assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, May 30, 2010

MODEL BARU EKONOMI CETUSAN NAJIB DITOLAK OLEH KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA

Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan "tegas dan jelas" menolak Model Ekonomi Baru (MEB) 'secara prinsip' sehingga cadangan kongres ini diterima pakai oleh kerajaan. "MEB gagal meletakkan agenda bumiputera kerana ia adalah asas perlembagaan dan rumusan Model Ekonomi Baru ini adalah satu penghinaan kerana menolak semangat DEB," kata pengerusinya, Dato' Ibrahim Ali yang juga presiden PERKASA.

Menurutnya lagi, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) gagal meletakkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera sebagai agenda utama negara, walaupun menurutnya bumiputera adalah penduduk terbesar tetapi terkebelakang dari segi ekonomi.

"Agenda bumiputera di dalam MBE tidak boleh dibiarkan kabur atas alasan apa sekalipun. Ia perlu jelas supaya pihak pelaksana dasar ini dan rakyat bumiputera lebih fokus dan terarah, katanya.
Ibrahim Ali dengan tegas menyatakan pendirian ini di hadapan Dato' Sri Najib Tun Razak Perdana Menteri yang telah menyempurnakan penutupan kongres ini malam tadi di Dewan Merdeka PWTC.

Menurut Ibrahim Ali, lebih seribu peserta yang mewakili 126 NGO Melayu telah mengikuti Kongres Ekonomi Bumiputera sejak pagi hingga ke petang, di mana mereka telah membahaskan ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Normah Mansor, Ketua Setiausaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MAPEN) yang bertajuk 'Agenda Melayu Dalam Model Baru Ekonomi (MBE)' .

Ibarhim Ali, Pengerusi Majlis Perundingan Melayu ketika menyampaikan ucapan

Dato' Sri Najib Tun Razak merasmikan penutupan Kongres

Di dalam ucapan yang penuh bersemangat itu, Dato' Ibrahim Ali juga telah menghuraikan mengapa Model Baru Ekonomi cetusan Najib itu ditolak oleh kongres. Diantara lainnya, Ibrahim Ali berkata bahawa semua pengulas yang terdiri daripada Senator Datuk Akbar Ali bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Negara, begitu juga dengan Dato' Halipah Esa bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan juga Dato' Profesor Ramlah Adam, dimana kesemua mereka telah mengupas secara ilmiah dan mendapati Model Baru Ekonomi yang menggantikan DEB tidak membawa keuntungan kepada orang Melayu di negara ini.

Secara sinis Ibrahim Ali menyatakan jika pihak kerajaan tidak berhati-hati Model Baru Ekonomi ini yang diperkenalkan ini akan 'memakan tuan' dan bimbang padahnya akan terkesan dalam PRU13 nanti.

Beliau menyifatkan penggubal Model Baru Ekonomi yang disediakan oleh MTEN ini mungkin terlepas pandang banyak perkara yang dilihat tidak secocok dengan semangat Fasal 152 & 153 Perlembagaan Persekutuan yang berpaksikan kepada hak keistimewaan Melayu. Oleh itu tegasnya, Kongres tidak dapat menerima MBE ini.

Sementara itu Dato' Sri Najib Tun Razak dalam jawapan balasnya telah mengakui bahawa maklum balas yang diterimanya berkaitan dengan dasar MBE ini merupakan satu pandangan akar umbi yang akan diberikan perhatian.

Menurutnya, Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan ini merupakan satu proses bagi mendapatkan pandangan pakar-pakar yang bersifat global untuk menjangkau pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat lagi mencabar, selari dengan matlamat wawasan 2020 yang menuntut supaya negara ini menjadi sebuah negara maju menjelang 10 tahun yang akan datang.

Dato' Sri Najib juga bersedia untuk mengadakan pertemuan lebih kerap dengan Majlis Perundingan Melayu untuk mendengar segala pandangan dan juga rintihan berkaitan dengan masa depan ekonomi orang Melayu.

Di akhir majlis itu, Ibrahim Ali telah menyerahkan 'Perisytiharan 15 Jamadil Akhir 1431' kepada Perdana Menteri diikuti dengan resolusi-resolusi yang dicapai oleh kesemua wakil 26 NGO yang berkaitan.

Saturday, May 29, 2010

WAKIL RAKYAT BN KEDAH SERTAI PAS?

