Indera sebagai orang yang merbahaya yang mengancam kekuatan Inggeris.

Mat Indera juga dikaitkan dengan peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong. Sebaliknya menurut saksi, seorang anggota polis marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan berkata Mat indera tidak menyerang, sebaliknya beliau telah melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis.

Mat Indera memang bertanggungjawab mengarahkan serangan tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggot polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina itu, sebaliknya orang-rang Cina di bawah arahan beliau telah membuat pakatan rahsia dan mengingkari perintah lalu membakar dan membunuh anggota polis.

Pihak Inggeris mengaambil kesempatan untuk mengukuhkan dakwaan keganasan Mat Indera, lalu menawarkan $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan. Mat Indera dikatakan mempunyai ilmu ghaib dan telah beberapa kali terlepas daripada tangkapan. Namun salah seorang pengikutnya bergelar Mat Tukyo telah ditangkap Inggeris dan dipujuk untuk menangkap Mat Indera. Mat Tukyo berunding dengan 2 orang lagi bernama Beladang dan Misban. Mereka berdua dikatakan telah bersetuju menerima tawaran setelah permintaan mereka untuk diberi ganjaran sekeping tanah untuk tapak rumah dan kebun diterima oleh Inggeris.

Pada malam 14 oktober 1952, Mat Indera diajak ke sebuah perjumpaan di kampung Seri Medan, dan beliau dihidangkan tempe goreng dan air kopi yang bercampur dengan kecubung, menyebabkan rasa mengantuk dan mabuk, maka segala tangkal yang dimiliki oleh Mat Indera tercabut dan beliau ditewaskan. Tangannya diikat dengan lalang dan dibawa ke Balai Polis Seri Medan. Dipercayai kehilangan tangkal dan ikatan lalang telah menggugurkan semua kekuatan ilmu kebal Mat Indera.

Mat Indera dipamerkan secara hina oleh pihak Inggeris. Ada yang suka, ada yang sedih. Beliau dipenjarakan di beberapa tempat, dari Batu Pahat ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Pudu dan Taiping. Dalam penjara Mat Indera didera. Akhirnya hukuman gantung sampai mati dilaksanakan pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Keesokan hari, dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.


Monday, August 8, 2011

AGENDA MEMELAYUKAN DAP, SIAPA TERTIPU?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Seorang tokoh akademik dan budayawan Melayu, Profesor Dr. Ariffin Omar (Foto kiri) telah membuat kejutan apabila beliau meloloskan dirinya untuk menyertai DAP iaitu sebuah parti chauvinis Cina yang disokong kuat oleh masyarakat Tionghua mutakhir ini.

Anak Melayu yang cerdik pandai ini mungkin merasakan bahawa keputusannya menyertai DAP kelmarin bukanlah satu keputusan yang salah atau pun tersilap malah beliau yang juga seorang pensyarah kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) lebih yakin bahawa DAP bukanlah sebuah parti perkauman sebagaimana yang digembar-gemburkan selama ini, terutamanya dari kalangan UMNO.

Saya tidak terkejut dengan pendirian yang diambil oleh Dr. Ariffin Omar itu, namun saya agak hairan dan terpancar suatu persoalan mengapakah tokoh cerdik pandai Melayu ini tidak terlintas di hatinya untuk memberi muka kepada UMNO yang selama ini telah banyak berjasa bukan sahaja kepada dirinya bahkan kepada umat Melayu di negara ini.

Jika dia tidak menyertai UMNO sekalipun bukankah lebih baik dirinya tidak bersekongkol dengan DAP, kerana parti itu sejak dahulu lagi bagaikan menjadi musuh kepada UMNO yang begitu kental dengan jiwa Melayuisme.

Mungkin Dr. Ariffin Omar mempunyai hujah yang kuat untuk menyertai perjuangan politiknya di dalam DAP, kerana dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia bukanlah satu kesalahan untuk rakyatnya menyertai mana-mana parti politik, asalkan tidak melanggar sensisiviti yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara.

DAP mungkin mempunyai agenda politiknya sehingga berjaya memerangkap keinginan Profesor Dr. Ariffin Omar untuk tidak menyokong UMNO, malah terkabur juga untuk dirinya menyertai PKR dan juga PAS. Jika UMNO pasif dengan fenomena Melayu menyertai DAP semata-mata kerana parti itu di pihak pembangkang, sebenarnya ramai juga orang Melayu yang berada di dalam Parti Gerakan dan juga PPP yang merupakan parti komponen Barisan Nasional, tetapi mereka tidak juga memilih UMNO.

