assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, March 15, 2013

TIAN CHUA, AZMIN ALI TELAH DIDAKWA, ANWAR BILA?

 Oleh Abdul Rahman Hashim
Tian Chua telah didakwa, apakah Anwar juga bakal didakwa selepas ini?
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan dirinya juga akan didakwa berhubung dakwaan penglibatannya dengan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
“Tadi (Naib Presiden PKR) Tian Chua kena dakwa..(akta) hasutan..Kemudian semalam (Timbalan Presiden PKR) Azmin (Ali) dipanggil dengan Suruhanjaya Komunikasi..Dengar-dengar saya pula..,” katanya.
Namun begitu pada ceramahnya di Kampung Cempaka, Lancang kelmarin, beliau menegaskan bahawa dirinya tidak gusar untuk berdepan dengan perkara yang disifatkannya sebagai fitnah.
Selain menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah, Ketua Umum PKR itu turut menjelaskan beliau tidak pernah mengadakan sebarang perjumpaan dengan mana-mana pihak yang mengaku sebagai Sultan Sulu.
Sebaliknya Umno, ujar beliau yang mengiktiraf Kesultanan tersebut apabila kerap menjemput wakilnya menghadiri Persidangan Agung mereka.
“Kalau saya terlibat, saudara tahu saya (akan) lawan..tapi tak betul..saya tak pernah jumpa Sultan Sulu. Sultan Sulu itu datang ke Perhimpunan Agung Umno..dia tak pergi Muktamar PAS ataupun Konvensyen PKR..tidak..Dia pergi Persidangan Agung Umno.
“Tapi apakah kita katakan Umno terlibat? Kita tak kata..Umno jumpa Sultan Sulu. Apa yang kita sahkan? Umno jumpa Sultan Sulu..Umno ambil orang Sulu jadi rakyat dan minta jadi ahli Umno..itu sah.
“Tapi kita tidak tuduh Umno terlibat dalam keganasan. Jadi puak ini ‘malaon’ sungguh..Dia boleh fitnah mudah-mudah,” ujar beliau.
Mahkamah semalam menetapkan 12 April sebagai tarikh sebutan kes Tian Chua yang dihadapkan dengan tuduhan hasutan melalui kenyataannya yang mendakwa tindakan anggota keselamatan negara mempertahankan Sabah sebagai 'sandiwara Umno'.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Batu, didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 di mana pada pukul 11 pagi pada 1 Mac, mendakwa tembakan di Lahad Datu adalah satu konspirasi kerajaan Umno.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohamad Sekeri Mamat menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi seorang penjamin.
Sehari sebelumnya, Azmin Ali dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung siasatan konflik di Lahad Datu itu.
Ahli Parlimen Gombak itu dilaporkan hadir bersama peguamnya memberi keterangan kepada suruhanjaya itu di Cyberjaya pada pukul 2.30 petang.
Bagaimanapun menurutnya beliau tidak dimaklumkan secara khusus sebab beliau dipanggil untuk memberi keterangan.
 

Wednesday, March 13, 2013

PENGHORMATAN NEGARA UNTUK DUA WIRA YANG TERKORBAN, ALFATIHAH!

Prebet Ahmad Hurairah, terkorban di Lahad Datu
PM Najib Razak memberikan penghormatan terakhir
Di perkarangan rumah Prebet Ahad Hurairah di Pasir Mas
PM dan Zahid Hamidi memberikan penghormmatan
MB Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat memberikan penghormatan terakhir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Prebet Ahmad Farhan Roslan yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di sini, hari ini sebelum diterbangkan ke Kelantan.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Ziz Nik Mat juga turut berada di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara yang berasal dari negeri Kelantan itu.

DUA ASKAR KITA GUGUR SYAHID..ALFATIHAH!

Prebet Ahmad Hurairah Ismail, gugur syahid...alfatihah!
Dua askar kita terkorban. Allyahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Tujuh Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Tawau telah gugur syahid ketika bertempur dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Lahad Datu, 7.45 pagi kelmarin (12 Mac 2013). Sedekahkan Fatihah untuk perwira muda ini yang telah bersabung nyawanya demi ibu pertiwi tercinta. Air mata ibunya laju berderai selepas menerima berita kematian anaknya yang gugur syahid.
Manakala seorang lagi askar kita, Allahyarham Prebet Ahmad Farhan Ruslan terkorban di dalam satu kemalangan jalan raya ketika mengiringi konvoi menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas dalam Ops Daulat di Lahad Datu.selepas misi penghantran makanan.Sedekahkan Fatihah untuk Allahyarham prebet Ahmad Farhan.

