assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, August 7, 2008

Anwar diseret ke mahkamah hari ini, sebelum impian tercapai ke Putrajaya..

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diheret ke mahkamah hari ini (7 Ogos 2008) di atas pertuduhan kes liwat yang dihadapinya, sekaligus menyaksikan impiannya ke Putrajaya menjadi berliku sebelum sampai ke destinasinya.

Satu notis telah diperolehinya daripada pihak Polis Kuala Lumpur pada jam 12.10 tengahari kelmarin (6 Ogos) meminta mantan Timbalan Perdana Menteri itu hadir ke mahkamah majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada hari ini.

Dokumen tersebut diserahkan sendiri oleh pegawai penyiasat kes ini DSP Jude Pereira kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Lihat gambar di atas), di rumahnya di Bukit Segambut hanya beberapa minit sebelum pihak SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang bakal disertainya pada 16 Ogos ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi ahli parlimen di kawasan itu sejak tahun 1982 hingga 1999 itu mengesahkan bahawa beliau akan tetap meneruskan hasratnya bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 24 Ogos ini, meskipun berhadapan dengan prosiding kes liwat yang mengaitkannya.



Bercakap di dalam sidang media yang diadakan di sebelah petangnya di Ibu Pejabat PKR yang terletak di Merchant Square, Damansara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dirinya akan tetap bertanding walaupun beliau terpaksa ditahan untuk disoal siasat kes tersebut.

"Usaha untuk menghalang saya bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh akan pasti berlaku.
"Namun ianya tidak sedikitpun akan mematahkan semangat saya walaupun saya ditangkap, meskipun kain sarung dan songkok saya sahaja yang hadir," ujarnya pada sidang media tersebut.

Parlimen Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang, memang 'panas' sejak 1999 lagi, kerana pada masa itu Anwar mula dipenjarakan sebelum dibebaskan pada tahun 2003. Di dalam tiga pilihan raya umum yang diadakan selepas itu menyaksikan rakyat di kawasan itu masih tegar memihak kepada PKR, ini terbukti apabila Datuk Seri Wan Azizah yang bertanding di kawasan itu dilihat mampu meneruskan wadah perjuangan suaminya.

Di dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, Wan Azizah telah menewaskan buat kali kedua calon BN Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti yang bertambah iaitu 13,388 undi. Namun pada 31 Julai lalu, Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, untuk memaksa suatu pilihan raya kecil diadakan.

Majoriti pengundi kawasan Parlimen Permatang Pauh ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 69.4 peratus daripada 58,459 orang pengundi. Ini diikuti kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus, manakala India 3,581 orang (6.0 peratus sahaja) serta lain-lain 240 orang, iaitu 0.1 peratus.

Terdapat tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh ini, iaitu DUN Seberang Jaya yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, manakala DUN Permatang Pasir pula diwakili oleh Hamdan Abdul Rahman daripada PAS dan DUN Penanti pula diwakili oleh Datuk Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR yang kini menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Seluruh negara malah seantero dunia akan menghalakan fokus ke Kawasan Parlimen Permatang Pauh ini, kerana di situ Anwar yang menghadapi tuduhan kes liwat akan bertanding di dalam pilihan raya kecil yang didakwanya sebagai 'pra pelancaran ke Putrajaya' untuk menyahkan BN daripada tampuk pemerintahan negara ini.

Seluruh jentera dijangka akan dikerahkan oleh kedua-dua pihak di Permatang Pauh ini nanti. Pakatan Rakyat yang menjadi pemerintah kepada kerajaan negeri di Pulau Pinang pada hari ini terpaksa berhadapan dengan Barisan Nasional yang menjadi pemerintah Kerajaan Persekutuan. Permatang Pauh bakal berpesta dengan pilihan raya selama 10 hari bermula 16 Ogos ini hingga 26 Ogos, sebelum menjelangnya Ramadan yang akan tiba pada 1 September nanti.

Ayuh, semua jaksa UMNO di seluruh negara diseru agar bersama-sama berjuang mempertahankan maruah parti pusaka bangsa Melayu ini di Permatang Pauh ini, kerana gelombang Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar di sini merupakan 'titik tolak' mereka untuk punahkan dominasi UMNO memerintah negara. Kalau bukan kita yang masih sayangkan UMNO, siapa lagi yang nak diharapkan?

UMNO mesti sentiasa waspada, elakkan diri daripada kerakusan untuk berjawatan dan mengejar pangkat, sehingga kita lupa kepentingan bangsa dan negara menjadi terkebelakang. Kendurkanlah berkempen untuk angkat darjat diri sendiri, sedangkan anak bangsa kita kini bagaikan telur di hujung tanduk.

Kita terasa kecewa dan amat kesal, kerana membiarkan pertelingkahan sebangsa ini berpanjangan sehingga terlupa mencari noktahnya. Emosi amarah begitu berselaput di kalangan setengah jaksa pemimpin-pemimpin kita, sehingga tak terjumpa ramuan herba yang boleh memujarabkan penyakit dengki khianat, fitnah memfitnahi yang amat tebal di dalam UMNO.

Si Kitul terpaksa mengkhianati bangsanya sendiri kerana bebal melihat kelakuan 'bertamak kuasa' di kalangan pembesar negara, sehingga banyak kes yang difitnahi tidak dapat diurus dengan penuh kesaksamaan, lalu mengakibatkan ramai satria pembela bangsa menjadi mangsa pembunuhan sesama sendiri.

Demikianlah malangnya satira bangsa Melayu berkulit sawo matang ini yang dikatakan terlalu mengagungkan kesetiaan Hang Tuah untuk melenyapkan saudaranya sendiri, Hang Jebat yang begitu membara membelanya dari kutukan fitnah. Perintah menghapuskan Si Jebat telah dapat dilunaskan oleh Si Tuah dengan menghunus keris sakti 'Taming Sari' yang menikam sahabat seperguruannya sendiri.

Memang benar amanat gurunya, Si Jebat tidak mudah dimatikan, melainkan tertikam dengan Taming Sari. Siapakah yang menikamnya, kalau bukan Si Tuah? Selepas membunuhnya, Si Tuah berkata dengan penuh kesyahduan, "Aku terpaksa membunuh kau Jebat, walaupun aku tahu kau membela aku...perintah raja mesti ku tunaikan."

Akhirnya, Si Jebat mati di tangan Si Tuah kerana mempertahankan saudaranya sendiri yang difitnahi. Sultan Melaka yang diancam oleh amukan Si Jebat ketika itu memuji Hang Tuah kerana berjaya membunuh Hang Jebat.

Jadikanlah satira ini sebagai renungan dan pengajaran supaya kita tidak berterusan dilekakan dengan pelbagai konspirasi sehingga kita tertikam sesama sendiri. Jika ada pihak yang berpuas hati supaya wujudnya pertikaman sedarah sebangsa ini, sebenarnya dialah pengkhianat bangsa yang layak mendapat anugerah si kitul. UMNO janganlah hendaknya mengagungkan si kitul ini.

Tuesday, August 5, 2008

Ismalina bakal calon Ketua Puteri UMNO Malaysia, Puteri Indah ganti Ismalina di Wangsa Maju?

Kiri: Datin Ismalina Ismail, Kanan: Puteri Indah Mohd. Idrus

Datin Ismalina Ismail merupakan tokoh yang sebaris dengan nama-nama besar pemimpin yang terdapat di Bahagian Wangsa Maju. Oleh sebab faktor usia, Ketua Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju ini bakal meninggalkan gelanggang Pergerakan Puteri di bahagiannya sendiri di musim pemilihan jawatan di dalam UMNO pada tahun ini.

Ismalina dikatakan sedang merentasi cabaran untuk melonjakkan dirinya bertanding merebut jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia yang bakal dikosongkan oleh Datuk Noraini Ahmad yang tidak lagi mempertahankan jawatannya di musim ini. Jika dilihat gerak kerja yang sedang dijalankan oleh Ismalina, jelas memperlihatkan iltizam dirinya untuk pergi lebih jauh ke hadapan di dalam lanskap politik Puteri UMNO.

Walaupun Ismalina menyedari betapa dirinya tidak mendapat sokongan yang padu daripada ahli-ahli jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju, namun kekentalan semangatnya untuk bertapak di peringkat nasional begitu kuat mempengaruhi dirinya, kerana Ismalina juga dikatakan 'optimistik' untuk menggayakan dirinya sebagai calon Ketua Puteri UMNO Malaysia.

Sementara itu di peringkat Bahagian Wangsa Maju, Pergerakan Puterinya dilihat sedang bergejolak untuk mencari pengganti Ismalina. Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian ini, Puteri Indah Mohd. Idrus, 31 dikatakan sedang mendahului dari segi pencalonan untuk jawatan Ketua Puteri Bahagian. Namun begitu, Puteri Indah yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian sedang diburu oleh seorang lagi calon Puteri, Datin Jamiza Zainul, 33 daripada Puteri Cawangan Sg. Mulia yang kini dikatakan mendapat 4 pencalonan.

Agak memeranjatkan kerana tampil seorang lagi calon yang akan dilagakan untuk beraksi di dalam litar pertandingan Ketua Puteri Bahagian Wangsa Maju ini sehingga terjadi persaingan tiga penjuru. Rafeah Haji Omar, 34 dari Puteri Cawangan Taman Setapak Indah Fasa Satu yang selama ini dilihat bergandingan dengan Puteri Indah kini merelakan dirinya terperangkap untuk memangsakan rakan karibnya sendiri. Rafeah begitu teruja dengan 3 pencalonan yang diterimanya tanpa memikirkan bahawa dirinya telah berjaya diumpan untuk membolosi gawang sendiri.

Jika inilah yang berlaku, tentunya yang dikejar tak dapat, yang dikendung pula berciciran. Apalah ertinya dengan strategi yang dirancang selama ini, akhirnya punah di tengah jalan semata-mata terpesona dengan alunan gurindam 'tukang karut'.

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju kini mempunyai 24 cawangan, satu daripadanya dikatakan tidak layak mengadakan persidangannya pada tahun ini. Daripada jumlah itu, terdapat sembilan cawangan yang masih belum mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Ketiga-tiga calon Ketua Puteri ini dikatakan sedang memperhebatkan gerakan untuk mempengaruhi cawangan-cawangan yang belum mengadakan persidangan.

Ismalina dilihat merestui Jamiza untuk menggantikan dirinya, untuk memudahkan Ismalina mendapat pencalonan Ketua Puteri UMNO Malaysia daripada bahagiannya sendiri. Namun begitu, Puteri Indah dan Rafeah pula dikatakan tidak berminat untuk mencalonkan Ismalina sebagai Ketua Puteri UMNO Malaaysia. Jika Puteri Indah ataupun Rafeah yang mendominasi kepimpinan Puteri Bahagian ini nanti, tentunya akan mencacatkan peluang Ismalina untuk bertanding merebut jawatan nombor satu Puteri UMNO Malaysia.

Sementara itu, di peringkat UMNO Bahagian, Puteri Indah dikatakan begitu kuat memberikan sokongan kepada Dato' Mohd. Shafie Abdullah untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian musim ini. Begitu juga dengan Rafeah, walaupun beliau daripada Cawangan Taman Setapak Indah Fasa Satu, tetapi Pergerakan Puteri yang dipimpinnya di peringkat cawangan ini dikatakan 'berlaga angin' dengan Dato' Zainal Nazeri Zainuddin. Semasa Puteri cawangan ini dipimpin oleh Nor Haiza lagi, memperlihatkan Pergerakan Puteri ini lebih mirip menyokong Dato' Shafie Abdullah.

Tinjauan rambang yang dibuat memperlihatkan sokongan kepada Puteri Indah untuk mengetuai Pergerakan Puteri UMNO Bahagian ini akan memihak kepadanya. Sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian selama ini, beliau begitu disenangi bukan sahaja oleh Dato' Shafie, bahkan Dato' Zainal Nazeri juga telah memberikan peluang kepada dirinya untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa bahagian.

Salah seorang Ketua Puteri Cawangan yang ditemui juga merasakan Puteri Indah lebih mempunyai peluang untuk memenangi jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian, kerana Puteri Indah dikatakan mampu untuk selenggang sehayun bersama-sama dengan kepimpinan UMNO Bahagian yang bakal dinobatkan nanti. Puteri Indah yang menjadi ahli UMNO Cawangan Pinggiran Wardieburn sejak tahun 2002 lagi, dikatakan juga mempunyai misi dan visi untuk menjadikan Pergerakan Puteri sebagai sayap penting dalam agenda memperkukuhkan parti.

Sunday, August 3, 2008

Ahmad Yahya Yaakob tanding jawatan Pengerusi Tetap Bahagian

Ahmad Yahya Yaakob (Gambar sebelah) , mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa tiba-tiba telah dicalonkan sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian oleh UMNO Cawangan Pasar Air Panas yang bersidang pada malam kelmarin (2 Ogos 2008). Locengwangsa difahamkan bahawa pencalonan sulongnya ini akan disusuli dengan pencalonan sokongan daripada beberapa cawangan yang akan bersidang selepas ini.

Jawatan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Setiawangsa kini disandang oleh Haji Abdullah Abdul Rahman, Ketua UMNO Cawangan Pangsapuri Setapak Jaya 1B. Sementara itu ketika tinjauan rambang dibuat mengenai kehadiran Ahmad Yahya untuk merampas jawatan Pengerusi Tetap ini, rata-rata merasakan Haji Abdullah Abdul Rahman bakal ditewaskan, kerana selama ini Haji Abdullah dilihat begitu angkuh dengan kekebalan dirinya yang dikatakan berselindung di sebalik pengaruh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Ahmad Yahya Yaakob yang juga Ketua UMNO Cawangan Rampai Town merupakan tokoh yang disegani oleh penggiat politik di bahagian ini, kerana beliau juga dikatakan telah memberi laluan kepada Shuib Ibrahim untuk berhadapan dengan Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian musim ini.

Ahmad Yahya pada mulanya dijangka akan mengulangi persaingan merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian menentang Dato' Halim Samad, tetapi beliau lebih bersedia untuk mengambil alih kerusi Pengerusi Tetap pada kali ini. Difahamkan penyokong-penyokongnya yang masih belum bersidang akan meneruskan misi pencalonan bagi jawatan ini sebagai satu pertunjuk bahawa jawatan Pengerusi Tetap bahagian ini bukan lagi jawatan dominasi milik Haji Abdullah Abdul Rahman.
Sementara itu, jawatan Timbalan Pengerusi Tetap juga bakal menyaksikan saingannya, dimana Khir Johari Parlan (gambar kiri) daripada UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju dikatakan bakal menambahkan jumlah pencalonannya untuk jawatan ini. Persidangan UMNO Cawangan Taman Seri Rampai dan UMNO Cawangan Pasar Air Panas yang diadakan baru-baru ini telah melonjakkan namanya sekaligus telah melayakkan dirinya untuk menyertai pertandingan merebut jawatan Timbalan Pengerusi Tetap musim ini.

Di dalam persidangan UMNO Cawangan Pasar Air Panas yang diketuai Wan Zainal Abidin Wan Chee juga menyaksikan suatu kejutan dimana cawangan ini telah mencalonkan Shuib Ibrahim dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari sebagai Timbalan Ketua dan Naib Ketua Bahagian. Dato' Izudin yang baru sahaja memperolehi satu pencalonan jawatan Timbalan Ketua Bahagian daripada UMNO Cawangan Balai Bomba Setapak juga diramalkan akan mendapat pencalonan jawatan ini di cawangan Pasar Air Panas, tetapi pengaruh Shuib Ibrahim telah membenamkan ramalan tersebut.

Dato' Halim Samad hanya dapat menambahkan satu lagi pencalonan untuk dirinya di Cawangan Taman Seri Rampai yang bersidang pagi sabtu lalu (2 Ogos). Sementara itu persidangan UMNO Cawangan Semarak Utara yang bakal diadakan hari ini, Ahad (3 Ogos) juga dilihat akan mengenepikan pencalonan Dato' Halim Samad, sebaliknya cawangan ini dikatakan begitu cenderung untuk mencalonkan Shuib Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Bahagian. Difahamkan, keadaan yang sama juga bakal berlaku di cawangan Pekan Setapak yang turut bersidang pada petang ahad ini.
BERITA TERKINI !

SHUIB IBRAHIM MELEPASI KELAYAKAN
TANDING TIMBALAN KETUA BAHAGIAN SETIAWANGSA
Shuib Ibrahim telah melayakkann diri untuk mempertaruhkan dirinya bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian Setiawangsa setelah mendapat pencalonan keenam dan ketujuh daripada UMNO Cawangan Semarak Utara dan UMNO Cawangan Pekan Setapak yang telah bersidang pada Ahad, 3 Ogos lalu.
Sementara itu bagi jawatan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Setiawangsa, Ahmad Yahya Yaakob telah menambahkan lagi pencalonannya setelah UMNO Cawangan Semarak Utara dan Cawangan Pekan Setapak mencalonkan beliau bagi jawatan tersebut. Begitu juga Khir Johari Parlan turut dicalonkan oleh kedua-dua cawangan yang bersidang itu bagi jawatan Timbalan Pengerusi tetap.

Friday, August 1, 2008

UMNO Bahagian Setiawangsa - Dato' Izudin Ishak tanding Timbalan atau Naib?


Dato' Izudin dan Rafli Jusoh

akan beraksi jawatan Timbalan & Naib Ketua Bahagian

Kini menjadi teka-teki samada Dato' Izudin Ishak mahu beraksi jawatan Timbalan Ketua ataupun Naib Ketua di Bahagian Setiawangsa? Senario terkini di Bahagian Setiawangsa menjadi lebih menarik kerana jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang oleh Dato' Halim Samad kini bakal menjadi rebutan, dan menurut maklumat terkini yang dihidu menunjukkan Datuk Izudin Ishak, Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang akan meninggalkan gelanggang pemudanya musim ini akan mencuba nasibnya untuk menentang Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Beliau dikatakan sedang berusaha mempengaruhi beberapa ketua cawangan yang masih belum bersidang untuk mendapatkan pencalonan bagi jawatan nombor dua UMNO Bahagian itu. Sejak dimulakan persidangan tahunan cawangan pada 15 Julai lalu, nama Izudin tidak terbit untuk menyertai pertandingan jawatan Timbalan Ketua, sebaliknya beliau dikatakan lebih cenderung untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Namun, beliau dikatakan tidak sanggup untuk berhadapan dengan penyandang jawatan ini iaitu Kapten (B) Rafli Jusoh yang juga Ketua UMNO Cawangannya yang dilihat tidak mahu berundur dari jawatan Naib Ketua Bahagian.

Jika mengambil kira faktor sedemikian, Izudin dilihat tidak mempunyai pilihan lain kecuali berlumba sahaja di litar 'Timbalan Ketua' bersama-sama dengan seorang lagi calon yang telah bersedia lebih awal iaitu Shuib Ibrahim. Jika inilah yang terjadi, maka jawatan Timbalan Ketua akan menyaksikan Dato' Halim Samad bakal menerima tentangan daripada dua calon yang sedang memburu pencalonan bagi jawatan tersebut. Dua calon yang berkenaan ialah Shuib Ibrahim dan juga Izudin sendiri.

Sehingga kini, Shuib telah memperolehi empat pencalonan daripada Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju, Cawangan Menara Seri Jati, Cawangan Taman Setapak Permai dan juga dari Cawangan Kg. Baru Air Panas. Manakala Dato' Izudin Ishak masih belum mendapat pencalonan bagi membolehkannya layak menyertai maraton Timbalan Ketua Bahagian ini.


Gambar Atas:
Haji Radzi Harun (Ketua Cawangan Taman Setapak Permai,
dan Haji Yusof Ishak (Ketua Cawangan Kg. Baru Air Panas)
.
Manakala gambar di bawah kelihatan Rosli Mohammad (kiri)
bersama Shuib Ibrahim (Kanan)

Dato' Izudin dikatakan sedang mengatur langkah untuk meminang ketua-ketua cawangan yang masih belum bersidang supaya mencalonkan dirinya. Walaupun beliau kecewa kerana dua orang harapannya Ahmad Laili dan Zainal Masri tidak berjaya membolosi pencalonan untuk dirinya, namun beliau tidak putus harapan, dan sedang menyusun langkah untuk meyakinkan ketua-ketua cawangan yang dilihatnya 50-50 terhadap Dato' Halim Samad. Agak sukar bagi dirinya untuk mempengaruhi ketua-ketua cawangan yang dikatakan begitu cenderung bersama Shuib Ibrahim, seperti Rosli Mohammad (Kelumpuk Bunga Raya), Othman Baba (Semarak Utara), Ramli Jaafar (Setapak Jaya 1A), begitu juga dengan Ahmad Yahya Yaakob (Rampai Town) dan beberapa cawangan lain di Zon Air Panas/Titiwangsa.

Namun begitu, Dato' Izudin dijangkakan akan mendapat pencalonan jawatan Timbalan Ketua Bahagian daripada cawangannya sendiri (Seksyen 5 Wangsa Maju) dan beberapa cawangan lain yang mahukan supaya perebutan jawatan ini menjadi 'lebih meriah' dengan kehadiran Shuib dan juga Izudin. Persoalannya ialah mampukah Izudin melepasi kuota 7 pencalonan sebagaimana yang disyaratkan untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian ini? Sama-samalah kita melihat siapakah gerangan yang akan dicaturkan, siapakah pula yang bakal dimangsakan, dan siapakah pula yang berani mencukupkan pencalonan Izudin?

Dato' Izudin juga dilihat akan 'terhantuk' dengan Kapten (B) Rafli Jusoh bagi jawatan Naib Ketua Bahagian sekiranya pencalonan untuk jawatan Timbalan Ketua tidak mencukupi. Setakat ini Dato' Izudin lebih cenderung dan berkeupayaan untuk meraih sokongan bagi jawatan Naib Ketua Bahagian untuk berhadapan dengan calon-calon pujaan yang lainnya seperti Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahmad Yamin dan juga Zainal Tan Sri Mahmud.

Jika ini terjadi, peluang untuk Dato' Ahmad Fauzi Zahari semakin beronak dan laluannya akan penuh berduri untuk menghambat jawatan Naib Ketua Bahagian. Penyokong-penyokong Dato' Halim Samad dikatakan dalam dilema samada memberikan sokongan kepada Dato' Fauzi atau Dato' Izudin. Kesungguhan Zainal Tan Sri Mahmud menyertai pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Bahagian kali ini juga dilihat bakal mencerahkan peluangnya untuk merentasi kuota kelayakan yang diperlukan untuk memberi cabaran kepada Dato' Ahmad Fauzi Zahari dan Dato' Izudin Ishak.


EMPAT CAWANGAN LAGI BERSIDANG
SABTU DAN AHAD INI
( 2 & 3 OGOS 2008)



UMNO Cawangan Taman Seri Rampai, yang diketuai oleh Cikgu Badarudin Ahmad akan mengadakan persidangannya pada pagi Sabtu ini, 2 Ogos 2008. Cawangan ini dijangka akan mengekalkan Cikgu Badarudin sebagai Ketua UMNO Cawangan yang telah disandangnya sejak 20 tahun lalu. Cikgu Badarudin yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa merupakan 'orang lama' yang masih aktif hingga ke hari ini.

Saya sendiri (Abdul Rahman Hashim) mengenali dirinya sejak saya bergiat aktif dengan UMNO Bahagian Batu pada tahun 1988, dimana ketika itu saya merupakan Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju. Kami sama-sama berjuang seiring sejalan sewaktu UMNO Bahagian Batu dipimpin oleh Azman Atar lagi, dan turut bersama-sama dengan UMNO Bahagian Wangsa yang dipimpin oleh Tan Sri Dr. Kamal Salih hingga bertukar tangan kepada Datuk Astaman Abd. Aziz, seterusya di Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Saya sendiri telah bertukar cawangan untuk memimpin UMNO Cawangan Bukit Wangsa pada tahun 1995, tetapi Cikgu Badarudin masih bertahan di cawangan Taman Seri Rampai hingga ke hari ini, dan masih mampu mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian sejak dari Bahagian Batu lagi hingga ke hari ini di Bahagian Setiawangsa. Syabas kepada beliau....

Selain daripada cawangan Taman Seri Rampai, turut bersidang pada hari sabtu ini (2 Ogos 2008) ialah UMNO Cawangan Pasar Air Panas yang akan berlangsung pada 8.30 malam, di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa. Cawangan ini diketuai oleh Wan Zainal Abidin Wan Chee yang telah mewarisi kepimpinan sebelum ini yang diketuai Azmir Haji Nawawi.

Begitu juga, UMNO Cawangan Semarak Utara yang diketuai oleh Othman Baba (seperti di gambar kiri) akan mengadakan persidangannya pada petang Ahad ini (3 Ogos 2008). Beliau yang juga merupakan Pengerusi TEKUN Parlimen Setiawangsa dijangka akan mengekalkan kedudukan sebagai Ketua UMNO Cawangan ini yang pernah disandang oleh Zulkapli Husin, JP ketika berada di dalam Bahagian Wangsa Maju. Zulkapli Husin kini berpindah ke cawangan Taman P. Ramlee di dalam Bahagian Wangsa Maju, kerana beliau diperlukan untuk menjadi Setiausaha Bahagian berkenaan ketika berlakunya persempadan semula kawasan parlimen pada tahun 2004 lalu.

Pada ahad ini juga (3 Ogos 2008), turut mengadakan persidangannya ialah UMNO Cawangan Pekan Setapak yang kini jawatan ketua cawangannya dipangku oleh Haji Satar. Cawangan ini akan bersidang di perkarangan Kedai Nasi Lemak Lentok, di AU5D Lembah Keramat.

Suatu perkara menarik yang sedang difokuskan ialah siapakah tokoh-tokoh yang bakal dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan juga ahli jawatankuasa Bahagian? Tentunya calon-calon yang berkenaan sudah dapat meramalkan samada diri mereka akan dicalonkan atau sebaliknya.

Wednesday, July 30, 2008

UMNO Bahagian Batu turut berentap

Datuk Yusof Hamid
Ketua UMNO Bahagian Batu


Rahim Suboh
Calon Naib Ketua Bahagian Batu


UMNO Bahagian Batu tidak terkecuali daripada aksi perebutan jawatan yang bakal menyaksikan pertembungan diantara Datuk Yusof Hamid yang akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian, dan beliau dijangka akan menerima tentangan sengit daripada Yahya @ Abas Mat Ghani. Sehingga berita ini ditulis, Datuk Yusof Hamid telah memperolehi 12 pencalonan, manakala Yahya @ Abas Mat Ghani hanya mendapat 4 pencalonan.

Turut beraksi memeriahkan lagi proses demokrasi memilih jawatan di dalam UMNO Bahagian ini ialah bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, dimana Johari Md. Isa penyandang bagi jawatan ini yang menerima 12 pencalonan akan menghadapi saingan hebat daripada Ramlan Saleh yang baru saja menerima 4 pencalonan.

Begitu juga bagi jawatan Naib Ketua Bahagian, akan menyaksikan pertembungan dua tokoh yang akan berentap secara satu lawan satu diantara Rahim Suboh dengan Hassan Jamaludin, Ketua UMNO Cawangan Taman Dato' Senu. Rahim Suboh, 49 yang juga Ketua UMNO Cawangan Pangsapuri Fasa 3B, Bandar Baru Sentul ini telah mendapat 12 pencalonan, dan beliau dikatakan telah menerima tawaran bertanding merebut jawatan Naib Ketua Bahagian musim ini secara bergandingan dan selenggang sehayun bersama-sama dengan Datuk Yusof Hamid bagi jawatan Ketua Bahagian dan Johari Md. Isa bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Gandingan mantap tiga serangkai diantara Datuk Yusof Hamid, Johari dan Rahim Suboh dikatakan begitu sinonim dan serasi sebagai langkah untuk memperkasakan imej UMNO di Bahagian Batu dalam menghadapi cabaran politik di masa hadapan. Persamaan dari segi jumlah pencalonan yang diterima oleh mereka setakat ini juga memperlihatkan hasrat ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi supaya kepimpinan UMNO Bahagian ini dapat digerakkan secara bersepadu, sepasukan dan seiring sejalan.

Kehadiran Rahim Suboh bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Bahagian yang bakal ditinggalkan oleh Ramlan Saleh yang bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada musim ini dikatakan mendapat sokongan menyeluruh bukan sahaja direstui oleh Ketua Bahagiannya, malah beliau tidak menghadapi masalah untuk diterima oleh sebilangan besar daripada 42 ketua-ketua cawangan di Bahagian ini. Kemunculan Rahim Suboh seorang ahli perniagaan yang bersedia bertanding bagi jawatan nombor tiga ini juga begitu disenangi oleh Wanita, Pemuda dan juga Puteri.

Dalam artikata yang lain, Johari dan Rahim dilihat menjadi pelengkap untuk mewarnai keceriaan dan kekuatan pimpinan yang diterajui oleh Dato' Yusof Hamid di Bahagian ini. Apa pun, tidak wajarlah jua untuk diperlekehkan kehadiran calon-calon lain yang turut menawarkan diri seperti Yahya Mat Ghani, Ramlan dan juga Hasan Jamaludin. Sudah tentu masing-masing mempunyai penyokong tersendiri yang berhak untuk menentukan kejayaan calon-calon pujaan mereka.

Diharapkan UMNO Bahagian Batu akan terus diperkukuhkan untuk menentukan Barisan Nasional kembali di hati rakyat.

Locengwangsa dalam mengupas tentang UMNO Bahagian Batu ini, terkenang juga nostalgia bersama-sama dengan Datuk Dr. Azman Atar Othman, Datuk Azrat Gull, Dr. Noridah, Mohamad Mat Jid, Zakaria Md. Dewa, Rohim Jusoh, Maimun Alwi, Radhiah Wahi dan ramai lagi sahabat-sahabat seperjuangan termasuk dengan semua calon-calon Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian yang akan bertanding di musim ini. Ketua Panitia Locengwangsa (Abdul Rahman Hashim) merasakan terhutang budi juga kepada UMNO Bahagian Batu, kerana bukannya sedikit pengalaman yang telah ditimba menerusi persahabatan dengan tokoh-tokoh pejuang UMNO
Bahagian Batu ini.



Datuk Azrat Gull Sokong
Yusof Hamid

Datuk Azrat Gull


Mantan Ketua UMNO Bahagian Batu Datuk Azrat Gull Amirzat Gull dikatakan memberi sokongan penuh kepada Datuk Yusof Hamid yang akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Batu musim ini. Walaupun beliau kini tidak lagi memegang apa-apa jawatan di dalam UMNO, namun pengaruhnya masih menyengat, dan beliau juga dilihat sebagai pemimpin UMNO Bahagian Batu yang banyak menaburkan bakti bukan sahaja kepada komuniti UMNO malah masyarakat di kawasan ini, khususnya penduduk setinggan amat terhutang budi kepada beliau yang bertanggungjawab merancakkan pembinaan rumah kos rendah PPRT untuk mereka.

Semasa beliau memimpin UMNO Bahagian Batu, beliau berjaya dengan projek raksasa rakyat dengan membangunkan projek perumahan kos rendah PPRT yang terletak di Pekan Batu dan juga di Batu Muda. Projek yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Datuk Azrat Gull begitu yakin walaupun beliau tidak lagi berada di puncak kuasa di dalam UMNO Bahagian Batu, namun kesinambungan perjuangan membela rakyat di kawasan ini akan dapat diteruskan oleh Yusof Hamid yang menjadi Ketua UMNO Bahagian Batu sekarang. Datuk Yusof Hamid menerima tentangan daripada Yahya Mat Ghani yang sedang rancak memburu pencalonan untuk melayakkan dirinya dalam litar pertandingan merebut jawatan nombor satu UMNO Bahagian ini.

Datuk Azrat Gull meletakkan harapan tinggi supaya Datuk Yusof Hamid dapat dipilih semula menerajui UMNO Bahagian Batu secara bergandingan dengan calon Timbalannya Johari Md. Isa dan calon Naibnya Rahim Suboh. Sebagai tokoh veteran Datuk Azrat Gull melihat kepimpinan Datuk Yusof Hamid akan dapat diperkasakan lagi dengan wujudnya gandingan mantap mereka bertiga di samping kombinasi ahli jawatankuasa Bahagian yang selenggang sehayun dengan kepimpinannya.

Tanpa memperkecilkan Yahya Mat Ghani, Datuk Azrat Gull merasakan Datuk Yusof Hamid mempunyai kelebihan untuk memenangi jawatan Ketua Bahagian yang telah disandangnya sejak beberapa tahun yang lalu, kerana Yusof dilihat sebagai tokoh yang telah merentasi banyak pengalaman pahit maung dan sepak terajang dalam politik. Yusof Hamid pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu semasa Bahagian ini diterajui oleh Azman Atar Othman.

Azman Atar begitu menyenangi kesetiaan Yusof Hamid yang pernah dilantik menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Batu sehinggalah beliau dapat bergandingan pula dengan Datuk Azrat Gull sebagai Timbalan Ketua Bahagian. Bintangnya semakin menyinar setelah beliau secara automatik dilantik sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Batu menggantikan Datuk Azrat Gull yang menghadapi masalah muflisnya.

Datuk Azrat Gull tidak berkecil hati untuk melepaskan kedudukannya kepada Datuk Yusof Hamid, kerana beliau akur dengan kehendak perlembagaan parti yang memaksanya berbuat demikian. Padanya perjuangan dan kesetiaan terhadap UMNO tetap menjadi darah daging walaupun terhalang dengan masalah yang dihadapinya. Lagi pun beliau menganggapkan ini sudah menjadi suratan takdir yang memungkinkan suatu 'hikmah' tersirat di sebaliknya. Apa saja budi dan bakti yang tercurah selama ini dianggapkannya sebagai 'jariah' untuk membantu golongan yang memerlukannya.

Menyorot kembali sirah pembabitan beliau di dalam UMNO, Datuk Azrat Gull yang menjadi ahli UMNO sejak tahun 1967 telah terlibat secara aktif menjadi Ketua UMNO Cawangan Kg. Batu apabila beliau berjaya menewaskan Senator Dato' Ibrahim Yaakob bagi jawatan ini pada tahun 1974. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu semasa Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Sekitar tahun 1982 - 1987).

Manakala pada tahun 1990 beliau telah melonjakkan pendakian politiknya apabila berjaya merebut jawatan Naib Ketua Bahagian Batu menewaskan calon yang direstui oleh Datuk Azman Atar pada masa itu, iaitu Zakaria Md. Dewa. Sebelum dipilih mengetuai UMNO Bahagian Batu, beliau juga pernah berentap dengan Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan memenanginya.

Pembabitannya dalam dunia perniagaan telah memperlihatkan kejayaan Datuk Azrat Gull dalam merentasi cabaran hidup, kerana sebelumnya beliau hanyalah seorang 'Pengembala Lembu' di Tangga China (Kini, Tangga China bertukar kepada Datuk Keramat). Seingat saya, di Tangga China inilah terletaknya 'Malayan Command' yang hari ini lebih dikenali sebagai 'Mindef' di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Di tapak Mindef inilah Azrat Gull dikatakan hari-hari memerah susu lembu untuk dijual bagi menyara kehidupan keluarganya. Azrat Gull yang lahir pada tahun 1947 di Jalan Raja Muda, Kg. Bahru, Kuala Lumpur kini mencecah usia 62 tahun, dan kelihatan dirinya masih sihat dan bertenaga.

Kini beliau masih menumpukan perhatian kepada dunia perniagaan yang diceburinya sejak dahulu iaitu sebagai Pemaju Perumahan dan hari ini beliau telah melebarkan lagi empayar perniagaannya dengan membangunkan sebuah 'Pelabuhan' yang terletak di Bagan Datoh, Perak. Pelabuhan seluas 2 ribu ekar yang dibangunkannya kini dijadikan pusat pertukaran barang dagangan diantara tiga negeri, iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Thailand (IMPGT)
.



Sunday, July 27, 2008

Ghazali JP Setiausaha Bahagian Wangsa Maju rebah di cawangan sendiri

Tuan Haji Ghazali Shamsudin, JP, Setiausaha UMNO Bahagian Wangsa Maju telah rebah di cawangannya sendiri di Cawangan Taman Ibu Kota apabila beliau ditewaskan oleh pencabarnya Muzamir sebagai Ketua UMNO Cawangan berkenaan. Kekalahan beliau merupakan satu kejutan kepada UMNO Bahagian ini, terutamanya kepada Dato' Zainal Nazeri Zainuddin yang begitu mengharapkan cawangan ini dapat menambahkan pencalonan terhadap dirinya sebagai Ketua UMNO Bahagian.

Justeru, UMNO Cawangan Taman Ibu Kota yang bersidang pada pagi ini (Ahad, 27 Julai) telah menyaksikan nama Dato' Mohd. Shafie Abdullah dicalonkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju. Sehingga malam tadi, Dato' Mohd. Shafie Abdullah telah memperolehi 20 pencalonan, dan menjangkakan hari ini saja beliau akan memperolehi 4 lagi pencalonan menjadikan jumlah kesemuanya 24 pencalonan untuk dirinya sebagai Ketua Bahagian. Manakala Dato' Zainal Nazeri dijangka akan mendapat satu lagi pencalonan untuk dirinya di cawangannya sendiri, itu pun jika persidangan cawangannya tidak menghadapi masalah korum seperti yang berlaku sebelumnya.

Manakala bagi cawangan Taman P. Ramlee yang juga bersidang pada hari ini,walaupun timbul sedikit masalah, namun akhirnya persidangan tersebut telah memilih semula Abdul Rashid Abd. Hamid mengetuai cawangan tersebut. Cawangan ini telah mencalonkan Dato' Mohd. Shafie Abdullah sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju.

Berita Terkini (Sehingga 29 Julai) - Dato' Zainal Nazeri Zainuddin telah menambahkan satu lagi pencalonan untuk dirinya sebagai Ketua Bahagian Wangsa Maju. Pencalonan kelima untuk dirinya ini telah diperolehi daripada UMNO Cawangan Jalan Genting Klang yang bersidang pada Selasa, 29 Julai 2008, yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian, di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Sebelum ini Cawangan Taman Setapak Indah Fasa Satu yang bersidang pada 27 Julai lalu telah menambahkan jumlah pencalonan Dato' Zainal Nazeri menjadi empat pencalonan.

Sementara itu Cawangan Jalan Genting Klang juga telah mencalonkan Datuk Astaman Abd. Aziz sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian, manakala Ketua Cawangan ini sendiri, Haji Zainuddin Othman telah dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian.


PEMUDA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU:
TAUFIK, WAN SHAHRUL, KHAIRUDIN DAN SYED YAZID BEREBUT
JAWATAN KETUA PEMUDA BAHAGIAN.


Mohd Taufik Haji Husin

Jika di Setiawangsa lima orang tokoh pemuda sedang bersaing untuk mempertaruhkan jawatan Ketua Pemuda Bahagian, maka di Wangsa Maju pula turut merasakan bahang kehangatannya kerana sehingga kini terdapat empat calon yang akan berentap untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian.

Mohd. Taufik Haji Hussin, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Bunga Raya dikatakan sedang memburu pencalonan yang mencukupi bagi membolehkan dirinya beradu nasib di dalam pertandingan merebut jawatan nombor satu Pemuda UMNO Bahagian musim ini.

Setakat ini, Taufik telah mendapat pencalonan daripada 8 buah cawangan untuk jawatan tersebut, manakala Wan Shahrul Nizam, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kg. Pasir Wardieburn dikatakan telah mendepani dari segi jumlah pencalonan untuk dirinya bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Bahagian ini. Sementara itu, Wan Shahrul yang juga ahli jawatankuasa Pemuda Bahagian yang baru saja dilantik oleh Dato' Mohd. Norza Zakaria kini telah menerima 18 pencalonan yang dilihat berpeluang besar untuk memenangi jawatan ini di dalam Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

Turut dilihat berghairah besar untuk bersaing bagi merebut jawatan ini ialah Khairudin Mohd. Zain, mantan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian yang telah dilucutkan jawatannya oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Dato' Mohd. Norza Zakaria. Khairudin yang baru saja mendapat dua pencalonan, satu daripadanya pencalonan yang diperolehi daripada Pemuda UMNO Cawangan Taman Setapak Indah Fasa Satu, iaitu Cawangan Pemangku Ketua Bahagian, Dato' Zainal Nazeri, telah menerima tamparan hebat daripada Cawangannya sendiri, kerana Pemuda UMNO Cawangan Seksyen 1 CD di dalam persidangannya baru-baru ini telah menolak beliau daripada memimpin pergerakan tersebut.

