assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, March 16, 2013

SESI DIALOG PRU13 UNTUK WP BERSAMA MUHYIDDIN YASSIN

Ikuti juga ulasan mengenai senario dan peluang BN untuk menang di WP menjelang PRU13 di dalam blog ini....

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Wilayah Persekutuan
Veteran UMNO Wilayah Persekutuan bersama-sama dengan penganjur utamanya Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Sesi Dialog PRU13 bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan pada hari Isnin ini, 18 Mac 2013, jam 11.30 pagi, bertempat di Dewan Sri Siantan Perbadanan Putrajaya, di Putrajaya.

Datuk Zakaria Salleh,
Pengerusi Veteran UMNO WP
Abdul Aziz Yassin
Yang Dipertua Mubarak WP
Tan Sri Aseh Che Mat
Pengerusi Kelab UMNO
Pesara Kanan Kerajaan M'sia

Sesi dialog ini juga akan disertai oleh wakil daripada Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Pengerusinya sendiri iaitu Tan Sri Aseh Che Mat yang juga Presiden Perbadanan Putrajaya.

Dijangkakan seramai 200 peserta akan mengambil bahagian dalam sesi dialog ini untuk 'sumbang saran' mengenai pilihan raya umum ke-13 khusus untuk Wilayah Persekutuan. Dato' Seri Dr Suleiman Mohamed, mantan Ahli Parlimen Titiwangsa akan mempengerusikan sesi dialog ini.

Mubarak atau Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Wilayah Persekutuan diketuai oleh Yang Dipertuanya, Abdul Aziz Yassin yang juga kekanda kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Manakala Veteran UMNO Wilayah Persaekutuan pula diketuai oleh Pengerusinya Datuk Zakaria Salleh mantan Ketua UMNO Bahagian Seputeh. Kedua-dua organisasi ini akan menghantar seramai 30 peserta mewakili Mubarak dan juga Veteran UMNO WP. Selebihnya akan disertai juga oleh pemimpin-pemimpin Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, WP.

Difahamkan ketiga-tiga organisasi ini mempunyai misi untuk membantu memperkuatkan gerak kerja UMNO/BN di Wilayah Persekutuan dalam menghadapi PRU13 khususnya bagi kawasan parlimen yang ditandingi oleh calon-calon UMNO.Dalam PRU12 yang lalu, calon UMNO hanya memenangi di tiga kawasan parlimen iaitu Setiawangsa, Putrajaya dan juga Labuan.

Kerusi parlimen yang dimenangi oleh UMNO ialah di Setiawangsa yang diwakili oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Parlimen Putrajaya pula dimenangi oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, manakala di Labuan ianya dimenangi oleh Datuk Hj Yussof Hj Mahal.

Kawasan-kawasan parlimen lain yang ditandingi oleh calon UMNO seperti Titiwangsa dan Lembah Pantai menyaksikan kedua-duanya kecundang. Titiwangsa yang diwakili Datuk Abdul Aziz Jamaludin tewas di tangan Allahyarham Dr. Lo Lo dari PAS, manakala Datuk Seri Shahrizat Jalil pula tumpas di tangan Nurul Izzah yang mewakili PKR di Lembah Pantai.

Kali ini, UMNO Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mensasarkan kemenangan dengan mengekalkannya di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan yang dianggap sebagai kawasan putih, manakala misi untuk merampas semula kerusi-kerusi yang ditandingi oleh UMNO di Titiwangsa dan Lembah Pantai semakin diperhebatkan dengan meletakkan calon-calon boleh menang di kawasan yang 'kelabu' ini.

BN Wilayah Persekutuan juga mensasarkan impian untuk menawan semula kerusi parlimen Bandar Tun Razak yang telah dimenangi oleh PKR dan juga kerusi parlimen Wangsa Maju yang juga dimenangi oleh PKR. Apakah misi untruk merampas kembali kerusi Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju ini boleh menjadi kenyataan dengan mengguna pakai formula mengUMNOkannya kali ini?

Wangsa Maju mempunyai statistik 57,970 pengundi menyaksikan 52 peratus daripadanya iaitu kira-kira 30,131 pengundi adalah terdiri daripada pengundi-pengundi Melayu; pengundi Cina pula mewakili 37.7 peratus dengan 21,863 pengundi, diikuti pengundi India seramai 5,003 orang iaitu mewakili 8.63 peratus.

