assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, July 10, 2009

INGGERIS TIDAK MENJAJAH LAGI SUBJEK SAINS DAN MATEMATIK


Barua Penjajah Inggeris - Dari Kiri: Birch, Swettenham, Hugh Low, James Brooke

Marathon PPSMI akan berakhir juga di garisan penamat menjelang 2012 nanti. Marathon ini telah bermula sejak tahun 2003 lagi, apabila pencetusnya Tun Dr. Mahathir Mohmad, Presiden sebuah parti terbesar umat Melayu di negara ini (UMNO) ketika itu merasakan wajar 'Bahasa Penjajah' itu didaulatkan setelah mendapati bahasa ibunda di negara ini tidak lagi diyakini untuk memartabatkan bangsanya sendiri.

Penggunaan bahasa yang dituturkan oleh J.W.W Birch, Frank Swettenham, Hugh Low, James Brooke (Foto di atas) yang pernah menjadi barua penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan di bumi Sarawak suatu ketika dahulu dilihat lebih wibawa untuk diterapkan di dalam mata pelajaran sains dan matematik daripada bahasa ibunda yang dituturkan oleh Dato' Maharaja Lela, Tok Sagor, Tok Janggut dan Rosli Dobi (Foto di bawah) yang menjadi korban penjajah kerana sikap penentangan mereka terhadap penjajah Inggeris.


Di antara pahlawan Melayu mati di tali gantung:
Kiri: Dato' Maharaja Lela, Tok Sagor, Tok Janggut dan Rosli Dobi

UMNO yang mendabik dada kerana telah memperjuangkan negara ini daripada belenggu penjajah Inggeris dilihat berkompromi pula untuk melestarikan bahasa penjajah itu daripada melestarikan bahasa yang dituturkan oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Bahasa ibunda bukan sahaja gagal dilestarikan oleh UMNO, malah rakyat mula melihat betapa tipisnya patriotisme UMNO terhadap bahasanya sendiri.

Saya sendiri berasa dukacita dan sedih apabila melihat nasib bahasa Melayu kian diperkecilkan malah semakin dipinggirkan. Isu PPSMI telah dipolemikkan sehingga menjadi salah satu sebab UMNO ditolak oleh sebahagian besar pengguna bahasa ibunda ini.

Mereka bukannya tidak sayangkan bahasa ibunda, tetapi mereka bersedih kerana pejuang UMNO sendiri memandang rendah terhadap kewibawaan bahasa ini sehingga dilihat bahasa Melayu tidak layak lagi diajar dalam mata pelajaran sains dan matematik. Subjek sains dan matematik ditampilkan sebagai mata pelajaran antarabangsa yang tidak layak dipelajari oleh murid-murid berbahasa Melayu.

Bermula pada tahun itu, murid-murid yang baru memasuki alam persekolahan darjah 1 terpaksa menerima sahaja pembelajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa asing yang mereka sendiri belum mempelajarinya. Mungkin pengunaan bahasa Inggeris tidak menjadi rumit kepada murid-murid Melayu yang telah diInggeriskan dalam kehidupan seharian mereka sejak dari kecil, kerana mungkin juga ibubapanya tidak mahir berbahasa Melayu lagi.

Tidak ramai spesis Melayu jenis ini yang merasai kehinaan jika bertutur dalam bahasa ibundanya, melainkan mereka sendiri yang merasakan hanya bahasa Inggeris sahaja yang dominan di dunia ini. Kita bersedih kerana spesis Melayu jenis ini tidak lagi berbangga menjadi Melayu kerana mungkin mereka termakan lebih keju dari belacan.

Sememangnya benar jika kita mampu menguasai ilmu di dunia ini maka kita akan menjadi bangsa yang berjaya seperti yang selalu diungkapkan oleh Tun Dr. Mahathir, tetapi apakah penguasaan ilmu pengetahuan ini perlu mengorbankan kelestarian Bahasa Melayu dan juga bahasa-bahasa ibunda yang lainnya?

Jika bukan kita yang mendaulatkan penggunaan bahasa ibunda kita, apakah kita boleh mempercayai bahawa 'orang putih' akan mengiktiraf bahasa kita yang pernah mereka jajah dahulu? Tentunya mereka tidak inginkan ada bahasa lain yang lebih dominan daripada bahasa mereka. Namun begitu, bukan bermakna bangsa Melayu tidak perlu menguasai bahasa mereka, tetapi janganlah bersikap 'rasa tidak bersalah' untuk merendahkan martabat bahasa sendiri.