Khairudin yang pernah terlibat berkomplot bersama-sama dengan Naib Ketua Pemuda Bahagian, Shahabudin Husin telah memalukan Ketuanya sendiri, setelah mereka berdua menandatangani memorandum menolak kepimpinan Dato' Norza Zakaria yang turut ditandatangani oleh 12 orang ahli pemuda yang lainnya. Akhirnya Khairudin sendiri menerima hukuman daripada ahli-ahli pemuda cawangannya, dan tindakan cawangannya mencalonkan Wan Shahrul Nizam, sekaligus telah memercikkan air ludahnya di muka sendiri.

Walaupun Khairudin masih memburu pencalonan untuk melayakkan dirinya bertanding, namun permainan politiknya selama ini dilihat akan menjunamkan dirinya sendiri. Khairudin bakal 'belayar malam' bersama-sama idolanya Dato' Zainal Nazeri yang juga bakal kecundang di tengah jalan tidak berkesampaian untuk menjadi Ketua Bahagian yang sedang dipangkunya kini.

Kepada Wan Shahrul Nizam sayungia diingatkan bahawa langit tidak selalu cerah. Jumlah pencalonan yang diterima bukanlah bermakna anda tidak berkemungkinan untuk dikalahkan. Mana tau, Syed Yazid walaupun kini hanya mendapat satu pencalonan dia juga mampu membuat kejutan untuk menerima jumlah undi yang besar, walaupun terlalu sukar untuk menang.

Walau apa pun Taufik dijangka akan memberikan saingan yang sengit untuk berdepan dengan Wan Shahrul Nizam, kerana pergerakan senyapnya itu bakal menggigit Wan Shahrul yang sedang bersukaria dengan sokongan yang sedia ada.

Berita terbaru (Sehingga 29 Julai) - Mohd. Taufik telah menambahkan satu lagi pencalonan untuk dirinya menerusi keputusan persidangan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Genting Klang yang diadakan pada 29 Julai 2008, di Pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju. Cawangan ini telah mencalonkan Taufik sebagai Ketua Pemuda Bahagian, sekaligus mengenepikan Khairudin Mohd. Zain yang yang menjangkakan dirinya akan dicalonkan oleh Pemuda Cawangan tersebut.

Pencalonan yang dibuat ini juga agak memeranjatkan kerana Ketua Pemuda Cawangan Jalan Genting Klang, Shahabudin Husin yang juga Naib Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju telah bersekongkol dengan Khairudin mengaibkan Ketua Pemuda Bahagian tersebut, dalam misi menolak kepimpinan Dato' Norza Zakaria, tetapi nama Khairudin telah diketepikan di saat-saat akhir, kerana Shahabudin merasakan Khairudin hanya layak menjadi Naib Ketua Pemuda Bahagian sahaja. Kegagalan Khairudin menjadi Ketua Pemuda di cawangannya sendiri dikatakan menjadi faktor kepada percaturan sedemikian.

Sementara itu, locengwangsa difahamkan bahawa Dato' Norza Zakaria tidak merestui Taufik bergandingan dengan Khairudin, kerana beliau dikatakan tidak mahu Taufik bertindak seperti melepaskan anjing tersepit.


Samad Saim muncul semula Ketua Cawangan Persiaran Setiawangsa

Samad Saim yang pernah tertewas di dalam pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO Cawangan Persiaran Setiawangsa pada musim lalu, kini muncul dengan penuh bergaya memenanginya semula setelah beliau berjaya mengenepikan Zaharuddin Hashim dengan kelebihan 11 undi. Samad yang memperolehi 66 undi telah menewaskan Ketua Cawangan itu yang hanya mendapat 55 undi. Pengundian telah dijalankan secara 'undi sulit'.

Locengwangsa mengucapkan setinggi tahniah kepada Sdra Samad Saim di atas kemunculannya semula di persada politik, khususnya untuk kembali memimpin UMNO Cawangan Persiaran Setiawangsa yang telah beliau ketuai sejak ia ditubuhkan pada tahun 1995. Sejak beliau ditewaskan oleh Zaharuddin pada tahun 2004 lalu, Samad dikatakan telah berehat panjang selama 4 tahun, dan mesyuarat agung cawangan yang diadakan kelmarin (26 Julai) telah menghambat dirinya supaya tidak berterusan memencilkan diri.

Sementara itu, kegagalan Zaharuddin bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 4 tahun yang lalu bukan sahaja mengecewakan dirinya, malah penyokong-penyokong setianya juga dilihat seakan-akan tidak mahu mempercayainya. Zaharuddin juga dikatakan telah menghidu lebih awal bahawa dirinya akan ditentang oleh Samad Saim, dan beliau juga terpaksa menerima hakikat bahawa gelombang ini adalah kehendak ahli-ahli UMNO di cawangannya sendiri. Proses hukum demokrasi akan menyaksikan jatuh bangun seseorang pemimpin itu sebagai suatu kebiasaan yang harus diterima oleh semua pihak.

Samad Saim diharap dapat meneruskan kesinambungan perjuangan ini dengan memberikan tumpuan kepada permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat yang bakal berpindah ke 'Pangsapuri Andika' sebagai satu penempatan baru kepada penduduk-penduduk rumah panjang di Setiawangsa ini. Difahamkan penduduk-penduduk rumah panjang ini akan menerima kunci rumah baru mereka bermula 5 Ogos ini. Projek perumahan kos rendah ini dibangunkan oleh I&P dengan kos RM42,000 seunit.

Di dalam mesyuarat agung UMNO Cawangan Persiaran Setiawangsa yang diadakan itu juga telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua UMNO Bahagian, Dato' Halim Samad sebagai Timbalan Ketua dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari sebagai Naib Ketua Bahagian.

Samad Saim telah menghubungi saya menyatakan kesyukurannya memenangi semula jawatan ini, dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penyokongnya di atas mandat yang diberikan ini. Beliau seterusnya mahukan semua ahli UMNO di cawangan ini dapat bersatu hati menguatkan lagi UMNO demi masa depan kita semua.