assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, May 26, 2010

'PEMBUNUHAN POLITIK' MEMBUNUH MIC SENDIRI

Apabila Vell Paari (Foto) membuat tuduhan UMNO terlibat melakukan 'pembunuhan politik' terhadap bapanya Samy Vellu, lantas mengundang kemarahan UMNO yang tidak mahu MIC membabitkan parti ini sebagai pembunuh karier Presiden MIC itu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Presiden UMNO telah menunjukkan reaksi marahnya dengan berkata bahawa anak Samy Vellu itu biadap seterusnya menasihatkan Dato' Seri S. Samy Vellu supaya menasihati anaknya supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang menyentuh perasaan pemimpin-pemimpin parti lain.

Anak Samy Vellu itu sebelum ini menuduh bahawa UMNO terlibat dalam 'Gerakan Anti-Samy Vellu' yang diketuai oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang telah dipecat keahliannya oleh Presiden parti itu baru-baru ini.

Sementara itu V. Mugilan dalam reaksinya pula mempersoalkan Vell Paari kenapa begitu biadap menyalahkan UMNO apabila kedudukan Samy Vellu mula dipertikaikan oleh ahli-ahli MIC kebelakangan ini. Beliau menyifatkan pembelaan Vell Paari terhadap bapanya itu sebagai tidak matang.

V. Mugilan berkata, dakwaan Vell Paari mengenai UMNO itu adalah salah sama sekali. UMNO mahupun parti-parti komponen BN yang lain menurutnya tidak pernah mencampuri urusan dalaman MIC sejak dahulu lagi.

Nampaknya kemelut yang melanda MIC ini dilihat semakin parah malah ianya satu bencana besar yang bakal membawa mala petaka kepada BN. Justeru, BN perlu bertindak segera untuk membetulkan 'alignment' yang tidak akan membawa kebaikan kepada parti itu yang kini berhadapan dengan cabaran Pakatan Rakyat.

Ekoran daripada isu ini MIC dikatakan berada dalam keadaan yang tidak stabil kerana sebahagian daripada ahli-ahlinya juga dikatakan akan mengikut jejak langkah V. Mugilan untuk mendesak supaya Samy Vellu diNyahkan segera di dalam hirarki kepimpinan MIC. Mugilan mendakwa ramai lagi ahli-ahli MIC yang akan menyokongnya mendesak Samy Vellu supaya berhenti segera tanpa menunggu tahun 2012.

Gerakan Anti-Samy (GAS) yang diketuai Mugilan akan mengadakan perhimpunan Ahad ini di PWTC; dan Mugilan dikatakan begitu yakin bahawa Samy Vellu akan meletakkan jawatannya secepat-cepatnya Julai tahun ini juga.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda MIC T. Mohan dalam mempertahankan Presidennya telah membuat ugutan bahawa partinya tidak akan teragak-agak mengkaji semula keududukannya dalam BN, jika UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan GAS pada Ahad ini.

Beliau kecewa kerana pihak pengurusan PWTC mengesahkan memang ada tempahan dewan dibuat oleh UMNO tanpa menyebut siapa yang membuat tempahan serta untuk apa tempahan itu dilakukan.

T. Mohan menyatakan pendirian ini di dalam satu sidang media yang diadakan sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat tergempar Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di Kuala Lumpur kelmarin.

Apakah desakan yang dibuat supaya Samy berundur bakal menyebabkan MIC keluar daripada Barisan Nasional? Sama-samalah kita mengikuti perkembangan selanjutnya.







No comments: