assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, November 22, 2009

TOK GURU INI SEORANG YANG LURUS - NAZRI AZIZ

"Tok Guru ni seorang yang lurus. Kalau dia nak pergi (menunaikan haji), dia tak payah cerita daripada mana dia dapat duit, kita pun tahu dia ada duit" demikian sebahagian daripada ulasan Dato' Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas beliau menemui Tok Guru Nik Aziz 18 November lalu di pejabat Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu.

“Tidak ada masalah sesiapa pun nak menaja Tok Guru pergi ke Makkah, tetapi kedudukannya sebagai Menteri Besar,” ujarnya kepada wakil media yang berada di pejabat Menteri Besar itu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah membatalkan hasrat menunaikan haji disebabkan ada pihak yang telah memperbesarkan isu tajaannya untuk ke Makkah.

Nazri juga berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku badan bebas melakukan siasatan berdasarkan laporan dalam akhbar dan bukannya melalui mana-mana individu.

Katanya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri mengeluarkan kenyataan beliau ditaja seseorang ke Makkah.

“Pada saya, Nik Aziz mengeluarkan satu kenyataan tanpa rasa bersalah kerana kalau tok guru nak pergi, dia tak perlu cakap, tetapi dalam hal ni dia cakap dan dia sendiri bukan ada niat apa-apa" ujarnya.

Beliau juga berkata, sebagai contoh jika seseorang itu memberikan rasuah dan meletak wang di atas meja tanpa diusik orang yang ingin dirasuah, ia belum boleh dikaitkan dengan rasuah.

Wednesday, November 18, 2009

ANWAR & NAJIB BOLEH DUDUK SEMEJA!

Anwar dan Najib pernah menjadi gandingan mantap ketika masing-masing berada di dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Anwar Ibrahim mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO sejak tahun 1982 setelah beliau menewaskan Haji Suhaimi Kamaruddin dengan kelebihan 10 undi.

(Foto - Anwar&Najib mereka telah duduk semeja semasa berehat di Parlimen pada 17 November lalu)

Najib Tun Razak pula ketika itu menjadi Menteri Besar Pahang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang seganding dan beregu bersama Anwar.

Pada tahun 1984, Anwar telah ditentang pula oleh Syed Hamid Albar. Namun begitu percubaan Syed Hamid Albar untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO dari tangan Anwar telah menghadapi kegagalan sehinggalah Anwar melepaskan jawatan itu kepada naibnya Dato' Sri Najib Tun Razak bagi membolehkan beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1987.

Anwar&Najib ketika mereka bersama di dalam Pemuda UMNO

Anwar sebagai Timbalan Presiden bersama
dengan team wawasannya di dalam UMNO.


Demikianlah intimnya gandingan Anwar&Najib yang telah membentuk imej Pemuda UMNO sebagai 'Pemuda Penggerak Zaman'. Saya masih teringat lagi era kegemilangan pimpinan Pemuda UMNO ini, kerana dalam era ini jugalah saya telah diberikan kepercayaan untuk membantu memantapkan gerak kerja sebagai Seiausaha I Biro Dakwah Pemuda UMNO Malaysia. Pengerusi Biro Dakwah pada masa itu ialah Sdra Ustadz Awang Jabar yang juga Ahli Parlimen Dungun.

Diantara barisan exco Pemuda UMNO Malaysia era Anwar&Najib pada masa itu ialah seperti Nazri Aziz, Muhyiddin Yassin, Megat Junid Megat Ayub (Arwah), Tamrin Ghafar, Ibrahim Ali, Dusuki Ahmad, Fahmi Ibrahim, Mazlan Dato' Harun, Mazlan Idris (Arwah), Drs. Suleiman Mohamed, Abu Bakar Dewa, Zakaria Said, Tajudin Rahman, Said Taib (Arwah) dan beberapa orang lagi tokoh-tokoh Pemuda yang tidak dapat saya senaraikan kesemuanya di sini.

Gandingan mantap Anwar&Najib kini telah menjadi nostalgia di dalam lipatan sejarah perjuangan Pemuda UMNO. Hari ini Anwar&Najib dilihat telah berseteru kerana masing-masing membawa hala tuju politik yang bersulamkan dendam kesumat.

Masing-masing bagaikan terlupa bahawa dahulunya mereka adalah bersahabat, pernah segandingan bertempur membelasah PAS yang pernah mengkafirkan UMNO, malah era kepimpinan mereka berdua jugalah Pemuda UMNO sentiasa kehadapan melonjakkan kegeraman terhadap DAP yang dilihat terlalu 'chauvinistic' sehingga menyentuh sensitiviti umat Melayu di negara ini.