Berbeza dengan MCA dan juga MIC, kedua-dua parti ini sememangnya berasaskan kepada 'racial' yang dilihat terdedah dengan unsur rasisme, maka tidak memungkinkan orang Melayu untuk menyertai parti itu. UMNO juga sedemikian, kerana di dalam perlembagaannya tidak memungkinkan orang Cina dan orang India untuk menyertai UMNO, melainkan seseorang itu Melayu ataupun memiliki kelayakan sebagai warga bumiputera.

Sementara itu Parti PAS juga begitu terkongkong dalam sistem keahliannya dimana mereka yang bukan golongan Islam tidak layak menjadi ahli parti itu. Ah Chong dan Ramasamy tidak boleh menjadi ahli PAS kerana kedua-duanya bukan seorang penganut beragama Islam. Walaupun PAS kini mempunyai fan Clubnya yang boleh disertai oleh masyarakat Cina dan India, tetapi mereka ini tetap tidak boleh menjadi ahli PAS.

Manakala PKR keahliannya mirip sebagaimana Gerakan, PPP dan juga DAP di mana parti itu boleh menerima keahlian daripada pelbagai bangsa asalkan mereka warga negara Malaysia.

Demikian perbezaan ketara yang terdapat di dalam sistem keahlian parti-parti berkenaan. Maka, apa kejutannya dengan penyertaan seorang anak Melayu bernama Profesor Dr. Ariffin Omar di dalam DAP? Sebelum ini pun terdapat beberapa lagi orang Melayu telah berkiblatkan DAP, antaranya Fadzlan Yahya yang pernah menjadi ADUN Pasir Berdamar, di Perak, begitu juga dengan Ahmad Nor bekas Presiden Ceupacs yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang.

Sebelum ini pun anak kepada Tan Sri Khir Johari yang pernah mejadi Menteri Pelajaran dan juga Setiausaha Agung UMNO iaitu Zairil Khir Johari juga telah menyertai DAP, dan kini Zairil merupakan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bold
Bagi saya, kemasukan Zairil Khir Johari (Foto kanan) anak Allahyarham (Tan Sri) Khir Johari ke dalam DAP tidak sedikit pun memeranjatkan. Ia lebih berupa sesuatu yang menunggu untuk berlaku. Dan saya tidak akan terkejut kalau lebih ramai orang Melayu (atau berdarah campuran Melayu) menyertai DAP.

Mengapa saya berkata begitu? Pertama kerana saya pernah terdengar melalui risikan tertentu di kedai-kedai kopi Cina di Perak, bahawa DAP sedang bersungguh-sungguh mencari beberapa orang Melayu yang berwibawa untuk diturunkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

DAP Perak sudah sedar bahawa kalau ia bercita-cita untuk berkuasa di negeri itu, ia perlu bertindak tegas dan pantas mewujudkan kaukus Melayunya sendiri. Ia tidak boleh bergantung bulat-bulat kepada PAS atau PKR untuk menawan semula negeri itu sebagai persediaan untuk calon MB.

Sumber perisikan itu memberitahu, cakap-cakap di kalangan kepemimpinan DAP adalah mencari dan meletakkan tiga atau empat orang calon Melayu yang berwibawa dengan tujuan jika Pakatan Rakyat menawan semula Perak dan DAP kekal parti terbesar, ia boleh mengemukakan calon MBnya sendiri. Jika itu berlaku, impian Nizar Jamaludin daripada PAS yang pernah dibonekakan sebagai MB Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini untuk menjadi MB semula di negeri itu pasti akan menjadi angan-angan Mat Jenin!

Ini adalah reaksi kepada kejatuhan kerajaan PR Perak pada awal 2010 berikutan tindakan dua Ahli Dewan Undangan PKR dan seorang Adun DAP keluar parti dan memihak kepada Barisan Nasional. Selepas PRU 2008 DAP terpaksa menerima Adun Pas sebagai MB kerana ia tidak mempunyai Adun Melayu manakala Adun Melayu PKR semuanya dilihat tidak menepati piawaian.

Bagi sesiapa yang tidak mengetahui sejarah DAP, eloklah disebutkan bahawa parti itu pernah mempunyai keahlian dan kepemimpinan pelbagai kaum, walaupun majoriti ahli, pemimpin dan penyokongnya adalah Cina.

DAP ditubuhkan pada tahun 1967 bagi mengisi ruang yang dikosongkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura berikutan terkeluarnya wilayah itu daripada Malaysia pada tahun 1965.