Oleh yang demikian, ketetapan yang dibuat oleh kerajaan BN untuk memansuhkan PPSMI merupakan satu langkah yang sungguh bijaksana untuk mengembalikan semula darjat bahasa ibunda kita. Janganlah lagi dibuat kerja yang gila ini, sehingga memalukan bangsa sendiri. Anak-anak kita haruslah juga diberikan pendedahan tentang penguasaan bahasa-bahasa lain di dunia ini terutamanya Bahasa Inggeris dengan kaedah pembelajaran yang lebih tubi dalam subjek bahasa tersebut, tetapi bukannya menginggeriskan mata pelajaran sains dan matematik.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan 1Malaysia yang dipimpin oleh Najib kerana dilihat begitu prihatin dengan masalah bahasa ini. Tentunya kajian terperinci telah dilakukan dengan mengambil kira pendapat dan juga pandangan intilek yang telah memperkasakan bahasa ibunda kita. Undian yang dilayarkan di dalam blog tertentu, terutama yang dilayari oleh golongan yang lebih mencintai bahasa penjajah itu bukanlah satu gambaran sebenar masyarakat akar umbi.

Jika itulah gambaran yang dikehendaki untuk kita merujuknya bagi menghalalkan semula penjahahan Inggeris terhadap bahasa kita, saya meramalkan akan berlaku penentangan yang lebih hebat terhadap kerajaan dan juga Barisan Nasional di dalam PRU13 nanti. Tidak bermakna memansuhkan PPSMI maka kerajaan dilihat tunduk setelah ditekan oleh A. Samad Said dan lain-lain sasterawan negara yang mahukan ianya dimansuhkan. Tetapi tindakan ini dibuat berasaskan kepada kecintaan terhadap bahasa negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai 'Bahasa Malaysia'.

Kerajaan berpendapat Bahasa Negara ini haruslah dimartabatkan dan bukannya dipinggirkan. Kerajaan telah bertindak betul, dan kerajaan juga hendaklah terus memperkasakannya. Persetankan unsur-unsur penjajahan itu, kerana majoriti rakyat menyokongnya. Biarlah kesilapan lalu dijadikan iktibar, dan kita berharap ianya tidak berulang lagi.



Sunday, July 5, 2009

DAP PERTAHANKAN BABI UNTUK KELUAR PAKATAN RAKYAT



Belum pun memerintah negara, DAP sudah pun menunjukkan belangnya. Chauvinistik DAP semakin menyerlah sehingga sanggup menjadi duri dalam daging di dalam Pakatan Rakyat khususnya di negeri Kedah semata-mata mempertahankan 'babi'.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su begitu marah sekali kerana kerajaan PAS negeri Kedah dikatakan telah mengambil tindakan meroboh pusat sembelihan babi yang terletak di Kampung Berjaya, Alor Setar.

Lanjutan daripada isu ini pada 3 Julai lalu, ADUN Kota Darul Aman (DAP), Lee Guan Aik telah membuat kejutan mengisytiharkan dirinya keluar daripada Pakatan Rakyat untuk menjadi ahli bebas di DUN Kedah. Walaupun tindakannya itu belum direstui lagi oleh pucuk pimpinan partinya, namun DAP dilihat begitu provokatif untuk melemahkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Dalam arti kata yang lainnya, DAP marah benar kepada MB Kedah Datuk Seri Azizan Razak dalam isu babi ini, kerana DAP mahukan babi-babi ini jangan diusir, pusat penyembelihannya pula tidak wajar dirobohkan, walaupun diberikan jaminan akan digantikan di tempat yang lebih sesuai.

Bukan isu itu saja, malah DAP Kedah juga mendakwa bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Negeri itu dikatakan akan melakukan perobohan ke atas tokong dan juga kuil yang disifatkan oleh Menteri Besarnya sebagai tidak benar. Datuk Seri Ustadz Azizan dikatakan amat kesal dengan dakwaan itu yang dianggapnya sebagai berbau perkauman.

Walaupun DAP merasakan tindakan provaksinya itu tidak menjejaskan kekuatan majoriti kerajaan Pakatan Rakyat, namun saya juga melihat DAP tidak bimbang untuk mengekalkan satu-satu kerusinya di Kedah itu, kerana Bandar Alor Setar (Dun Kota Darul Aman) dianggapnya begitu dominan untuknya. Majoriti pengundi Cina di Alor Setar tentunya menganggap DAP lebih berjaya menampilkan 'keCinaannya' daripada MCA dan juga Gerakan.

