assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, June 25, 2009

LEBIH DUA MINGGU TIDAK BERSUA

Salam kepada semua!

Saya mohon maaf kerana sudah lama tidak posting di dalam ruangan ini. Kali terakhir saya muncul ialah pada 12 Jun lalu. Pada masa itu saya masih berada di Bintulu kerana terpaksa menghadiri mesyuarat bersama dengan Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Ketua-Ketua Kaum (KK) dalam daerah Bintulu untuk memberikan taklimat mengenai 'Kor Keselamatan Komuniti 69 Daerah Bintulu' yang bakal ditubuhkan oleh Skuad 69 PDRM Sarawak.

Mesyuarat tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu, di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Hari Jumaat, 12 Jun 2009, kira-kira jam 9.00 pagi. Turut hadir di dalam mesyuarat itu ialah wakil Residen, Cik Nursyarmilla Jeruis dan Timbalan Ketua PBB DUN Jepak, Encik Shamsuddin Abd. Razak. Saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Kali ini agak lama juga saya berada di Sarawak. Saya baru saja pulang ke Kuala Lumpur semalam, 24 Jun 2009, setelah tiga hari berada di Kota Kinabalu, Sabah dan 15 hari di Sarawak.

(Foto Atas - Gambar beramai-ramai di Dewan Assyakirin. Foto Bawah: Sesi Ceramah Penerangan di ParkCity Mall, Bintulu)

Semua urusan berjadual semasa saya berada di Sabah dan Sarawak telah dapat berjalan dengan lancarnya. Di antara program yang terlaksana di Sarawak ialah 'Pameran Keamanan SatuMalaysia' yang diadakan pada 19, 20 dan 21 Jun 2009, di ParkCity Mall, Bintulu.

Selain mengadakan pameran, kami daripada Skuad 69 PDRM Sarawak juga telah mengadakan majlis 'Pengisahan Perjuangan Menentang Komunis PARAKU di Sarawak' bersama-sama dengan Ketua-Ketua Kaum dan Pengerusi JKKK Daerah Bintulu di Balai Raya Assyakirin, di Bintulu. Majlis ini telah diadakan pada hari Jumaat, 19 Jun 2009, bermula jam 9.00 pagi; yang telah dirasmikan oleh Encik Ismawie Salleh, Timbalan Residen Bahagian Bintulu.

Semasa di Bintulu juga, Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya buat kali ke-III pada Sabtu, 20 Jun 2009, di New World Suites, Bintulu. Sementara di sebelah malamnya pula kami telah mengadakan majlis makan malam yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, ADUN Jepak yang juga Pengerusi SEDC Sarawak.

(Foto di New World Suites Bintulu - Datuk Talib Zulpilip di tengah-tengah bersama-sama dengan DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM)

Sepanjang tiga hari program 'Jelajah Amal Keamanan Satu Malaysia' diadakan di Bintulu, kami amat terharu dengan sambutan dan juga kerjasama yang telah diberikan oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit, di antaranya Pejabat Residen Bahagian Bintulu sendiri, pejabat Daerah Bintulu, Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Belia dan Sukan Daerah, Jabatan Penerangan Daerah, Jabatan Pertahanan Awam, AADK dan juga pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.

Liputan media yang diberikan oleh Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Borneo Post, See Hua Daily, Sin Chew Daily, Eastern Times dan juga RTM sepanjang tiga hari program itu berjalan juga amat mengharukan kami. Setiap hari berita dan juga maklumat tentang aktiviti kami telah disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan.

Saya memohon maaf kepada rakan-rakan seperjuangan di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa kerana tidak sempat untuk bersama-sama meraikan persidangan tahunan UMNO cawangan-cawangan yang sedang berjalan.

Kali terakhir saya sempat menghadiri persidangan cawangan ialah di UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya di mana cawangan tersebut telah mengadakannya pada 5 Jun yang lalu dengan penuh kemeriahan. Sebagai wakil UMNO Bahagian, saya juga sempat diberikan peluang oleh tuan rumah untuk menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Abang Yatim Mohamad, Ketua UMNO Cawangan Kg. Loke Yew kerana telah memaklumkan kepada saya bahawa persidangan tahunan UMNO Cawangannya yang diadakan pada ahad lalu, 21 Jun telah mencalonkan diri saya sebagai salah seorang calon G7. Abang Yatim sendiri telah menelefon saya di Sarawak tentang perkara ini.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dimyati Jafaar, Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju yang juga telah memaklumkan tentang perjalanan persidangan cawangannya yang diadakan pada 20 Jun yang lalu.