Dalam pilihan raya umum 1964, PAP menang satu kerusi Parlimen iaitu Bangsar yang ditandingi oleh CV Devan Nair. (Nair pulang ke Singapura, menjadi Presiden dan akhirnya bergaduh dengan Lee Kuan Yew).

Pada waktu penubuhannya, DAP mempunyai beberapa orang pemimpin Melayu dan pernah mempunyai Wakil Rakyat Melayu. Salah seorang naib pengerusi pada awal penubuhannya adalah seorang Melayu bernama Mohamed Nor Jetty.

Jadi kemasukan Dr. Ariffin Omar, Zairil Khir Johari tdan sebelum itu Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (kini Naib Pengerusi DAP dan Senator) boleh dilihat sebagai percubaan baru DAP mendapatkan sokongan Melayu. Seorang lagi Melayu dalam hierarki DAP sekarang adalah Ahmad Ton yang berupa Ahli Majlis Pusat.

Tidak dapat dinafikan bahawa di sebalik polemik perkauman yang hangat dan keras sekarang, terdapat “counter movement” di mana kemajmukan dan liberalisme menjadi alternatif kepada perkauman.

Sentimen inilah yang dilaungkan oleh Dr. Ariffin Omar dan juga Zairil sebelum ini apabila beliau dilaporkan berkata DAP mempunyai harapan yang lebih cerah mendapatkan sokongan Melayu jika ia menjadikan Melayu bandar sebagai sasarannya.

“Counter movement” ini berlaku di kalangan kelas menengah, termasuk Melayu, yang majoritinya tinggal di bandar-bandar besar.

Apabila Zairil dipetik sebagai berkata Umno pada zaman bapanya berlainan sekali dengan Umno yang wujud hari ini, dia juga mengulangi sentimen ramai orang Melayu yang berasa Umno hari ini telah terpisah jauh daripada perjuangan dan idealisme asal.

Cabaran terbesar yang akan dihadapi oleh DAP dalam usahanya memperluaskan sokongan Melayu adalah bagaimana hendak menyanggah persepsi dan dakwaan bahawa parti itu anti-Melayu. Hubungan intim mereka bersama PKR dan juga PAS dengan membentuk gagasan Pakatan Rakyat telah menjadikan DAP tidak terlalu ekstrim dengan keCinaannya. MCA sebagai sebuah parti Cina terbesar di negara ini dilihat semakin pudar sokongan yang diterima oleh komuniti Cina, namun sokongan masyarakat Cina terhadap DAP dan juga komponen Pakatan Rakyat telah berjaya mengatasi pengaruh MCA, Parti Gerakan dan juga SUPP di Sarawak.

Apakah aktivis Melayu dalam DAP sekarang mempunyai cukup kewibawaan dan integriti untuk membantu parti itu menangkis persepsi bahawa DAP bukanlah sebuah parti Chauvinis Cina? Atau, apakah aktivis Melayu dalam DAP tidak sedar bahawa mereka hanyalah menjadi alat pamungkas untuk melenyapkan kuasa politik Melayu yang didominasi oleh UMNO sejak negara ini mencapai kemerdekaan?

Benarkah wujudnya kecenderungan warga Melayu negara ini berani mencuba untuk menjatuhkan UMNO dengan menggantikan kepada Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti-parti PAS, PKR dan juga DAP? Ingatlah, menukar kerajaan bukanlah semudah seperti menukar pakaian. Bukankah lebih baik jika marahkan seekor nyamuk, kelambu tidak dibakar - kelak terbakar seisi rumah!

Saya mengharapkan UMNO yang membanggakan parti ini sebagai wadah umat Melayu supaya tidak berterusan melebarkan persengketaan sehingga merugikan masa depan agama Islam dan juga kepada bangsa Melayu yang dipayunginya. UMNO harus menterjemahkan kepada rakyat Malaysia khususnya umat Melayu di negara ini betapa parti pusaka bangsa ini bukanlah parti untuk orang Melayu sahaja bahkan UMNO adalah jenama perjuangan yang mendokong gagasan 1Malaysia sejak dahulu, kini dan selamanya!

Fenomena orang Melayu menyertai DAP hanyalah sekadar umpan untuk melihat kekuatan Melayu tidak lagi menjadi perkasa seperti sebelumnya. Beranikah DAP berketuakan Melayu? Tentunya inilah tekad yang mungkin Profesor Dr. Ariffin Omar dan konco-konco Melayu ingin laksanakan? Jika benar ini boleh dilakukan dalam DAP, rasanya UMNO boleh memainkan peranan liciknya untuk meMelayukan DAP.