Dato' Dr. Mohd Shafei Abdullah
Ketua UMNO Bhg Wangsa Maju

Berdasarkan kepada populasi ini, UMNO Bahagian Wangsa Maju meletakkan harapan tinggi supaya PRU13 kali ini calon UMNO dapat menggantikan MCA bagi menggalas amanah untuk merampas kerusi ini daripada tangan PKR. Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian itu dilihat menjadi calon yang winnable jika UMNO diberikan peluang bertanding nanti.

Mengekalkan semula Yew Teong Look dari MCA yang tewas dalam PRU12 lalu bagaikan mengulangi mimpi ngeri yang dialami oleh BN sebelum ini. MCA tidak harus memaksa dirinya untuk dipertaruhkan dalam PRU13 kali ini, terutama di saat MCA yang tidak lagi serasi dan selenggang dengan kepimpinan UMNO di Wangsa Maju. Yew Teong Look tidak memperlihatkan 'gentlemannya' kerana dia lebih gemar menunjukkan sikap konfrontasinya dengan UMNO, apabila jawatan Penegerusi Penyelaras BN Parlimen Wangsa Maju disandang oleh Shafei Abdullah. Daripada menjaga hati Yew Teong Look yang tidak lagi bersemangat 'espirit de cor' terhadap UMNO, lebih baik kerusi Wangsa Maju ini dikembalikan semula kepada UMNO untuk pencerahan momentum yang lebih kukuh menjelang PRU13.

Begitu juga dengan kerusi parlimen Bandar Tun Razak yang juga tewas di tangan Khalid Ibrahim dari PKR. Bandar Tun Razak mempunyai 89,268 pengundi berdaftar. Pengundi Melayu yang berjumlah 46,767 orang menyaksikan mewakili 52,39 peratus, sementara pengundi Cina pula berjumlah 33,640 orang mewakili 37.68 peratus, manakala pengundi India berjumlah 7,708 orang mewakili 8.63 peratus. Lain-lain berjumlah 377 orang, Bumiputera Sabah 330 orang, Bumiputera Sarawak berjumlah 435 orang, manakala pengundi Orang Asli pula berjumlah 11 orang.

Sebelum ini situasi politik UMNO di Bandar Tun Razak dikatakan membahang juga. Berlakunya pergeseran dalaman di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian ini dilihat tidak menyumbang kepada kekuatan UMNO, apatah lagi kawasan ini bagaikan tradisi milik MCA, pastinya MCA sekali lagi 'demand' untuk bertanding sebagai calon BN dalam PRU13 nanti.

MCA telah mememangi kerusi ini sejak PRU 1986, PRU 1999 dan PRU 2004 sebelum tumpas di tangan Khalid Ibrahim pada PRU12 2008 yang lepas dengan majoriti 2,515 undi. PKR memperolehi 28,123 undi, manakala BN mendapat 25,608 undi. Dari 19 peti undi, PKR menang 15 peti undi, manakala BN hanya menang 4 peti undi sahaja.  Menjelang PRU13 ini UMNO dikatakan berminat untuk meletakkan calonnya sebagai salah satu faktor utama yang memungkinkan kemenangan BN di P.124 Bandar Tun Razak. Apakah MCA merelakan kerusi yang diwarisinya selama ini untuk diserahkan kepada UMNO seperti juga di Wangsa Maju.

Kedengaran beberapa sumber yang menyebut bahawa nama Dato' Haji Salleh Yusop, Ketua Pengarah DBKL juga berada di dalam senarai pendek sebagai winnabe candidate untuk BN di Bandar Tun Razak. Dato' Salleh Yusop adalah Pengerusi Masjid Saidina Othman Al-Affan, dan beliau sendiri tinggal di Taman Mulia, Bandar Tun Razak dan dijangka bersara dari perkhidmatan kerajaan pada Disember 2013 ini.

Datuk Rizalman Mokhtar (Foto kiri), Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak juga dilihat sedang mempersiapkan diri untuk menjadi calon sekiranya UMNO diberikan peluang bertanding kali ini. Gerak kerja yang disusun oleh Bilik Gerakan BN Bandar Tun Razak memperlihatkan kesiapsiagaan BN dalam misi untuk merampas kembali Bandar Tun Razak. Zaharin Mohd Yassin, SU Barisan Nasional Bandar Tun Razak kelihatan begitu pro aktif untuk mensasarkan 'BN di hati Rakyat'. Diharapkan Zaharin lebih menjuruskan iltizam untuk mengkodinasikan jenteranya dengan jentera pilihan raya peringkat UMNO Bahagian Bandar Tun Razak.