DAP merasakan wajar partinya menjuarai isu babi ini, kerana DAP melihat MCA dan Gerakan gagal untuk mendepani sentimen ini, sekaligus menjadikan parti DAP tetap dominan di hati masyarakat Cina. Permainan sentimen babi ini walaupun sensitif kepada Melayu, tetapi mereka merasakan lebih wajar untuk menambat hati masyarakat Cina yang amat sinonim dengan babi ini.

DAP yang gerun dengan kehangatan isu perpaduan Melayu di antara PAS dan UMNO sejak akhir-akhir ini, langsung tidak peka betapa perlunya mereka menjaga hati pemimpin PAS supaya tidak meneruskan hasratnya untuk semeja dengan UMNO. Sebagai sebuah parti yang dianuti oleh umat Melayu/Islam di negara ini, saya tidak fikir PAS tidak tersinggung dengan ugutan yang dilakukan oleh rakan sekutunya, DAP.

Begitu juga, saya tidak terfikir Tuan Guru Nik Aziz tidak akan tersentuh perasaannya apabila melihat partinya dicabar begitu rupa oleh DAP yang lebih pentingkan 'babi' daripada jalinan politik yang terbina di dalam Pakatan Rakyat di antara mereka. Bukankah Nik Aziz lebih pentingkan permuafakatan diantara PAS dengan DAP daripada bersilaturrahmi dengan UMNO?

Jika semua ahli UMNO yang tetap berpegang teguh keimanannya terhadap Allah yang masih diragui keIslamannya oleh Tuan Guru Nik Aziz, maka apa pula persepsi Tuan Guru Nik Aziz terhadap DAP yang bukan sahaja mempertahankan isu babinya, malah DAP sebenarnya juga tetap menolak Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini. Nampaknya pemimpin PAS lebih berhati-hati untuk menjaga hati DAP daripada menjaga hati rakan seagamanya daripada UMNO.

Mungkin PAS beranggapan menjaga hati DAP bukan bermakna mereka merestui babi yang diperjuangkan oleh parti itu, tetapi bagaimana kalau saya katakan PAS sebenarnya begitu rimas bersahabat dengan DAP yang kini telah memerangkap PAS dengan masalah babinya di Alor Setar.

Sudah tentu Ustadz Azizan akan mengelakkan dirinya daripada cercaan yang akan tertimpa ke atasnya sebagai 'pro-babi' yang diperjuangkan oleh DAP sekarang ini. Namun begitu PAS terpaksa menerima hakikat betapa parti chauvinist ini akan berterusan melakukan adu dombanya supaya PAS tidak bercantum dengan UMNO, kerana DAP sebenarnya begitu selesa sekali apabila melihat Melayu terus bercakaran sesama sendiri.

Sunday, June 28, 2009

DAHULU DR. MAHATHIR BERKATA PAS LEBIH BAHAYA DARI KOMUNIS, KINI NIK AZIZ PULA SAMAKAN UMNO DENGAN KOMUNIS...


Tuan Guru Nik Aziz tidak tergamak mengkiaskan DAP sebagai Komunis.

DAHULU, iaitu sekitar tahun 1980 Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri kita pernah berkata bahawa PAS lebih merbahaya daripada komunis, KINI Tuan Guru Nik Aziz pula telah melemparkan dakwaannya bahawa UMNO sama sahaja dengan komunis, malah beliau juga mengkiaskan bahawa UMNO sama sahaja dengan Ayah Pin yang membawa ajaran sesat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri membuat dakwaan bahawa PAS lebih merbahaya daripada komunis ketika berhujah dan menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Baling, Haji Nakhaei Ahmad yang mewakili PAS pada masa itu.

Dr. Mahathir berhujah, di dalam Al-Quran Allah ada berfirman bahawa 'membuat fitnah lebih merbahaya daripada membunuh'. Oleh kerana PAS dakwanya sering menaburkan fitnah, manakala pengganas komunis pula kerjanya membunuh anggota pasukan keselamatan, maka samalah juga pengertiannya bahawa PAS itu lebih merbahaya daripada komunis.

