assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, October 6, 2013

ZULHASNAN DAN HALIM SAMAD DITENTANG DUA PENJURU DI SETIAWANGSA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Datuk Seri Abdul Halim Samad
Kenapa mereka tidak sehaluan lagi?
Dato' Ahmad Fauzi Zahari, MP Setiawangsa
telah menang Naib Ketua UMNO Bahagian
Di dalam kerancakan menghadapi musim pemilihan jawatan di dalam UMNO menjelang 19 Oktober ini, UMNO Bahagian Setiawangsa tidak terkecuali daripada menghadapi pertembungan bagi merebut jawatan-jawatan penting terutamanya jawatan Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan juga Naib Ketua Bahagian.
Yahaya Yaakob dan Sakandar Khan Sumandar Khan telah mengesahkan penyertaan mereka untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang kini disandang oleh Tan Sri Zulhasnan Rafique. Tanpa memperkecilkan keupayaan calon-calon yang menentang Tan Sri Zulhasnan Rafique, rasanya Yahaya Yaakob dan juga Sakandar Khan mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka berani menentang mantan Menteri Wilayah Persekutuan itu kali ini.

Yahaya Yaakob pencabar Tan Sri Zulhasnan Rafique
Sakandar Khan, turut mencabar
Tan Sri Zulhasnan Rafique
Memang benar selama Zulhasnan Rafique menjadi Ahli Parlimen sejak tahun 1999, beliau hanya tewas bertanding jawatan Ketua Bahagian Wangsa Maju di tangan Datuk Astaman Abdul Aziz pada tahun 2001, namun begitu pada tahun 2003 apabila berlakunnya persempadanan semula kawasan pilihan raya, Tan Sri Zulhasnan Rafique telah dilantik oleh pucuk pimpinan ketika itu (Pak Lah) sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Setiawangsa sehinggalah beliau dinobatkan secara rasminya untuk jawatan tersebut setelah tiada calon lain yang berani menentangnya di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang diadakan pada tahun 2004; iaitu sebaik sahaja beliau menang dalam PRU11 pada tahun yang sama.
Begitu juga pada tahun 2008, apabila diadakan pemilihan jawatan di dalam UMNO pada tahun berkenaan, sekali lagi Tan Sri Zulhasnan Rafique yang sudah pun berjawatan Menteri Wilayah Persekutuan sejak tahun 2006, beliau sekali lagi diberikan mandat untuk menyandang jawatan Ketua Bahagian Setiawangsa buat penggal yang keduanya. 
Namun begitu nasib politiknya tidak seampuh dengan kejayaannya dalam bidang korporat, kerana sebaik sahaja Dato' Sri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari tangan Pak Lah pada tahun 2010, nama Tan Sri Zuilhasnan Rafique telah digugurkan daripada barisan kabinet Najib. Tidak sekadar beliau kehilangan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, namanya juga tidak lagi terpahat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang telah diganti kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Manakala jawatan Menteri Wilayah Persekutuan pula telah diisi oleh muka baru iaitu Senator Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai.
Karier politik Zulhasnan Rafique semakin tidak bersinar lagi apabila nama beliau tidak lagi menjadi pilihan di hati pucuk pimpinan parti untuk dipertaruhkan sebagai calon BN di dalam PRU13 pada 5 Mei lalu. Walaupun kelihatannya beliau masih bersedia untuk dicalonkan semula, namun takdir Tuhan tidak memihak kepadanya kerana pucuk pimpinan parti telah memilih calon baru untuk bertanding di kerusi P.118 Setiawangsa pada PRU13; Dato' Sri Najib akhirnya memilih Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa sebagai calon BN.
Banyak pihak menjangkakan Dato' Ahmad Fauzi Zahari setelah bergelar 'Yang Berhormat' di Parlimen Setiawangsa, maka seharusnya beliau wajar diberikan peluang untuk menerajui UMNO Bahagian Setiawangsa pada musim pemilihan jawatan UMNO kali ini. Namun jangkaan itu meleset, kerana Tan Sri Zulhasnan Rafique masih menunjukkan keinginan untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa buat penggal yang ke-3. 
Lantaran itu, Dato' Ahmad Fauzi Zahari terpaksa membuat keputusan bijaknya dengan mempertahankan jawatan Naib Ketua Bahagian yang disandangnya selama ini, seterusnya bergandingan bersama-sama dengan Datuk Seri Abdul Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan memberikan harapan kepada Yahaya Yaakob yang akan bertanding jawatan Ketua Bahagian menentang Tan Sri Zulhasnan Rafique.
Pada mulanya Dato' Ahmad Fauzi Zahari dilihat akan berhadapan dengan pencabar tradisinya Dato' Izudin Ishak, namun pada 24 September yang lalu Dato' Izudin Ishak (Foto kiri) lebih menampakkan kebijakannya apabila mengumumkan beliau menarik diri dari menentang Ahli Parlimen Setiawangsa itu bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Izudin Ishak yang juga Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan lebih rasional dalam membuat keputusan ini, kerana beliau lebih akur dengan aspirasi yang diinginkan oleh boss atasannya daripada terjebak dengan percaturan yang boleh menjejaskan masa depan kariernya.
Namun begitu, Datuk Seri Halim Abdul Samad penyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Setiawangsa masih belum selamat lagi, kerana jawatan nombor dua ini menjadi rebutan pula oleh dua lagi calon yang sudah pun menawarkan diri, iaitu Shuib Ibrahim Bendahari UMNO Bahagian dan juga Azmi Badarudin Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa.
Percubaan kali kedua Shuib Ibrahim menentang Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian kali ini masih dilihat wujudnya 'konspirasi rakit' yang tidak mahukan lagi Halim Samad berada pada jawatan tersebut. Rasanya Zulhasnan Rafique sendiri sedar betapa perebutan jawatan ini memungkin dirinya untuk memilih salah seorang samada Shuib atau Azmi? Apakah Halim Samad masih meyakini bahawa dirinya masih diperlukan lagi oleh Zulhasnan Rafique sebagai gandingan terbaiknya kali ini?
Pada saya apabila Datuk Seri Halim Samad meletakkan dirinya bergandingan dengan Yahaya Yaakob yang akan menentang Tan Sri Zulhasnan Rafique di peringkat jawatan Ketua Bahagian, tentunya ada yang tidak kena yang memungkinkan pergeseran persepsi di antara mereka sehingga mengundang kepada pertembungan ZULHASNAN RAFIQUE - YAHAYA YAAKOB - SAKANDAR KHAN bagi jawatan Ketua Bahagian, HALIM SAMAD - SHUIB IBRAHIM - AZMI BADARUDIN pula bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian; manakala FAUZI ZAHARI terpaksa cenderung kepada gandingan yang memberikan sokongan kepada dirinya sebagai Wakil Rakyat. 
Selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa yang akan bersidang pada 19 Oktober nanti, di PWTC!