Satu lagi kawasan kelabu di  Lembah Pantai yang menjadi milik Nurul Izzah PKR dalam PRU 2008 lepas, kini gerak kerja sedang diperhebatkan oleh UMNO untuk dirampas semula dengan mempertaruhkan Ketua UMNO Bahagiannya Senator Dato' Raja Nong Chik yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebagai calon yang mampu mencipta kemenangan dalam PRU13 ini.

Dengan kekuatan pengundi Melayunya seramai 39,156 iaitu mewakili 55.15 peratus daripada jumlah pengundi seramai 71,002 telah menjadi idaman Raja Nong Chik untuk mempertaruhkan dirinya berhadapan dengan penyandangnya sekarang ini iaitu Nurul Izzah Anwar, Naib Presisden PKR. Sebagai seorang Menteri, tentunya Raja Nong Chik mempunyai banyak advantage untuk mengembalikan semula kerusi Lembah Pantai kepada UMNO/BN.

Dalam PRU12 2008, BN yang diwakili oleh Shahrizat Jalil yang pada masa itu sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Pembangunan Masyarakat kecundang mengejut di tangan Nurul Izzah. Nurul Izzah menang dengan majoriti 2,895 undi. Pada PRU11 2004, BN yang ditentang oleh PKR menang dengan majoriti 15,415 undi.

Raja Nong Chik kena memberikan tumpuan di kawasan-kawasan elit di Bangsar, Bukit Pantai dan sekitarnya yang ternyata tidak menyokong BN. Pengundi Cina juga tetap menjadi masalah yang masih belum dapat dipulihkan bukan sahaja di Lembah Pantai malah di tempat-tempat lain juga menjadi fenomena yang menghantui kebanyakan kerusi-kerusi BN khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kekuatan 55.15 peratus pengundi Melayu di Lembah Pantai bukanlah sesuatu yang solid kepada UMNO, kerana sebahagian besar dari mereka ada yang tidak berganjak untuk memberikan sokongan kepada Nurul Izzah. Difahamkan pengundi Melayu di Kampung Sentosa, Jalan Klang Lama juga menghadapi gejolak kemarahan kepada Raja Nong Chik kerana mereka mendakwa UMNO Bahagian Lembah Pantai telah campur tangan dalam pertukaran Imam Zaid iaitu Imam Masjid di tempat itu. Kira-kira 2,000 penduduk di kampung itu dan Sri Petaling telah menandatangan bantahan terhadap kes ini yang berlaku pada bulan April - Mei 2012. Apa pun Lembah Pantai tetap menjadi perhatian utama kerana pertarungan sengit bakal menyaksikan samada Nurul Izzah atau pun Raja Nong Chik yang kecundang kali ini.

Sementara itu kawasan Parlimen Titiwangsa yang berjaya dirampas oleh PAS pada PRU12 2008 dari tangan UMNO/BN, kali ini UMNO sedang berhempas pulas untuk merampasnya kembali. Dato' Seri Dr Suleiman Mohamed yang pernah menerajui UMNO Bahagian Titiwangsa sejak tahun 1986 telah menjadikan Titiwangsa sebagai benteng terkuat UMNO di Wilayah Persekutuan.
Namun begitu kekuatannya telah dirobek apabila calon UMNO Dato' Abdul Aziz Jamaludin berjaya ditewaskan oleh calon wanita PAS, Dr Lo Lo pada PRU12 yang lalu. UMNO Bahagian Titiwangsa kini sedang mempersiapkan diri untuk menampilkan calon yang winnable dalam misinya untuk mengUMNOkan semula Titiwangsa. Apakah Dato' Johari Ghani (Foto kanan), Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa bernasib baik kali ini untuk menjadi calon menentang PAS dalam PRU13?

Atas kedudukannya yang mengetuai UMNO Bahagian Titiwangsa, sudah tentu beliau merasakan dirinya lebih layak menjadi calon mengatasi kelayakan calon-calon lain seperti Afandi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian, Zuhri Dato' Idris, mantan Ketua Pemuda Bahagian dan juga Mohd Idham Yasser Bin Dato' Seri Suleiman, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa sekarang ini. Nama Dato' Seri Mat Shah Safuan juga disebut-sebut sebagai calon yang winnable bagi kawasan Parlimen Titiwangsa. Apakah kemelut dan bahang ketidakpuasan hati beberapa pihak di peringkat akar umbi terhadap kewibawaan UMNO Bahagian Titiwangsa selama ini memungkinkan pihak lawan akan menyerah kalah kepada UMNO?