Begitu juga kepada Puan Norsiah yang telah menelefon saya bahawa dirinya telah dilantik sebagai Ketua UMNO Cawangan KLSC. UMNO Cawangan KLSC tidak dapat menyempurnakan persidangannya pada tahun 2008 yang lalu. Saya mengucapkan tahniah kepada Norsiah!

Untuk makluman semua, Cawangan saya, iaitu UMNO Cawangan Bukit Wangsa akan bersidang pada 29 Jun ini, jam 8.00 malam, bertempat di Perkarangan Blok C11 Seksyen 10 Wangsa Maju. Semua rakan-rakan seperjuangan saya di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa dijemput hadir ke persidangan tersebut.

Seperti biasa, selepas ini saya bersedia dengan isu-isu semasa yang bakal dikupas untuk tatapan anda yang masih setia dengan locengwangsa.

Friday, June 12, 2009

SINONIMNYA SABAH DAN SARAWAK UNTUK KEKUATAN BN

Buat masa ini saya masih berada di luar Kuala Lumpur. Semasa saya menulis posting ini, saya berada di bandar Bintulu, Sarawak setelah tiga hari berada di Kota Kinabalu, Sabah sejak 6 Jun lalu kerana mempunyai urusan dengan Skuad 69 PDRM di negeri itu.

(Foto: Abdul Rahman Hashim, pakaian tradisi Kadazan Dusun)

Dalam tahun 2007 yang lalu, saya pernah mengadakan kunjungan hormat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah, iaitu Dato' Noor Rashid Ibrahim, untuk mendapatkan restunya penubuhan Skuad 69 PDRM Sabah.

Saya tidak lama berada di KK. Pada 8 Jun lalu saya terpaksa bergegas ke Bintulu pula, kerana pada hari Selasa, 9 Jun saya terpaksa menghadiri mesyuarat Skuad 69 PDRM Sarawak di pejabat Residen Bahagian Bintulu yang turut disertai oleh wakil-wakil Jabatan kerajaan peringkat daerah Bintulu, termasuk wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu dan juga wakil daripada pejabat Wakil Rakyat ADUN Jepak, Datuk Talib Zulpilip.

Di dalam mesyuarat itu, saya dikehendaki membentangkan laporan mengenai program 'Jelajah Amal, Keamanan Satu Malaysia' yang dianjurkan oleh Skuad 69 PDRM Sarawak sepanjang tahun 2009/2010. Program ini akan bergerak ke seluruh negeri Sarawak mengikut daerah-daerah yang ditetapkan.

Miri merupakan starting point kami dan destinasi akhirnya akan diadakan di Bandaraya Kuching pada Mei tahun 2010, dimana YAB Perdana Menteri akan diundang untuk melancarkan 'Karnival Keamanan Satu Malaysia' yang menjadi kemuncak kepada program ini.

Di Kota Kinabalu, saya telah menghadiri mesyuarat penubuhan Persatuan Kebajikan Pejuang Skuad 69 PDRM Sabah yang diadakan pada 7 Jun lalu, di food court 'memorial double six' di Sembulan.

Di dalam mesyuarat itu saya telah dilantik sebagai Setiausaha (Penaja) kepada Persatuan Kebajikan Pejuang Skuad 69 PDRM Sabah yang diberi peranan untuk menyelaraskan semua urusan pendaftaran persatuan yang baru saja ditubuhkan, disamping menggerakkan penyertaan bekas-bekas anggota polis di dalam Skuad 69 negeri Sabah supaya menjadi ahli kepada Persatuan ini.

Saya begitu menghargai dengan kepercayaan yang diberikan itu, kerana saya juga merasakan tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak sejak 2006 yang lalu pun amat mencabar sekali untuk digalas, apatah lagi dengan kedudukan ini telah membuatkan diri saya menjadi sebahagian daripada warga Skuad 69 PDRM di kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu.