Hari ini Naqib PAS, Tuan Guru Nik Aziz pula tidak berganjak dengan dakwaannya itu terhadap UMNO, kerana katanya kenyataan itu dibuat lebih berasaskan kepada kiasan terhadap sesuatu yang sesuai pada pandangannya.

Demikianlah tuduh menuduh yang masih berterusan di antara dua buah parti terbesar orang Melayu di negara ini, iaitu UMNO dan PAS. Kedua-dua tokoh ini nampaknya telah menggunakan kepakaran dan persepsi masing-masing membuat kiasan sinis dengan merujuk 'komunis' sebagai simbol kejahatan terhadap parti yang diserangnya.

Persoalannya, benarkah UMNO itu sama dengan komunis, dan sejauh mana pula kebenaran dakwaan bahawa PAS itu lebih bahaya daripada komunis? Pada saya UMNO dan PAS bukanlah komunis, sama jugalah bahawa UMNO dan PAS bukanlah satu agama serpihan daripada Islam. Menyamakan parti masing-masing sebagai satu agama memungkinkan parti itu menjadi lebih sesat, kerana Rasulullah SAW tidak pernah menjadi ahli kepada mana-mana parti samada UMNO ataupun PAS.

Secetek-cetek pengetahuan saya tentang Islam, saya dapat merasakan bahawa sahabat-sahabat Rasulullah juga tidak pernah mengisi borang untuk menjadi ahli PAS semata-mata untuk meneruskan kerja-kerja dakwah mereka. Adakah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Omar Al-Khattab, Saidina Othman Al-Affan dan Saidina Ali Abu Talib yang dikenali sebagai Khalifah Al-Rashidin perlu menjadi ahli parti PAS untuk menjadikan diri mereka lebih Islam daripada orang lain?

Jika PAS menyamakan partinya sebagai satu agama, maka saya ingin menyarankan Nik Aziz supaya tidak meneruskan dakwaannya dengan menuding UMNO sebagai ajaran sesat, kerana dengan mendakwa hanya parti PAS yang layak di sisi Islam, apatah lagi dengan menuduh UMNO telah menyimpang daripada ajaran Islam, telah menjadikan PAS lebih tersimpang daripada ajaran Islam sebenarnya. Jika Nik Aziz sering menasihatkan UMNO supaya bertaubat, saya berpendapat bukan UMNO sahaja malah dirinya juga tidak harus dikecualikan untuk berbuat demikian.

Saya tidak bermaksud untuk berkata bahawa PAS telah menyesatkan fikrah umat Islam di Malaysia, tetapi jika tidak ditegur PAS kelihatan lebih cenderung untuk menjadi sebuah parti yang membahayakan Islam di negara ini. Mencelarukan pemikiran umat Islam dengan menyamakan partinya sebagai sebuah agama, telah menjadikan pengikut parti itu begitu taksub sehingga memandang rendah keimanan orang-orang UMNO terhadap Allah yang sama-sama disembah. Firman Allah yang menyebut, 'Tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk menghambakan diri (menyembah) kepadaku, yakni Allah" janganlah dikelirukan dengan berkata hanya jin dan manusia di dalam PAS sahaja yang lebih bertaqwa di sisi Allah.

Bukankah Islam itu agama persaudaraan? Oleh itu mengapa UMNO dan PAS tidak menjiwai nilai persaudaraan yang terdapat di dalam ajaran Islam? Apakah percakaran sesama umat Islam dibolehkan semata-mata UMNO didakwa tidak Islamik seperti PAS? Apakah di dalam kubur nanti malaikat munkar dan nankir akan mengemukakan soalan kepada si mati samada dia UMNO atau PAS?

Rasanya Nik Aziz akan bersetuju dengan saya bahawa tahap keimanan seseorang terhadap UMNO dan PAS tidak langsung disentuh oleh malaikat di dalam soalan kubur, kerana Allah Rabbul Jalil akan memuliakan hambaNya yang lebih bertaqwa, tanpa mengira anutan parti yang disertainya. Lagi pun jika menganggap hanya PAS yang layak memperjuangkan Islam, manakala yang lainnya terutama UMNO dipandang jijik untuk bercakap mengenai Islam merupakan satu pandangan Nik Aziz sahaja yang suka berkias betapa orang lain yang tidak berkiblat kepada lambang 'bulan' sebagai tidak berkiblatkan Islam.

