assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, August 22, 2012

MENGAPA HUDUD DIHINA SEBEGITU RUPA?

Oleh Abdul Rahman Hashim 
Dia lawyer yang tidak arif hukum hakam Islam

Menjelang hari lebaran Eid Mubarak, isu HUDUD nampaknya semakin dihina dengan berbagai kecelaruan yang dikelirukan. Kedangkalan mereka yang bukan beragama Islam terhadap syariat Islam rasanya bukanlah perkara yang pelik kerana mereka tak pernah mengaji dan membaca Al-Quran, tetapi penolakan syariat Islam yang ditanzilkan menerusi wahyu Allah oleh mereka yang mengakui beragama Islam telah menyamakan diri mereka dengan kejahilan mereka yang bukan beragama Islam. 
Jika pun hukum hudud hendak dilaksanakan di negara ini menggantikan undang-undang sivil dalam menangani masalah jenayah dan sosial, perlaksanaanya hanya di kalangan umat Islam sebagai sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri. 
Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang menghina dan mempersenda agama Islam. Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media tertentu atau pemimpin politik tertentu jelas tidak membina dan tidak mendidik kepatuhan masyarakat Islam terhadap agamanya sendiri. Jika Hudud dianggap tidak sesuai dan kejam, seolah-olah masih ada was-was di kalangan kita terhadap kesyumulan Islam. Kalau kita tidak buat salah, kenapa perlu takut dengan Hudud?
Tidak perlu kita khuatir apabila Karpal Singh (DAP) dan Chua Soi Lek (Presiden MCA) menentang hukum Hudud dan menolak perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini, kerana mereka bukannya penganut agama Islam. Tetapi isu penolakan mereka terhadap Islam ini bagaikan memerangkap UMNO, kerana parti ini juga dilihat tidak bersedia bahkan seolah-olah menolak perlaksanaan hudud dengan berbagai alasan demi menjaga hati pemimpin MCA?
Jika hendak menjaga hati MCA yang bersekongkol dengan BN, samalah juga untuk melaga-lagakan DAP supaya terus mengecam PAS yang bersekutu dengan mereka di dalam Pakatan Rakyat. PAS dikatakan mempelopori perlaksanaan hukum Hudud, namun ia ditentang hebat oleh dua tiga kerat pemimpin DAP yang tidak memahami malah begitu jahil dengan konsep hukum hakam Islam. 
MCA yang sekutu dengan UMNO tidak kurang hebatnya mencerca hukum Allah itu, tetapi penentangan MCA terhadap Islam tidak dikecam oleh UMNO. PERKASA yang sentiasa membodek UMNO dan mengecam Karpal Singh juga membisu apabila pemimpin MCA itu menghina agama Islam. 
Nampaknya penghinaan dan pembelaan HUDUD telah menyebabkan Islam semakin dipersendakan. Hudud ditohmahkan sebagai kejam dan 'barbaric'. Kenyataan pemimpin kita (UMNO) yang menolak perlaksanaan Hudud di negara ini tidak dianggap berdosa oleh ulamak tertentu yang menjatuhkan hukum berdosa jika menyokong DAP. DAP difatwakan sebagai KAFIR HARBI oleh ulamak kebanggaan Utusan Malaysia itu, tetapi dia tidak tergamak pula untuk mengkafirharbikan MCA yang turut menghina Hudud. 
Akhbar milik UMNO ini kelihatannya tidak berani untuk menyatakan bahawa Dr. Mahathir dan PM sekarang ini juga telah menolak HUDUD semata-mata kerana mereka ini adalah pemimpin UMNO. Memangsakan PAS yang perjuangkan hudud telah menyebabkan UMNO tersepit untuk memartabatkan syariat Islam. 
Saya yang faqir ini mengharapkan janganlah ulamak pondok yang didewakan oleh Utusan Malaysia itu turut memyiarkan bahawa menyokong UMNO juga haram dan berdosa persis DAP. Na'uzubillah!