Hari ini batas persahabatan diantara mereka tidak lagi seperti dahulu, kerana mereka kini saling bersengketa secara berpanjangan sehingga tidak terjumpa noktah dan garisan penamatnya. Sampai bilakah dendam peribadi ini harus menyelebungi perjuangan kedua-dua tokoh pemimpin ini yang dilihat semakin taksub menjerumuskan bangsa ke lembah kehancuran. Alangkah terpujinya sekiranya mereka berdua duduk semeja, melakukan muhasabah dan mencari titik persefahaman untuk membawa negara ini lebih terpimpin dengan segala kekuatan aura yang dimiliki oleh mereka berdua.

Abaikan sahaja petualang yang mengelilingi mereka berdua, kerana juak-juak yang menjadi petualang inilah yang membahangkan lagi suasana sehingga mereka terkabur untuk berdamai. Bahang persengketaan sesama umat Melayu ini hendaklah segera ditangani oleh Anwar&Najib sebelum nasi menjadi bubur.

Anwar & Najib - Mereka boleh duduk semeja semasa berehat
di Parlimen pada 17 November lalu.

Lihatlah gambar yang tersiar ini, biarlah posisi duduk semeja ini berterusan hendaknya, kerana kedua-dua tokoh ini sebenarnya mampu untuk melakarkan sejarah kebangkitan semula Melayu dengan sokongan juga daripada juragan-juragan di dalam PAS.

Apalah salahnya kita semua mendoakan agar Anwar&Najib dapat menjumpai formula untuk segera mensejahterakan bukan sahaja untuk umat Melayu, malah untuk kesejagatan 1Malaysia yang diimpikan oleh Perdana Menteri.


Sunday, November 15, 2009

HASRAT NIK AZIZ KE TANAH SUCI DIANGGAP RASUAH?

Astaghafirullah....kenapalah masih ada yang berpolitik sehingga tergamak menggagalkan niat suci Tok Guru Nik Aziz untuk menunaikan haji kali ini walaupun biayanya ditaja oleh seorang hamba Allah yang mungkin telah berjanji untuk tunaikan hajatnya menghantar Mursyidul Am PAS itu ke Mekah pada tahun ini.

Oleh kerana wujudnya gangguan (penghalang) yang dianggap oleh Tok Guru Nik Aziz sebagai 'puak quraisy' yang juga pernah menghalang Rasulullah untuk ke baitullah itu, maka beliau telah membatalkan saja pemergiannya ke tanah suci itu yang sepatutnya dijadualkan pada 18 November ini.

Rasanya tidaklah wajar kita bertingkah sedemikian di saat seseorang itu benar-benar terpanggil untuk menyahut seruan suci 'labbai kallahumma labbaik'. Pada saya sikap Pemuda UMNO Kelantan terhadap Menteri Besarnya itu dengan membuat laporan kepada pihak SPRM semakin menyerlahkan lagi keangkuhan politikus UMNO yang dilihat akan menambahkan lagi kebencian rakyat negeri itu kepada UMNO.

Menuduh Nik Aziz yang dikatakan menerima tajaan dari seseorang (hamba Allah) untuk beliau mengerjakan ibadat haji itu sebagai rasuah, samalah juga kita menuduh betapa ramainya pemimpin UMNO selama ini yang telah menaja individu tertentu untuk ke tanah suci mengerjakan umrah itu juga sebagai rasuah? Pandangan jumud inilah yang telah menjeratkan UMNO seolah-olah pemimpin UMNO telah sediakala bersih daripada gejala rasuah walaupun banyak yang disembunyikan di bawah karpet.

Saya harap jika kita hendak dilihat bijak berpencak politik, gunakanlah pendekatan 'bilhikmah' dan elakkan persepsi yang berunsur fitnah serta janganlah ikut jejak langkah kemungkaran sehingga kita akan dituduh hanya 'nampak nyamuk di seberang laut, tetapi pura-pura tidak nampak gajah di depan mata'.

Kepada semua bakal haji didoakan semoga ibadat haji yang ditunaikan itu akan mendapat rahmatnya, dan janganlah kita bermegah untuk mencari kesalahan orang lain terutama terhadap hamba Allah yang mahu menunaikan ibadat haji ke tanah suci. Islam UMNO dan Islam PAS seharusnya tidak tergamak untuk mengkhianati lambaian suci kaabatullah walaupun mereka berbeda dalam anutan parti politik duniawi.



Wednesday, November 4, 2009

DR. ASRI - ILMUNYA DIRAGUI JAIS?

Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Aidin, bekas mufti Kerajaan Negeri Perlis rupa-rupanya telah lama diragui keilmuannya oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS). Difahamkan semasa beliau masih lagi menjadi seorang mufti, pihak JAIS telah menyenarai hitamkan nama Mufti Perlis itu daripada memberi ceramah agama di negeri Selangor. Manakala mufti-mufti yang lainnya bebas daripada senarai hitam itu.

Episod penangkapan terhadap Dr. Asri pada 1 November lalu ketika beliau sedang memberikan kuliahnya di hadapan lebih 300 orang di sebuah rumah di Taman Ukay, Ulu Klang, Selangor (bukannya di Surau atau Masjid) telah mengesahkan betapa Jabatan Agama Islam Selangor tidak boleh menahan kesabarannya lagi untuk melakukan operasi menahan beliau yang turut disertai oleh segerombolan pasukan polis dengan alasan Dr. Asri berceramah tanpa mendapat tauliah daripada JAIS.

Walaupun Dr. Asri telah diaibkan di dalam satu majlis ilmu, namun pihak JAIS dilihat tidak profesional kerana JAIS sendiri gagal untuk mengemukakan pertuduhan terhadapnya di mahkamah pada keesokan harinya. Penantian Dr. Asri untuk mendengar pertuduhannya di mahkamah berakhir dengan pembebasan kerana sehingga tengahari JAIS dilihat tersasar dari natijahnya untuk mendakwa bekas mufti yang diraguinya selama ini.

Semua pihak terkedu dengan isu penangkapan Dr. Asri itu. Perdana Menteri sendiri kehairanan dengan operasi tangkapan yang dibuat oleh JAIS itu, sambil menjelaskan bahawa penangkapan itu tidak berkaitan dengan kerajaan pusat sebaliknya JAIS adalah di bawah pengawasan kerajaan Selangor. Dato' Sri Najib juga mempersoalkan motif penahanan itu, kerana menurutnya banyak lagi penceramah yang tidak bertauliah tetapi tidak ditahan. Begitu juga Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS tidak bersetuju dengan cara penahanan terhadap seorang ulamak sepertinya.

Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang pernah ditawarkan untuk menjadi Yang Dipertua YADIM oleh Perdana Menteri tiba-tiba mejadi seorang tokoh yang semakin mendapat perhatian umum. Keberaniannya selama ini mengorientasikan pendekatan Islam yang lebih menyegarkan itu telah disalah tafsirkan oleh beberapa pihak sebagai percubaan untuk membawa fahaman Wahabi yang dianggap songsang oleh JAIS. Persoalannya apakah beliau terbukti telah menolak fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Mereka yang cemburukan Dr. Asri telah terdorong untuk memfitnahinya sehingga aliran pemikirannya telah diadu ke pengetahuan Yang Dipertuan Agong seolah-olah beliau ini telah membawa satu ajaran sesat yang perlu disanggah oleh umat Islam di negara ini yang mengamalkan mazhab shafie dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hujah yang sedemikian juga telah mendorong pihak tertentu untuk menyekat beliau daripada dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sehingga nama Datuk Nakhaei Ahmad bekas YDP Yadim juga terheret. Namun begitu difahamkan Dr. Asri telah pun menolak tawaran itu.

Difahamkan juga bahawa Dr. Asri juga telah dilamar oleh parti-parti politik tertentu agar beliau dapat menyertai parti yang berkenaan, namun sehingga ini beliau belum lagi memutuskan samada akan menyertai UMNO atau PAS atau pun PKR.

Sejak akhir-akhir ini Dr. Asri sering diundang untuk menyampaikan ceramahnya di dalam beberapa majlis anjuran parti-parti politik. Beliau pernah menjadi tetamu di dalam satu majlis anjuran UMNO Pusat yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin besar parti itu di PWTC. Begitu juga beliau pernah diundang memberi ceramah anjuran DAP.

Baru-baru ini Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin juga telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Dewan Ulamak PAS yang menjadi indikasi betapa dirinya lebih cenderung untuk bersama dengan parti Islam itu. Kehadiran wakil-wakil rakyat PAS dan PKR di majlis kuliah agamanya pada hari beliau ditahan oleh JAIS itu telah dilihat sebagai penerimaan parti Pakatan Rakyat itu sekiranya beliau mahu bergerak cergas di pentas politik.

Keresahan masyarakat terhadap penahanannya itu bukan sahaja mendapat perhatian massa malah isu yang dihadapinya juga telah mengundang bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanya khabar terhadapnya. Kedua-dua tokoh negarawan ini telah menghubunginya untuk mendapatkan kepastian sebenar sebab musabab beliau ditahan.