Dato' Johari Ghani, perlu segera membuangkan egoistiknya yang menyebabkan banyak pihak di dalam UMNO sendiri yang tidak senang hati terhadap dirinya. Masalah penjaja di Pasar Dato' Keramat, masalah pembangunan Kg Bharu termasuk campur tangannya dalam perlantikan Pengerusi dan Lembaga Perbadanan Kg Bharu yang menerima bantahan oleh orang-orang kampung. Difahamkan sebahagian besar penduduk asal Kg Bharu tidak boleh menerima perlantikan Datuk Astaman Abdul Aziz sebagai Pengerusi Perbadanan Kampung Bharu, sekaligus menjadi efek dan BN dikatakan akan kehilangan besar sokongan pengundi di Kampung Bharu. Dengan meletakkan Titiwangsa sebagai kawasan kelabu, sudah pasti kemenangan BN begitu sukar hendak ditebus kembali, kecuali berlakunya sinergi baru untuk menjernihkan kekeruhan yang dialami selama ini.

Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan yang berada dalam zon putih kini semakin dimantapkan, berbanding Bukit Bintang, Kepong, Seputeh, Cheras dan Segambut yang tidak dapat melepasi 'zon hitam'. Dominasi DAP dan PKR di kawasan-kawasan hitam tersebut amat sukar ditembusi. MCA dan Gerakan dilihat 'lumpuh' dan gagal berfungsi untuk mengembalikan kekuatan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional.

Parlimen Setiawangsa, walaupun ditandakan sebagai 'zon putih' namun jika tidak disusuli dengan program-program mendekati rakyat, dibimbangi UMNO/BN akan berhadapan dengan kejutan-kejutan yang akan ditunjukkan oleh rakyat. Zon putih bukan bermakna UMNO harus selesa dengan mimpi yang indah. Kebanyakan peti-peti undi di Parlimen Setiawangsa dalam PRU12 yang lepas menyaksikan UMNO/BN tidak mendapat sokongan  yang padu. Walaupun BN menghadapi kekalahan di saluran undi, namun BN tetap menang bergaya apabila penjumlahan undi pos memihak kepada BN.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique kelihatan masih berupaya dan mampu mencipta kemenangan sekiranya beliau dicalonkan semula. Namun begitu terdapat sumber yang mengatakan bahawa beliau mungkin tidak bertanding kali ini. Persoalannya, jika bukan beliau siapakah calon winnable yang layak meneruskan legasinya di Setiawangsa ini?

Setiawangsa adalah satu-satunya Bahagian yang telah mencalonkan enam tokoh untuk dipertimbangkan sebagai calon BN dalam PRU13 nanti. Difahamkan nama Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Foto kiri), Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dan nama Seriwani Sabtu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa telah disenarai pendekkan untuk melayakkan diri sebagai calon yang bakal berentap dengan calon PKR di Setiawangsa.

Kedua-dua mereka ini dianggap sebagai pelapis yang direstui oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique. UMNO Bahagian Setiawangsa yang diterajuinya dikatakan tidak akan berhadapan dengan kemelut besar jika salah seorang daripada mereka ini menjadi calon. Sebaliknya, jika berlaku terjunan calon helikopter yang didatangkan dari luar kawasan, sudah pasti akan menjadi masalah yang besar kepada calon berkenaan untuk meraih sokongan akar umbi.

Begitu juga, walauapun nama Datuk Astaman Abdul Aziz dan juga nama Datuk Izudin Ishak turut diuar-uarkan sebagai calon, namun kuasa lonjakan mereka ini dikatakan tidak sekuat dengan lonjakan calon yang direstui oleh UMNO Bahagian itu sendiri. Memilih calon-calon ini juga dikatakan akan mengundang masalah terutama akan menyemarakkan api persengketaan dalaman yang tak berkesudahan.

Parlimen Putrajaya pula masih tegar sebagai 'winnable seat' untuk UMNO/BN. Dato' Seri Tengku Adnan Mansor, .Ahli Parlimen yang sedia ada merupakan orang kuat Ibu pejabat UMNO/BN. Walaupun ada masalah yang kecil yang melibatkan masalah 'rumah' yang dijanjikan sebelum ini, namun sebahagian daripadanya telah pun dilunaskan, hanya sebahagian kecil sahaja lagi yang sedang diambil tindakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya ini.