Khabar terbaru, rakyat Kedah sedang menunggu satu pengumuman minggu depan bahawa ada seorang wakil rakyat UMNO akan berhijrah menyertai Parti Islam SeMalaysia. Locengwangsa turut menerima sms tentang seorang ADUN dari UMNO itu yang dikatakan akan mengumumkan penyertaannya di dalam PAS dan kemungkinan juga beliau akan meletakkan jawatannya.

UMNO juga sedang berusaha untuk menghalang ADUN berkenaan supaya tidak berbuat demikian, dan bersedia membantu beliau menyelesaikan semua masalah yang dihadapinya.

Kemelut terbaru ini memberikan cabaran kepada UMNO yang sedang berusaha untuk melemahkan kerajaan PAS di bawah kepimpinan Dato' Seri Ustadz Azizan Abd. Razak (Foto).

Desas-desus sebelum ini yang menyebut terdapatnya beberapa orang ADUN dari PKR dan DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat menjadi ADUN Bebas dan mengaitkannya kemungkinan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri Kedah telah tidak menjadi, sebaliknya seorang ADUN daripada UMNO pula yang telah memberi isyarat 'sayonara' kepada partinya untuk menyertai PAS.





Thursday, May 27, 2010

SAMY VELLU MINTA SUBRAMANIAM PULA BERUNDUR BERSAMANYA


Dato' Seri S. Samy Vellu dan Dato' S. Subramaniam

Dato' Seri S. Samy Vellu yang sudah 31 tahun menjadi Presiden MIC tidak senang hati jika pengundurannya nanti tidak disertai oleh musuh tradisinya Dato' S. Subramaniam yang masih menjadi Ketua Bahagian di dalam MIC.

Beliau kecewa dengan tindak tanduk bekas Timbalan Presiden MIC itu yang dikatakan turut berkempen di Kedah meminta dirinya berundur. Samy Vellu mendakwa Subra telah menjadi Timbalan Menteri di dalam kabinet lebih awal darinya; lantaran itu Samy meminta Subramaniam juga perlu didesak supaya berundur dari jawatannya sekarang di dalam MIC.

Samy Vellu menyatakan desakan itu di dalam wawancara 'Soal Jawab' terbitan TV3 malam tadi yang dihostkan oleh Dato' Ahmad A. Talib. Dato' Seri S. Samy Vellu juga mempertikaikan tindakan V. Mugilan yang sedang menggunakan 'Gerakan Anti Samy Vellu (GAS)' sambil menyifatkan Mugilan sebagai orang muda yang tidak cukup pengalaman di dalam MIC.

Apabila diajukan soalan mengenai kesan yang bakal dihadapi oleh MIC daripada perhimpunan yang bakal diadakan oleh GAS pada Ahad ini, Samy berkata bahawa Mugilan tidak akan mampu untuk memecah belahkan MIC, sebaliknya mendakwa Mugilan kini sedang bermain api.

Beliau juga menyatakan walaupun boleh mengerahkan sokongan yang lebih besar terhadap dirinya, namun Samy Vellu enggan berbuat demikian kerana menurutnya tindakan sedemikian tidak akan membawa faedah kepada parti, sebaliknya akan membawa kepada perpecahan yang lebih besar.

Presiden MIC itu juga telah membayangkan sekiranya beliau berundur nanti, penggantinya adalah Senator Dato' Palanivel yang kini menjadi Timbalannya. Manakala Naib Presiden I MIC, Dato' Dr. Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia akan menjadi Timbalan Presiden MIC yang baru.

Nampaknya semua jawatan tertinggi di dalam MIC bukan lagi menjadi pilihan demokratik ahli-ahlinya, malah Samy Vellu yang semakin menghampiri garisan penamat secara autokratik mahukan semua ahli MIC mengikut apa saja yang beliau mahu. Oleh kerana V. Mugilan tidak mematuhi arahannya, maka Mugilan terpaksa disepak olehnya sehingga mendorong Mugilan membentuk suatu gerakan besar-besaran untuk memaksa Samy Vellu pula meletakkan jawatanya segera tanpa menunggu tarikh luputnya pada tahun 2012.

Demikianlah episod seorang lagenda MIC yang sedang mengharungi liku-liku kepimpinannya yang masih bertahan sejak 31 tahun yang lampau. Mampukah V. Mugilan mencipta sejarah baru dalam MIC untuk mengusir 'Samy MIC' itu? PWTC milik UMNO itu bakal menjadi saksi pada Ahad ini, 30 Mei 2010 apabila V. Mugilan dengan beraninya melancarkan suatu gerakan untuk menamatkan riwayat dan legasi Samy Vellu.