Tuesday, August 21, 2012

SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN

Abdul Rahman Hashim
Panitia blog locengwangsa dengan penuh takzim mengucapkan 'Salam Eidulfitri Minal 'Aidin Wal-Faizin' kepada semua taulan dan rakan-rakan seagama yang cintakan Islam khususnya yang sering menjengah blog ini. Hamba yang faqir ini tidak lupa untuk menyusun sepuluh jari memohon kemaafan zahir dan batin kepada sesiapa jua yang merasakan ada keterlanjuran bicara selama saya menzahirkan pandangan di dalam posting blog ini.
Saya mendoakan keampunan di sisi Allah seterusnya memohon hidayahNya dalam meneruskan kehidupan di alam fana ini. Semoga panji-panji kebesaran Ilahi ini dapat diterjemahkan dengan penuh keinsafan untuk memperkasakan kesucian Islam yang dianuti oleh kita semua tanpa mengira kabilah politik yang dipegangi. Ingatlah juga, bahawa kita semua bersaudara. 

Friday, August 10, 2012

SETIAWANGSA BOLEH REBAH JIKA UMNO LEMAH

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Trio pemimpin UMNO Setiawangsa
Dari Kanan: Zulhasnan, Halim Samad dan Fauzi Zahari  

UMNO Bahagian Setiawangsa akan bersidang pada Sabtu ini, 11 Ogos 2012. Persidangan yang diadakan dalam bulan puasa ini memang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun ia bukannya satu kesalahan yang pelik kecuali mereka yang memang menggemari untuk mencari kesalahan semata-mata tebalnya sifat kebencian terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Samada suka ataupun sebaliknya, Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa akan tetap berlangsung pada tarikh yang telah ditetapkan. Kali ini 50 cawangan akan menghantar wakil masing-masing termasuk wakil-wakil Wanita, Pemuda dan juga Puteri.
Walaupun persidangan pada tahun ini tidak membabitkan pemilihan jawatan, namun ia tetap menarik kerana  persidangan kali ini diadakan begitu hampir dengan musim PRU13 yang bakal disebut-sebut akan diadakan samada pada bulan September ini ataupun mungkin juga selepasnya.
Parlimen Setiawangsa satu-satunya kawasan parlimen yang telah dimenangi oleh UMNO di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain Putrajaya dan juga Labuan. Kawasan ini dikatakan selamat dan dikategorikan sebagai kawasan putih untuk UMNO/BN di WP. Zulhasnan Rafique yang telah tiga penggal bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini, dikatakan berada dalam kedudukan yang begitu selesa untuk dikekalkan bertanding semula di Parlimen Setiawangsa buat penggal yang keempat pada PRU13.
Walaupun wujudnya spekulasi saingan dalam penonjolan diri beberapa calon yang lainnya, namun difahamkan nama Zulhasnan Rafique menjadi sebutan dalam 'senarai pendek' oleh pihak Jasa, Kemas mahupun di peringkat perisikan politik MIO dan juga Cawangan Khas PDRM.
Nama-nama calon lain yang turut menunjukkan idaman ialah Datuk Seri Abdul Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang menjadi Pengerusi KUB sekarang ini. Populariti nama Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa juga membayangi potensi sekiranya nama Zulhasnan tidak lagi dicalonkan. Beliau disifatkan calon baru yang winnable, malah beliau dilihat sebagai calon yang 'seiring dan sejalan' dengan era kepimpinan Zulhasnan Rafique.