Begitu juga di Labuan, UMNO masih relevan di pulau itu. Namun begitu, UMNO Labuan jangan terlalu selesa untuk menang, kerana kehadiran tokoh korporat Tan Sri Ibrahim Menudin yang dikatakan akan menjadi calon PKR di Parlimen Labuan bakal menyaksikan pertembungan sengit di antara UMNO dan PKR.
Penulis (Kanan) bersama Yussof Mahal (kiri) di Labuan
Datuk Hj Yussof Hj Mahal, Ahli Parlimen Labuan yang sedia ada  telah menjernihkan semula namanya yang dikaitkan dengan masalah 'insolvensi'. Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan dilihat masih relevan dan amat berpengaruh di kawasannya. Senator Datuk Yunus Kurus, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Labuan dikatakan tidak mempunyai masalah yang besar dengan Datuk Hj Yussof Mahal. Mereka saling bekerjasama untuk menguatkan jentera parti.

Namun begitu, ketika namanya bermasalah sebelum ini, UMNO Bahagian Labuan telah mencalonkan Rozman Bin Dato' Isli., 48 iaitu Setiausaha UMNO Bahagian itu untuk menjadi calon. Datuk Basir, Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan juga dikatakan berminat untuk menjadi calon, jika Datuk Yussof Mahal tidak terpilih.

Satu lagi kawasan kelabu di WP Kuala Lumpur yang perlu diberikan perhatian iaitu Parlimen Batu. Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dari PKR yang sedang berhadapan dengan tindakan Mahkamah di atas keceluparannya mendakwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai suatu sandiwara kerajaan UMNO, harus dipergunakan kesempatan ini untuk UMNO lebih tubi turun ke padang bagi memperjelaskan tindakan biadap Tian Chua itu yang memalukan masyarakat dalam Parlimen Batu.

Kekuatan pengundi Melayu seramai 37,435 orang iaitu sekitar 44.34 peratus daripada 84,424 pengundi bukanlah suatu angka yang meyakinkan BN untuk menang selesa. Pengundi bukan Melayu dari kalangan pengundi Cina dan India dilihat melebihi peratusan kekuatan pengundi Melayu. Jika semua pengundi Melayu yang berjumlah 37,435 orang mengundi BN, masih belum memberi jaminan yang kuat untuk membolehkan BN mampu meraihkan sokongan padu pengundi Cina yang berjumlah 31,921 orang dan juga pengundi India yang berjumlah 13,683 orang. 80 peratus pengundi Cina di Parlimen Batu dikatakan begitu kuat cenderung dengan PKR.

Masalah dalaman UMNO dan Parti Gerakan yang dikatakan masih bergelut dalam menentukan calon untuk PRU13 nanti juga menjadi faktor kebimbangan BN untuk merampas kembali kerusi dari tangan Tian Chua. Ketua UMNO Bahagian Batu juga dilihat masih mencari sumber kekuatan politiknya kerana hampir separuh daripada pemimpin-pemimpin UMNO di Bahagian ini tidak solid di belakangnya.

UMNO harus memberikan kerjasama dengan calon dari Parti Gerakan begitu juga MCA dan juga MIC. Pincang salah satu, bermakna sukar bagi BN untuk menewaskan Tian Chua di Batu.   

Friday, March 15, 2013

TIAN CHUA, AZMIN ALI TELAH DIDAKWA, ANWAR BILA?

 Oleh Abdul Rahman Hashim
Tian Chua telah didakwa, apakah Anwar juga bakal didakwa selepas ini?
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan dirinya juga akan didakwa berhubung dakwaan penglibatannya dengan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
“Tadi (Naib Presiden PKR) Tian Chua kena dakwa..(akta) hasutan..Kemudian semalam (Timbalan Presiden PKR) Azmin (Ali) dipanggil dengan Suruhanjaya Komunikasi..Dengar-dengar saya pula..,” katanya.
Namun begitu pada ceramahnya di Kampung Cempaka, Lancang kelmarin, beliau menegaskan bahawa dirinya tidak gusar untuk berdepan dengan perkara yang disifatkannya sebagai fitnah.
Selain menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah, Ketua Umum PKR itu turut menjelaskan beliau tidak pernah mengadakan sebarang perjumpaan dengan mana-mana pihak yang mengaku sebagai Sultan Sulu.
Sebaliknya Umno, ujar beliau yang mengiktiraf Kesultanan tersebut apabila kerap menjemput wakilnya menghadiri Persidangan Agung mereka.
“Kalau saya terlibat, saudara tahu saya (akan) lawan..tapi tak betul..saya tak pernah jumpa Sultan Sulu. Sultan Sulu itu datang ke Perhimpunan Agung Umno..dia tak pergi Muktamar PAS ataupun Konvensyen PKR..tidak..Dia pergi Persidangan Agung Umno.
“Tapi apakah kita katakan Umno terlibat? Kita tak kata..Umno jumpa Sultan Sulu. Apa yang kita sahkan? Umno jumpa Sultan Sulu..Umno ambil orang Sulu jadi rakyat dan minta jadi ahli Umno..itu sah.
“Tapi kita tidak tuduh Umno terlibat dalam keganasan. Jadi puak ini ‘malaon’ sungguh..Dia boleh fitnah mudah-mudah,” ujar beliau.
Mahkamah semalam menetapkan 12 April sebagai tarikh sebutan kes Tian Chua yang dihadapkan dengan tuduhan hasutan melalui kenyataannya yang mendakwa tindakan anggota keselamatan negara mempertahankan Sabah sebagai 'sandiwara Umno'.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Batu, didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 di mana pada pukul 11 pagi pada 1 Mac, mendakwa tembakan di Lahad Datu adalah satu konspirasi kerajaan Umno.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohamad Sekeri Mamat menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi seorang penjamin.
Sehari sebelumnya, Azmin Ali dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung siasatan konflik di Lahad Datu itu.
Ahli Parlimen Gombak itu dilaporkan hadir bersama peguamnya memberi keterangan kepada suruhanjaya itu di Cyberjaya pada pukul 2.30 petang.
Bagaimanapun menurutnya beliau tidak dimaklumkan secara khusus sebab beliau dipanggil untuk memberi keterangan.
 

