
Jika Dato' Sri Najib berkata kriteria calon yang bakal diketengahkan dalam PRU13 nanti ialah calon yang boleh menang (winnable), tanpa mengira samada calon itu tua atau muda atau calon kitar semula atau di kalangan mereka yang pernah bertanding sebelum ini, maka di SETIAWANGSA P.118 terdapat beberapa nama yang boleh dipertimbangkan, diantara mereka itu ialah Dato' Sri Zulhasnan Rafique sendiri (Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa) menyandang jawatan Ahli Parlimen sekarang, begitu juga dengan Dato' Halim Samad (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa) dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa).

Nama-nama besar yang lain seperti Datuk Astaman Abd. Aziz (Mantan Ahli Parlimen Titiwangsa/Mantan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju) dan juga Dato' Izudin Ishak (Mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa) juga dilihat berminat menjadi calon menjelang PRU13.
Jika ditanya kelima-lima mereka ini samada bersedia untuk dicalonkan dalam PRU13 nanti di Setiawangsa, saya pasti mereka tidak akan menolaknya. Jadi terserahlah kepada Dato' Sri Najib untuk memilih yang terbaik di kalangan mereka. Terdengar juga desas desus, kemungkinan calon helikopter atau pun calon payung terjun juga bakal diletakkan bertanding di sini untuk berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat yang berjaya meraih undi besar di sebahagian besar peti-peti undi di bahagian pilihan raya P.118 Setiawangsa dalam PRU12 yang lalu.
Kemungkinankah Dat
o' Seri Shahrizat Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang kalah di tangan Nurul Izzah di Lembah Pantai dalam PRU12 lalu akan diterjunkan di Setiawangsa sekiranya pucuk pimpinan enggan mengekalkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique buat kali yang ke-4 bertanding di kawasan ini? Begitu juga terdengar bisikan kononnya Dato' Seri Jamil Khir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan cukup berpengaruh di kalangan anggota tentera di Mindef juga ada hati untuk mempertaruhkan diri sebagai calon BN di Setiawangsa.Kedua-dua tokoh bertaraf senator yang berjawatan menteri ini dikatakan sedang meneropong kawasan selamat untuk membolehkan jangka hayat jawatan menteri yang sedang disandang sekarang ini tidak terhenti selepas PRU13. Walaupun nama Shahrizat disebut juga akan dicalonkan di Putrajaya kononnya untuk menggantikan Tengku Adnan yang dikatakan bakal menjadi TYT di sebuah negeri tidak beraja di negara ini, namun Setiawangsa dilihat lebih sinonim dengannya kerana beliau pernah berada di dalam syarikat konglomerat Island & Peninsular Berhad yang membangunkan kawasan Taman Setiawangsa beberapa tahun yang lalu sebelum Zulhasnan menjadi Ahli Parlimen di situ.
Di peringkat UMNO Bahagian Setiawangsa sendiri masih belum ada ketetapan atau mandat rasmi untuk menamakan calon-calon yang layak untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti. Rasanya nama Ketua UMNO Bahagian itu, Dato' Sri Zulhasnan Rafique tidak menjadi masalah besar malah dilihat menjadi pilihan utama di kalangan Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa untuk mengekalkan namanya semula buat penggal yang ke-4 sebagai calon BN di Parlimen Setiawangsa.
Penyusunan jentera pilihan raya di peringkat BN Parlimen Setiawangsa juga memperlihatkan betapa bersungguh-sungguhnya Dato' Sri Zulhasnan mempersiapkan diri untuk bertanding semula sebagai calon BN di kawasan ini.
Walaupun terdapat juga berbagai spekulasi kononnya beliau mempunyai harapan tipis untuk dicalonkan semula, namun kelibat sinergi Ketua UMNO Bahagian ini dilihat semakin terdorong untuk mencipta sejarah dirinya buat kali yang ke-4, setelah menang pada tahun 1999 di Parlimen Wangsa Maju dan menang sekali lagi pada PRU 2004 di kawasan parlimen baru iaitu Parlimen Setiawangsa, dan beliau juga telah menang buat kali ketiga dalam PRU12 pada tahun 2008 di P118. Setiawangsa. Namun begitu sekiranya beliau tidak dicalonkan semula dalam PRU13, saya menjangkakan beliau tidak mempunyai masalah untuk memberikan sokongan padu kepada calon baru pilihan Dato' Sri Najib.
Sebagai ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa, saya pernah mengajukan persoalan ini kepadanya secara bersemuka di dalam satu majlis dailog seterusnya meminta beliau supaya tidak rasa kecundang dan mengharapkan beliau tidak 'menutup kedai' jika pucuk pimpinan tidak memilihnya lagi sebagai calon dalam PRU13. Secara tulus beliau memberikan jawapan jika itulah yang akan berlaku, beliau akan tetap memberikan sokongan demi untuk kemenangan parti.
Sebagai pemimpin UMNO Bahagian ini, beliau mahukan agar semua pihak di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa melipatgandakan usaha mengekalkan rekod tanpa kalah di Parlimen Setiawangsa. Beliau berjanji tidak akan bertindak songsang jika dirinya tidak dicalonkan semula.
Kemunculan nama-nama baru dalam ranking calon-calon BN Setiawangsa yang menjadi sebutan mutakhir ini bukanlah bermakna UMNO Bahagian ini berada dalam lingkaran keretakan. Walaupun wujud kabilah-kabilah tertentu yang mencanaikan 'kerja politik' untuk melonjakkan calon tertentu dalam ranking 'winnable candidate' tetapi ianya tidak membahang sangat sehingga keadaan tidak terkawal.