Saya (kanan sekali) bersama Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Tengah)
dan Ahmad Laili Tajul Arus (Kiri sekali)

Saya menjangkakan Fauzi Zahari lebih disenangi oleh Zulhasnan jika Ketua UMNO Bahagian itu tidak dicalonkan semula kali ini. Penyerahan baton ke tangannya lebih bersifat memenuhi kelangsungan politik yang diwarisi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang boleh dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.
Nama Datuk Astaman Abdul Aziz dan juga nama Datuk Izudin Ishak juga menjadi sebutan. Kedua-dua tokoh ini dilihat tidak selenggang dengan kepimpinan Zulhasnan walaupun mempunyai pengikut tersendiri di dalam arena politik UMNO di Bahagian Setiawangsa. 
Datuk Izudin dilihat berkecenderungan untuk menyelitkan diri dalam penonjolan namanya menerusi pembabitan saingan G7 yang akan beliau tandingi di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sabtu ini. Sudah tentu beliau mengharapkan kemenangan paling atas dalam saingan G7 kali ini untuk membuktikan pengaruh politiknya masih tegar di Setiawangsa. Beliau sendiri merasakan peluang untuk menjadi calon dalam PRU13 nanti bukanlah memihak kepada dirinya, namun ambisi politiknya di Bahagian ini tetap berakar.
Peluang mencari calon winnable di Setiawangsa tidak setakat nama-nama besar yang saya sebutkan di atas. UMNO Bahagian Setiawangsa sendiri turut menamakan Ketua-Ketua sayapnya seperti nama Hairunnisha Ismail (Ketua Wanita), Azmi Badarudin (Ketua Pemuda) dan juga Seriwani Sabtu (Ketua Puteri) untuk disenaraikan pendekkan sebagai calon pilihan.
Dalam keghairahan UMNO untuk mencari calon yang winnable di Setiawangsa, tiba-tiba kedengaran spekulasi bahawa kemungkinan calon MCA akan diletakkan bertanding di Parlimen Setiawangsa sebagai tukar ganti dengan Parlimen Wangsa Maju yang dikatakan akan dikembalikan semula kepada calon UMNO. Sejauh mana rasionalnya Setiawangsa akan ditandingi oleh MCA, ianya masih kabur bahkan jika ia menjadi kenyataan kemungkinan BN Setiawangsa bakal rebah di tangan pembangkang akibat kejutan yang menimpa UMNO.
Diharapkan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa kali ini tidak dibahangkan dengan situasi hangat semberono semata-mata untuk perjuangan menentukan calon yang layak oleh pencatur dan pengikut calon masing-masing. Kita mesti memperkasakan jentera pilihan raya yang sudah pun terbentuk. Jangan ada elemen menendang gol ke gawang sendiri.
Sewajarnya kita menghindarkan diri daripada pergelutan yang membawa kepada pertikaman sehingga membunuh rakan seperjuangan. Musuh politik yang sebenarnya adalah golongan yang bermusuh dengan perjuangan parti kita, bukannya beramuk dengan rakan separti yang tidak sekabilah dengan kita. 
Apa gunanya kita mensabotaj parti semata-mata tokoh idaman kita tidak menjadi calon dalam pilihan raya nanti, akibatnya parti menjadi lemah dan kecundang. Jika kita taksub dengan percaturan sedemikian, tanpa disedari kita juga mendorong orang lain melakukan perbuatan yang sama apabila calon mereka tidak terpilih. Apa pun saya tidak terkejut jika calon MCA yang terpilih bertanding di Setiawangsa akibat perkelahian sesama sendiri di dalam UMNO. Selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa. Perkasakan UMNO supaya jangan rebah.

Friday, July 27, 2012

BN SABAH SEMAKIN LEMAU?

Wilfred Mojolip Bumburing dan Lajim Ukin 
akan sertai  PKR?
  
