

Dato' Seri S. Samy Vellu dan Dato' S. Subramaniam
Dato' Seri S. Samy Vellu yang sudah 31 tahun menjadi Presiden MIC tidak senang hati jika pengundurannya nanti tidak disertai oleh musuh tradisinya Dato' S. Subramaniam yang masih menjadi Ketua Bahagian di dalam MIC.
Beliau kecewa dengan tindak tanduk bekas Timbalan Presiden MIC itu yang dikatakan turut berkempen di Kedah meminta dirinya berundur. Samy Vellu mendakwa Subra telah menjadi Timbalan Menteri di dalam kabinet lebih awal darinya; lantaran itu Samy meminta Subramaniam juga perlu didesak supaya berundur dari jawatannya sekarang di dalam MIC.
Samy Vellu menyatakan desakan itu di dalam wawancara 'Soal Jawab' terbitan TV3 malam tadi yang dihostkan oleh Dato' Ahmad A. Talib. Dato' Seri S. Samy Vellu juga mempertikaikan tindakan V. Mugilan yang sedang menggunakan 'Gerakan Anti Samy Vellu (GAS)' sambil menyifatkan Mugilan sebagai orang muda yang tidak cukup pengalaman di dalam MIC.
Apabila diajukan soalan mengenai kesan yang bakal dihadapi oleh MIC daripada perhimpunan yang bakal diadakan oleh GAS pada Ahad ini, Samy berkata bahawa Mugilan tidak akan mampu untuk memecah belahkan MIC, sebaliknya mendakwa Mugilan kini sedang bermain api.
Beliau juga menyatakan walaupun boleh mengerahkan sokongan yang lebih besar terhadap dirinya, namun Samy Vellu enggan berbuat demikian kerana menurutnya tindakan sedemikian tidak akan membawa faedah kepada parti, sebaliknya akan membawa kepada perpecahan yang lebih besar.
Presiden MIC itu juga telah membayangkan sekiranya beliau berundur nanti, penggantinya adalah Senator Dato' Palanivel yang kini menjadi Timbalannya. Manakala Naib Presiden I MIC, Dato' Dr. Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia akan menjadi Timbalan Presiden MIC yang baru.
Nampaknya semua jawatan tertinggi di dalam MIC bukan lagi menjadi pilihan demokratik ahli-ahlinya, malah Samy Vellu yang semakin menghampiri garisan penamat secara autokratik mahukan semua ahli MIC mengikut apa saja yang beliau mahu. Oleh kerana V. Mugilan tidak mematuhi arahannya, maka Mugilan terpaksa disepak olehnya sehingga mendorong Mugilan membentuk suatu gerakan besar-besaran untuk memaksa Samy Vellu pula meletakkan jawatanya segera tanpa menunggu tarikh luputnya pada tahun 2012.
Demikianlah episod seorang lagenda MIC yang sedang mengharungi liku-liku kepimpinannya yang masih bertahan sejak 31 tahun yang lampau. Mampukah V. Mugilan mencipta sejarah baru dalam MIC untuk mengusir 'Samy MIC' itu? PWTC milik UMNO itu bakal menjadi saksi pada Ahad ini, 30 Mei 2010 apabila V. Mugilan dengan beraninya melancarkan suatu gerakan untuk menamatkan riwayat dan legasi Samy Vellu.


No comments:
Post a Comment