Pada dirinya, kiasan itu lebih manis daripada menuduh, kerana mungkin berkias mengatakan UMNO sama sahaja dengan komunis dan Ayah Pin bukannya satu fitnah lagi, tetapi telah menjadi dalil aqli yang amat sempit untuk diterima oleh umat Islam di negara ini. Umat Islam di Malaysia semakin dikelirukannya, kerana Nik Aziz telah mengecualikan DAP daripada kiasannya itu.

Nik Aziz tidak tergamak mengeluarkan kiasan buruknya terhadap Karpal Singh yang terang-terang menolak Islam kerana berpendapat DAP telah menjadi rakan sekutunya yang lebih baik daripada bersekutu dengan UMNO. Nik Aziz begitu selesa berkawan dengan puak 'kafir zimmi' ini daripada bermuqabalah dengan UMNO. Beliau dilihat begitu taksub dengan pegangannya sehingga kabur untuk membezakan landasan perjuangan DAP dengan perjuangan UMNO, kerana pada dirinya UMNO lebih jijik daripada DAP.

Maka sebab itu, Nik Aziz begitu lantang menegur Ustadz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS supaya tidak berada di dalam jemaah PAS jika mahukan kerajaan perpaduan bersama dengan UMNO. Nampaknya DAP semakin dimuliakan, kerana Nik Aziz lebih meyakini DAP boleh menerima Islam jika dibandingkan dengan UMNO yang telah dilabelkannya sebagai Ayah Pin.

Friday, June 26, 2009

Mikaeel Jackson meninggal dunia

Mikaeel Jacko

Mikaeel Jackson

Inna Lillahi Wa inna ilaihi Raji'un...

Raja Pop Michael Jackson atau nama Islamnya 'MIKAEEL JACKSON' telah meninggal dunia pada pukul 2.26 pagi ini, Jumaat (26 Jun 2009), di Los Angeles, AS. Michael Jackson atau lebih dikenali dengan panggilan Jacko, 50 telah memeluk Islam pada 21 November 2008. Mikaeel adalah nama Malaikat yang memberi rezki, dan nama ini dikatakan secocok dengan nama asalnya.

Thursday, June 25, 2009

LEBIH DUA MINGGU TIDAK BERSUA

Salam kepada semua!

Saya mohon maaf kerana sudah lama tidak posting di dalam ruangan ini. Kali terakhir saya muncul ialah pada 12 Jun lalu. Pada masa itu saya masih berada di Bintulu kerana terpaksa menghadiri mesyuarat bersama dengan Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Ketua-Ketua Kaum (KK) dalam daerah Bintulu untuk memberikan taklimat mengenai 'Kor Keselamatan Komuniti 69 Daerah Bintulu' yang bakal ditubuhkan oleh Skuad 69 PDRM Sarawak.

Mesyuarat tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu, di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Hari Jumaat, 12 Jun 2009, kira-kira jam 9.00 pagi. Turut hadir di dalam mesyuarat itu ialah wakil Residen, Cik Nursyarmilla Jeruis dan Timbalan Ketua PBB DUN Jepak, Encik Shamsuddin Abd. Razak. Saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Kali ini agak lama juga saya berada di Sarawak. Saya baru saja pulang ke Kuala Lumpur semalam, 24 Jun 2009, setelah tiga hari berada di Kota Kinabalu, Sabah dan 15 hari di Sarawak.

(Foto Atas - Gambar beramai-ramai di Dewan Assyakirin. Foto Bawah: Sesi Ceramah Penerangan di ParkCity Mall, Bintulu)

Semua urusan berjadual semasa saya berada di Sabah dan Sarawak telah dapat berjalan dengan lancarnya. Di antara program yang terlaksana di Sarawak ialah 'Pameran Keamanan SatuMalaysia' yang diadakan pada 19, 20 dan 21 Jun 2009, di ParkCity Mall, Bintulu.

Selain mengadakan pameran, kami daripada Skuad 69 PDRM Sarawak juga telah mengadakan majlis 'Pengisahan Perjuangan Menentang Komunis PARAKU di Sarawak' bersama-sama dengan Ketua-Ketua Kaum dan Pengerusi JKKK Daerah Bintulu di Balai Raya Assyakirin, di Bintulu. Majlis ini telah diadakan pada hari Jumaat, 19 Jun 2009, bermula jam 9.00 pagi; yang telah dirasmikan oleh Encik Ismawie Salleh, Timbalan Residen Bahagian Bintulu.