Friday, September 13, 2013

BENARKAH DATUK ASTAMAN MENENTANG ZULHASNAN DI SETIAWANGSA?

Oleh Abdul Rahman Hashim
Datuk Astaman Abdul Aziz
Tan Sri Zulhasnan Rafique

Datuk Astaman Abdul Aziz merupakan satu nama yang tidak asing lagi buat warga di Setiawangsa, kerana beliau bukan sahaja seorang tokoh politik yang cukup terkenal di kawasan ini malah jejak politik beliau amat sinonim dengan warga UMNO di Bahagian Wangsa Maju dan juga di Titiwangsa. Kini beliau telah diberikan laluan untuk mengetuai UMNO Cawangan Rampai Town oleh mantan ketua cawangan tersebut, Ahmad Yahya Yaakob (Foto di bawah)
Kemunculannya menerajui UMNO Cawangan Rampai Town tentunya akan mengundang pelbagai spekulasi, terutama di saat UMNO Bahagian Setiawangsa sedang ternanti-nanti siapakah tokoh yang akan memberikan cabaran terhadap Tan Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa pada musim pemilihan jawatan kali ini.

Semasa UMNO Bahagian Wangsa Maju diterajui oleh Datuk (kini,Tan Sri) Dr Kamal Salih sekitar tahun 1993-2001, Datuk Astaman ketika itu merupakan Bendahari Bahagian dan beliau juga menerajui UMNO Cawangan Setiawangsa Fasa II di Bahagian tersebut. Pada tahun 2001, Ahli Parlimen Wangsa Maju ketika itu, Dato' Zulhasnan Rafique (Kini, Tan Sri) telah berentap merebut jawatan Ketua Bahagian bersama-sama dengan beliau; dan Astaman bernasib baik kerana beliau telah menang menewaskan Wakil Rakyat berkenaan.
Kenangan Datuk Astaman ketika diumumkan menang
Ketua Bahagian Wangsa Maju menewaskan Zulhasnan, 2001.

Pada tahun 2004, ketika persempadanan kawasan parlimen dikuatkuasakan, Datuk Astaman Abdul Aziz telah dilantik semula sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, manakala Tan Sri Zulhasnan Rafique dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian yang baru iaitu Bahagian Setiawangsa. Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun berkenaan, Datuk Astaman Abdul Aziz telah dipilih menjadi calon BN di kawasan Parlimen Titiwangsa, dan beliau telah menang dengan majoriti yang besar di kawasan tersebut. Parlimen Wangsa Maju pula telah diserahkan kepada calon MCA, manakala Tan Sri Zulhasnan Rafique telah menang di kawasan Parlimen Setiawangsa. 
Dalam PRU12 yang diadakan pada tahun 2008, Datuk Astaman Abdul Aziz tidak terpilih sebagai calon BN di Titiwangsa yang telah dimenanginya sebelum ini. Kemelut politik wang yang dihadapinya telah menjadi punca utama mengapa nama beliau diketepikan pada PRU 2008. Tan Sri Mohd Isa Samad, Menteri Wilayah Persekutuan juga menerima nasib yang sama dengan Datuk Astaman di mana nama mereka tidak disenaraikan sebagai calon pada PRU berkenaan.
Astaman tidak lama berada di Bahagian Wangsa Maju, pada tahun 2010 beliau telah membuat kejutan berhijrah ke cawangan Rampai Town yang berada di dalam Bahagian Setiawangsa sebagai ahli biasa sahaja; dan pada tahun yang sama, beliau telah memanaskan badannya di Bahagian ini apabila beliau bertanding untuk merebut G7. Percubaan menguji popularitinya di Bahagian yang baru ini ternyata 'menjadi', kerana beliau telah tersenarai sebagai calon G7 yang menang bersama-sama dengan saya (penulis) termasuk Samad Saim, Azhar Kassim, Shari Sidek, Ahmad Laili Tajul Arus dan Saudara Wan Zainal.

Penulis bersama Datuk Astaman ketika menjadi perwakilan G7 2010
Penulis, bersama Azhar Kassim dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari
ketika menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2010.
Penulis (kiri), bersama Tan Sri Zulhasnan Rafique ketika
Hari Penamaan Calon PRU 1999.

