

Barua Penjajah Inggeris - Dari Kiri: Birch, Swettenham, Hugh Low, James Brooke
Marathon PPSMI akan berakhir juga di garisan penamat menjelang 2012 nanti. Marathon ini telah bermula sejak tahun 2003 lagi, apabila pencetusnya Tun Dr. Mahathir Mohmad, Presiden sebuah parti terbesar umat Melayu di negara ini (UMNO) ketika itu merasakan wajar 'Bahasa Penjajah' itu didaulatkan setelah mendapati bahasa ibunda di negara ini tidak lagi diyakini untuk memartabatkan bangsanya sendiri.
Penggunaan bahasa yang dituturkan oleh J.W.W Birch, Frank Swettenham, Hugh Low, James Brooke (Foto di atas) yang pernah menjadi barua penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan di bumi Sarawak suatu ketika dahulu dilihat lebih wibawa untuk diterapkan di dalam mata pelajaran sains dan matematik daripada bahasa ibunda yang dituturkan oleh Dato' Maharaja Lela, Tok Sagor, Tok Janggut dan Rosli Dobi (Foto di bawah) yang menjadi korban penjajah kerana sikap penentangan mereka terhadap penjajah Inggeris.

Di antara pahlawan Melayu mati di tali gantung:
Kiri: Dato' Maharaja Lela, Tok Sagor, Tok Janggut dan Rosli Dobi
UMNO yang mendabik dada kerana telah memperjuangkan negara ini daripada belenggu penjajah Inggeris dilihat berkompromi pula untuk melestarikan bahasa penjajah itu daripada melestarikan bahasa yang dituturkan oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Bahasa ibunda bukan sahaja gagal dilestarikan oleh UMNO, malah rakyat mula melihat betapa tipisnya patriotisme UMNO terhadap bahasanya sendiri.
Saya sendiri berasa dukacita dan sedih apabila melihat nasib bahasa Melayu kian diperkecilkan malah semakin dipinggirkan. Isu PPSMI telah dipolemikkan sehingga menjadi salah satu sebab UMNO ditolak oleh sebahagian besar pengguna bahasa ibunda ini.
Mereka bukannya tidak sayangkan bahasa ibunda, tetapi mereka bersedih kerana pejuang UMNO sendiri memandang rendah terhadap kewibawaan bahasa ini sehingga dilihat bahasa Melayu tidak layak lagi diajar dalam mata pelajaran sains dan matematik. Subjek sains dan matematik ditampilkan sebagai mata pelajaran antarabangsa yang tidak layak dipelajari oleh murid-murid berbahasa Melayu.
Bermula pada tahun itu, murid-murid yang baru memasuki alam persekolahan darjah 1 terpaksa menerima sahaja pembelajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa asing yang mereka sendiri belum mempelajarinya. Mungkin pengunaan bahasa Inggeris tidak menjadi rumit kepada murid-murid Melayu yang telah diInggeriskan dalam kehidupan seharian mereka sejak dari kecil, kerana mungkin juga ibubapanya tidak mahir berbahasa Melayu lagi.
Tidak ramai spesis Melayu jenis ini yang merasai kehinaan jika bertutur dalam bahasa ibundanya, melainkan mereka sendiri yang merasakan hanya bahasa Inggeris sahaja yang dominan di dunia ini. Kita bersedih kerana spesis Melayu jenis ini tidak lagi berbangga menjadi Melayu kerana mungkin mereka termakan lebih keju dari belacan.
Sememangnya benar jika kita mampu menguasai ilmu di dunia ini maka kita akan menjadi bangsa yang berjaya seperti yang selalu diungkapkan oleh Tun Dr. Mahathir, tetapi apakah penguasaan ilmu pengetahuan ini perlu mengorbankan kelestarian Bahasa Melayu dan juga bahasa-bahasa ibunda yang lainnya?
Jika bukan kita yang mendaulatkan penggunaan bahasa ibunda kita, apakah kita boleh mempercayai bahawa 'orang putih' akan mengiktiraf bahasa kita yang pernah mereka jajah dahulu? Tentunya mereka tidak inginkan ada bahasa lain yang lebih dominan daripada bahasa mereka. Namun begitu, bukan bermakna bangsa Melayu tidak perlu menguasai bahasa mereka, tetapi janganlah bersikap 'rasa tidak bersalah' untuk merendahkan martabat bahasa sendiri.
Oleh yang demikian, ketetapan yang dibuat oleh kerajaan BN untuk memansuhkan PPSMI merupakan satu langkah yang sungguh bijaksana untuk mengembalikan semula darjat bahasa ibunda kita. Janganlah lagi dibuat kerja yang gila ini, sehingga memalukan bangsa sendiri. Anak-anak kita haruslah juga diberikan pendedahan tentang penguasaan bahasa-bahasa lain di dunia ini terutamanya Bahasa Inggeris dengan kaedah pembelajaran yang lebih tubi dalam subjek bahasa tersebut, tetapi bukannya menginggeriskan mata pelajaran sains dan matematik.
Syabas dan tahniah kepada kerajaan 1Malaysia yang dipimpin oleh Najib kerana dilihat begitu prihatin dengan masalah bahasa ini. Tentunya kajian terperinci telah dilakukan dengan mengambil kira pendapat dan juga pandangan intilek yang telah memperkasakan bahasa ibunda kita. Undian yang dilayarkan di dalam blog tertentu, terutama yang dilayari oleh golongan yang lebih mencintai bahasa penjajah itu bukanlah satu gambaran sebenar masyarakat akar umbi.
Jika itulah gambaran yang dikehendaki untuk kita merujuknya bagi menghalalkan semula penjahahan Inggeris terhadap bahasa kita, saya meramalkan akan berlaku penentangan yang lebih hebat terhadap kerajaan dan juga Barisan Nasional di dalam PRU13 nanti. Tidak bermakna memansuhkan PPSMI maka kerajaan dilihat tunduk setelah ditekan oleh A. Samad Said dan lain-lain sasterawan negara yang mahukan ianya dimansuhkan. Tetapi tindakan ini dibuat berasaskan kepada kecintaan terhadap bahasa negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai 'Bahasa Malaysia'.
Kerajaan berpendapat Bahasa Negara ini haruslah dimartabatkan dan bukannya dipinggirkan. Kerajaan telah bertindak betul, dan kerajaan juga hendaklah terus memperkasakannya. Persetankan unsur-unsur penjajahan itu, kerana majoriti rakyat menyokongnya. Biarlah kesilapan lalu dijadikan iktibar, dan kita berharap ianya tidak berulang lagi.



