Wednesday, March 13, 2013

PENGHORMATAN NEGARA UNTUK DUA WIRA YANG TERKORBAN, ALFATIHAH!

Prebet Ahmad Hurairah, terkorban di Lahad Datu
PM Najib Razak memberikan penghormatan terakhir
Di perkarangan rumah Prebet Ahad Hurairah di Pasir Mas
PM dan Zahid Hamidi memberikan penghormmatan
MB Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat memberikan penghormatan terakhir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Prebet Ahmad Farhan Roslan yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di sini, hari ini sebelum diterbangkan ke Kelantan.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Ziz Nik Mat juga turut berada di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara yang berasal dari negeri Kelantan itu.

DUA ASKAR KITA GUGUR SYAHID..ALFATIHAH!

Prebet Ahmad Hurairah Ismail, gugur syahid...alfatihah!
Dua askar kita terkorban. Allyahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Tujuh Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Tawau telah gugur syahid ketika bertempur dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Lahad Datu, 7.45 pagi kelmarin (12 Mac 2013). Sedekahkan Fatihah untuk perwira muda ini yang telah bersabung nyawanya demi ibu pertiwi tercinta. Air mata ibunya laju berderai selepas menerima berita kematian anaknya yang gugur syahid.
Manakala seorang lagi askar kita, Allahyarham Prebet Ahmad Farhan Ruslan terkorban di dalam satu kemalangan jalan raya ketika mengiringi konvoi menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas dalam Ops Daulat di Lahad Datu.selepas misi penghantran makanan.Sedekahkan Fatihah untuk Allahyarham prebet Ahmad Farhan.

Tuesday, March 12, 2013

TIGA LAGI PENGGANAS SULU DITEMBAK MATI HARI INI

Ops Daulat menjejaki saki baki musuh masih berjalan...
TERKINI: Pada jam 10.34 pagi tadi, Angkatan Tentera Malaysia telah melaporkan berlakunya serang hendap di kawasan ZL 10, Sungai Nyamuk. Beberapa siri berbalas tembakan telah berlaku menyaksikan 3 musuh telah ditembak mati manakala 2 lagi cedera.
Difahamkan musuh yang tercedera telah melarikan diri. Seorang anggota ATM juga telah tercedera ekoran dari pertempuran itu dan telah dikejarkan ke Hospital Sandakan dengan helikopter PDRM. Dilaporkan bahawa tembak menembak masih berlaku.

Sementara itu Polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bangau-Bangau, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, sepasukan polis dari IPD Semporna telkah menyerbu sebuah rumah selepas menerima aduan penduduk setempat yang memaklumkan terdapat individu disyakiu serpihan anggota kumpulan terbabit.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian itu.