Tuesday, March 12, 2013

TIGA LAGI PENGGANAS SULU DITEMBAK MATI HARI INI

Ops Daulat menjejaki saki baki musuh masih berjalan...
TERKINI: Pada jam 10.34 pagi tadi, Angkatan Tentera Malaysia telah melaporkan berlakunya serang hendap di kawasan ZL 10, Sungai Nyamuk. Beberapa siri berbalas tembakan telah berlaku menyaksikan 3 musuh telah ditembak mati manakala 2 lagi cedera.
Difahamkan musuh yang tercedera telah melarikan diri. Seorang anggota ATM juga telah tercedera ekoran dari pertempuran itu dan telah dikejarkan ke Hospital Sandakan dengan helikopter PDRM. Dilaporkan bahawa tembak menembak masih berlaku.

Sementara itu Polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bangau-Bangau, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, sepasukan polis dari IPD Semporna telkah menyerbu sebuah rumah selepas menerima aduan penduduk setempat yang memaklumkan terdapat individu disyakiu serpihan anggota kumpulan terbabit.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian itu.



Sunday, March 10, 2013

62 PENGGANAS SULU TERBUNUH, KIRAM ENGGAN MENGALAH

Oleh Abdul Rahman Hashim
 
Meskipun jumlah kematian pengikut Jamalul Kiram III meningkat 62 orang selepas operasi DAULAT dilancarkan oleh pasukan keselamatan Malaysia, namun semangat kental keluarga individu yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu tetap mengarahkan anggota kumpulan itu supaya bertahan dan tidak menyerah kalah.
Menurut laporan akhbar dalam talian Filipina ABS CBN News, anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel memberitahu yang bapa saudaranya, Agbimuddin Kiram dan para pengikutnya tidak akan meninggalkan Sabah walaupun menerima serangan bertali arus datang dari pasukan keselamatan Malaysia.
Malah beliau sebaliknya merayu kepada saki-baki kumpulan itu supaya kekal setia bersama Agbimuddin dan mengingatkan kehadiran mereka ke Lahad Datu semata-mata untuk mengambil kembali kampung halaman mereka sepertimana objektif utama mereka sebelum ini.

krisis lahad datu 2013 berita terkini lahad datu 10 mac 2013
"Sila kekal di sana. Ini adalah satu penghormatan buat kehidupan kita semua,” katanya dipetik ABN CBS News
Mereka mahu tinggal di sana. Ia merupakan kampung halaman mereka sendiri dan mereka mahu tinggal di sana secara aman,katanya lagi.
Pendirian Jamalul Kiram yang berusia 74 tahun itu tetap utuh, menurut laporan media antarabangsa beliau rela untuk dipenjarakan bagi membuktikan bahawa tuntutan ke atas Sabah dibuat bukan kerana wang bagi menafikan tuduhan itu.
Kenyataan itu dibuat Kiram III semasa dia melahirkan kesediaan untuk hadir di pejabat Biro Siasatan Nasional (NBI) di Manila selepas mendapat perintah berbuat demikian.
"Tiada wang menjadi taruhan dalam isu ini. Apa yang penting ialah maruah dan kehormatan kami. Impian saya adalah untuk meninggalkan legasi untuk tanah air kami, jelas Kiram
Kita akan menunjukkan kepada dunia bahawa kita memiliki bukti dan hak untuk tinggal di sana (Sabah),tambahnya
Malah, pemimpin tersebut percaya Sabah adalah sebahagian daripada tanah pusaka mereka selepas menerima kawasan di Borneo Utara itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu Kesultanan Brunei menewaskan satu pemberontakan pada 1704