Apabila memperkatakan ketokohan Datuk Astaman Abdul Aziz, tentunya sedikit sebanyak akan mengguriskan hati Tan Sri Zulhasnan Rafique yang pernah tewas di tangannya pada tahun 2001. Zulhasnan tidak perlu menyorokkan emosinya terhadap kemunculan semula Astaman Aziz di Setiawangsa. Walaupun Zulhasnan Rafique pernah menyatakan kepada saya bahawa beliau tidak pernah untuk menyekat keinginan Astaman Abdul Aziz untuk bertanding G7 pada tahun 2010, namun pada raut wajahnya Zulhasnan ternyata tidak senang hati dengan karektor politik yang dimiliki oleh Astaman selama ini. 
Tan Sri Zulhasnan Rafique beranggapan Datuk Astaman Abdul Aziz pernah memungkiri janjinya untuk tidak berlawan merebut jawatan Ketua Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2001, sebaliknya Zulhasnan mendakwa bahawa Astaman telah bersetuju untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada tahun berkenaan. Namun begitu, akhirnya mereka berdua bertembung juga bertanding jawatan Ketua Bahagian. Zulhasnan tewas di tangan Astaman! 
Seperkara lagi yang membuatkan politik Zulhasnan tercalar apabila sekumpulan Ketua-Ketua Cawangan dalam Bahagian Setiawangsa telah menghantar memorandum kepada Dato' Sri Najib Tun Razak pada tahun 2012 supaya tidak mencalonkan semula Zulhasnan Rafique untuk bertanding dalam PRU13, sebaliknya mereka telah mencadangkan agar Datuk Astaman Abdul Aziz dilonjakkan sebagai calon winnable bagi menggantikan Zulhasnan Rafique. 
Tidak sekadar memorandum fasa 1, malah muncul lagi memorandum fasa II dimana kali ini sebilangan Ketua-Ketua Cawangan berkenaan bukan sahaja menolak Zulhasnan, malah mereka juga memberi beberapa alasan supaya nama Dato' Ahmad Fauzi Zahari tidak dinamakan sebagai calon BN di Setiawangsa, sebaliknya mereka mencadangkan supaya nama Astaman Abdul Aziz menjadi calon BN. 
Rantaian memorandum demi memorandum yang dihantar oleh penyokong-penyokong Datuk Astaman Abdul Aziz kepada pucuk pimpinan parti akhirnya bukan sahaja berjaya mencalarkan reputasi Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai penyandang Ahli Parlimen Setiawangsa, malah ia telah memungkinkan nama Zulhasnan Rafique begitu mudah untuk diketepikan menjadi calon BN pada PRU13 yang lepas. 
Walaupun tindakan penyokong Astaman itu telah mencalarkan nama baik Zulhasnan, namun akhirnya nama Astaman Abdul Aziz juga tidak berada di dalam senarai pendek untuk menjadi calon BN di Setiawangsa; sebalikmya telah muncul pula jenama baru yang dianggap paling sesuai untuk menggantikan Tan Sri Zulhasnan Rafique, iaitu Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang menyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.
Dato' Ahmad Fauzi Zahari akhirnya menjadi calon BN Setiawangsa

Episod mencari calon yang winnable untuk PRU13 kini telah berlalu. Dato' Ahmad Fauzi Zahari kini dinobatkan sebagai Ahli Parlimen yang baru kawasan P.118 Setiawangsa. Akibat pertembungan dua tokoh 'Zulhasnan-Astaman' yang menjadi musuh tradisi sejak di Wangsa Maju hingga di Setiawangsa, telah membuatkan mereka berdua terhalang untuk menjadi calon. Kedua-dua tokoh yang bermusuhan ini hendaklah menerima hakikat bahawa apa yang diimpikan mereka kini telah menjadi hak milik orang lain. Segala-galanya telah ditentukan oleh Tuhan Rabbul Jalil. 
Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Walaupun Zulhasnan dan Astaman berputih mata untuk menjadi calon dalam PRU13, namun kelihatannya mereka berdua sekali lagi berkemungkinan akan berentap dalam gelanggang yang pernah mereka hadapi pada tahun 2001 dimana kedua-duanya dikatakan akan dilonjak untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa pada musim pemilihan jawatan kali ini. 
Tan Sri Zulhasnan Rafique masih membisu samada akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2004 ataupun akan melepaskan jawatannya kali ini. Saya pernah mengajukan soalan ini kepada beliau di dalam satu mesyuarat AJK Bahagian sebelum ini, namun Tan Sri Zulhasnan Rafique enggan memberikan jawapannya. 
Walaupun pemerhati politik tempatan melihat sejak kebelakangan ini Tan Sri Zulhasnan Rafique jarang berada di dalam kawasan, namun itu bukanlah alasan yang tepat bagi Zulhasnan untuk meninggalkan jawatan yang disandangnya. Beliau boleh merasa yakin kekuatan yang dimilikinya, maka sebab itu tidak menjadi masalah kepadanya untuk berminggu-mnggu berada di luar negara, walaupun UMNO di peringkat cawangan sibuk dengan persidangan tahunan masing-masing. 
Zulhasnan rasa tidak bersalah untuk mengasingkan dirinya daripada kerancakan persidangan cawangan-cawangan yang akan berakhir menjelang 15 September ini. Datuk Seri Abdul Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian terpaksa menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Tan Sri Zulhasnan Rafique dengan merasmikan beberapa persidangan UMNO Cawangan. Demikian juga, Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian yang kerap juga menghadiri beberapa persidangan cawangan. Kedua-dua tokoh ini kelihatannya berjaya menampilkan diri sehingga tidak terbayang langsung keinginan mereka untuk menggugat kedudukan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.
Persoalannya, apakah benar Astaman berkeinginan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian ini? Apakah penyokong-penyokongnya akan mendiamkan diri untuk memberi laluan mudah kepada Tan Sri Zulhasnan Rafique menyambung semula jawatannya untuk tiga atau lima tahun yang akan datang?
Sementara Datuk Seri Halim Samad dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari tidak menampakkan keinginan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian, apakah Datuk Astaman Abdul Aziz juga masih menebal di hatinya untuk tidak bertembung lagi dengan Tan Sri Zulhasnan Rafique kali ini? Apabila Ahmad Yahya Yaakob, memberikan laluan kepada Datuk Astaman Abdul Aziz untuk menjadi Ketua Cawangan Rampai Town tempoh hari, apakah ini indikasinya untuk Datuk Astaman Abdul Aziz mengulangi semula kejayaannya menewaskan Tan Sri Zulhasnan Rafique buat kali kedua? Sama-sama kita nantikan detik 21 September ini apabila semua calon yang bertanding dikehendaki menyerahkan borang persetujuan masing-masing.


Sunday, August 11, 2013

JIKA ZULHASNAN ENGGAN MEMPERTAHANKAN KETUA BAHAGIAN, SIAPA GALANG GANTINYA?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tan Sri Zulhasnan masih berpengaruh untuk memimpin
UMNO Bahagian Setiawangsa. Manakala Dato' Ahmad Fauzi Zahari
Ahli Parlimen Setiawangsa hanya nak bertanding jawatan Naib Ketua
Pilihan raya umum ke-13 baru sahaja berlalu. Parlimen Setiawangsa kini diwakili oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari setelah beliau menang tipis menewaskan calon PKR dengan majoriti 1390 undi. Tan Sri Zulhasnan Rafique kini bukan lagi Wakil Rakyat di Setiawangsa, namun begitu beliau masih lagi menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian ini yang diterajuinya sejak tahun 2004.
Tidak dapat dijangkakan samada Tan Sri Zulhasnan Rafique masih mahu mempertahankan jawatan tersebut menjelang musim pilihan raya UMNO yang kini sudah pun bermula di peringkat cawangan dan menyusul pula di Peringkat Bahagian pada bulan September sebelum diadakan pemilihan jawatan peringkat tertinggi parti menjelang Oktober nanti.
Mungkin ada kalangan yang menjangkakan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahli Parlimen Setiawangsa yang kini menyandang jawatan Naib Ketua Bahagian akan dilonjakkan bertanding jawatan Ketua Bahagian menggantikan Tan Sri Zulhasnan Rafique. Namun tidak semudah yang dijangkakan untuk Fauzi Zahari mampu bersaing dengan Zulhasnan kerana Fauzi Zahari sendiri dilihat masih belum berupaya untuk diangkat dan dijulang menjadi pemimpin nombor satu UMNO Bahagian Setiawangsa.
Di dalam satu pertemuan dengan beliau selepas pilihan raya umum yang lalu, saya sendiri mengajukan soalan kepada Fauzi Zahari tentang jawatan di dalam UMNO yang akan beliau tandingi nanti; beliau menjawab akan mempertahankan jawatan Naib Ketua Bahagian yang beliau sandang hari ini. Menurutnya biarlah jawatan Ketua Bahagian itu disandang oleh Tan Sri Zulhasnan dan tidak terlintas di hatinya untuk merampas jawatan itu selagi Zulhasnan mahu mengekalkan jawatan tersebut.
Padanya tidak menjadi suatu kemestian untuk beliau berbuat demikian walaupun kini bergelar 'Wakil Rakyat'. Pada dirinya biarlah beliau memberikan tumpuan menjaga rakyat manakala urusan UMNO sewajarnya dipertanggungjawabkan kepada Tan Sri Zulhasnan yang masih menjadi Ketua UMNO Bahagian.
Saya menghormati pendirian yang diungkapkan oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari itu; namun begitu saya menjangkakan kedudukannya bukanlah begitu selamat kerana jawatan Naib Ketua Bahagian yang disandangnya hari ini bakal ditentang oleh tokoh yang pernah menewaskannya bagi jawatan Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju satu ketika dahulu, iaitu Datuk Izudin Ishak.
Datuk Izudin Ishak (Foto Kiri) yang baru sahaja dilantik oleh PM sebagai Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar di Kementerian Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu dikatakan begitu berminat untuk berhadapan sekali lagi dengan Dato' Ahmad Fauzi Zahari walaupun beliau pernah juga tewas bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian yang turut ditandingi oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari pada tahun 2008.
Misi Izudin bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian kali ini dilihat akan bergandingan dengan Tan Sri Zulhasnan Rafique, itu pun jika Zulhasnan masih mahu mengekalkan jawatan Ketua Bahagian. Namun begitu kemunculan nama Azmi Badarudin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa yang bakal menamatkan era Pemudanya juga dikatakan akan menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. 

Shuib Ibrahim (Di tengah) berpengaruh dalam Pemuda UMNO Bahagian.
Azmi Badarudin bakal menjadi calon Naib Ketua Bahagian
Sekiranya Tan Sri Zulhasnan Rafique tidak lagi mempertahankan jawatan Ketua Bahagian, ada kemungkinan Shuib Ibrahim, Bendahari UMNO Bahagian Setiawangsa akan dilonjakkan bertanding mengisi kekosongan jawatan tersebut; jika itu terjadi pemerhati politik meramalkan kemungkinan Azmi Badarudin menjadi calon Naib Ketua yang seganding dengan Shuib Ibrahim, bukan lagi Datuk Izudin. Shuib Ibrahim dikatakan begitu intim dengan Azmi dan diramalkan beliau akan beroleh sokongan kuat daripada sebahagian besar Ketua-Ketua Pemuda UMNO Cawangan, ditambah pula dengan sokongan majoriti daripada Puteri UMNO sendiri kepadanya.
Justeru, kekuatan sokongan kepada Dato' Ahmad Fauzi Zahari untuk jawatan Naib Ketua Bahagian dilihat kian menguncup atas faktor sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan yang setia dengan Zulhasnan selama ini dikatakan akan beralih sokongan mereka kepada calon Naib yang pro dengan Shuib Ibrahim. 
Di dalam keadaan yang tertekan untuk mempertahankan jawatan Naib Ketua Bahagian, Dato' Ahmad Fauzi terpaksa mencari jalan untuk memperkukuhkan kedudukannya dengan berbaik sangka dengan beberapa ketua cawangan yang merasakan diri mereka telah disisihkan oleh Fauzi selepas beliau menang pilihan raya umum yang lalu. Golongan ini begitu tegar bersama dengan Datuk Astaman Abdul Aziz dan bahang kekecewaan mereka terhadap Fauzi bakal diterjemahkan menjelang musim pilihan raya UMNO kali ini.
Kalau pun Datuk Astaman akan masuk gelanggang bertanding jawatan Ketua Bahagian kali ini, saya melihat kecenderungan pencacainya tidak berminat untuk menggandingkan nama Fauzi Zahari sebagai calon favourite bagi jawatan Naib Ketua Bahagian berbanding sokongan kuat mereka kepada Datuk Seri Abdul Halim Samad untuk mengekalkan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Persoalannya jika benar mereka tidak mahukan Fauzi Zahari, siapakah galang gantinya?


Wednesday, May 8, 2013

FAUZI ZAHARI JENAMA BARU DI SETIAWANGSA

Oleh Abdul Rahman Hashim
Dato' Fauzi Zahari sedang menyampaikan ucapan di Keramat Wangsa
Dato' Fauzi menyematkan lencana BN kepada seorang
penyokongnya (Pengundi Cina) di Sekyen 5 Wangsa maju
Dato' Fauzi Zahari semasa diumumkan sebagai pemenang oleh
Pegawai SPR yang bertugas. Kelihatan juga calon PKR Ibrahim Yaacob

Dato' Fauzi Zahari dikelilingi oleh petugas-petugas dari Wanita UMNO
Tahniah kepada Dato' Ahmad Fauzi Zahari kerana telah di isytiharkan sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa setelah berjaya menewaskan calon PKR Ibrahim Tan Sri Yaacob dengan kelebihan 1,390 undi. Calon BN ini telah memperolehi 28,809 undi iaitu pencapaian sekitar 51 peratus sahaja, manakala calon PKR berjaya memperolehi 25,419 undi. Ibrahim Yaacob  bertanding di Parlimen Setiawangsa buat kali keduanya setelah beliau kecundang di tangan Dato' Sri Zulhasnan Rafique pada PRU12 2008.
Fauzi Zahari dianggap sebagai calon baru, kerana inilah kali pertama beliau dilonjakkan sebagai calon BN untuk berhadapan dengan sirkit PRU13 yang begitu sengit. Pucuk pimpinan parti berkeyakinan dengan ketokohan Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Walaupun beliau hanya menang dengan majoriti 1,390, namun sebagai calon baru yang diletakkan di situ, kejayaannya yang mampu menewaskan Ibrahim Yaacob (PKR) bagaikan satu kejutan, kerana Ibrahim Yaacob begitu yakin bahawa beliau boleh menang kali ini.
Penulis, Abdul Rahman Hashim ketika berucap sempena
Himpunan Rakyat 1Malaysia Bersama Najib Razak
di Parlimen Setiawangsa pada 3 Mei 2013.
Penulis, dua dari kiri semasa mengiringi Dato' Fauzi Zahari pada
 Hari  Penamaan Calon, 20 April 2013

Gelombang 'Tsunami Cina' seperti yang diungkapkan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak terhadap calon-calon BN yang kalah dalam PRU13 kali ini, terbukti turut dialami oleh Fauzi Zahari di Parlimen Setiawangsa. Semua peti-peti undi yang majoriti pengundi Cina seperti yang terdapat di Taman Setapak Jaya, Taman Sri Rampai dan juga di kawasan Air Panas telah dimenangi oleh calon PKR, Ibrahim Yaacob.

Walaupun tiada calon berketurunan Cina yang bertanding di Setiawangsa, namun pengundi-pengundi Cina lebih cenderung untuk memangkah calon PKR yang ditandingi oleh calon Melayu PKR. Mereka nampaknya tidak terbuka hati untuk memangkah calon Melayu daripada BN, Dato' Ahmad Fauzi Zahari. Demikianlah pendirian sebahagian besar pengundi Cina di Setiawangsa.

Fauzi Zahari tidak perlu apolegetik untuk menyorokkan rasa hibanya di atas sindrom penolakan pegundi Cina terhadapnya, namun bukan dirinya sahaja yang menerima 'undi pancung' seperti itu, terdapat banyak lagi kerusi-kerusi parlimen lain dan juga kerusi-kerusi DUN yang memperlihatkan calon BN tidak digemari lagi oleh pengundi-pengundi Cina.

Apa yang penting ialah Dato' Ahmad Fauzi Zahari, kini telah menjadi Wakil Rakyat yang resmi di P.118 Setiawangsa. Beliau jangan harus diperangkapkan dengan isu 'rasis' yang sedang dipalu ketika ini sehingga tidak mengakui bahawa ada juga sebahagian pengundi Cina dan juga pengundi India yang telah memberikan sokongan kepadanya.
Jikalau Fauzi Zahari bersikap sedemikian beliau juga harus ingat bahawa ramai juga pengundi Melayu yang tidak pro kepada BN. Perpecahan undi di kalangan pengundi Melayu di Setiawangsa juga begitu ketara, kerana jumlah undi yang diperolehi oleh Ibrahim Yaacob membuktikan sokongan terhadapnya bukan sahaja  dari kalangan pengundi Cina sahaja, malah pengundi Melayu juga ada yang berpihak kepadanya.

Apakah mereka yang dianggap bukan penyokong BN samada dari kalangan pengundi Melayu atau pengundi Cina, maka kita perlu menyisihkan mereka? Perdana Menteri sendiri ketika mengumumkan pengagihan bantuan BRIM 1.0 dan 2.0 tidak pula menyatakan ianya hanya layak diterima oleh rakyat yang menyokong BN sahaja.

Saya berkeyakinan tinggi, Ahli Parlimen Setiawangsa yang baru ini mampu menggalas tugas dan tanggungjawabnya demi untuk kesejahteraan rakyat yang diwakilinya. Fauzi harus berterima kasih kepada rakyat yang memilihnya, kerana tanpa mereka beliau tidak berkesampaian untuk bergelar 'wakil rakyat'. Oleh itu beliau harus diberikan peluang untuk menyusun agenda rakyatnya, kerana rakyat sedang memerhatikan kewibawaannya untuk tempoh lima tahun yang ke hadapan. PRU14 bukanlah lama lagi, tak sampai 5 tahun dari sekarang sekali lagi kita diadili oleh mereka.

Jangan terlalu mudah lupa dengan jasa rakyat yang mengangkat seseorang itu sehingga berjaya bergelar 'YB'. Menjadi seorang YB biarlah di hati rakyat, bukan untuk dibenci oleh rakyat akar umbi. Sebagai sahabat kepadanya, saya yakin Dato' Fauzi Zahari bukanlah memiliki ciri-ciri kebencian itu, malah beliau dilihat mampu melakarkan kejayaan untuk mendahulukan rakyatnya secara lebih bertenaga dan sistematik.

Fauzi Zahari perlu segera menjenamakan dirinya sebagai Wakil Rakyat yang berjiwa rakyat, bukan sekadar bermegah dengan title YB sehingga melupai jasa rakyat yang memenangkan dirinya pada PRU13 tempoh hari. Marilah kita mendoakan agar beliau tidak tersasar dengan andaian-andaian buruk itu, sebaliknya kita berkeyakinan bahawa Dato' Ahmad Fauzi Zahari memiliki syakhsiah dan iltizam yang kuat untuk mensejahterakan rakyat yang diwakilinya. Insya Allah.

Nota: Dalam PRU13 lalu, Abdul Rahman Hashim (Penulis) telah diberikan kepercayaan oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari sebaga 'Ketua Penyelaras Penerangan dan Ceramah' di dalam Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Setiawangsa.

Monday, April 15, 2013

ENAM CALON UMNO WP MESTILAH MENANG UNTUK CAPAI HASRAT DUA PERTIGA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin,
Lembah Pantai
Dato' Dr Shafei Abdullah, Wangsa Maju
Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Setiawangsa
Tengku Adnan Tengku Mansor, Putrajaya
Dato' Johari Ghani, Titiwangsa
Datuk Yusoff Mahal, Labuan

Calon-calon UMNO dijangkakan akan bertanding di enam kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan. Beberapa calon baru dari UMNO dijangka akan dinamakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional di kawasan-kawasan parlimen yang terbabit. 
Diantara muka baru yang bakal dinamakan bertanding di dalam sirkit PRU13 ini nanti ialah Dato' Raja Nong Chik di Lembah Pantai, Dato' Johari Ghani di Parlimen Titiwangsa, Dato' Ahmad Fauzi Zahari di Setiawangsa dan Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah di Wangsa Maju. 
Manakala bagi kawasan Parlimen Labuan pula Datuk Hj Yusoff Hj Mahal berkemungkinan juga akan digantikan dengan muka baru, begitu juga di Putrajaya di mana akan berlaku kejutan kerana nama Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjadi Ahli Parlimen sebelum ini dikatakan akan digantikan dengan calon yang lain. 
Namun begitu, sebagai Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan dikatakan wajar kekal bertanding di Putrajaya walaupun ada ramalan yang menyebut bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed akan bertanding semula bagi kali ini menggantikan Tengku Adnan. PAS baru-baru ini telah menamakan Naib Presidennya Datuk Husam Musa akan dicalonkan bertanding di Parlimen Putrajaya. Terdapat juga ramalan yang menyatakan bahawa Tan Sri Aseh Che Mat, Presiden Perbadanan Putrajaya juga disebut-sebut bakal dicalonkan untuk menentang Husam Musa.
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, mantan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga telah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal di Wangsa Maju dan juga di Setiawangsa, dikatakan tidak dipilih semula menjadi calon dalam PRU13 kali ini. Seorang muka baru, Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa diramal bakal menggantikannya sebagai calon di Setiawangsa. Fauzi Zahari dilihat winnable di Setiawangsa, kerana beliau juga dikatakan di antara 6 calon yang telah direstui oleh UMNO Bahagian berkenaan, malah Fauzi juga mendapat sokongan di peringkat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan. Fauzi merupakan Setiausaha Kerja BN Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pilihan raya umum yang lepas, calon UMNO hanya menang di Setiawangsa, Putrajaya dan juga di Labuan sahaja. Lembah Pantai dan Titiwangsa telah dikejutkan apabila tewas di tangan PKR dan juga PAS. Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai telah dibawa masuk menyertai kabinet Najib menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar setelah dilantik sebagai seorang senator. Nong Chik diharapkan dapat menebus kembali kekalahan yang dialami oleh Dato' Seri Shahrizat Jalil di Lembah Pantai pada PRU12 yang lalu.
Begitu juga, Dato' Johari Ghani yang memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa diberikan tugas yang berat agar dapat merampas semula kerusi Parlimen Titiwangsa yang telah dimenangi oleh Allahyarhamah Dr Lo Lo dari PAS pada musim PRU12 tahun 2008.
Berbeza pula di Parlimen Wangsa Maju, di mana Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian tersebut dilihat semakin berjaya untuk mengembalikan semula kerusi Wangsa Maju kepada UMNO setelah dua penggal diwakili oleh calon MCA. Dalam PRU12, Yew Teong Look dari MCA telah tewas 150 undi di tangan PKR, maka kali ini UMNO merasakan wajar meletakkan calonnya untuk mengembalikan semula momentum kemenangan yang pernah dicapai oleh UMNO pada pilihan raya umum 1995 dan 1999. 
Walaupun MCA Wangsa Maju terkilan kerana kerusi yang dipinjamkan oleh UMNO selama dua penggal akan diambil semula menjelang PRU13 ini, namun kerja kuat dan semangat kental yang ditunjukkan oleh Dr Shafei Abdullah dan team UMNO sejak kebelakangan ini dilihat ada pencerahannya, terutama di kalangan pengundi Melayu yang mewakili 53 peratus yang pastinya akan memihak kepada Barisan Nasional kali ini. Shafei kena bekerja keras dan menggandakan keyakinan terutama di kalangan pengundi Cina supaya mengukuhkan lagi keyakinan BN untuk menang kali ini.
UMNO jangan terlalu selesa dalam mengharungi pancaroba PRU13 kali ini. Jika UMNO boleh tewas di Lembah Pantai dan Titiwangsa pada PRU12 2008, ini memberikan suatu cabaran kepada seluruh jentera UMNO/BN di kawasan-kawasan terbabit supaya tidak bercakaran sesama sendiri, sebaliknya UMNO harus membuktikan kesemua enam kerusi yang ditandingi di WP mampu dimenangi. Jika harapan Najib agar BN kali ini dapat menang dua pertiga, maka keenam-enam kerusi UMNO di Lembah Pantai, Titiwangsa, Wangsa Maju, Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan mestilah menyumbang kepada kejayaan ini.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kerusi Parlimen yang terdiri dari Lembah Pantai, Titiwangsa, Setiawangsa, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Cheras, Seputeh, Bukit Bintang, Segambut, Kepong, Batu, Putrajaya dan juga Labuan.

Friday, April 12, 2013

IBRAHIM YAACOB (PKR) SEKALI LAGI BERENTAP DENGAN ZULHASNAN RAFIQUE DI SETIAWANGSA?

 Oleh Abdul Rahman Hashim
Zulhasnan Rafique,
Juruterbang Jet Pejuang TUDM, 1972
Dato' Sri Zulhasnan Rafique,
Apakah beliau bakal calon BN Setiawangsa kali ini?
Ibrahim Yaacob (PKR), bertanding kali kedua di Setiawangsa

WASPADA buat calon BN Setiawangsa! Calon PKR, Ibrahim Yaacob yakin untuk merampas kerusi Parlimen Setiawangsa pada PRU13 nanti. Beliau berkata sekiranya PKR mendapat undi tentera sekurang-kurangnya 5,000 undi, maka beliau yakin BN mampu ditewaskan oleh Pakatan Rakyat. Ini kerana, katanya, pada pilihan raya umum lalu, 'undi biasa' telah memihak kepadanya melainkan undi pos sahaja yang menjadikan 'Setiawangsa' kini dianggap sebagai kawasan putih buat BN? 
Apakah undi tentera&polis masih menjadi fix deposit kepada UMNO/BN, jika bukan Zulhasnan Rafique yang menjadi calonnya? Namun begitu angin sepoi-sepoi telah memberi perkhabaran iaitu Dato' Sri Zulhasnan bekas juruterbang jet pejuang TUDM, bakal diheret sekali lagi bertarung dengan Ibrahim Yaacob dari PKR di Setiawangsa menjelang hari mengundi 5 Mei 2013.
Dalam pilihan raya umum 2008, Zulhasnan Rafique memperolehi 25,489 undi berbanding Ibrahim Yaacob dari PKR yang meraih 17,355 undi. Zulhasnan, BN menang dengan majoriti 8,134 undi. Sekiranya Zulhasnan terpilih semula sebagai calon BN dalam PRU13, ini merupakan penggal keempat bagi beliau menyertai pilihan raya umum semenjak PRU 1999, PRU 2004 dan PRU 2008. 
Dalam PRU10/1999, Zulhasnan buat pertama kalinya telah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju sebelum bertukar menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa pada PRU11/2004 dan mengekalkan momentum kemenangannya dalam PRU12/2008. 
Kedengaran di peringkat awalnya, Zulhasnan dikatakan enggan bertanding semula kerana beliau merasakan sudah tiba masanya untuk beliau menyerahkan baton kepada pelapis lebih muda bagi meneruskan pencerahan legasi Setiawangsa sebagai kubu kuat UMNO/BN. Namun perkembangan mutakhir dari jendela BN Pusat di PWTC telah membawa perkhabaran mahukan beliau sekali lagi menjadi calon BN di Parlimen Setiawangsa. 
Jika benar perkhabaran dari kantor Najib Razak yang menyebut bahawa Zulhasnan telah dipanggil bertemu dengan Perdana Menteri baru-baru ini, maka ada kemungkinan nama 'Dato' Ahmad Fauzi Zahari' yang ditinta sebelum ini sebagai bakal calon BN Setiawangsa kini menjadi pudar, kerana pucuk pimpinan rupa-rupanya lebih meyakini Zulhasnan berkeupayaan tinggi dan lebih 'winnable' untuk menggalas sekali lagi kemenangan menewaskan Ibrahim Yaacob dari PKR pada PRU13 ini.
Percubaan kali kedua Ibrahim Yaacob berhadapan dengan calon UMNO/BN di Setiawangsa kali ini tentunya disulami dengan azam dan tekad untuk merampas dominasi kerusi ini yang dimiliki oleh BN sebelum ini. Jika Ibrahim Yaacob terhidu kononnya berlaku keretakan dalam penentuan calon BN yang melibatkan Zulhasnan dan Fauzi, sebenarnya itu hanyalah andaian yang menjaring angin sahaja. 
Di antara Zulhasnan Rafique dan Fauzi Zahari tidak wujud keretakan walau siapa jua di antara mereka yang terpilih menjadi calon. Begitu juga dengan pendirian yang dibuat oleh Timbalannya Datuk Seri Halim Samad yang sentiasa menyarankan agar semua pihak mematuhi sesiapa jua yang dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon BN di Setiawangsa.
Hubungan akrab Zulhasnan sebagai Ketua Bahagian dan Fauzi Zahari sebagai Naib Ketua Bahagian di Setiawangsa bagaikan aur dengan tebing, malah mereka kelihatan selenggang dan sehayun dalam membahterai perjalanan politik UMNO di Bahagian Setiawangsa. 
Rasanya Zulhasnan tidak terlintas di hatinya untuk bersangka buruk terhadap kesetiaan Naib Ketuanya itu. Fauzi Zahari juga dikatakan tidak bijak untuk mengkabilahkan dirinya secara terasing dengan kabilah kepimpinan Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Walaupun beliau dianggap sebagai pemimpin yang sentiasa di bawah ketiak Zulhasnan, namun dirinya lebih selesa berkeadaan sedemikian. Kelibat untuk menderhaka kepada bosnya bukanlah suatu mainan politik Fauzi Zahari.
Maka sebab itu, jika Zulhasnan Rafique dipilih semula menjadi calon dalam PRU13 ini, rasanya Zulhasnan tidak akan berhadapan dengan 'unsur sabotaj' daripada Fauzi Zahari; malah saya lebih yakin jika Dato' Ahmad Fauzi Zahari pula yang dipilih menjadi calon kali ini, Zulhasnan atas sifatnya sebagai Pengerusi Penyelaras BN Setiawangsa akan lebih konsisten untuk membantu kemenangan BN. Tidak mungkin Ketua UMNO Bahagian ini akan meminggirkan dirinya dan membiarkan BN kecundang di tangan Ibrahim Yaacob, jika beliau bukan lagi calon BN P.118 Setiawangsa. 