Semasa di Bintulu juga, Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya buat kali ke-III pada Sabtu, 20 Jun 2009, di New World Suites, Bintulu. Sementara di sebelah malamnya pula kami telah mengadakan majlis makan malam yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, ADUN Jepak yang juga Pengerusi SEDC Sarawak.

(Foto di New World Suites Bintulu - Datuk Talib Zulpilip di tengah-tengah bersama-sama dengan DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM)

Sepanjang tiga hari program 'Jelajah Amal Keamanan Satu Malaysia' diadakan di Bintulu, kami amat terharu dengan sambutan dan juga kerjasama yang telah diberikan oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit, di antaranya Pejabat Residen Bahagian Bintulu sendiri, pejabat Daerah Bintulu, Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Belia dan Sukan Daerah, Jabatan Penerangan Daerah, Jabatan Pertahanan Awam, AADK dan juga pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.

Liputan media yang diberikan oleh Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Borneo Post, See Hua Daily, Sin Chew Daily, Eastern Times dan juga RTM sepanjang tiga hari program itu berjalan juga amat mengharukan kami. Setiap hari berita dan juga maklumat tentang aktiviti kami telah disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan.

Saya memohon maaf kepada rakan-rakan seperjuangan di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa kerana tidak sempat untuk bersama-sama meraikan persidangan tahunan UMNO cawangan-cawangan yang sedang berjalan.

Kali terakhir saya sempat menghadiri persidangan cawangan ialah di UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya di mana cawangan tersebut telah mengadakannya pada 5 Jun yang lalu dengan penuh kemeriahan. Sebagai wakil UMNO Bahagian, saya juga sempat diberikan peluang oleh tuan rumah untuk menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Abang Yatim Mohamad, Ketua UMNO Cawangan Kg. Loke Yew kerana telah memaklumkan kepada saya bahawa persidangan tahunan UMNO Cawangannya yang diadakan pada ahad lalu, 21 Jun telah mencalonkan diri saya sebagai salah seorang calon G7. Abang Yatim sendiri telah menelefon saya di Sarawak tentang perkara ini.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dimyati Jafaar, Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju yang juga telah memaklumkan tentang perjalanan persidangan cawangannya yang diadakan pada 20 Jun yang lalu.

Begitu juga kepada Puan Norsiah yang telah menelefon saya bahawa dirinya telah dilantik sebagai Ketua UMNO Cawangan KLSC. UMNO Cawangan KLSC tidak dapat menyempurnakan persidangannya pada tahun 2008 yang lalu. Saya mengucapkan tahniah kepada Norsiah!

Untuk makluman semua, Cawangan saya, iaitu UMNO Cawangan Bukit Wangsa akan bersidang pada 29 Jun ini, jam 8.00 malam, bertempat di Perkarangan Blok C11 Seksyen 10 Wangsa Maju. Semua rakan-rakan seperjuangan saya di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa dijemput hadir ke persidangan tersebut.

Seperti biasa, selepas ini saya bersedia dengan isu-isu semasa yang bakal dikupas untuk tatapan anda yang masih setia dengan locengwangsa.

Friday, June 12, 2009

SINONIMNYA SABAH DAN SARAWAK UNTUK KEKUATAN BN

Buat masa ini saya masih berada di luar Kuala Lumpur. Semasa saya menulis posting ini, saya berada di bandar Bintulu, Sarawak setelah tiga hari berada di Kota Kinabalu, Sabah sejak 6 Jun lalu kerana mempunyai urusan dengan Skuad 69 PDRM di negeri itu.

(Foto: Abdul Rahman Hashim, pakaian tradisi Kadazan Dusun)

Dalam tahun 2007 yang lalu, saya pernah mengadakan kunjungan hormat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah, iaitu Dato' Noor Rashid Ibrahim, untuk mendapatkan restunya penubuhan Skuad 69 PDRM Sabah.

Saya tidak lama berada di KK. Pada 8 Jun lalu saya terpaksa bergegas ke Bintulu pula, kerana pada hari Selasa, 9 Jun saya terpaksa menghadiri mesyuarat Skuad 69 PDRM Sarawak di pejabat Residen Bahagian Bintulu yang turut disertai oleh wakil-wakil Jabatan kerajaan peringkat daerah Bintulu, termasuk wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu dan juga wakil daripada pejabat Wakil Rakyat ADUN Jepak, Datuk Talib Zulpilip.

