DR. ASRI - ILMUNYA DIRAGUI JAIS?
Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Aidin, bekas mufti Kerajaan Negeri Perlis rupa-rupanya telah lama diragui keilmuannya oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS). Difahamkan semasa beliau masih lagi menjadi seorang mufti, pihak JAIS telah menyenarai hitamkan nama Mufti Perlis itu daripada memberi ceramah agama di negeri Selangor. Manakala mufti-mufti yang lainnya bebas daripada senarai hitam itu.Episod penangkapan terhadap Dr. Asri pada 1 November lalu ketika beliau sedang memberikan kuliahnya di hadapan lebih 300 orang di sebuah rumah di Taman Ukay, Ulu Klang, Selangor (bukannya di Surau atau Masjid) telah mengesahkan betapa Jabatan Agama Islam Selangor tidak boleh menahan kesabarannya lagi untuk melakukan operasi menahan beliau yang turut disertai oleh segerombolan pasukan polis dengan alasan Dr. Asri berceramah tanpa mendapat tauliah daripada JAIS.
Walaupun Dr. Asri telah diaibkan di dalam satu majlis ilmu, namun pihak JAIS dilihat tidak profesional kerana JAIS sendiri gagal untuk mengemukakan pertuduhan terhadapnya di mahkamah pada keesokan harinya. Penantian Dr. Asri untuk mendengar pertuduhannya di mahkamah berakhir dengan pembebasan kerana sehingga tengahari JAIS dilihat tersasar dari natijahnya untuk mendakwa bekas mufti yang diraguinya selama ini.
Semua pihak terkedu dengan isu penangkapan Dr. Asri itu. Perdana Menteri sendiri kehairanan dengan operasi tangkapan yang dibuat oleh JAIS itu, sambil menjelaskan bahawa penangkapan itu tidak berkaitan dengan kerajaan pusat sebaliknya JAIS adalah di bawah pengawasan kerajaan Selangor. Dato' Sri Najib juga mempersoalkan motif penahanan itu, kerana menurutnya banyak lagi penceramah yang tidak bertauliah tetapi tidak ditahan. Begitu juga Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS tidak bersetuju dengan cara penahanan terhadap seorang ulamak sepertinya.
Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang pernah ditawarkan untuk menjadi Yang Dipertua YADIM oleh Perdana Menteri tiba-tiba mejadi seorang tokoh yang semakin mendapat perhatian umum. Keberaniannya selama ini mengorientasikan pendekatan Islam yang lebih menyegarkan itu telah disalah tafsirkan oleh beberapa pihak sebagai percubaan untuk membawa fahaman Wahabi yang dianggap songsang oleh JAIS. Persoalannya apakah beliau terbukti telah menolak fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Mereka yang cemburukan Dr. Asri telah terdorong untuk memfitnahinya sehingga aliran pemikirannya telah diadu ke pengetahuan Yang Dipertuan Agong seolah-olah beliau ini telah membawa satu ajaran sesat yang perlu disanggah oleh umat Islam di negara ini yang mengamalkan mazhab shafie dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Hujah yang sedemikian juga telah mendorong pihak tertentu untuk menyekat beliau daripada dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sehingga nama Datuk Nakhaei Ahmad bekas YDP Yadim juga terheret. Namun begitu difahamkan Dr. Asri telah pun menolak tawaran itu.
Difahamkan juga bahawa Dr. Asri juga telah dilamar oleh parti-parti politik tertentu agar beliau dapat menyertai parti yang berkenaan, namun sehingga ini beliau belum lagi memutuskan samada akan menyertai UMNO atau PAS atau pun PKR.
Sejak akhir-akhir ini Dr. Asri sering diundang untuk menyampaikan ceramahnya di dalam beberapa majlis anjuran parti-parti politik. Beliau pernah menjadi tetamu di dalam satu majlis anjuran UMNO Pusat yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin besar parti itu di PWTC. Begitu juga beliau pernah diundang memberi ceramah anjuran DAP.
Baru-baru ini Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin juga telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Dewan Ulamak PAS yang menjadi indikasi betapa dirinya lebih cenderung untuk bersama dengan parti Islam itu. Kehadiran wakil-wakil rakyat PAS dan PKR di majlis kuliah agamanya pada hari beliau ditahan oleh JAIS itu telah dilihat sebagai penerimaan parti Pakatan Rakyat itu sekiranya beliau mahu bergerak cergas di pentas politik.
Keresahan masyarakat terhadap penahanannya itu bukan sahaja mendapat perhatian massa malah isu yang dihadapinya juga telah mengundang bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanya khabar terhadapnya. Kedua-dua tokoh negarawan ini telah menghubunginya untuk mendapatkan kepastian sebenar sebab musabab beliau ditahan.
Difahamkan Dr. Asri secara berseloroh telah berkata, kedua-dua mantan PM itu ada menghubunginya, cuma Anwar Ibrahim sahaja yang masih belum menghubunginya. Kekesalan dan kekecewaannya terhadap Datuk Dr. Hassan Ali selaku exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negeri Selangor ketika mengulas isu penahanannya itu telah mendorong Dr. Asri mengeluarkan kenyataan sinis terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor itu.
Beliau kecewa kerana Dr Hassan Ali dikatakan gagal dalam menterjemahkan anjakan paradigma yang memerlukan isu ini ditangani dengan cermat dan lebih profesional. Menurutnya dalam arus menuntut perubahan yang ditekan oleh rakyat akar umbi dalam beberapa isu hak asasi manusia, namun ianya gagal dihayati oleh Dr. Hassan Ali.
Isu ini nampaknya semakin menarik untuk dilihat bukan sahaja dalam skop pengurusan agama di negeri yang sedang ditadbirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, malah isu ini sedang dipolemikkan menjadi bahan cercaan politik. Apa pun kehebatan dan kecendikiawan Dr. Asri telah menyerlahkan dirinya sebagai tokoh ilmuan Islam tersohor yang bakal dipersadakan di pentas politik tanah air.
Cuma yang tidak pasti samada beliau lebih selesa di dalam PAS atau UMNO atau akan dipenjarakan?
