Oleh Abdul Rahman Hashim 

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dikhabarkan akan terbang ke Sabah sabtu ini (28 Julai). Walaupun beliau akan terlibat dengan beberapa program berbuka puasa bersama rakyat di sana, namun yang pasti beliau juga akan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin UMNO/BN negeri Sabah untuk mendapatkan maklumat terkini tentang badai yang bakal melanda politik UMNO Sabah, terutama melibatkan dua Ahli Parlimen BN yang dikatakan akan meninggalkan parti masing-masing untuk menyeberangi 'Pakatan Rakyat' dalam masa yang terdekat ini.
Keributan politik Sabah yang semakin kencang sekarang ini melibatkan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Ahli Parlimen Beaufort yang menjadi Timbalan Perumahan dan Kerajaan Tempat daripada UMNO dan yang terbaru melibatkan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing, Ahli Parlimen Tuaran yang juga Timbalan Presiden, United Pasokmomugun Kadazan Dusun Organization (UPKO). 
Kedua-dua tokoh politik Sabah ini dikatakan akan membuat pengumuman penting tentang masa depan politik mereka pada hari Ahad ini di Sabah. Wilfred sendiri yang telah meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi BN Parlimen Tuaran baru-baru ini dikatakan akan membuat pengumuman penting penyertaannya di dalam PKR di dalam satu majlis di Dalit, Tuaran. Difahamkan Lajim Ukin juga akan membuat pengumuman muktamad untuk meninggalkan UMNO pada hari yang sama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dijangka akan berada di Sabah Ahad ini untuk menyertai 'majlis sayonara BN' yang melibatkan Wilfred dan Lajim. Apakah kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah sehari lebih awal daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memujuk kedua-duanya supaya tidak mengkhinati Barisan Nasional. 
Kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam misi memujuk ini bermakna Barisan Nasional Sabah bakal ditimpa musibah, kerana difahamkan kedua-dua tokoh berkenaan ini amat berpengaruh dan mereka mampu pula untuk memecahkan tembok besar yang boleh merobah lanskap politik Sabah, malah senario ini juga memberi impak yang besar buat BN yang mengharapkan Sabah terus dominan sebagai 'deposit tetap' kepada Barisan Nasional untuk penerusan talian hayatnyamenjelang PRU13.
Apakah akan ada lagi siri mensayonarakan Barisan Nasiponal selepas Wilfred dan Lajim melakukan kejutan ini? Apa yang pasti ialah Wilfred dan Lajim bukan berseorangan dalam merangka tindakan politik ini, malah sebelum ini Datuk Yahya Lampong juga telah pun meninggalkan UMNO. Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam juga telah mendahului Lajim dan Wilfred meninggalkan UMNO/BN. Potensi beberapa orang lagi Ahli Parlimen BN Sabah yang akan urut melompat semakin bertiup kencang. Kelibat seorang Ahli Parlimen UMNO yang sering menyambut Anwar di Lapangan Terbang Kota Kinabalu juga indikasi yang kuat bahawa akan ada lagi yang menyusul untuk menyertai PKR.
Sama-samalah kita menantikan apakah hasil yang boleh Muhyiddin lakukan dalam misinya Sabtu ini. Kegagalan Muhyiddin juga bermakna Anwar telah berjaya memuktamadkan Lajim Ukin & Wilfred Bumburing berada di dalam Pakatan Rakyat. Kejayaan BN memenangi 24 kerusi daripada 25 kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam PRU12 yang lepas mungkin sukar lagi dicapai, malah kemelut ini semakin membuatkan Najib tidak lagi konsisten untuk mengilhamkan tarikh PRU13. Semakin dilewatkan PRU13, BN bagaikan biskut yang lemau akibat serangan angin menembusi peti besi.

Saturday, July 21, 2012

WANGSA MAJU MILIK UMNO, SETIAWANGSA MILIK MCA?