Wednesday, May 26, 2010

'PEMBUNUHAN POLITIK' MEMBUNUH MIC SENDIRI

Apabila Vell Paari (Foto) membuat tuduhan UMNO terlibat melakukan 'pembunuhan politik' terhadap bapanya Samy Vellu, lantas mengundang kemarahan UMNO yang tidak mahu MIC membabitkan parti ini sebagai pembunuh karier Presiden MIC itu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Presiden UMNO telah menunjukkan reaksi marahnya dengan berkata bahawa anak Samy Vellu itu biadap seterusnya menasihatkan Dato' Seri S. Samy Vellu supaya menasihati anaknya supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang menyentuh perasaan pemimpin-pemimpin parti lain.

Anak Samy Vellu itu sebelum ini menuduh bahawa UMNO terlibat dalam 'Gerakan Anti-Samy Vellu' yang diketuai oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang telah dipecat keahliannya oleh Presiden parti itu baru-baru ini.

Sementara itu V. Mugilan dalam reaksinya pula mempersoalkan Vell Paari kenapa begitu biadap menyalahkan UMNO apabila kedudukan Samy Vellu mula dipertikaikan oleh ahli-ahli MIC kebelakangan ini. Beliau menyifatkan pembelaan Vell Paari terhadap bapanya itu sebagai tidak matang.

V. Mugilan berkata, dakwaan Vell Paari mengenai UMNO itu adalah salah sama sekali. UMNO mahupun parti-parti komponen BN yang lain menurutnya tidak pernah mencampuri urusan dalaman MIC sejak dahulu lagi.

Nampaknya kemelut yang melanda MIC ini dilihat semakin parah malah ianya satu bencana besar yang bakal membawa mala petaka kepada BN. Justeru, BN perlu bertindak segera untuk membetulkan 'alignment' yang tidak akan membawa kebaikan kepada parti itu yang kini berhadapan dengan cabaran Pakatan Rakyat.

Ekoran daripada isu ini MIC dikatakan berada dalam keadaan yang tidak stabil kerana sebahagian daripada ahli-ahlinya juga dikatakan akan mengikut jejak langkah V. Mugilan untuk mendesak supaya Samy Vellu diNyahkan segera di dalam hirarki kepimpinan MIC. Mugilan mendakwa ramai lagi ahli-ahli MIC yang akan menyokongnya mendesak Samy Vellu supaya berhenti segera tanpa menunggu tahun 2012.

Gerakan Anti-Samy (GAS) yang diketuai Mugilan akan mengadakan perhimpunan Ahad ini di PWTC; dan Mugilan dikatakan begitu yakin bahawa Samy Vellu akan meletakkan jawatannya secepat-cepatnya Julai tahun ini juga.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda MIC T. Mohan dalam mempertahankan Presidennya telah membuat ugutan bahawa partinya tidak akan teragak-agak mengkaji semula keududukannya dalam BN, jika UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan GAS pada Ahad ini.

Beliau kecewa kerana pihak pengurusan PWTC mengesahkan memang ada tempahan dewan dibuat oleh UMNO tanpa menyebut siapa yang membuat tempahan serta untuk apa tempahan itu dilakukan.

T. Mohan menyatakan pendirian ini di dalam satu sidang media yang diadakan sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat tergempar Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di Kuala Lumpur kelmarin.

Apakah desakan yang dibuat supaya Samy berundur bakal menyebabkan MIC keluar daripada Barisan Nasional? Sama-samalah kita mengikuti perkembangan selanjutnya.







Sunday, May 23, 2010

ADUN KERDAU KRITIKAL

Anggota Dewan Undangan Negeri Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim (Foto) yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei lepas kini kembali kritikal.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin, 63, tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat kira-kira pukul 6 pagi.

"Saya dimaklumkan oleh salah seorang anaknya yang beliau tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat untuk diberi ubat. Saya difahamkan, kemungkinan beliau mengalami strok dan dia kini dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata anggota keluarga Zaharuddin diminta datang ke hospital oleh doktor yang merawatnya kerana beliau berada dalam keadaan koma, dan doktor turut memaklumkan bahawa keadaan jantung serta paru-paru Zaharuddin dalam keadaan lemah, dan beliau memerlukan perhatian serius.

