Baru sebentar tadi kira-kira pukul 11.00 malam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Datuk Zaid Ibrahim (Foto) sebagai calon PKR/PR untuk pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor yang akan diadakan pada 25 April depan.
Anwar mengumumkan calon ini di hadapan lebih 10 ribu penyokong-penyokong parti itu yang telah melimpahi Pusat Komuniti di Serendah sejak pukul 8.30 malam lagi.
Datuk Zaid Ibrahim mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang negara juga pernah memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dalam PRU 2004. Beliau dipecat daripada UMNO pada 3 Disember 2008 sebelum menyertai PKR pada 13 Jun 2009 setelah beliau melepaskan jawatan Menterinya pada 15 September 2008 semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan Presiden parti tersebut. BN pula dikatakan akan membuat pengumuman calonnya pada 15 April ini di markas BN di Bukit Sentosa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri telah diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk mengumumkan siapakah calon MIC yang bakal dipertaruhkan mewakili BN bagi menentang calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.
CALON BN - MUGILAN ATAU PALANIVEL?
Difahamkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membayangkan kepada Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu semalam untuk tidak memilih semula G. Palanivel bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini, sebaliknya beliau telah memberikan bayangan bahawa calon MIC yang sesuai dipertaruhkan ialah V. Mugilan Timbalan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor iaitu seorang anak tempatan dari Kerling.
Calon ini dikatakan lebih diterima dan disenangi oleh pihak UMNO setelah G. Palanivel gagal mempertahankan kerusi ini dalam PRU12 yang lepas. Namun begitu pucuk pimpinan MIC dikatakan tidak bersetuju dengan calon pilihan UMNO itu, malah mereka tetap dengan pendirian asal untuk mencalonkan semula Timbalan Presiden parti itu.
Jika V. Mugilan juga yang melangkah bendul, maka MIC dikatakan akan mengambil tindakan terhadapnya kerana Mugilan dianggap telah melobi dan mengkhianati mandat partinya sendiri. Konflik dalaman ini jika tidak diselesaikan akan menambahkan lagi kemelut BN untuk merampas semula kerusi yang telah menjadi tradisi milik BN sejak dahulu lagi.
Barisan Nasional dikatakan masih kuat di kawasan ini kerana majoriti yang diraih oleh PKR dalam PRU12 yang lalu hanyalah 198 undi. Majoriti tipis yang dimenangi oleh Datuk Dr Zainal Abidin (PKR) itu dilihat oleh UMNO sebagai bukan penghalang besar untuk merampasnya semula dalam pilihan raya kecil kali ini.
Malah sebenarnya UMNO lebih optimis dengan kejayaan besar jika pilihan raya kecil ini ditandingi oleh calon UMNO sendiri. Namun begitu sepatutnya pihak UMNO/BN harus juga melihat dengan penuh muhasabah sejarah terdahulu. Dalam PRU tahun 2004 G. Palanivel dari MIC menewaskan Datuk Ismail Kamus calon PAS dengan majoriti 14,483 undi.
Jika ditolak dengan majoriti 198 pada PRU 2008 yang lalu, maka sebenarnya BN telah kehilangan sebanyak 14,285 undi. Kejayaan PKR merampas kubu kuat BN di Hulu Selangor itu telah memeranjatkan UMNO, kerana UMNO dikatakan begitu dominan di tiga kawasan DUN yang terdapat di P.094 Hulu Selangor.
Jika kekalahan juga yang menimpa BN kali ini, rasanya eloklah pucuk pimpinan BN tidak lagi mengekalkan calon MIC bertanding di situ dalam PRU13 nanti. Apakah UMNO sanggup memperjudikan nasib kali ini untuk menggapai impiannya bertanding di masa hadapan? Sama-sama kita melihatnya selepas pertarungan di antara Zaid dengan calon MIC di P.094 Hulu Selangor ini.





No comments:
Post a Comment