Difahamkan Dr. Asri secara berseloroh telah berkata, kedua-dua mantan PM itu ada menghubunginya, cuma Anwar Ibrahim sahaja yang masih belum menghubunginya. Kekesalan dan kekecewaannya terhadap Datuk Dr. Hassan Ali selaku exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negeri Selangor ketika mengulas isu penahanannya itu telah mendorong Dr. Asri mengeluarkan kenyataan sinis terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Beliau kecewa kerana Dr Hassan Ali dikatakan gagal dalam menterjemahkan anjakan paradigma yang memerlukan isu ini ditangani dengan cermat dan lebih profesional. Menurutnya dalam arus menuntut perubahan yang ditekan oleh rakyat akar umbi dalam beberapa isu hak asasi manusia, namun ianya gagal dihayati oleh Dr. Hassan Ali.

Isu ini nampaknya semakin menarik untuk dilihat bukan sahaja dalam skop pengurusan agama di negeri yang sedang ditadbirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, malah isu ini sedang dipolemikkan menjadi bahan cercaan politik. Apa pun kehebatan dan kecendikiawan Dr. Asri telah menyerlahkan dirinya sebagai tokoh ilmuan Islam tersohor yang bakal dipersadakan di pentas politik tanah air.

Cuma yang tidak pasti samada beliau lebih selesa di dalam PAS atau UMNO atau akan dipenjarakan?

Saturday, October 31, 2009

BADRUL HISHAM KINI ADUN BEBAS YANG MENYOKONG PEMBANGKANG

Gempar seluruh negara apabila media arus perdana menyiarkan Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah (foto) keluar PKR dan kini menjadi Adun Bebas yang menyokong parti pembangkang di negeri Selangor.

Apabila beliau mengumumkan dirinya keluar daripada parti PKR sekaligus menjadikan dirinya tidak lagi berada di dalam Pakatan Rakyat yang menjadi kerajaan di negeri Darul Ehsan itu, sebaliknya beliau dilihat terketar-ketar ketika mengumumkan dirinya sebagai adun Bebas yang menyokong BN yang menjadi pembangkang di negeri Selangor.

Dalam arti kata yang lainnya, Badrul Hisham yang sebelum ini merupakan wakil rakyat daripada blok parti yang memerintah kerajaan negeri Selangor, kini telah bersekongkol dengan BN yang berada di blok pembangkang. Khir Toyo adalah Ketua Pembangkang yang kini menjadi bosnya di dalam DUN Selangor.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO pula telah menyatakan kesediaan Barisan Nasional khususnya UMNO untuk memberikan sokongan dan apa jua bantuan kepada Adun Bebas ini yang dikatakan begitu rendah prestasinya dari kaca mata rakyat di kawasan DUN berkenaan.

Badrul Hisham kini merasakan dirinya telah tertebus maruah kerana ada pihak (BN) yang sanggup mencuci mangkoknya yang telah dicemari dengan kotoran yang menjijikkan sehingga Tan Sri Khalid Ibrahim memintanya supaya segera mengubah tabiatnya yang malas berjumpa dengan rakyat sebelum dirinya dikenakan tindakan disiplin.

Jika UMNO menyokong wakil rakyat seperti ini, eloklah jemput sahaja Badrul Hisham menyertai UMNO dan bolehlah selepas ini Badrul Hisham merayu kepada Muhyiddin Yassin supaya membenarkan dirinya bertanding semula atas tiket BN di dalam PRU13 nanti menentang PKR.

Mungkin juga Adun seperti inilah yang dikatakan memenuhi KPI Perdana Menteri yang memperkenalkan slogan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan!


Thursday, October 29, 2009

KEMELUT PAS - ISU KERAJAAN PERPADUAN DITUTUP, SEMINAR GANTI EGM, PAS SELANGOR BAKAL DIHADAP TRIBUNAL

Parti PAS sekali lagi menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan bersama UMNO tidak berbangkit lagi malah telah ditutup rapat. Demikian sebahagian daripada ketetapan yang telah diambil oleh mesyuarat khas PAS pusat yang berlangsung selama lebih empat jam di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur kelmarin, yang berakhir kira-kira jam 1.00 pagi.

Mesyuarat itu yang dihadiri bersama oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat telah dipengerusikan oleh Presidennya sendiri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Di dalam mesyuarat itu juga PAS telah mengambil ketetapan untuk mengadakan seminar pada 7 November depan bagi menggantikan EGM yang telah dicadangkan oleh Nik Aziz.

Selain itu PAS juga bersetuju untuk membawa kes Perhubungan PAS Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Dato' Dr. Hassan Ali kepada Jawatankuasa Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Naib Presidennya Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Difahamkan isu ini telah dibahaskan dengan panjang lebar seterusya menyerahkan mandat kepada Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat secara terperinci sebelum diambil apa-apa tindakan selanjutnya.