Dato' Dr Mohd. Shafei Abdullah 
di dalam satu program rakyat di Wangsa Maju.
Dato' Dr Tan Kwee Kwong bakal calon PKR di Wangsa Maju

Oleh Abdul Rahman Hashim


Benarkah kerusi Parlimen Wangsa Maju akan dikembalikan kepada UMNO dalam pilihan raya umum yang akan datang ini? Jika perkhabaran itu benar, maka bersiullah Ketua UMNO Bahagiannya, Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah kerana beliau dikatakan satu-satunya calon UMNO/BN yang winnable untuk dipertaruhkan menentang calon Pakatan Rakyat sekaligus untuk merampas semula kerusi yang telah dimenangi oleh PKR di situ.
Walaupun blogger Shahbudin Husin di dalam blognya menulis bahawa Shafei bukanlah calon yang winnable di Wangsa Maju, namun rata-rata pemimpin-pemimpin UMNO di Wangsa Maju mahukan beliau ditampilkan sebagai calon jika pucuk pimpinan merestui Wangsa Maju kali ini wajar dikembalikan kepada UMNO. 
Jika sahabat saya Shahbudin Husin merasakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Haji Jaafar Arifin, Naibnya Hamdan Yusof dan Setiausaha Bahagian Samsudin Husin adalah calon-calon yang lebih winnable dari Shafei, maka itu hanyalah andaian blogger berkenaan sahaja, sedangkan ketiga-tiga tokoh yang disebutkan itu juga merupakan penyokong setia Dato' Shafei Abdullah. Mereka juga sebenarnya taksub mahukan Ketua Bahagian mereka dinobatkan sebagai Wakil Rakyat bagi kawasan Parlimen Wangsa Maju jika BN menang di situ. Oleh itu perucubaan untuk melagakan mereka ini dengan Dato' Shafei mungkin hanya menjaring angin sahaja.
Parlimen Wangsa Maju sebelum ini pernah diwakili oleh UMNO bermula dengan Tan Sri Dr Kamal Salih pada pilihan raya 1995, diikuti dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique pada piihan raya 1999; namun pada pilihan raya 2004 kawasan ini telah bertukar wajah bukan lagi milik UMNO, sebaliknya BN telah diwakili oleh calon MCA iaitu Yew Teong Look (YTL). Namun begitu YTL tidak mampu mempertahankan kerusi ini apabila beliau kecundang di tangan Wee Chee Keong dari PKR dalam PRU 2008.
Dominasi kerusi Wangsa Maju di tangan BN selama ini mula berkecai dengan kekalahan tipis YTL itu. MCA bukan sahaja kalah di Wangsa Maju bahkan semua calonnya di Wilayah Persekutuan turut ditolak oleh pengundi Cina yang menjadi majoriti di kawasan Parlimen yang ditandinginya. UMNO yang bertanding di lima kawasan Parlimen hanya menang di tiga kawasan iaitu di Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa. Manakala Parlimen Lembah Pantai dan Titiwangsa yang diwakili calon UMNO turut dibenamkan bersama-sama dengan calon-calon komponen BN yang lainnya di Bukit Bintang, Seputih, Bandar Tun Razak, Cheras, Kepong, Segambut dan juga Batu.
Dato' Shafei mendekati generasi 'Y' di Wangsa Maju
Jika benar perkhabaran terkini bahawa Wangsa Maju akan dikembalikan kepada UMNO, maka sewajarnya UMNO di Wangsa Maju tidak lagi terjebak dengan 'politik sengketa'. Saya lebih yakin dengan era kepimpinan Dato' Shafei Abdullah yang mengetuai UMNO dan juga BN di Wangsa Maju, kerana beliau dilihat lebih komited dan terbukti berjaya dengan agenda rakyatnya. Kelibat turun padang (TURPA) dan program walkabout bersua dengan rakyat marhaen tanpa mengira kaum, bersarapan pagi bersama rakyat yang kerap beliau lakukan sekarang ini merupakan tindakan terpuji seorang pemimpin yang mendambakan dirinya bersama rakyat.
Pada saya, Shafei yang juga Setiausaha Politik kepada Dato' Sri Najib Tun Razak berada di dalam momentum yang terbaik kerana beliau mampu menyatu padukan semua faksi UMNO yang dipimpinnya. Kehebatannya memperkasakan UMNO juga hendaklah diterapkan di dalam parti-parti komponen BN yang lainnya, terutama MCA kerana terdengar juga desas desus kononnya hubungan beliau dengan kepimpinan MCA agak berbahang, apatah lagi kerusi Wangsa Maju kali ini akan dikembalikan kepada UMNO.
Beberapa program anjuran BN dikatakan tidak dipedulikan oleh MCA, sebaliknya Yew Teong Look dilihat semakin ligat bagaikan putaran gasing mempromosi dirinya tanpa disertai oleh Dato' Shafei sebagai Pengerusi BN Wangsa Maju. Yew Teong Look semakin kemaruk untuk menjadi calon BN kerana beliau juga yakin bahawa pucuk pimpinan partinya telah memberi signal bahawa MCA akan kekal bertanding di Wangsa Maju.
Jika benar UMNO akan bertanding di Wangsa Maju, Dato' Shafei sebagai Pengerusi BN hendaklah segera mengambil pendekatan lebih mesra dengan MCA. Jika boleh setiap program BN hendaklah disertai oleh Yew Teong Look sebagai bukti bahawa masalah bermasam muka antara UMNO dan MCA tidak berbangkit lagi. MCA pula kena bekerja keras untuk memenangi hati pengundi-pengundi Cina yang kini lebih terpaut dengan Pakatan Rakyat.
UMNO pula janganlah terlalu 'complesant' kerana pengundi Melayu yang melebihi 54 peratus di Wangsa Maju bukanlah semuanya menjadi ahli UMNO. Melayu yang pro PAS dan Melayu yang pro PKR juga merupakan ancaman kepada solidariti Melayu untuk memenangkan UMNO di Wangsa Maju. Rasanya majoriti pengundi Cina akan lebih berpihak kepada calon PKR yang mempertaruhkan Dato' Dr. Tan Kwee Kwong. Kecenderungan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat masih belum dapat dipatahkan, malah sindrom inilah yang menghantui BN di kebanyakan kerusi yang ramai pengundi Cina.