Zaharuddin dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh pada 3 April lalu untuk menjalani pembedahan ulser usus setelah mengadu sakit di bahagian perut sebelum dirujuk ke IJN selepas berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya.

Dalam pilihan raya umum 2008 yang lepas Zaharuddin telah berjaya menewaskan calon PAS Hasanudin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Kawasan DUN tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus pengundi Melayu, pengundi Cina 6 peratus, 3.7 peratus pengundi India dan 2.5 peratus lain-lain kaum.

Apa pun kita mendoakan Zaharuddin agar rawatan rapi yang diberikan terhadapnya dapat menyembuhkan penyakit yang dihadapi.


Tuesday, May 18, 2010

PROJEK MEE SEGERA TAJAAN BN EDISI PRK SIBU

Nota:
Semua pemberian cek yang bernilai jutaan ringgit ini telah diserahkan kepada wakil-wakil yang berkenaan pada 12 Mei 2010, iaitu empat hari sebelum hari pengundian.

Cek bernilai RM10 JUTA untuk prasarana pendidikan komuniti Cina

Cek bernilai RM5 JUTA juga untuk komuniti Cina

Wakil komuniti Cina ini juga menerima cek

Wakil komuniti Cina ini juga gembira menerima cek

RM4 bilion telah diperuntukkan kepada Sarawak bagi sektor Pendidikan dalam RMK9 dengan 1,700 buah sekolah telah dibina termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan | RM1 bilion untuk penebatan banjir di mana RM300 juta telah dilaksanakan (Fasa I). RM99 juta telah diperuntukkan kepada Sibu dalam RMK9 dan akan ditambah dalam RMK10 | RM28 juta untuk Pulau Bruit bagi faedah 9,000 penduduk yang duduk di 13 Kampung di pulau tersebut dengan pemilihan Pulau Bruit sebagai Kota Agropolitan yang baru di Negara kita dengan bajet RM18 juta dan bagi projek bekalan air bersih dengan kos RM10 juta | RM 18 juta diperuntukkan kepada 65 sekolah bantuan Cina dan dua buah sekolah kebangsaan | RM6.6 juta untuk kebajikan umat Islam termasuk bina dua masjid. RM2 juta telah diperuntukan untuk naik taraf sistem perparitan dan menurap jalan di Kg Bahagia Jaya dan Kg Jeriah | RM 1 juta pemberian Komputer riba percuma bernama “Netbook 1Malaysia” bernilai RM999 untuk 1000 pelajar di Sibu yang mana menjadi sebahagian dari bujet RM1 bilion pemberian netbook percuma kepada pelajar kurang mampu seluruh Negara | RM 500,000 diperuntukkan untuk Sek. Men. Agama Sibu | Dewan Serbaguna bernilai RM250,000 yang akan dibina dalam kawasan Sek.Men.Kebangsaan Batang Igan, Dalat | RM 100,000 untuk naik taraf dua buah sekolah iaitu Sek.Keb.Rantau Panjang dan Tanjung Penasu, Bawang Assan di mana majoriti pelajar adalah kaum Iban | Kemudahan wifi dengan kewujudan Kampong Wifi Pertama di Malaysia di Kampung Bahagi Jaya, Teku yang akan memberi manfaat kepada 5,000 penduduk | Bekalan eletrik untuk 2,000 penduduk di Sg Rasau sebelum 2012 dengan tambahan RM600 kepada setiap pintu rumah panjang bagi tujuan baik pulih | Siaran TV satelit percuma untuk 200,000 penduduk pendalaman Sabah dan Sarawak bagi saluran RTM,TV3 dan Astro yang akan ditentukan kelak | Naik taraf Kolej Laila Taib menjadi sebuah Universiti pada tahun 2012.

Sunday, May 16, 2010

DAP TAWAN SIBU....MUHYIDDIN YASSIN TINGGALKAN SIBU LEBIH AWAL

DAP yang bergabung dalam Pakatan Rakyat kini berjaya menawan SIBU iaitu kubu kuat BN sejak 28 tahun yang lalu. Keputusan rasmi PRK P212 Sibu, calon DAP, Wong Ho Leng (Foto) menang dengan majoriti 398 undi.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat pada jam 10.59 malam ini, keadaan di tempat pengiraan undi menjadi kelam kabut sedikit kerana SPR melambat-lambatkan untuk umum kemenangan DAP.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat kelihatan susah hati dengan perkembangan itu apabila beralih arah ke Wisma Sanyan untuk kepastian pengiraan undi pos di sana. Sementara itu Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri beserta rombongannya telah pun meninggalkan Bandar Sibu lebih awal setelah mengetahui BN tertewas kali ini. Sidang akhbarnya yang sepatut diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandar Sibu juga telah dibatalkan.

