![]() |
| Hari Pemasyuran Negara Malaysia, 16 September 1963 |
![]() |
| Hari Pemasyuran Malaysia di Sabah |
![]() |
| Hari Pemasyuran Malaysia di Sarawak |
Malaysia adalah negara unik di mana ia mempunyai dua tarikh 'keramat'. Pada 31 Ogos setiap tahun semenjak 1957, negara kita merayakan kebebasan daripada penjajahan dan ini dikenali sebagai 'Hari Merdeka', manakala 16 September semenjak 1963, negara kita merayakan ulangtahun pembentukan Malaysia, di mana hari ini ia dikenali sebagai 'Hari Malaysia'. Tahun ini kita merayakan Hari Kemerdekaan 55 tahun, sementara Hari Malaysia pula merupakan yang ke-49 tahun.
Tanpa 31 Ogos 1957, tidak akan wujud tarikh 16 September 1963. Begitu juga tanpa pengorbanan para pejuang kemerdekaan pada masa lampau untuk mencapai kebebasan tahun 1957, tidak akan ada sebuah Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963. Tentulah banyak kisah suka dan duka di sebalik rentetan perjuangan ini.
Kita wajar bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pejuang-pejuang kemerdekaan ini kerana jiwa patriotik merekalah yang melunturkan kesombongan pihak penjajah untuk menyerahkan negara ini kepada empunyanya. Rakyat negara ini telah bangkit sekian lama untuk menuntut hak mereka supaya kolonial penjajah tidak terus mencengkam kehidupan mereka.
Di bumi semenanjung muncul beberapa nama yang disinonimkan sebagai pejuang kebebasan yang berjiwa pendekar dan bersemangat kental untuk berhadapan dengan gerombolan penjajah. Nama-nama seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau merupakan anak jati Melayu yang sanggup berkorban apa saja walau bergadai nyawa, namun untuk tunduk dengan 'orang putih' tidak sekali-kali mereka turuti. Datuk Maharaja Lela mati di tali gantung, begitu juga Tok Janggut diburu dan diheret ke tali gantung secara hina oleh puak Inggeris yang melabelkan pahlawan bangsa ini sebagai pemberontak, pembelot dan penderhaka yang mengganas.
Di Sarawak pula muncul pejuang-pejuang yang berani mati demi tanah airnya seperti 'Panglima Rentap' pahlawan Iban yang berhati waja yang digeruni oleh orang putih. Begitu juga nama Rosli Dhobi seorang anak muda Melayu jati Sarawak yang bencikan orang putih sanggup ke tali gantung apabila beliau memberanikan dirinya membunuh Gabenor Inggeris Sir Duncan Stewart yang melawat Sibu pada 3 Disember 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari tersebut, Rosli Dhobi telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dibubuh racun. Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”
Sebelum mati di tali gantung, Rosli Dhobi sempat menulis surat untuk keluarganya. Diantara kandungan surat itu Rosli menulis, "Selimutilah jenazah anakanda nanti dengan Panji Kebangsaan Sarawak'.
Di Sabah pula, Pahlawan Mat Salleh amat dikagumi dengan keberaniannya menentang penjajah British yang mencengkam kehidupan rakyat peribumi. Mat Salleh terlibat dalam peperangan demi peperangan dengan pihak penjajah Briish. Tentera British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Saleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya. Peristiwa ini berlaku pada tanggal 31 Januari 1900. Mat Salleh dikatakan baru sahaja mengambil wuduk untuk mengerjakan solat sebelum ditembak.
Demikian cebisan sejarah perjuangan silam sehingga terbentuknya Malaysia. Tokoh-tokoh politik tersohor yang membawa kepada pembentukan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang mencetuskan idea supaya Sarawak dan Sabah bergabung untuk pembentukan Malaysia. Nama-nama tokoh politik tempatan seperti Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen (di Sabah) begitu juga Tun Jugah anak Barieng, Tawi Sli, Kalong Ningkan di Sarawak yang turut mewarnai pembentukan Malaysia.
Walaupun wujudnya penentangan dari segelintir yang tidak inginkan negeri mereka berada di dalam Malaysia, namun akhirnya mereka akur untuk sama-sama membentuk Malaysia/ Sejarah penentangan oleh penyokong-penyokong komunis di Sarawak supaya Bumi Kenyalang ini tidak berada di dalam Malaysia telah menyebabkan negeri Sarawak tidak tenteram, kerana PARAKU telah bekerjasama dengan gerombolan Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) di Indonesia mengangkat senjata menyerang Sarawak. Projek GANYANG MALAYSIA yang dicetuskan oleh Presiden Sukarno telah menyemarakkan lagi penentangan komunis di Sarawak untuk menggagalkan pembentukan Malaysia.
Rupa-rupanya bukan mudah pembentukan Malaysia ini. Usaha meMalaysiakan 11 negeri di semenanjung dan 2 buah negeri di Pulau Borneo tidak sekadar ditentang oleh puak militan komunis di Sarawak, bahkan negara-negara jiran seperti Filipina dan Indonesia tidak senang hati dengan terbentuknya Negara Malaysia. Berbagai daya usaha diplomatik telah dilakukan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra ketika itu untuk meredakan ketegangan negara-negara serantau yang mencemburui pembentukan Malaysia ini.
Ingatlah, bahawa Malaysia dibentuk adalah untuk memperkuatkan entiti negara bangsa yang telah dirantai oleh imperialis Inggeris sejak zaman berzaman. Kita juga kena akur tanpa Sarawak dan Sabah tidaklah wujudnya negara Malaysia! Sebagai rakyat yang cintakan negara ini, kita semua hendaklah menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada Malaysia, bukannya kepada musuh yang memusuhi negara ini.
Musuh di dalam selimut juga hendaklah beringat bahawa tindakan memusuhi negara sendiri juga merupakan ancaman yang boleh menggugat kemakmuran yang dibina selama ini. Kepelbagaian anutan parti-parti politik di negara ini janganlah sampai kita tidak tahu lagi bahawa Malaysia adalah negara kita bersama, bukannya negara milik persendirian parti-parti tertentu. UMNO, PKR, PAS, DAP, PBB, SPDP, PRS, SUPP, MCA, MIC, GERAKAN, UPCO, LDP, PBS, UPKO, IPF termasuk PERKASA dan 'what ever' NGO yang lainnya hendaklah sentiasa berada dalam satu kepompong, satu bumbung dan 1MALAYSIA.Berbeza haluan politik bukan bermakna kita harus menyisihkan diri dari mencintai negara sendiri.
Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Generasi muda hari ini perlu menjiwai sejarah dan peristiwa penting pembentukan Malaysia ini, kerana kita tidak mahu wujudnya generasi yang tidak peka dengan kemerdekaan negaranya sendiri.Selamat Hari Malaysia!