Saya bukanlah seorang bekas polis, tetapi bapa saya pernah bertugas sebagai SC sekitar tahun 1957/1958 ketika negara diancam dengan keganasan komunis dalam tahun-tahun berkenaan. Sejak saya mencampuri dengan pejuang-pejuang Skuad 69 PDRM, saya dapat merasakan betapa unggulnya semangat perjuangan mereka yang sanggup bergadai nyawa mempertahankan negara daripada terus diancam oleh pengganas komunis yang dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Foto: Saya bersama Bong Kee Chok (di tengah-tengah)

Sepanjang saya menggalas tugas sebagai Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak, maka keraplah saya berulang alik ke Kuching. Boleh dikatakan setiap bulan sejak tahun 2006, saya akan berada di pejabat saya di Jalan Rubber, berdekatan dengan Satok di Bandaraya Kuching.

Pengalaman saya berjumpa dengan 'BONG KEE CHOK' pada 1 Ogos 2006 di kediaman Tun Rahman Yaakob, di Petra Jaya, Kuching amatlah membanggakan saya (Foto di atas).

Bong Kee Chok ialah pemimpin Komunis PARAKU di Sarawak yang menjadi buruan oleh anggota pasukan keselamatan kita pada masa itu. Bong Kee Chok telah kembali semula ke pangkuan masyarakat setelah termaterainya Perjanjian Sri Aman di antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Datuk Patingi Abdul Rahman Yaakob dengan Bong Kee Chok yang mewakili PARAKU. Perjanjian Sri Aman ini telah ditandatangani pada 21 Oktober 1973, di rumah rehat Simanggang yang kini telah bertukar namanya kepada 'Rumah Rehat Sri Aman'.


Dari Kiri - Taib Mahmud, Abang Johari dan Awang Tengah

Detik kenangan manis yang sukar juga untuk saya melupakannya ialah ketika berpeluang mengadakan kunjungan hormat terhadap YAB Pehin Sri Haji Abdl Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada 9 Februari 2006 yang lalu yang merintis ke arah penubuhan Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM di Sarawak.

Saya bukan sahaja berpeluang berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak, malah saya juga berkesempatan berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan Datuk Amar Abang Johari Bin Tun Abang Haji Openg, selaku Menteri Perumahan Sarawak yang juga Timbalan Presiden PBB yang merupakan tokoh Melayu Sarawak yang dilihat mempunyai potensi untuk mewarisi kepimpinan negeri ini, di samping Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga tidak kurang hebat karismanya, selepas Taib Mahmud.

Sebagai anak Melayu, saya terhambat untuk melihat kedua-dua tokoh ini supaya sentiasa berlapang dada kerana mereka ini adalah pemimpin yang dilihat sebagai orang harapan Taib Mahmud yang bakal meneruskan misi politik pembangunan yang dipupuknya sejak menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Sebagai Setiausaha kepada sebuah pertubuhan NGO di bumi kenyalang ini, saya dapat merasakan betapa kuatnya pengaruh 'Taib Mahmud' di negeri Sarawak ini. Beliau yang baru sahaja kehilangan isteri kesayangannya, Puan Sri Laila Taib yang telah kembali ke rahmatullah lebih sebulan yang lalu, tidak menjadikan faktor itu untuk beliau menukar gear rendah dalam memacu pembangunan negeri ini.

Taib Mahmud adalah lambang perpaduan yang telah memperkuatkan ikatan harmoni di antara pelbagai kaum dan etnik yang terdapat di negeri Sarawak. Walaupun terdapat arus cabaran yang hendak menggoncangkan situasi politik di negeri ini, namun kekuatan dan kepintaran Taib Mahmud adalah menjadi penghalang terbesar kepada Pakatan Rakyat yang begitu mengidamkan Sarawak menjadi empayar Anwar Ibrahim.

(Foto di bawah: Saya bersama Anwar Ibrahim di Sarawak)

Saya sendiri berkesempatan berjumpa dengan Anwar Ibrahim dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuching baru-baru ini, dimana beliau kelihatannya amat optimis untuk menggugat empayar Taib Mahmud di negeri ini menjelang PRU13 nanti, namun demikian saya berpendapat amat sukar bagi Anwar untuk menembusi kubu kuat BN yang dipimpin oleh Taib Mahmud di Sarawak.

Walaupun terdapat andaian yang menyatakan bahawa kekuatan kubu kuat BN di negeri ini hanya mampu bertahan sewaktu adanya Taib Mahmud, namun hakikatnya Taib Mahmud telah berjaya mengakar umbikan Barisan Nasional dengan kombinasi sokongan yang diterimanya daripada parti-parti komponen yang membarisi kepimpinannya di negeri Sarawak.

Sesungguhnya Barisan Nasional amat terhutang budi dengan kekuatan yang dimiliki oleh BN di kedua-dua negeri yang terletak di Pulau Borneo ini. Anwar terpaksa memberikan tumpuan yang lebih di kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah ini, kerana beliau begitu mencemburui dengan kebijaksanaan Taib Mahmud dan Musa Aman yang telah berjaya membuktikan dua negeri ini sebagai faktor kejayaan BN menguasai semula kerajaan persekutuan, walaupun kekuatannya tidak mencecah 2/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang diperrtandingkan dalam PRU12.


Thursday, June 4, 2009

NAJIB: KALAU ALTANTUYA TEMAN WANITA SAYA, TAKKAN DIA MENGINAP HOTEL DUA BINTANG?


Dato' Sri Najib Tun Razak berkata, "kalaulah benar dia (Altantuya) teman wanita saya tentu dia akan rasa terhina sekiranya saya tempatkannya di hotel dua bintang seperti itu."

Perdana Menteri Najib Razak berkata demikian apabila merujuk kepada sebuah laporan yang menyebut Altantuya menginap di 'hotel dua bintang' sahaja sebelum kematian tragisnya. Beliau juga menafikan mengenali wanita Mongolia tu, Altantuya Shaariibuu apabila diasak oleh media antarabangsa semasa lawatan rasmi beliau ke China yang bermula Selasa lalu.

Menurut laporan Associated Press (AP) Najib hanya "ketawakan" sahaja apabila ditanya oleh media asing mengenai kemungkinan beliau dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya tiga tahun lalu.

Najib berkata kepada AP yang "beliau tidak ada kena mengena" dengan Altantuya, bekas model dan penterjemah yang didakwa mempunyai hubungan asmara dengan penasihat politik Najib, Razak Baginda.

Menurut laporan itu hubungan rapat Najib dengan Razak menimbulkan kemungkinan beliau terkait dengan kes pembunuhan tersebut.

"Tidak ada bukti. Mereka tidak mengemukakan apa-apa bukti pun...Saya telah bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak kena mengena dengan dia dan saya tidak boleh komen lebih daripada itu," kata Najib.
Razak Baginda telah mengaku menjalin hubungan intim dengan Altantuya dan beliau dibebaskan Oktober lalu berhubung tuduhan bersubahat dengan pembunuhan wanita itu.

Dua anggota polis dihukum mati walaupun motif pembunuhan gagal dibuktikan. Kedua mereka kini dalam telah membuat rayuan.

Tuesday, June 2, 2009

SUASANA POLITIK TERENGGANU MASIH MEMBAHANG, STADIUMNYA PULA YANG RUNTUH..

Di dalam suasana politik Terengganu yang dikatakan masih membahang, tiba-tiba Stadium Sultan Mizan yang bernilai lebih RM450 juta telah rebah ke bumi. Bumbung utama Stadium Bolasepak Gong Badak, Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu pada 10 Mei tahun lalu, telah runtuh kira-kira jam 7.30 pagi ini. Perkara itu disahkan oleh timbalan pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ahmad Tengku Hussein ketika dihubungi hari ini.

Kejadian itu mengakibatkan sebuah kereta kancil dan empat buah motosikal tertimbus.

Sementara itu, seorang wartawan sambilan, Sazali Mohd Nor yang dihubungi di tempat kejadian berkata, stadium yang berusia kira-kira setahun ini berkapasiti menampung kira-kira 50,000 penonton.

Menurutnya, stadium mempunyai dua bumbung - bumbung tinggi di sebelah kiri dan bumbung rendah di sebelah kanan.

Sazali berkata, yang runtuh adalah kesemua bahagian bumbung tinggi di sebelah kiri.

Sementara itu, sumber yang mengetahui mengenai projek tersebut, berkata beliau tidak terperanjat dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, juruperunding-juruperunding yang terbabit dalam projek tersebut telah lama menyuarakan kebimbangan mereka tentang keadaan bumbung utama stadium yang dibuat oleh kontraktor asing.

"Walaupun sudah tahun memintanya dari kontraktor asng tersebut, difahamkan mereka masih belulm menerimanya," katanya.,

Sumber itu berkata, projek pembinaan stadium tersebut dijalankan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya.

Monday, June 1, 2009

SEPATUTNYA UMNO MENJANTANKAN PARTINYA...