Friday, February 22, 2013

MAJIS SYURA ULAMAK PAS LEBIH PERCAYAKAN KU LI JADI PM DARIPADA NAJIB DAN ANWAR?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tengku Razaeligh sering menikam UMNO namun dia juga berminat
hendak jadi PM di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat?
Boleh percayakah bahawa PAS mahukan Tengku Razalegh Hamzah menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya mengusir UMNO dari Putrajaya menjelang PRU13 nanti? Saya sendiri meraguinya, kerana kenyataan seumpama ini bukanlah suatu kenyataan rasmi yang diputuskan oleh PAS, jauh sekali ia bukan resolusi yang diputuskan oleh Muktamarnya, walaupun kedengaran ada seorang dua perwakilannya yang berhujah sedemikian.
Pada saya, orang UMNO tidak perlu buang karan untuk melihat kebenaran di sebalik andaian tersebut, lagi pun orang PAS tidak akan melayan keresahan ini jika ia datang daripada adu domba orang UMNO apatah lagi ia dimanipulasikan oleh pencacai-pencacai yang bukan dari kalangan yang ada authoriti untuk mengubah ketetapan yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin utama parti-parti yang terdapat di dalam Pakatan Rakyat.
Jika berpandukan kepada indikasi Dr Hasan Ali yang merasakan dirinya lebih murni daripada Anwar Ibrahiam, tentulah dia merasakan dirinya lebih layak menjadi Perdana Menteri jika beliau masih dalam Pakatan Rakyat. Mungkin dia merasakan dirinya lebih bersih berbanding Ku Li yang masih berada di dalam UMNO. Sebab itu Hasan Ali melihat ketinggian ilmu yang dimilikinya jauh lebih baik merentasi tokoh-tokoh hebat bukan sahaja di dalam PAS malah mungkin juga dia beranggapan dirinya lebih cerdik dan bijak daripada Najib termasuk Dr Mahathir sendiri. Setakat Noh Omar, Ismail Sabri, Ali Rustam, Tengku Adnan Mansor dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, mungkin Hasan Ali meletakkan dirinya berada di atas langit manakala mereka yang berkenaan itu hanya layak di letakkan di limbah rumput sahaja.
Begitu jugalah jika kita mempercayai bahawa PAS lebih sukakan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih bersenang lenang di dalam UMNO untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah nanti, merupakan andaian picisan di sebalik ketidakyakinan mereka terhadap Anwar Ibrahim untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri.
Sesi minum teh Anwar & Najib di Dewan Rakyat
Boleh diterima akal ke, Tengku Razaleigh yang akan bertanding atas tiket UMNO berlawan dengan calon PAS di Gua Musang dan menang menewaskan calon PAS berkenaan, kemudian semudah itu pula hendak mempelawa Ku Li menjadi PM? Pada saya daripada memperdayakan Ku Li lebih baik PAS menobatkan presiden mereka sendiri, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang. Apakah mereka tidak meyakini ketokohan Hadi Awang untuk mengepalai pemerintahan negara ini?
Jika itulah kepercayaan mereka, rasanya golongan inilah yang tidak boleh dipercayai berada di dalam parti, kerana mereka mencuba untuk memperdayakan pemimpin mereka sendiri. Apakah benar sikap buruk ini ada pada sebahagian golongan ahli Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat? Apakah dengan hanya berbeza pendapat dalam sesuatu isu yang dipolitikkan, maka ulamak-ulamak ini sanggup pula menghianati asas perjuangan mereka dalam PAS untuk menerajang UMNO dalam PRU13?
Jika benar ada kalangan ulamak PAS berkecenderungan untuk menjadikan Ku Li sebagai PM, ini bermakna mereka sendiri akan mencetuskan masalah dalam parti. Justeru, golongan ini dilihat tidak menghormati malah tidak yakin lagi kepada pucuk pimpinan mereka sendiri semata-mata terkabur dengan silauan yang dimiliki oleh Ku Li. Mungkinkah mereka ada formula terbaik untuk membawa Ku Li keluar daripada UMNO supaya boleh dia menyertai PAS sebelum diangkat menjadi PM? Persoalan lain yang mungkin timbul ialah, apakah Ku Li sanggup keluar UMNO dan masuk PAS? Kalau bukan masuk PAS, kalau bukan masuk PKR atau bukan masuk DAP apakah dia boleh diterima oleh gagasan Pakatan Rakyat untuk menjadi PM? 
Oleh yang demikian teori yang menyatakan bahawa Ku Li lebih layak daripada Anwar menjadi PM seolah-olah juga menafikan kelayakan Najib sebagai Perdana Menteri. Jika begitu, kenapa UMNO berminat sangat untuk memainkan sentimen yang dungu ini? Pada saya, jika terlalu kerap kita menghayunkan isu kononnya PAS lebih sukakan Ku Li daripada Anwar, sedangkan ia tidak mampu untuk merobah ketetapan yang telah dimaterai oleh PAS/PKR/DAP untuk melonjakkan Anwar menjadi PM, maka isu ini hanya membazirkan karan sedangkan Ku Li masih setia dengan UMNO. 
Anwar dibawa oleh Ku Li menyertai UMNO
Pengumuman Anwar menyertai UMNO di hadapan Mahathir, 1982
Kecualilah jika Ku Li memang sedang bermain mata dengan PAS untuk memperdayakan UMNO atau jadikan syarat kemasukan PAS dalam BN kelak, untuk mempastikan Ku Li menggantikan Najib sebagai PM. Apakah UMNO sanggup berkorban untuk menerima syarat PAS ini demi ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini?
Saya percaya jika syarat itulah yang diminati untuk dipersetujui, eloklah Najib mengikut rentak yang sedang dipalu oleh pencacai-pencacai supaya gesaan sebilangan ulamak PAS itu yang berkehendakkan Ku Li jadi PM boleh diterima pakai, dan Najib bersedia pula untuk digantikan. Apakah itu yang kita mahu??
Oleh yang demikian paluan gendang yang menjurus kepada desakan sebilangan Ahli Majlis Syura PAS yang mahukan Ku Li jadi PM bukanlah isu politik yang akan menguntungkan UMNO, sebaliknya ia akan tertendang ke gawang sendiri. Dr Haron Din tidak akan tergamak mengkhianati Hadi Awang, tidak tergamak untuk mengkhianati Nik Aziz semata-mata tidak bersetuju Anwar Ibrahim jadi PM.

