KENAPA PERKASA LEBIH MELAYU DARI UMNO? 
Nampaknya PERKASA menjadi lebih Melayu daripada UMNO. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO kelihatan semakin lesu apabila PERKASA dilihat begitu mendepani isu-isu yang menyentuh hak-hak keMelayuan dewasa ini.
Ibrahim Ali (Foto) yang pernah mencaci UMNO ketika dirinya bermasalah dengan pemimpin UMNO, tetapi hari ini beliau telah bertindak lebih berani daripada pemimpin UMNO dalam isu
Melayuisme yang sepatutnya digalas oleh pejuang-pejuang Melayu di dalam UMNO.

Keberanian dan kelantangan Ibrahim Ali yang telah dipecat dari UMNO semasa era Pak Lah menjadi Presidennya tidak menumpulkan semangat juangnya untuk terus menjadi juru bicara kepada bangsanya yang semakin tercalar sejak munculnya fenomena Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Presiden UMNO hari ini.
Apakah salahnya gagasan 1Malaysia sehingga ia dianggap telah menumpulkan semangat keMelayuan di dalam UMNO? Hari ini UMNO kelihatannya menjadi serba salah kerana taring Melayunya kelihatan tidak berbisa lagi. Keris yang menghunus di atas lambangnya tidak lagi melambangkan keberanian pejuangnya ketika Melayu dipaksa menerima konsep 1Malaysia.
Walaupun 1Malaysia yang dicanangkan oleh Najib dkatakan tidak menghakis klausa-klausa hak keMelayuan di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun semangat juang untuk mempertahankan suara-suara sumbang yang telah melekehkan bangsa Melayu sejak mutakhir ini lebih diperkasakan oleh PERKASA,
mengapa tidak UMNO? Pemuda UMNO tidak seperkasa dulu, sebaliknya PERKASA menjadi lebih perkasa daripadanya.
Jika UMNO merasakan Ibrahim Ali boleh dikambing hitamkan dalam merekayasa hak-hak ketuanan Melayu untuk terus dipertahankan, mengapa tidak UMNO menerima kembali Ibrahim Ali supaya dia boleh mengajar UMNO menjadi lebih Melayu daripada PERKASA. Lagi pun semua orang tahu Ibrahim Ali boleh melakukan apa saja termasuk mencerca UMNO jika parti itu tidak bermaya lagi untuk menjadi benteng pertahanan kepada bangsa Melayu di negara ini.
Sepatutnya Ibrahim Ali yang bukan lagi UMNO harus menegur parti itu supaya tidak mengikut telunjuk bangsa lain yang semakin naik tocang di sebalik kemanjaan Gagasan 1Malaysia yang dicetus oleh pemimpin UMNO itu.
Hari ini Ibrahim Ali telah menuding Lim Kit Siang sebagai
'Bapa Perpecahan Cina' kerana Kit Siang telah mendakwa PERKASA sebagai racist (Pelampau Melayu), maka tindakan Ibrahim Ali menyerang Lim Kit Siang semakin dilihat seolah-olah dirinya sahaja yang berani ke hadapan untuk menonjolkan semangat juang Melayunya daripada pejuang Melayu di dalam UMNO.
Nampaknya pemimpin UMNO tidak berani untuk menunjukkan pembelaan secara terbuka kepada Ibrahim Ali, kerana Gagasan 1Malaysia telah memerangkap pemimpin UMNO dari terus mencelupari menyerang DAP, MCA dan juga Gerakan. Serangan terhadap pemimpin tertentu di dalam MCA dan Gerakan yang telah menghiris hati orang Melayu terpaksa ditelan sahaja oleh UMNO kerana UMNO hari ini tidak lagi memiliki semangat yang ditunjukkan oleh Dato' Harun Idris, Tan Sri Syed Jaafar Albar, Haji Sulaiman Palestin (Semuanya telah arwah) yang pernah digeruni bukan sahaja di kalangan pemimpin UMNO malah di luar lingkungan UMNO.