Wong Ho Leng daripada DAP telah berjaya meraih 18,845 undi, manakala calon BN Robert Lau Hui Yew memperolehi 18,447 undi. Calon Bebas Narawi Harun hanya mendapat 232 undi. DAP menang dengan majoriti 398 undi.

Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu, BN telah berjaya mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,235 mengalahkan Wong Ho Leng daripada DAP dan juga calon PKR. Kini BN telah kehilangan 2,837 yang menjarakkan kemenangannya dalam PRU12. Undi pos yang berjumlah 2,537 telah mendekatkan lagi majoriti kecil yang diterima oleh DAP.

Jika bukan kerana undi pos, tentunya BN akan tewas dengan majoriti yang lebih besar. BN menerima undi pos sebanyak 2,322 undi, manakala DAP memperolehi 70 undi. Calon Bebas pula hanya mendapat 30

Pemerhati politik berpendapat kecenderungan pengundi Cina yang mendominasi majoriti pengundi di Parlimen Sibu telah menjadi faktor utama kepada penolakan terhadap BN.

(Foto: DAP meraikan kemenangan)

Pengundi-pengundi Cina kelihatannya tidak mudah dikoyokkan dengan janji-janji manis jika dibandingkan dengan pengundi-pengundi 'Dayak' dan sebahagian daripada pengundi Melayu Melanau yang menjadi harapan kepada BN.

Pengumuman Perdana Menteri yang akan menyalurkan bantuan sejumlah RM18 juta untuk pembangunan pendidikan di Daerah Sibu nampaknya tidak mampu untuk mengurangkan sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat. Samada Najib akan menunaikan janji-janjinya itu atau sebaliknya kini sedang diteropong oleh rakyat Sibu.

Pehin Sri Taib Mahmud Ketua Menteri Sarawak juga nampaknya tidak senang duduk dengan 'signal' yang telah diberikan oleh rakyat Sibu dalam pilihan raya kecil ini. Perang saraf yang digendangkan oleh Pakatan Rakyat yang menyebut jika mengundi SUPP samalah juga mengundi TAIB merupakan satu sindiran tajam terhadap kepimpinan negeri Sarawak yang diterajui oleh Taib Mahmud.

Masalah dalaman SUPP yang masih tidak bernoktah itu juga dilihat menjadi faktor yang menghimpit kedudukan BN di negeri Bumi Kenyalang ini. Pergelutan sesama sendiri di dalam parti terbesar masyarakat Cina di Sarawak kini menjadi ancaman terbesar kepada BN terutama bagi kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina. SUPP hendaklah segera membuat kajian bagaimana 3,500 pengundi Cina boleh swing kepada DAP di kubu kuatnya di Sibu.

Jika Taib Mahmud berkira-kira untuk mengadakan pilihan raya umum bagi negeri itu dalam masa yang terdekat ini, eloklah dikaji semula supaya masalah kepimpinan yang masih membahang di dalam komponen BN negeri Sarawak dapat segera diatasi. Namun begitu tempoh untuk mengadakan pilihan raya umum peringkat negeri Sarawak semakin hampir dan ianya tidak dapat dielakkan lagi.

Slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri juga dilihat tidak memberi impak kepada masyarakat Cina. Pilihan raya kecil di Hulu Selangor baru-baru ini telah menjadi bukti betapa pengundi-pengundi golongan ini masih terkeliru dengan wawasan 1Malaysia yang menuntut hak kesamarataan sebagai sebuah 'bangsa Malaysia'.

Kekeliruan mereka juga telah diterjemahkan di Sibu, kerana sebahagian besar masyarakat Cina di Bandar Sibu tidak mahukan kemenangan BN di kawasan mereka. Mereka dilihat bagaikan 'sudah serik' untuk bernaung lagi di bawah BN dan kali ini mereka telah mencuba untuk beralih arah menyokong 'roket'.