Di dalam mesyuarat itu, saya dikehendaki membentangkan laporan mengenai program 'Jelajah Amal, Keamanan Satu Malaysia' yang dianjurkan oleh Skuad 69 PDRM Sarawak sepanjang tahun 2009/2010. Program ini akan bergerak ke seluruh negeri Sarawak mengikut daerah-daerah yang ditetapkan.

Miri merupakan starting point kami dan destinasi akhirnya akan diadakan di Bandaraya Kuching pada Mei tahun 2010, dimana YAB Perdana Menteri akan diundang untuk melancarkan 'Karnival Keamanan Satu Malaysia' yang menjadi kemuncak kepada program ini.

Di Kota Kinabalu, saya telah menghadiri mesyuarat penubuhan Persatuan Kebajikan Pejuang Skuad 69 PDRM Sabah yang diadakan pada 7 Jun lalu, di food court 'memorial double six' di Sembulan.

Di dalam mesyuarat itu saya telah dilantik sebagai Setiausaha (Penaja) kepada Persatuan Kebajikan Pejuang Skuad 69 PDRM Sabah yang diberi peranan untuk menyelaraskan semua urusan pendaftaran persatuan yang baru saja ditubuhkan, disamping menggerakkan penyertaan bekas-bekas anggota polis di dalam Skuad 69 negeri Sabah supaya menjadi ahli kepada Persatuan ini.

Saya begitu menghargai dengan kepercayaan yang diberikan itu, kerana saya juga merasakan tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak sejak 2006 yang lalu pun amat mencabar sekali untuk digalas, apatah lagi dengan kedudukan ini telah membuatkan diri saya menjadi sebahagian daripada warga Skuad 69 PDRM di kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu.

Saya bukanlah seorang bekas polis, tetapi bapa saya pernah bertugas sebagai SC sekitar tahun 1957/1958 ketika negara diancam dengan keganasan komunis dalam tahun-tahun berkenaan. Sejak saya mencampuri dengan pejuang-pejuang Skuad 69 PDRM, saya dapat merasakan betapa unggulnya semangat perjuangan mereka yang sanggup bergadai nyawa mempertahankan negara daripada terus diancam oleh pengganas komunis yang dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Foto: Saya bersama Bong Kee Chok (di tengah-tengah)

Sepanjang saya menggalas tugas sebagai Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak, maka keraplah saya berulang alik ke Kuching. Boleh dikatakan setiap bulan sejak tahun 2006, saya akan berada di pejabat saya di Jalan Rubber, berdekatan dengan Satok di Bandaraya Kuching.

Pengalaman saya berjumpa dengan 'BONG KEE CHOK' pada 1 Ogos 2006 di kediaman Tun Rahman Yaakob, di Petra Jaya, Kuching amatlah membanggakan saya (Foto di atas).

Bong Kee Chok ialah pemimpin Komunis PARAKU di Sarawak yang menjadi buruan oleh anggota pasukan keselamatan kita pada masa itu. Bong Kee Chok telah kembali semula ke pangkuan masyarakat setelah termaterainya Perjanjian Sri Aman di antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Datuk Patingi Abdul Rahman Yaakob dengan Bong Kee Chok yang mewakili PARAKU. Perjanjian Sri Aman ini telah ditandatangani pada 21 Oktober 1973, di rumah rehat Simanggang yang kini telah bertukar namanya kepada 'Rumah Rehat Sri Aman'.


Dari Kiri - Taib Mahmud, Abang Johari dan Awang Tengah

Detik kenangan manis yang sukar juga untuk saya melupakannya ialah ketika berpeluang mengadakan kunjungan hormat terhadap YAB Pehin Sri Haji Abdl Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada 9 Februari 2006 yang lalu yang merintis ke arah penubuhan Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM di Sarawak.

Saya bukan sahaja berpeluang berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak, malah saya juga berkesempatan berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan Datuk Amar Abang Johari Bin Tun Abang Haji Openg, selaku Menteri Perumahan Sarawak yang juga Timbalan Presiden PBB yang merupakan tokoh Melayu Sarawak yang dilihat mempunyai potensi untuk mewarisi kepimpinan negeri ini, di samping Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga tidak kurang hebat karismanya, selepas Taib Mahmud.