Zulhasnan sendiri memaklumi malah menyedari adanya pergerakan kabilah tertentu yang tidak disenanginya sedang mencuba nasib untuk menyaingi dominasi politik pimpinannya selama ini. Kemunculan Datuk Astaman di dalam arena Setiawangsa mutakhir ini sedikit sebanyak telah mencuri perhatian beberapa pihak di kalangan pemimpin-pemimpin cawangan, terutama yang pernah menjadi penyokong setia semasa Astaman menjadi Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju sebelum kewujudan Bahagian Setiawangsa sekitar rahun 2001 - 2004.
Benarkah Datuk Astaman kini yang tidak memegang sebarang jawatan politik di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa menjadi faktor yang mengancam kedudukan politik Dato' Sri Zulhasnan? Sekiranya itu menjadi faktor ancamannya, saya merasakan Zulhasnan akan berhadapan dengan satu lagi cabaran dimana kemunculan nama Dato' Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagiannya yang disebut-sebut semakin bersinar untuk menjadi calon baru yang winnable dalam PRU13 nanti.
Nama Fauzi Zahari dikatakan menjadi favourite kerana beliau dikaitkan sebagai orang harapan Muhyiddin Yassin yang mengetuai Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan. Fauzi sendiri adalah Setiausaha Kerja BN Wilayah Persekutuan, dan beliau dikatakan di antara muka baru yang bakal dilonjakkan dalam saf calon-calon winnable pasca PRU13.
Dalam satu perkembangan lain, nama Dato' Halim Samad iaitu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa juga dikaitkan bakal dipertimbangkan menjadi calon BN di Setiawangsa jika Zulhasnan tidak dicalonkan. Sebelum ini nama beliau bagaikan tersisih atas faktor usia ketuaannya.
Namun apabila Perdana Menteri menyatakan kali ini kriteria menentukan calon tidak akan terikat dengan faktor usia muda atau pun tua, maka nama Halim Samad iaitu tokoh veteran yang pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Dato' Sri Najib ini tiba-tiba kelihatan semakin relevan untuk diketengahkan seganding dengan nama Dato' Fauzi Zahari dan juga Datuk Astaman Abdul Aziz. Dato' Halim Samad juga merupakan mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO WP dan mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setapak; dan kini beliau juga merupakan Pengerusi KUB (M) Berhad dan juga Pengerusi Eksekutif Stamford College yang beribu pejabat di Petaling Jaya.
Sementara itu, nama Dato' Izudin Ishak mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa juga dikatakan menjadi favourite. Walaupun nama beliau tidak semekar dahulu, namun usahanya untuk meletakkan diri dalam ranking calon winnable di Setiawangsa tidak harus diperkecilkan.
Memperkatakan relevansi kelima-lima tokoh seperti Zulhasnan, Halim, Fauzi, Astaman dan Izudin sebagai calon BN yang sesuai untuk dipertandingkan dalam PRU13, bukan bermakna hanya mereka berlima itu sahaja mempunyai kelayakan, malah UMNO Setiawangsa juga mempunyai beberapa nama lagi yang sesuai dan berkelayakan untuk menjadi calon.
KETUA-KETUA SAYAP UMNO SETIAWANGSA


Nama-nama besar seperti Hairunnisha Ismail, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Azmi Badarudin, Ketua Pergerakan Pemuda dan juga Seriwani Sabtu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiawangsa juga membarisi di antara tokoh tempatan yang layak untuk dikemukakan sebagai calon BN menjelang PRU13 nanti. Ketiga-tiga pemimpin sayap ini juga mempunyai pengaruh tersendiri yang mampu membuat kejutan jika mereka diberikan peluang.
Pucuk pangkalnya ialah kesepaduan jentera parti yang hendak digemblengkan haruslah tidak menyenget hanya kepada kelompok tertentu sahaja sehingga tidak menggambarkan kekuatan sebenar UMNO/BN di Setiawangsa. Jika usaha penyatuan ini gagal digemblengkan, sudah pasti politik bersuku-sukuan ini akan menyebabkan parti menerima padah kekalahannya. Janganlah hendaknya kita masih berbangga dengan takabur usang kononnya UMNO masih berada dalam zon selesa sedangkan dalamannya luka membarah.
Dalam suasana politik tanah air yang dirundung berbagai kemelut, parti haruslah sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dalam menguruskan isu-isu yang melanda. Isu-isu nasional yang menikam diri kadang-kadang bahangnya terkesan di peringkat akar umbi sehingga rakyat menolak gagasan BN walaupun kita meletakkan calon yang winnable.
Sebagai sebuah kawasan parlimen yang dianggap mudah menang (winnable area), Setiawangsa janganlah terlalu yakin untuk menang (over confident) dengan menampilkan calon winnable hanya dari kaca mata kita sahaja, sedangkan rakyat tidak boleh lagi menerima UMNO/BN akibat kerakusan menguruskan urusan rakyat, sehingga rakyat tidak lagi diutamakan. UMNO harus menjiwai sedalam-dalamnya maksud yang tersirat di sebalik gagasan yang diperkenalkan oleh Dato' Sri Najib, "1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".


































