

Seorang tokoh akademik dan budayawan Melayu, Profesor Dr. Ariffin Omar (Foto kiri) telah membuat kejutan apabila beliau meloloskan dirinya untuk menyertai DAP iaitu sebuah parti chauvinis Cina yang disokong kuat oleh masyarakat Tionghua mutakhir ini.
Anak Melayu yang cerdik pandai ini mungkin merasakan bahawa keputusannya menyertai DAP kelmarin bukanlah satu keputusan yang salah atau pun tersilap malah beliau yang juga seorang pensyarah kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) lebih yakin bahawa DAP bukanlah sebuah parti perkauman sebagaimana yang digembar-gemburkan selama ini, terutamanya dari kalangan UMNO.
Saya tidak terkejut dengan pendirian yang diambil oleh Dr. Ariffin Omar itu, namun saya agak hairan dan terpancar suatu persoalan mengapakah tokoh cerdik pandai Melayu ini tidak terlintas di hatinya untuk memberi muka kepada UMNO yang selama ini telah banyak berjasa bukan sahaja kepada dirinya bahkan kepada umat Melayu di negara ini.
Jika dia tidak menyertai UMNO sekalipun bukankah lebih baik dirinya tidak bersekongkol dengan DAP, kerana parti itu sejak dahulu lagi bagaikan menjadi musuh kepada UMNO yang begitu kental dengan jiwa Melayuisme.
Mungkin Dr. Ariffin Omar mempunyai hujah yang kuat untuk menyertai perjuangan politiknya di dalam DAP, kerana dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia bukanlah satu kesalahan untuk rakyatnya menyertai mana-mana parti politik, asalkan tidak melanggar sensisiviti yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara.
DAP mungkin mempunyai agenda politiknya sehingga berjaya memerangkap keinginan Profesor Dr. Ariffin Omar untuk tidak menyokong UMNO, malah terkabur juga untuk dirinya menyertai PKR dan juga PAS. Jika UMNO pasif dengan fenomena Melayu menyertai DAP semata-mata kerana parti itu di pihak pembangkang, sebenarnya ramai juga orang Melayu yang berada di dalam Parti Gerakan dan juga PPP yang merupakan parti komponen Barisan Nasional, tetapi mereka tidak juga memilih UMNO.
Berbeza dengan MCA dan juga MIC, kedua-dua parti ini sememangnya berasaskan kepada 'racial' yang dilihat terdedah dengan unsur rasisme, maka tidak memungkinkan orang Melayu untuk menyertai parti itu. UMNO juga sedemikian, kerana di dalam perlembagaannya tidak memungkinkan orang Cina dan orang India untuk menyertai UMNO, melainkan seseorang itu Melayu ataupun memiliki kelayakan sebagai warga bumiputera.
Sementara itu Parti PAS juga begitu terkongkong dalam sistem keahliannya dimana mereka yang bukan golongan Islam tidak layak menjadi ahli parti itu. Ah Chong dan Ramasamy tidak boleh menjadi ahli PAS kerana kedua-duanya bukan seorang penganut beragama Islam. Walaupun PAS kini mempunyai fan Clubnya yang boleh disertai oleh masyarakat Cina dan India, tetapi mereka ini tetap tidak boleh menjadi ahli PAS.
Manakala PKR keahliannya mirip sebagaimana Gerakan, PPP dan juga DAP di mana parti itu boleh menerima keahlian daripada pelbagai bangsa asalkan mereka warga negara Malaysia.
Demikian perbezaan ketara yang terdapat di dalam sistem keahlian parti-parti berkenaan. Maka, apa kejutannya dengan penyertaan seorang anak Melayu bernama Profesor Dr. Ariffin Omar di dalam DAP? Sebelum ini pun terdapat beberapa lagi orang Melayu telah berkiblatkan DAP, antaranya Fadzlan Yahya yang pernah menjadi ADUN Pasir Berdamar, di Perak, begitu juga dengan Ahmad Nor bekas Presiden Ceupacs yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang.