MCA TANDING DI SETIAWANGSA?
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, mungkinkah calon MCA 
bakal menggantikan beliau dalam PRU13 ini?
Dalam satu perkembangan lain di Setiawangsa, rata-rata pemimpin UMNO di Bahagian itu tidak bersetuju jika kerusi Setiawangsa menjadi galang ganti untuk MCA bertanding di kawasan ini. Kenapa harus Setiawangsa dikambing hitamkan demi hendak mengembalikan semula UMNO di Wangsa Maju? Pada mereka, kekuatan undi Melayu yang melebihi 60 peratus di Setiawangsa bukannya untuk memberi keselesaan kepada MCA, malah mereka menganggap ini adalah satu penghinaan kepada UMNO. 
Jika benar ini yang akan terjadi di Setiawangsa, kemungkinan besar akan berlaku gelombang kemarahan pengundi-pengundi Melayu yang menjadi faktor untuk mereka beralih arah. Desas desus begitu kuat bahawa PKR akan meletakkan calon Melayu bekas Pegawai Tinggi Angkatan Tentera bertanding di Parlimen Setiawangsa. Jika BN mengharapkan undi Tentera tetap solid di Setiawangsa, rasanya mungkin kali ini menjadi terbalik. Kebarangkalian Setiawangsa akan bertukar ganti menjadi kerusi PKR bakal tercipta, jika MCA diajak untuk mewakili BN. 
Sikap acuh tak acuh pihak MCA di dalam gerak kerja memantapkan jentera pilihan raya di Setiawangsa sama seperti yang berlaku di Wangsa Maju. MCA masih belum mampu menunjukkan taringnya untuk memikat hati pengundi-pengundi Cina di kawasan ini. Kalau pun pucuk pimpinan tidak mahukan lagi Dato' Sri Zulhasnan Rafique menjadi calon BN kali ini, tetapi bukanlah penggantinya MCA. Setiawangsa tidak selamat untuk MCA. Percubaan bahaya ini hanya bakal merebahkan BN di tempat yang menjadi kubu kuat UMNO selama ini. Mungkin juga penghinaan terhadap UMNO ini menjadikan orang UMNO tidak percaya lagi kepada UMNO/BN. 
Apa juga sepak terajang yang sedang diolah ini, hendaknya janganlah sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendung pula keciciran. 