Dalam arti kata lainnya, kelicikan Hassan Ali yang dilihat terjebak dengan 'main nyorok-nyorok' bersama UMNO telah dapat dikesan oleh partinya sendiri sehingga Mursyidul Amnya semakin menyinga. Kelibat Dr. Hassan Ali juga dilihat semakin mencurigakan kerana sebelum ini beliau juga dikatakan telah dijanji manis oleh UMNO untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya pakatan kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan.

Difahamkan juga terdapat beberapa desakan supaya Dr. Hassan Ali dipecat sebelum ianya membarah. Namun begitu Hadi Awang telah meminta supaya ianya di siasat terlebih dahulu sebelum menghukum kedurjanaan yang dicetuskan oleh Pengerusi PAS Selangor itu. Dipercayai juga Dr. Hassan Ali begitu tersinggung dengan beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau, malah isu ini dilihat bakal merobah lanskap politik negeri Selangor yang amat menggerunkan PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat amnya.

Mencongak politik terhadap isu ini bakal menyaksikan UMNO akan terus melipat gandakan usahanya untuk menangguk sehingga dapat memenangi hati Hassan Ali yang terlalu cintakan 'perpaduan'.


Sunday, October 25, 2009

ISU EGM PAS - NIK AZIZ, KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN?


Nampaknya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat begitu istiqomah untuk tidak berkompromi lagi dengan UMNO sehingga tergamak untuk menggesa partinya (PAS) supaya mengadakan muktamar agong khas (EGM) khusus untuk menetapkan pendirian terhadap dua tiga kerat pemimpinnya yang dikatakan pro umno.

PEMIMPIN PAS PRO UMNO?

Benarkah mereka ini pro UMNO? Jika benar, kenapa tidak sertai saja parti yang pernah mereka anggap selama ini sebagai parti sekular?

Nasharudin Mat Isa, Mustafa Ali dan Hassan Ali telah dirujuk sebagai dua tiga kerat pemimpin PAS yang bermasalah yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu. Pandangan sinis Nik Aziz itu kini telah menggegarkan parti berkenaan, dan media arus perdana pula terus memberikan gambaran betapa PAS kini berada di ambang pergolakan yang serius.

Sindrom EGM telah mempengaruhi fikiran Tok Guru, setelah beliau merujuk betapa parti-parti lain seperti MCA, MIC, PKR dan UMNO yang turut terpaut dengan EGM masing-masing sebagai formula memperkasakan parti-parti berkenaan. Beliau berpandangan jika EGM ini terpaksa dilakukan, kemungkinan ianya akan memperkuatkan lagi hala tuju parti PAS untuk menghadapi PRU13 nanti.

Mengulas mengenai isu ini, saya berpendapat kerunsingan Mursyidul Am PAS itu lebih berkisar kepada keengganannya untuk mengheret PAS bersekongkol dengan UMNO. Kebenciannya terhadap UMNO telah bertakhta di benak kalbunya sehingga terhijab untuk mentarbiahkan UMNO dan PAS supaya berdamai di dalam ikatan ukhuwah Islamiah seperti yang dituntut oleh Islam.

Di sisinya, lebih afdal PAS bermusuh dengan umat Islam yang menyokong UMNO, daripada DAP yang jelas menolak Islam. Apakah benar..tidak adanya nas naqli yang dijumpainya untuk mencantumkan hati-hati umat Islam yang terluka ini?

Jika Al-Quran dan Al-Hadis (Nas Naqli) menyuruh umatnya bersatu padu, kukuhkan silaturrahim serta menjalinkan kasih sayang sesama insan - mengapa pula ada Tuan Guru yang membencinya? Hina sangatkah umat Islam yang menjadi AHLI UMNO? Mulia sangatkah PARTI PAS sehingga orang lain yang tidak sebumbung dengan PAS wajar dijauhi? Jika itulah pegangan Tuan guru, malang sungguh umat Islam di Malaysia ini, kerana PAS hanya wujud di Malaysia...bagaimana pula umat Islam seantero dunia yang masihbelum lagi menjadi AHLI PAS...apakah mereka ini juga wajar dimusuhi?

Apa kata kita semua meneliti intipati hujah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS di atas isu yang dicetuskannya itu seperti yang dipetik di bawah ini.


Sumber :
blog tok guru

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.”

Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata.

Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari ini pun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.

i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)

Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin di dalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :
“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”
Pandangan Saya:

Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini.

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?


Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini.

Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
:
02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009