Dua Pemimpin UMNO miliki kejantanannya?

Kenapa kita harus mempersoalkan kejayaan orang lain, sedangkan kita sendiri seolah-olah merasakan boleh menang jika kita menyertai pertandingan itu. Demikianlah yang telah terjadi kepada UMNO yang merasakan kejayaan PKR di DUN Penanti itu bertanding sebagai sesuatu yang mencemburukannya.

Dato' Sri Najib Tun Razak sendiri ketika mengulas kejayaan PKR beranggapan parti itu tidak perlu terlalu ghairah dengan keputusan tersebut kerana katanya peratusan yang keluar mengundi di dalam pilihan raya kecil DUN Penanti membuktikan bahawa rakyat di situ tidak bersetuju dengan cara PKR mengosongkan kerusi tersebut.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya pula menyifatkan keputusan yang diambil oleh UMNO untuk tidak bertanding di dalam pilihan raya kecil DUN Penanti sebagai sesuatu yang telah diterima oleh rakyat di kawasan tersebut. Oleh itu tambahnya, PKR janganlah terlalu bergembira dengan keputusan yang telah diperolehi itu.

Di dalam pilihan raya kecil DUN Penanti yang tidak disertai oleh UMNO kelmarin (31 Mei) menyaksikan UMNO sendiri tidak begitu gembira dan memandang sinis dengan kejayaan yang dicapai oleh PKR yang telah menundukkan tiga calon bebas yang lainnya. Kemungkinan timbulnya rasa kesal mereka di atas pemulauan UMNO/BN di dalam pilihan raya itu.

Dalam arti kata lain persepsi di sebalik kenyataan itu juga memberi makna bahawa PKR sudah menghadapi kemerosotan pengaruh, kerana mereka dikatakan gagal memperolehi sokongan undi yang lebih besar jika dibandingkan dengan sokongan yang diterima dalam PRU12 lalu.

Pada saya, analisa sinis yang digembar gemburkan oleh parti yang hanya berani membuat komen setelah rumah berjaya disiapkan, merupakan satu tindakan yang kurang bijaksana, kerana sepatutnya UMNO lebih relevan memperjantankan partinya memasuki gelanggang daripada berkokok di luar.

Tidak ada maknanya jika kita hanya bijaklaksana dengan komentar terhadap kejayaan yang telah dibuktikan oleh majoriti pengundi di situ. Kita bagaikan syok sendiri dengan tindakan memulaukan pilihan raya itu. Apa pun ulasan dan hujah yang hendak kita lontarkan terhadap kemenangan itu, bagaikan anjing menyalak bukit sahaja. Yang menang tetap dengan kemenangannya walaupun menang dengan satu undi. Lebih baik kita tidak membuat sebarang ulasan kerana kita sejak awal lagi enggan masuk gelanggang pertarungan ini.

Kegagalan UMNO menampilkan diri tidak mewajarkan kita untuk mencemburui dengan kejayaan yang telah mereka kecapi. Walaupun kita mengandaikan parti itu sudah kehilangan pengaruhnya, namun kegagalan kita menyertai pertandingan berlawan dengan mereka adalah lebih memalukan. Komen yang kita lontarkan terhadap mereka saling tak tumpah bagaikan keris yang tidak ada saktinya lagi.

Kesaktian UMNO selama ini adalah berpaksikan kepada kepercayaan rakyat yang meyakini kehebatan dan ketangkasan pejuangnya yang berpantang undur sebelum mati. UMNO jika hendak memacu era kecemerlangannya semula, haruslah memacunya dengan penuh keinsafan, keyakinan diri, keberanian untuk berjuang serta memilki azimat kesaktiannya yang dimenterakan oleh rakyat akar umbi.

Walaupun saya di antara ahli UMNO yang kecewa dengan kejayaan yang dicapai oleh PKR di DUN Penanti, namun saya lebih kecewa kerana parti saya tidak seperkasa dulu yang berani kerana benar dan takut kerana salah.


PKR MENANG DUN PENANTI, MAJORITI BESAR 5,558 UNDI


PKR Menang

KEPUTUSAN RASMI Calon PKR, Mansor Othman memenangi pilihanraya kecil DUN Penanti dengan memperolehi 6,052 undi. Beliau menang dengan majoriti 5,558 undi. Manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Kesemua mereka hilang wang deposit RM5,000

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti ialah 46.15 peratus atau 7,100 orang. Peratusan ini juga merupakan hanya hampir separuh daripada 82.1 peratus pengundian dalam pilihanraya umum lalu.