Sebelum ini pun anak kepada Tan Sri Khir Johari yang pernah mejadi Menteri Pelajaran dan juga Setiausaha Agung UMNO iaitu Zairil Khir Johari juga telah menyertai DAP, dan kini Zairil merupakan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bagi saya, kemasukan Zairil Khir Johari (Foto kanan) anak Allahyarham (Tan Sri) Khir Johari ke dalam DAP tidak sedikit pun memeranjatkan. Ia lebih berupa sesuatu yang menunggu untuk berlaku. Dan saya tidak akan terkejut kalau lebih ramai orang Melayu (atau berdarah campuran Melayu) menyertai DAP.Mengapa saya berkata begitu? Pertama kerana saya pernah terdengar melalui risikan tertentu di kedai-kedai kopi Cina di Perak, bahawa DAP sedang bersungguh-sungguh mencari beberapa orang Melayu yang berwibawa untuk diturunkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.
DAP Perak sudah sedar bahawa kalau ia bercita-cita untuk berkuasa di negeri itu, ia perlu bertindak tegas dan pantas mewujudkan kaukus Melayunya sendiri. Ia tidak boleh bergantung bulat-bulat kepada PAS atau PKR untuk menawan semula negeri itu sebagai persediaan untuk calon MB.
Sumber perisikan itu memberitahu, cakap-cakap di kalangan kepemimpinan DAP adalah mencari dan meletakkan tiga atau empat orang calon Melayu yang berwibawa dengan tujuan jika Pakatan Rakyat menawan semula Perak dan DAP kekal parti terbesar, ia boleh mengemukakan calon MBnya sendiri. Jika itu berlaku, impian Nizar Jamaludin daripada PAS yang pernah dibonekakan sebagai MB Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini untuk menjadi MB semula di negeri itu pasti akan menjadi angan-angan Mat Jenin!
Ini adalah reaksi kepada kejatuhan kerajaan PR Perak pada awal 2010 berikutan tindakan dua Ahli Dewan Undangan PKR dan seorang Adun DAP keluar parti dan memihak kepada Barisan Nasional. Selepas PRU 2008 DAP terpaksa menerima Adun Pas sebagai MB kerana ia tidak mempunyai Adun Melayu manakala Adun Melayu PKR semuanya dilihat tidak menepati piawaian.
Bagi sesiapa yang tidak mengetahui sejarah DAP, eloklah disebutkan bahawa parti itu pernah mempunyai keahlian dan kepemimpinan pelbagai kaum, walaupun majoriti ahli, pemimpin dan penyokongnya adalah Cina.
DAP ditubuhkan pada tahun 1967 bagi mengisi ruang yang dikosongkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura berikutan terkeluarnya wilayah itu daripada Malaysia pada tahun 1965.
Dalam pilihan raya umum 1964, PAP menang satu kerusi Parlimen iaitu Bangsar yang ditandingi oleh CV Devan Nair. (Nair pulang ke Singapura, menjadi Presiden dan akhirnya bergaduh dengan Lee Kuan Yew).
Pada waktu penubuhannya, DAP mempunyai beberapa orang pemimpin Melayu dan pernah mempunyai Wakil Rakyat Melayu. Salah seorang naib pengerusi pada awal penubuhannya adalah seorang Melayu bernama Mohamed Nor Jetty.
Jadi kemasukan Dr. Ariffin Omar, Zairil Khir Johari tdan sebelum itu Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (kini Naib Pengerusi DAP dan Senator) boleh dilihat sebagai percubaan baru DAP mendapatkan sokongan Melayu. Seorang lagi Melayu dalam hierarki DAP sekarang adalah Ahmad Ton yang berupa Ahli Majlis Pusat.
Tidak dapat dinafikan bahawa di sebalik polemik perkauman yang hangat dan keras sekarang, terdapat “counter movement” di mana kemajmukan dan liberalisme menjadi alternatif kepada perkauman.
Sentimen inilah yang dilaungkan oleh Dr. Ariffin Omar dan juga Zairil sebelum ini apabila beliau dilaporkan berkata DAP mempunyai harapan yang lebih cerah mendapatkan sokongan Melayu jika ia menjadikan Melayu bandar sebagai sasarannya.
“Counter movement” ini berlaku di kalangan kelas menengah, termasuk Melayu, yang majoritinya tinggal di bandar-bandar besar.
Apabila Zairil dipetik sebagai berkata Umno pada zaman bapanya berlainan sekali dengan Umno yang wujud hari ini, dia juga mengulangi sentimen ramai orang Melayu yang berasa Umno hari ini telah terpisah jauh daripada perjuangan dan idealisme asal.