Sunday, March 10, 2013

62 PENGGANAS SULU TERBUNUH, KIRAM ENGGAN MENGALAH

Oleh Abdul Rahman Hashim
 
Meskipun jumlah kematian pengikut Jamalul Kiram III meningkat 62 orang selepas operasi DAULAT dilancarkan oleh pasukan keselamatan Malaysia, namun semangat kental keluarga individu yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu tetap mengarahkan anggota kumpulan itu supaya bertahan dan tidak menyerah kalah.
Menurut laporan akhbar dalam talian Filipina ABS CBN News, anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel memberitahu yang bapa saudaranya, Agbimuddin Kiram dan para pengikutnya tidak akan meninggalkan Sabah walaupun menerima serangan bertali arus datang dari pasukan keselamatan Malaysia.
Malah beliau sebaliknya merayu kepada saki-baki kumpulan itu supaya kekal setia bersama Agbimuddin dan mengingatkan kehadiran mereka ke Lahad Datu semata-mata untuk mengambil kembali kampung halaman mereka sepertimana objektif utama mereka sebelum ini.

krisis lahad datu 2013 berita terkini lahad datu 10 mac 2013
"Sila kekal di sana. Ini adalah satu penghormatan buat kehidupan kita semua,” katanya dipetik ABN CBS News
Mereka mahu tinggal di sana. Ia merupakan kampung halaman mereka sendiri dan mereka mahu tinggal di sana secara aman,katanya lagi.
Pendirian Jamalul Kiram yang berusia 74 tahun itu tetap utuh, menurut laporan media antarabangsa beliau rela untuk dipenjarakan bagi membuktikan bahawa tuntutan ke atas Sabah dibuat bukan kerana wang bagi menafikan tuduhan itu.
Kenyataan itu dibuat Kiram III semasa dia melahirkan kesediaan untuk hadir di pejabat Biro Siasatan Nasional (NBI) di Manila selepas mendapat perintah berbuat demikian.
"Tiada wang menjadi taruhan dalam isu ini. Apa yang penting ialah maruah dan kehormatan kami. Impian saya adalah untuk meninggalkan legasi untuk tanah air kami, jelas Kiram
Kita akan menunjukkan kepada dunia bahawa kita memiliki bukti dan hak untuk tinggal di sana (Sabah),tambahnya
Malah, pemimpin tersebut percaya Sabah adalah sebahagian daripada tanah pusaka mereka selepas menerima kawasan di Borneo Utara itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu Kesultanan Brunei menewaskan satu pemberontakan pada 1704