Kiri: Syed Jaafar Albar (Singa UMNO) dan Kanan: Dato' Harun IdrisSemangat kepahlawanan pejuang lagenda UMNO itu amat diperlukan di saat Melayu semakin lesu dengan slogan-slogan retorik yang tidak membawa keuntungan jangka panjang untuk survival bangsa Melayu di negara ini. Kekuasaan Melayu hari ini di negaranya bagaikan telur di hujung tanduk, kerana arus persengketaan sesama pemimpin Melayu masih
tidak terjumpa lagi noktahnya.Keberanian Ibrahim Ali mengherdik Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang didakwanya anti Melayu bukan sahaja tidak melemahkan semangat chauvinistik DAP selama ini, malah MCA dan Gerakan yang menjadi sekutu BN juga mahukan PERKASA supaya menghormati apa yang terkandung di dalam Gagasan 1Malaysia yang didakwanya tidak secocok dengan lanskap perjuangan racisme yang diperjuangkan oleh PERKASA.
Jika Ibrahim Ali merasakan perjuangannya mendapat restu UMNO, maka PERKASA akan menjadi liabiliti kepada UMNO yang sedang berusaha untuk meyakinkan bangsa-bangsa lain di negara ini tentang hak kesamarataan sebagai bangsa Malaysia selari dengan konsep 1Malaysia yang sedang digendangkan hari ini. Bangsa bukan Melayu merasakan mereka telah diberikan nafas baru untuk menjadi bangsa yang tidak kurang istimewanya seperti bangsa Melayu selama ini.
Rasanya tidak begitu molek untuk kita berterusan membiarkan PERKASA mendominasi perjuangan membela bangsa Melayu seolah-olah PERKASA lebih perkasa daripada UMNO. Kadang-kadang saya merasakan perjuangan PERKASA bagaikan melangkah bendul malah dalam beberapa hal PERKASA dilihat bagaikan melangkah sumbang dalam menyusun pencak silatnya.
Dalam beberapa hal Ibrahim Ali terpaksa mengajak rakan sebangsanya untuk bertikam lidah tentang ketulenan jati diri Melayu masing-masing tanpa segan silu di hadapan pemimpin-pemimpin lain di Dewan Rakyat. Sepatutnya Ibrahim Ali membawa PERKASA ke arah penyatuan umat Melayu tanpa melihat darah dan anutan politiknya. Kerunsingan harus difokuskan kepada pertelagahan sesama sendiri yang tidak membawa keuntungan kepada umat Melayu di negara ini.
PERKASA janganlah kelihatan lebih perkasa untuk menghancurkan kekuatan Melayu. Perjuangan mendaulatkan Melayu bukan hanya terbatas kepada Melayu di dalam UMNO ataupun yang pro kerajaan semata-mata. Melayu yang bencikan UMNO juga masih berada di luar sana termasuk dirinya yang masih tidak diterima oleh UMNO.
Memang benar di dalam PERKASA bukan sahaja dianggotai oleh ahli-ahli UMNO malah terdapat juga mereka yang tidak berparti juga berada di dalamnya, termasuk Presidennya sendiri. Mereka yang pro pembangkang juga berada di dalam PERKASA. Oleh itu PERKASA akan menjadi lebih perkasa jika perjuangannya tidak menjurus kepada bibit-bibit kehancuran solidariti Melayu yang dilihat masih berkabilah mengikut selera anutan parti politik tertentu.
Kelantangan Ibrahim Ali memperjuangkan Melayu tidak digeruni oleh lawannya, kerana sejarah perjuangannya hanya berbisa pada mulutnya sahaja yang bijak menggunturkan langit....tetapi kenapa spesis ini terus dibiarkan sehingga menenggelami UMNO yang kelihatan lebih lemah dari PERKASA?