 Biarlah mereka bertelagah sesama sendiri, kerana sebenarnya mereka juga tidak mempercayai PM kita untuk mengekalkan kuasanya. Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan Anwar, namun mereka lebih tidak bersetuju dengan Perdana Menteri yang ada, sebab itu mereka nakkan Ku Li menjadi PM. Apa pun Ku Li adalah insan yang bertanggungjawab membawa Anwar ke dalam UMNO sebelum dibawa berjumpa Dr Mahathir.

Friday, February 15, 2013

FENOMENA GANGNAM STYLE & BN STYLE UNTUK SAPU BERSIH PULAU PINANG?

Oleh Abdul Rahman Hashim

PSY nama sebenarnya PARK JAE-SANG
FENOMENA PSY GANGNAM STYLE UNTUK BN PULAU PINANG
Saya pun hairan macam mana lagu 'Oppa Gangnam Style' nyanyian PSY atau nama asalnya 'Park Jae-Sang' dari Korea Selatan ini tiba-tiba menjadi suatu fenomena dalam dunia entertainment dewasa ini. Kalau dahulu nama peninju sensasi dunia Muhamad Ali juga merupakan fenomena dalam sukan 'boxing', kini PSY@Gangnam Style adalah suatu jenama yang menjadi kegilaan bukan sahaja kepada giolongan muda, malah cendekiawan politik negara kita juga turut terpalit untuk merakyatkan 'Gangnam Style' kot-kot boleh memukau rakyat akar umbi supaya boleh menyokong BN khususnya di Pulau Pinang menjelang PRU13.
Peninju dunia Muhamad Ali pernah dibawa ke Kuala Lumpur oleh Pemuda UMNO pada 1 Julai 1975 untuk mengadakan perlawanan tinjunya dengan Joe Bugner. Hari ini pula Pemuda Gerakan Pulau Pinang yang disokong oleh kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan telah sanggup membawa Park Jae-Sang @ PSY untuk membuat persembahan hanya lebih kurang 4 minit sahaja sempena sambutan Tahun Baru Cina di Padang Kolej Han Chiang di Pulau Pinang pada 11 Februari lepas.
Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak, isteri dan anak-anaknya juga turut menyaksikan 'Gangnam Style' bersama-sama 80,000 ribu rakyat Pulau Pinang, namun saya agak kecewa dan terasa malu apabila rakyat Pulau Pinang yang hadir pada hari tersebut tidak menghormati Najib dengan berkata 'NO' apabila Najib bertanya 'Are u Ready For BN' sebanyak tiga kali.
Jawapan YES untuk PSY menggambarkan mereka yang hadir hanya untuk berhibur dengan penyanyi fenomena Oppa Gangnam Style itu, tetapi sorakan NO telah dijawab di hadapan Perdana Menteri sebagai penolakan spontan mereka kepada BN. 
Parti Gerakan atau pun MCA seharusnya membuat raptai terlebih awal dengan menampilkan kumpulan soraknya (Cheers Group) yang di tempatkan di hadapan pentas utama, supaya suara YES kepada BN lebih bergema daripada suara NO yang menolak BN.
Najib pun satu hal, sepatutnya apabila kedengaran suara NO for BN...janganlah diulang soalan yang sama  sampai tiga kali. Kalau soalan pertama 'Are u Ready For BN' dijawab NO, sepatutnya ajukanlah soalan lain ataupun mengajak rakyat supaya bersedia untuk menghadapi PRU13, kerana BN sentiasa yakin bahawa rakyat akan menentukan pilihan kerajaan yang terbaik untuk masa depan 1 Malaysia. 
PSY pun sepatutnya menghargailah jemputan BN Pulau Pinang dan beri muka lah sikit pada PM. Kenapa susah sangat nak naik ke pentas bersama-sama Perdana Menteri Malaysia untuk menggaul mee Yee Sang yang telah sedia terhidang? Oh, mungkin PSY merasakan bayaran pakej bayaran RM2.3 juta itu hanya untuk menyanyi satu lagu@4 minit, dan ia tidak termasuk menggaul mee bersama Perdana Menteri. Mungkin kalau dia akan menggaul mee bersama Perdana Menteri, maka ada caj tambahan RM1 juta kot?