Friday, February 22, 2013

MAJIS SYURA ULAMAK PAS LEBIH PERCAYAKAN KU LI JADI PM DARIPADA NAJIB DAN ANWAR?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tengku Razaeligh sering menikam UMNO namun dia juga berminat
hendak jadi PM di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat?
Boleh percayakah bahawa PAS mahukan Tengku Razalegh Hamzah menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya mengusir UMNO dari Putrajaya menjelang PRU13 nanti? Saya sendiri meraguinya, kerana kenyataan seumpama ini bukanlah suatu kenyataan rasmi yang diputuskan oleh PAS, jauh sekali ia bukan resolusi yang diputuskan oleh Muktamarnya, walaupun kedengaran ada seorang dua perwakilannya yang berhujah sedemikian.
Pada saya, orang UMNO tidak perlu buang karan untuk melihat kebenaran di sebalik andaian tersebut, lagi pun orang PAS tidak akan melayan keresahan ini jika ia datang daripada adu domba orang UMNO apatah lagi ia dimanipulasikan oleh pencacai-pencacai yang bukan dari kalangan yang ada authoriti untuk mengubah ketetapan yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin utama parti-parti yang terdapat di dalam Pakatan Rakyat.
Jika berpandukan kepada indikasi Dr Hasan Ali yang merasakan dirinya lebih murni daripada Anwar Ibrahiam, tentulah dia merasakan dirinya lebih layak menjadi Perdana Menteri jika beliau masih dalam Pakatan Rakyat. Mungkin dia merasakan dirinya lebih bersih berbanding Ku Li yang masih berada di dalam UMNO. Sebab itu Hasan Ali melihat ketinggian ilmu yang dimilikinya jauh lebih baik merentasi tokoh-tokoh hebat bukan sahaja di dalam PAS malah mungkin juga dia beranggapan dirinya lebih cerdik dan bijak daripada Najib termasuk Dr Mahathir sendiri. Setakat Noh Omar, Ismail Sabri, Ali Rustam, Tengku Adnan Mansor dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, mungkin Hasan Ali meletakkan dirinya berada di atas langit manakala mereka yang berkenaan itu hanya layak di letakkan di limbah rumput sahaja.
Begitu jugalah jika kita mempercayai bahawa PAS lebih sukakan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih bersenang lenang di dalam UMNO untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah nanti, merupakan andaian picisan di sebalik ketidakyakinan mereka terhadap Anwar Ibrahim untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri.
Sesi minum teh Anwar & Najib di Dewan Rakyat
Boleh diterima akal ke, Tengku Razaleigh yang akan bertanding atas tiket UMNO berlawan dengan calon PAS di Gua Musang dan menang menewaskan calon PAS berkenaan, kemudian semudah itu pula hendak mempelawa Ku Li menjadi PM? Pada saya daripada memperdayakan Ku Li lebih baik PAS menobatkan presiden mereka sendiri, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang. Apakah mereka tidak meyakini ketokohan Hadi Awang untuk mengepalai pemerintahan negara ini?
Jika itulah kepercayaan mereka, rasanya golongan inilah yang tidak boleh dipercayai berada di dalam parti, kerana mereka mencuba untuk memperdayakan pemimpin mereka sendiri. Apakah benar sikap buruk ini ada pada sebahagian golongan ahli Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat? Apakah dengan hanya berbeza pendapat dalam sesuatu isu yang dipolitikkan, maka ulamak-ulamak ini sanggup pula menghianati asas perjuangan mereka dalam PAS untuk menerajang UMNO dalam PRU13?
Jika benar ada kalangan ulamak PAS berkecenderungan untuk menjadikan Ku Li sebagai PM, ini bermakna mereka sendiri akan mencetuskan masalah dalam parti. Justeru, golongan ini dilihat tidak menghormati malah tidak yakin lagi kepada pucuk pimpinan mereka sendiri semata-mata terkabur dengan silauan yang dimiliki oleh Ku Li. Mungkinkah mereka ada formula terbaik untuk membawa Ku Li keluar daripada UMNO supaya boleh dia menyertai PAS sebelum diangkat menjadi PM? Persoalan lain yang mungkin timbul ialah, apakah Ku Li sanggup keluar UMNO dan masuk PAS? Kalau bukan masuk PAS, kalau bukan masuk PKR atau bukan masuk DAP apakah dia boleh diterima oleh gagasan Pakatan Rakyat untuk menjadi PM? 
Oleh yang demikian teori yang menyatakan bahawa Ku Li lebih layak daripada Anwar menjadi PM seolah-olah juga menafikan kelayakan Najib sebagai Perdana Menteri. Jika begitu, kenapa UMNO berminat sangat untuk memainkan sentimen yang dungu ini? Pada saya, jika terlalu kerap kita menghayunkan isu kononnya PAS lebih sukakan Ku Li daripada Anwar, sedangkan ia tidak mampu untuk merobah ketetapan yang telah dimaterai oleh PAS/PKR/DAP untuk melonjakkan Anwar menjadi PM, maka isu ini hanya membazirkan karan sedangkan Ku Li masih setia dengan UMNO. 
Anwar dibawa oleh Ku Li menyertai UMNO
Pengumuman Anwar menyertai UMNO di hadapan Mahathir, 1982
Kecualilah jika Ku Li memang sedang bermain mata dengan PAS untuk memperdayakan UMNO atau jadikan syarat kemasukan PAS dalam BN kelak, untuk mempastikan Ku Li menggantikan Najib sebagai PM. Apakah UMNO sanggup berkorban untuk menerima syarat PAS ini demi ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini?
Saya percaya jika syarat itulah yang diminati untuk dipersetujui, eloklah Najib mengikut rentak yang sedang dipalu oleh pencacai-pencacai supaya gesaan sebilangan ulamak PAS itu yang berkehendakkan Ku Li jadi PM boleh diterima pakai, dan Najib bersedia pula untuk digantikan. Apakah itu yang kita mahu??
Oleh yang demikian paluan gendang yang menjurus kepada desakan sebilangan Ahli Majlis Syura PAS yang mahukan Ku Li jadi PM bukanlah isu politik yang akan menguntungkan UMNO, sebaliknya ia akan tertendang ke gawang sendiri. Dr Haron Din tidak akan tergamak mengkhianati Hadi Awang, tidak tergamak untuk mengkhianati Nik Aziz semata-mata tidak bersetuju Anwar Ibrahim jadi PM.

 Biarlah mereka bertelagah sesama sendiri, kerana sebenarnya mereka juga tidak mempercayai PM kita untuk mengekalkan kuasanya. Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan Anwar, namun mereka lebih tidak bersetuju dengan Perdana Menteri yang ada, sebab itu mereka nakkan Ku Li menjadi PM. Apa pun Ku Li adalah insan yang bertanggungjawab membawa Anwar ke dalam UMNO sebelum dibawa berjumpa Dr Mahathir.