Sebagai anak Melayu, saya terhambat untuk melihat kedua-dua tokoh ini supaya sentiasa berlapang dada kerana mereka ini adalah pemimpin yang dilihat sebagai orang harapan Taib Mahmud yang bakal meneruskan misi politik pembangunan yang dipupuknya sejak menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Sebagai Setiausaha kepada sebuah pertubuhan NGO di bumi kenyalang ini, saya dapat merasakan betapa kuatnya pengaruh 'Taib Mahmud' di negeri Sarawak ini. Beliau yang baru sahaja kehilangan isteri kesayangannya, Puan Sri Laila Taib yang telah kembali ke rahmatullah lebih sebulan yang lalu, tidak menjadikan faktor itu untuk beliau menukar gear rendah dalam memacu pembangunan negeri ini.

Taib Mahmud adalah lambang perpaduan yang telah memperkuatkan ikatan harmoni di antara pelbagai kaum dan etnik yang terdapat di negeri Sarawak. Walaupun terdapat arus cabaran yang hendak menggoncangkan situasi politik di negeri ini, namun kekuatan dan kepintaran Taib Mahmud adalah menjadi penghalang terbesar kepada Pakatan Rakyat yang begitu mengidamkan Sarawak menjadi empayar Anwar Ibrahim.

(Foto di bawah: Saya bersama Anwar Ibrahim di Sarawak)

Saya sendiri berkesempatan berjumpa dengan Anwar Ibrahim dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuching baru-baru ini, dimana beliau kelihatannya amat optimis untuk menggugat empayar Taib Mahmud di negeri ini menjelang PRU13 nanti, namun demikian saya berpendapat amat sukar bagi Anwar untuk menembusi kubu kuat BN yang dipimpin oleh Taib Mahmud di Sarawak.

Walaupun terdapat andaian yang menyatakan bahawa kekuatan kubu kuat BN di negeri ini hanya mampu bertahan sewaktu adanya Taib Mahmud, namun hakikatnya Taib Mahmud telah berjaya mengakar umbikan Barisan Nasional dengan kombinasi sokongan yang diterimanya daripada parti-parti komponen yang membarisi kepimpinannya di negeri Sarawak.

Sesungguhnya Barisan Nasional amat terhutang budi dengan kekuatan yang dimiliki oleh BN di kedua-dua negeri yang terletak di Pulau Borneo ini. Anwar terpaksa memberikan tumpuan yang lebih di kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah ini, kerana beliau begitu mencemburui dengan kebijaksanaan Taib Mahmud dan Musa Aman yang telah berjaya membuktikan dua negeri ini sebagai faktor kejayaan BN menguasai semula kerajaan persekutuan, walaupun kekuatannya tidak mencecah 2/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang diperrtandingkan dalam PRU12.


Thursday, June 4, 2009

NAJIB: KALAU ALTANTUYA TEMAN WANITA SAYA, TAKKAN DIA MENGINAP HOTEL DUA BINTANG?


Dato' Sri Najib Tun Razak berkata, "kalaulah benar dia (Altantuya) teman wanita saya tentu dia akan rasa terhina sekiranya saya tempatkannya di hotel dua bintang seperti itu."

Perdana Menteri Najib Razak berkata demikian apabila merujuk kepada sebuah laporan yang menyebut Altantuya menginap di 'hotel dua bintang' sahaja sebelum kematian tragisnya. Beliau juga menafikan mengenali wanita Mongolia tu, Altantuya Shaariibuu apabila diasak oleh media antarabangsa semasa lawatan rasmi beliau ke China yang bermula Selasa lalu.

Menurut laporan Associated Press (AP) Najib hanya "ketawakan" sahaja apabila ditanya oleh media asing mengenai kemungkinan beliau dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya tiga tahun lalu.

Najib berkata kepada AP yang "beliau tidak ada kena mengena" dengan Altantuya, bekas model dan penterjemah yang didakwa mempunyai hubungan asmara dengan penasihat politik Najib, Razak Baginda.

Menurut laporan itu hubungan rapat Najib dengan Razak menimbulkan kemungkinan beliau terkait dengan kes pembunuhan tersebut.

"Tidak ada bukti. Mereka tidak mengemukakan apa-apa bukti pun...Saya telah bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak kena mengena dengan dia dan saya tidak boleh komen lebih daripada itu," kata Najib.
Razak Baginda telah mengaku menjalin hubungan intim dengan Altantuya dan beliau dibebaskan Oktober lalu berhubung tuduhan bersubahat dengan pembunuhan wanita itu.

Dua anggota polis dihukum mati walaupun motif pembunuhan gagal dibuktikan. Kedua mereka kini dalam telah membuat rayuan.