 

Monday, July 2, 2012

UMNO SABAH BERTIKAM SESAMA SENDIRI?

Musa Aman dan Shafie Apdal
 Oleh Abdul Rahman Hashim

UMNO Sabah harus segera mengambil langkah bermuhasabah daripada terus bertelagah sesama sendiri. Walaupun berbeza pendapat itu menjadi lumrah dalam dunia politik, tetapi apalah gunanya jika ia membawa musibah kepada kekuatan yang sudah dibina sekian lama. 
Musa Aman, Ketua Menteri Sabah jangan mengenepikan pandangan mahupun kritikan-kritikan yang ditujukan kepadanya sebagai suatu bibit kebencian sehingga tidak terlihat unsur kebaikan di sebaliknya. Shafie Apdal seorang tokoh UMNO Sabah yang kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri kanan di peringkat Persekutuan janganlah pula merasakan dirinya terlalu besar sehingga memandang rendah kebolehan dan kewibawaan pimpinan di peringkat negeri.
Seharusnya egoistik pertelagahan ini tidak mengheret kepada perpecahan yang lebih besar sehingga Sabah tidak mampu lagi menjadi 'simpanan tetap' kepada kerajaan Barisan Nasional di dalam PRU13 sebagaimana yang terjadi di dalam PRU12 tahun 2008. Keadaan politik Sarawak juga memperlihatkan 'zon simpanan tetap' di negeri itu bakal menyaksikan beberapa kerusi yang dikuasai pengundi Cina menjadi sukar untuk BN mengekalkannya kali ini.
Tun Datu Mustapha, Datuk Haris Salleh & Salleh Said Keruak,
ketiga-tiga tokoh ini pernah menjadi Ketua Menteri Sabah
Tindakan Lajim Ukin yang sudah pun meletakkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Cawangan di dalam Bahagian Beaufort baru-baru ini janganlah dipandang remeh, kerana beliau juga merupakan di antara tokoh politik yang berpengaruh di Negeri Bawah Bayu itu.
Bibit-bibit keretakan membawa belah di dalam politik UMNO di Sabah semakin hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Diharapkan kehangatan dan gejolak ini hanya berkisar kepada kocakan secawan kopi sahaja tanpa membabitkan sentimen rakyat yang bakal menentukan nasib masa depan BN secara keseluruhannya di negeri itu. Dibimbangi tempiasnya pula bakal meruntuhkan tembok besar BN yang mengharapkan kuasanya terus dominan menguasai politik persekutuan. 
Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri dan juga Pengerusi Barisan Nasional tidak harus dibebankan dengan permasalahan politik dalaman ini, kerana beliau merasakan UMNO Sabah mampu mengenepikan sengketa yang membobrokkan itu. Pemimpin UMNO Sabah harus belajar daripada sejarah lampau di mana pertelagahan sesama sendiri telah membuatkan kuasa yang dimiliki boleh terlepas kepada yang lain. Parti USNO terpaksa ditinggalkan bagi membolehkan UMNO menjadi galang gantinya sehingga membawa kepada transformasi politik yang lebih bersepadu.
Penulis (Abdul Rahman Hashim) di kanan sekali,
ketika berkunjung di Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Haris Salleh, 1979.
Datuk Haris Salleh juga merupakan Presiden Parti BERJAYA.