Sunday, May 31, 2009

DUN PENANTI PKR MENANTI UMNO, DUN MANEK URAI PULA UMNO MENANTI PAS..SIAPA LEBIH KUAT?


Siapa lebih tangkas?

Hari ini, 31 Mei 2009 merupakan hari mengundi untuk 15,384 pengundi berdaftar di DUN Penanti. Pilihan raya kecil di DUN Penanti yang dianggap oleh UMNO/BN sebagai tidak mengikut perlembagaan dan membazirkan wang rakyat telah menyebabkan parti itu tidak menyertai pertandingan, sekaligus memberikan laluan mudah untuk calon PKR memenanginya nanti.
Walaupun UMNO tidak mempersudikan calonnya untuk bertarung dengan PKR, namun terdapat empat calon lain yang telah menyertainya, di antara empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Sepanjang tempoh berkempen, kelihatannya gelanggang Penanti tidak sehebat dan serancak pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang mempertarungkan Anwar Ibrahim dengan Ariff Shah, kerana ketika itu UMNO belum lagi terlintas untuk 'memulaukan' pilihan raya kecil itu, walaupun kekosongan kerusi tersebut boleh juga dianggap sebagai satu permainan politik pembangkang untuk mengembalikan Anwar di dalam arena politik nasional.

Dalam pilihan raya kecil itu, rata-rata meramalkan terlalu sukar untuk calon UMNO menundukkan Anwar yang tidak lagi bertanding atas tiket UMNO/BN sejak dirinya dipecat oleh UMNO pada tahun 1998. Kali terakhir Anwar bertanding di situ ialah dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1994. Pada masa itu Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga Timbalan Presiden UMNO.

Kali pertama Anwar dipertaruhkan sebagai calon UMNO di kawasan parlimen Permatang Pauh ialah dalam pilihan raya umum pada tahun 1982. Sejak itu Permatang Pauh merupakan kubu kuat UMNO yang terlalu sukar untuk PAS memenanginya semula.

Apabila Anwar digulingkan secara hina oleh musuh-musuhnya di dalam UMNO, maka majoriti pengundi di Permatang Pauh telah beralih arah dan didapati ramai juga pengundi-pengundi dari kalangan ahli UMNO yang bersimpati dengan Anwar mengundi isterinya Wan Azizah yang bertanding atas tiket Parti KeAdilan di dalam pilihan raya umum 1999, yang telah menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara yang diharapkan dapat mengekalkan dominasi UMNO di kawasan itu.

(Foto - Datuk Firdaus dari Masjid Negara ke jalanan dan tewas di Permatang Pauh)

Terbukti percubaan meletakkan Dato' Firdaus Ismail bertanding di situ tidak melonglaikan pengaruh Anwarisme yang diwarisi oleh isterinya Wan Azizah sehingga gagal direbut untuk pilihan raya yang berikutnya pada tahun 2004 dan juga pilihan raya umum 2008. Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh selama tiga penggal sehinggalah beliau meletakkan jawatan untuk mengosongkan kerusi itu selepas enam bulan memenanginya, sekaligus memberi laluan kepada suaminya (Anwar) yang sudah terlepas iddah akibat dipenjarakan selama 6 tahun untuk bertanding menggantikannya.

UMNO telah gagal untuk menyekat kemaraan pengaruh dan gelombang reformasi Anwar yang telah memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar. Dipercayai ribuan ahli UMNO juga turut menyokong dan mengundinya di dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu. Berbagai taktik dan helah telah diadaptasikan sehingga media arus perdana dipergunakan untuk ditayang semula adegan sensasi 'Anwar berdansa' dengan seorang wanita di dalam satu majlis makan malam ketika Anwar di tampuk kuasanya di dalam kerajaan dahulu.

Bukan itu sahaja, di dalam pilihan raya kecil itu juga tidak semena-mena orang yang mendakwa dirinya telah diperlakukan secara luar tabie oleh Anwar telah berakad sumpah di hadapan Imam Masjid Wilayah Persekutuan bahawa dirinya telah dicerobohi sedemikian rupa oleh Anwar.