Thursday, April 11, 2013

PRU13 - BIARKAN ANWAR SYOK SENDIRI ASALKAN NAJIB TIDAK SEDEMIKIAN RUPA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Najib TIDAK syok sendiri seperti ANWAR

SPR sudah pun mengumumkan iaitu hari penamaan calon bagi PRU13 ialah pada 20 April 2013, manakala hari pembuangan undi pula telah ditetapkan pada 5 Mei 2013. Semua parti yang akan menyertai pilihan raya umum kali ini dilihat sudah pun bersedia untuk sirkit PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya umum sebelum ini. 
Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi BN menyatakan akan berlaku beberapa kejutan yang mungkin di luar jangkaan terutama dalam proses menamakan calon-calon BN yang akan bertanding nanti. Tanpa menyebutkan apakah kejutan yang bakal dilakarkan oleh beliau nanti, Najib tentunya akan lebih berhati-hati untuk membariskan nama-nama player's pasukannya, kerana team BN kali ini mestilah yang 'winnable' untuk dipertaruhkan menentang team PR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Rasanya Najib lebih arif untuk menentukan barisan calon yang mampu menggalas tugas dan amanah untuk mengembalikan kekuatan dua pertiga seperti yang dikehendaki oleh beliau selama ini. Kegagalan BN memperolehi majoriti dua pertiga dalam PRU13 kali ini sudah dibayangkan betapa Najib bakal menghadapi tekanan supaya berundur dari memimpin BN dan juga sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan sinikalnya baru-baru ini juga membayangkan sekiranya BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga, Najib haruslah berundur seperti yang pernah berlaku kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi sebelum ini.
Dalam suasana politik yang gawat ini, apakah begitu mudah untuk BN melepasi halangan dua pertiga ini? Inilah persoalan yang sering dicongakkan oleh penganalisa politik yang turut khuatir kemungkinan akan berlaku kejutan-kejutan sebaliknya terhadap BN. Rasanya Najib juga tahu betapa getirnya untuk menghadapi PRU13 ini; sebab itulah tarikh membubarkan parlimen sering tertangguh hingga ke waktu kecederaan, malah kini permainan ditambah sedikit masa kerana kedua-dua pasukan sedang bergelut dalam 'mode seri'. 
Dalam proses mentransformasikan politik UMNO/BN, Najib haruslah menggunakan kesempatan PRU13 ini untuk membuktikan acuannya adalah yang terbaik untuk masa depan generasi yang sedang mewarisi kepimpinan politik hari ini. Apakah UMNO/BN masih relevan lagi? Jika tersilap mencaturya, kemungkinan PRU13 bakal menjadi mimpi ngeri buat UMNO/BN. 
Dalam mengemudi bahtera kemenangan, jangan kita alpa bahawa kapal yang sedang dibahterai ini apakah ia masih berupaya untuk melawan ombak dan tsunami yang telah meranapkan enam negeri ketika PRU12 yang lalu? Tersilap memilih kelasi-kelasi kapal kali ini bukan sahaja misi merampas semula negeri-negeri yang kalah itu akan kecundang lagi, malah kita bimbang dua tiga negeri lagi turut menjadi mangsa; akhirnya Putrajaya turut berputih mata.
Apakah kekecewaan mereka yang tidak dicalonkan semula bertanding dalam PRU13 kali ini boleh menunjukkan supporting spirit sebagaimana sokongan yang telah diberikan oleh orang lain kepadanya ketika menjadi calon sebelum ini? Jika jiwa semurni ini diterapkan di hati sanubari setiap pemimpin yang tidak dicalonkan lagi kali ini, sudah pasti Najib akan tersenyum girang kerana BN telah berjaya ditransformasikan oleh beliau.
Jika berlaku sebaliknya, Najib sendiri bakal berhadapan dengan 'mimpi ngeri' akibat igauan dan kelakuan yang tidak senonoh oleh mantan-mantan yang hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja. Mereka inilah politikus yang menjadi perosak kepada entiti parti yang lebih buruk perangainya daripada tikus.
Mudah-mudahan gandingan Najib dan Muhyiddin tidak berhadapan dengan banyak karenah dan juga masalah untuk mencipta kemenangan yang berganda kali ini. Biarkan Anwar yang syok sendiri asalkan Najib tidak sedemikian rupa.