Parti BERJAYA yang pernah menguasai politik Sabah juga begitu mudah dirapuhkan apabila PBS pimpinan Pairin Kitingan menggunakan kepintaran politiknya untuk meruntuhkan kerajaan BN. Demikianlah buruknya kesan daripada perbalahan sesama sendiri yang boleh tergadai segala-galanya. 
Kini, kehangatan politik Sabah persis kehancuran yang berlaku ke atas USNO dan juga BERJAYA. Sebahagian besar pemimpin UMNO Sabah yang ada sekarang ini juga merupakan tokoh-tokoh warisan USNO dan juga BERJAYA. Sewajarnya UMNO yang menjadi galang ganti kepada kekuasaan politik yang dimiliki sekarang ini terus dipertahankan, bukan untuk dipersendakan sehingga menjadi kebencian kepada rakyat peribumi.
Lajim Ukin & Yong Teck Lee
Pakatan Rakyat tentunya menyedari betapa lunturnya semangat kesetiaan politik di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada, sehingga mereka yang terbabit tidak terjumpa lagi noktah untuk menghentikan pertikaman sesama sendiri. Pakatan Rakyat semakin pasti untuk mengadakan gabungan politik dengan serpihan-serpihan UMNO yang kecewa ini. USNO yang disepikan selama ini, dikatakan bakal bergabung dengan parti baru (STAR) yang juga disokong kuat oleh parti pimpinan Datuk Yong Teck Lee, Parti Maju Sabah (SAPP), malah tidak mustahil mereka juga akan bercantum dengan Pakatan Rakyat untuk menghancurkan Barisan Nasional. 
Apakah lanskap politik Sabah akan berubah corak selepas PRU13 ini? Apakah Musa Aman mampu mempertahankan prinsip perjuangannya selama ini untuk mengekalkan dominasi UMNO/BN yang dipimpinnya? Jika Shafie Apdal dan Musa Aman dikatakan sebagai pencatur politik yang hebat di Sabah, apakah mereka mampu mencaturkan diri masing-masing supaya tidak terjebak dengan politik kehancuran yang bakal merugikan semua pihak, terutamanya rakyat marhain peribumi yang sudah lama terpaut kepada UMNO.


Wednesday, June 27, 2012

SHARIFAH AINI BARU DAFTAR SEBAGAI PENGUNDI?

Datuk Sharifah Aini mengundi di Parlimen Petaling Jaya
Usianya dah melebihi setengah abad, baru sekarang ini Sharifah Aini teringat bahawa dia belum pernah mengundi. Sebenarnya saya berasa malu dan bersalah kerana baru sekarang mendaftar sebagai pengundi. Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini menarik perhatian para pengunjung di Pejabat Pos Besar Shah Alam di sini hari ini (27 Jun 2012), apabila beliau hadir mendaftarkan diri sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, langkahnya mendaftarkan diri sebagai pemilih kerana menyedari ini adalah masa paling tepat untuk menggunakan hak sivil sebagai warganegara bagi memilih kerajaan yang memperjuangkan hak anak seni sepertinya.

"Sebenarnya saya berasa malu dan bersalah kerana baru sekarang mendaftar sebagai pengundi.

"Namun hasil kesedaran yang diberi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dua hari lalu (semasa Hari Perhimpunan Bintang 2012 anjuran akhbar Kosmo! dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyebabkan saya hadir hari ini untuk mendaftar," katanya kepada pemberita.

Sharifah Aini berkata, seramai 50 rakan dan peminat tegar beliau juga turut mengambil langkah yang sama apabila mendaftar sebagai pengundi hari ini di beberapa lokasi seperti Gombak, Petaling Jaya termasuk Shah Alam.

"Kepada rakan seperjuangan yang belum mendaftar, daftarlah segera kerana setiap satu undi mampu merubah sesuatu keputusan pilihan raya dan masa depan negara.

"Saya anggap pendaftaran hari ini sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahiran saya yang jatuh pada 2 Julai ini dan Insya-Allah saya akan mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya,''