(Foto - Saiful bersumpah di Masjid WP )

Sememangnya isu 'eksoz' Saiful ini diharapkan dapat meranapkan peluang Anwar untuk menang dalam pilihan raya itu, namun isu ini telah memakan diri UMNO sendiri. Rakyat di Permatang Pauh tidak menghiraukan sumpahan Saiful itu, malah mereka lebih berminat untuk mengembalikan kemenangan Anwar di gelanggang asalnya.

Apakah pilihan raya kecil DUN Penanti yang tidak disertai oleh calon UMNO ini mampu mengembalikan kekuatan UMNO yang baru saja dipimpin oleh Najib sebagai Presiden barunya? Walaupun UMNO mengharapkan calon PKR itu akan kecundang, namun begitu hakikatnya ialah UMNO terlebih awal telah mengumumkan tidak akan bertanding di kawasan DUN itu, yang tidak memungkinkan lagi calon PKR itu kecundang. Agak sukar juga bagi calon-calon bebas itu untuk menang, kerana mereka bukanlah calon tajaan UMNO.

Hanya UMNO saja yang dilihat berkemampuan untuk menyaingi kehebatan calon PKR di situ, tetapi UMNO tidak mahu menggunakan peluang ini, kerana mungkin UMNO merasakan mempunyai peluang menewaskan Anwar di dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Kini jentera UMNO telah digerakkan ke Manek Urai di Kelantan, dan mungkinkah UMNO lebih yakin untuk menang di situ jika dibandingkan dengan DUN Penanti?

Mustahil penyertaan UMNO di dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai nanti dibuat berdasarkan kepada peluang untuk menang adalah tipis. Najib, Muhyiddin dan Mustapha Mohamad lebih optimis untuk melihat UMNO menang di Manek Urai, di Kelantan jika dibandingkan dengan DUN Penanti di Pulau Pinang. Jika tidak, mana mungkin keberanian itu begitu cepat dinyatakan oleh mereka sebaik saja berlakunya kekosongan kerusi DUN tersebut.

UMNO bertanding di situ seolah-olah jika menang BN boleh membentuk kerajaannya di Kelantan. Persoalan bertanding akan membazirkan wang rakyat di dalam pilihan raya kecil di DUN Manek Urai sudah tidak berbangkit lagi, kerana tentunya mereka yakin rakyat Kelantan khususnya pengundi DUN Manek Urai akan lebih percaya kepada UMNO yang dipimpin oleh Najib daripada PAS Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Sama-samalah kita saksikan episod parti mana yang diterima oleh rakyat dan parti mana yang akan ditolak oleh rakyat. Sesungguhnya pilihan raya kecil DUN Penanti akan dinantikan keputusannya malam ini, sementara DUN Manek Urai pula akan menjadi lebih menarik kerana UMNO begitu yakin dengan kemenangan yang hendak dijulangnya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.


TERKINI DARI DUN PENANTI....
SETAKAT PUKUL 3.00 PETANG 42.2%
TELAH KELUAR MENGUNDI,
AHLI UMNO JUGA ADA YANG
KELUAR MENGUNDI!!

Setakat pukul 3.00 petang tadi, sebanyak 42.2% pengundi telah keluar membuang undi. Demikian menurut maklumat yang dikeluarkan oleh SPR. SPR mensasarkan 70% jumlah pengundi yang akan keluar mengundi hari ini.

Sementara itu kelihatan juga ramai ahli UMNO yang telah keluar mengundi. Ahli-ahli UMNO ini merasakan mereka juga mempunyai hak sebagai seorang 'pemilih' yang berdaftar untuk memilih calon yang mereka kehendaki.

Calon Bebas Aminah Abdullah yang disebut oleh Azmin Ali sebagai 'Minah Ronggeng' mendakwa ramai ahli wanita UMNO yang telah keluar mengundi. Beliau sendiri telah membawa beberapa orang ahli wanita UMNO tersebut, yang didakwanya akan memberikan undi kepada dirinya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh (Dato' Abd. Jalil Majid) yang juga pernah menang di DUN Penanti tidak tahu menahu tentang maklumat ahli-ahli UMNO yang keluar mengundi hari ini. Oleh kerana UMNO tidak bertanding kali ini, maka beliau berkata terpulanglah kepada masing-masing untuk menggunakan haknya.

Manakala di pihak PKR, Pengarah Jentera Pilihan rayanya Saifudin Nasution berkata pihaknya yakin 75% daripada jumlah pengundi yang telah keluar membuang undi hari ini telah memangkah calon PKR, Mansor Othman.