Pemuda Gerakan Pulau Pinang sepatutnya dari awal memberitahu PSY bahawa bayaran RM2.3 juta itu bukan sahaja menyanyi satu lagu 'Oppa Gangnam Style' tetapi ia juga termasuk 'Menggaul Mee Yee Sang' bersama Dato' Sri Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor serta VIP's yang lainnya.
PM NAJIB TERNANTI-NANTI PSY UNTUK GAUL MEE BERSAMANYA
Pada saya keengganannya untuk menggaul mee Yee Sang itu merupakan aksi 'kebiadapannya' bukan sahaja kepada Perdana Menteri Malaysia, bahkan ia menggambarkan ketidak siumannya terhadap perayaan Tahun Baru Cina yang sedang diraikan oleh BN Pulau Pinang. Tolong jangan jemput lagi 'GANGNAM STYLE' ini! Kalau boleh gamkan sahaja lagu ini daripada siaran radio milik kerajaan BN, kerana terbukti ia memalukan BN di negeri Pulau Muitara itu.
Saya percaya jika perlakuan yang sama berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang menganjurkan majlis ini di hadapan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, pasti ia dipolemikkan bahkan akan menjadi sorakan pula oleh puak-puak UMNO/BN. Bukan itu sahaja, mungkin Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan yang sekutu dengannya akan tidak henti-henti siang dan malam hingga ke dini hari mensensasikan tindakan PSY yang telah menghina kerajaan Pakatan Rakyat. PSY tentunya akan diheret dalam kancah perbalahan politik. Sekarang ini pun PSY dilihat telah diheret oleh Barisan Nasional, namun insiden PSY di Pulau Pinang ini telah disensasikan oleh TV Singapura untuk edise seluruh dunia yag  memalukan Perdana Menteri.
Alasan kononnya PSY diancam untuk dibunuh jika menggaul mee bersama Najib di atas pentas adalah satu andaian yang tidak bijak. Persoalannya benarkah negara kita tidak selamat untuknya. Kalau ia benar tidak selamat, mengapa menggaul mee sahaja tak selamat, bagaimana pula dengan persembahannya di pentas yang sama? Nampak sangat ia merupakan alasan cover line seolah-olah orang yang hendak mengancam keselamatannya tidak jadi berbuat sedemikian setelah terhibur dengan persembahan GANGNAM STYLE.
Apa pun tahniah kepada pihak polis kerana berjaya mengawal keselamatan PSY daripada terus menerima ancaman tersebut. PSY tak diapa-apakan malah beliau boleh berbangga kerana Malaysia adalah negara yang paling selamat. PSY dikhabarkan telah balik ke negaranya Korea Selatan pada malam itu juga (Kira-kira jam 2:00 pagi) telah berada di Lapangan Terbang Pulau Pinang dengan kawalan ketat tanpa diketahui oleh orang awam. Saya tak menjangkakan PSY telah meminta maaf kepada BN atau kepada PM di atas ketidaksiumannya itu.
Demikianlah satira politik PSY@GANGNAM STYLE untuk BN STYLE di Malaysia dalam pasca PRU13. Semoga BN dapat membuat pukulan TKO bersama Gangnam Style kepada DAP yang sedang memerintah Pulau Pinang? Bukan sahaja Pulau Pinang, malah TV3 setiap malam telah mensyahdukan bahawa BN kononnya boleh menyapu bersih termasuk Kelantan? 
Daripada Gangnam Style lebih baik saya tonton filem Lagenda P. Ramlee '6 Jahanam' yang berjaya mengesan dan menamatkan riwayat musuhnya.