Cabaran terbesar yang akan dihadapi oleh DAP dalam usahanya memperluaskan sokongan Melayu adalah bagaimana hendak menyanggah persepsi dan dakwaan bahawa parti itu anti-Melayu. Hubungan intim mereka bersama PKR dan juga PAS dengan membentuk gagasan Pakatan Rakyat telah menjadikan DAP tidak terlalu ekstrim dengan keCinaannya. MCA sebagai sebuah parti Cina terbesar di negara ini dilihat semakin pudar sokongan yang diterima oleh komuniti Cina, namun sokongan masyarakat Cina terhadap DAP dan juga komponen Pakatan Rakyat telah berjaya mengatasi pengaruh MCA, Parti Gerakan dan juga SUPP di Sarawak.
Apakah aktivis Melayu dalam DAP sekarang mempunyai cukup kewibawaan dan integriti untuk membantu parti itu menangkis persepsi bahawa DAP bukanlah sebuah parti Chauvinis Cina? Atau, apakah aktivis Melayu dalam DAP tidak sedar bahawa mereka hanyalah menjadi alat pamungkas untuk melenyapkan kuasa politik Melayu yang didominasi oleh UMNO sejak negara ini mencapai kemerdekaan?
Benarkah wujudnya kecenderungan warga Melayu negara ini berani mencuba untuk menjatuhkan UMNO dengan menggantikan kepada Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti-parti PAS, PKR dan juga DAP? Ingatlah, menukar kerajaan bukanlah semudah seperti menukar pakaian. Bukankah lebih baik jika marahkan seekor nyamuk, kelambu tidak dibakar - kelak terbakar seisi rumah!
Saya mengharapkan UMNO yang membanggakan parti ini sebagai wadah umat Melayu supaya tidak berterusan melebarkan persengketaan sehingga merugikan masa depan agama Islam dan juga kepada bangsa Melayu yang dipayunginya. UMNO harus menterjemahkan kepada rakyat Malaysia khususnya umat Melayu di negara ini betapa parti pusaka bangsa ini bukanlah parti untuk orang Melayu sahaja bahkan UMNO adalah jenama perjuangan yang mendokong gagasan 1Malaysia sejak dahulu, kini dan selamanya!
Fenomena orang Melayu menyertai DAP hanyalah sekadar umpan untuk melihat kekuatan Melayu tidak lagi menjadi perkasa seperti sebelumnya. Beranikah DAP berketuakan Melayu? Tentunya inilah tekad yang mungkin Profesor Dr. Ariffin Omar dan konco-konco Melayu ingin laksanakan? Jika benar ini boleh dilakukan dalam DAP, rasanya UMNO boleh memainkan peranan liciknya untuk meMelayukan DAP.


3 comments:
Assalamualaikum ... bagi mereka agenda tetap sama iaitu matlamat menghalalkan cara ... apa jua sanggup diperdagankan asalkan nafsu mahupun kerakusan kuasa / pengaruh mereka dapat dipenuhi ...
politik berdasarkan kaum (rasis)semakin terpinggir di dunia sekarang. DAP telah menyedari perkara tersebut dan memang sedang memancing cerdik pandai melayu utk diletakkan di posisi2 yang strategik. Umno,mic dan mca, parti berasas kaum akan semakin terpinggir. peratus undi popular BN akan semakin menurun, lebih2 lagi jika melayu semakin berinformasi dan boleh menganalisis.
Apa yg berlaku di Amarika seorang kulit hitam jadi president berkemungkinan besar boleh berlaku di sini .... parti DAP mungkin di senangi orang melayu ....politik biasa lah ... semalam parti cina utk org cina ... hari ini bertukar arah menjadi parti pejuang melayu agar dapat merampas tampuk permerintahan negara .... kalau tak sedar tak tahu lah.... tapi apa pun inilah yg gi katakan BERUSAHA.. utk menang ... DAP tak tidor dan duduk senyap ..... mereka terus berusha mendapatkan sokongan org melayu ... PAS , Umno dan Pkr berbalah sesama sendiri.... riak dgn mengumumkan dah dapat beribu ribu ahli baru sedang DAP senyap tidak menumum apa2 ... DAP terus berkerja ... Jangan terkejut dan jangan marah kalu kelak DAP menang besar di perak dan di Dewan Rakyat.... Renunglah.
Post a Comment