| Musa Aman dan Shafie Apdal |
Oleh Abdul Rahman Hashim
UMNO Sabah harus segera mengambil langkah bermuhasabah daripada terus bertelagah sesama sendiri. Walaupun berbeza pendapat itu menjadi lumrah dalam dunia politik, tetapi apalah gunanya jika ia membawa musibah kepada kekuatan yang sudah dibina sekian lama.
Musa Aman, Ketua Menteri Sabah jangan mengenepikan pandangan mahupun kritikan-kritikan yang ditujukan kepadanya sebagai suatu bibit kebencian sehingga tidak terlihat unsur kebaikan di sebaliknya. Shafie Apdal seorang tokoh UMNO Sabah yang kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri kanan di peringkat Persekutuan janganlah pula merasakan dirinya terlalu besar sehingga memandang rendah kebolehan dan kewibawaan pimpinan di peringkat negeri.
Seharusnya egoistik pertelagahan ini tidak mengheret kepada perpecahan yang lebih besar sehingga Sabah tidak mampu lagi menjadi 'simpanan tetap' kepada kerajaan Barisan Nasional di dalam PRU13 sebagaimana yang terjadi di dalam PRU12 tahun 2008. Keadaan politik Sarawak juga memperlihatkan 'zon simpanan tetap' di negeri itu bakal menyaksikan beberapa kerusi yang dikuasai pengundi Cina menjadi sukar untuk BN mengekalkannya kali ini.
![]() |
| Tun Datu Mustapha, Datuk Haris Salleh & Salleh Said Keruak, ketiga-tiga tokoh ini pernah menjadi Ketua Menteri Sabah |
Bibit-bibit keretakan membawa belah di dalam politik UMNO di Sabah semakin hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Diharapkan kehangatan dan gejolak ini hanya berkisar kepada kocakan secawan kopi sahaja tanpa membabitkan sentimen rakyat yang bakal menentukan nasib masa depan BN secara keseluruhannya di negeri itu. Dibimbangi tempiasnya pula bakal meruntuhkan tembok besar BN yang mengharapkan kuasanya terus dominan menguasai politik persekutuan.
Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri dan juga Pengerusi Barisan Nasional tidak harus dibebankan dengan permasalahan politik dalaman ini, kerana beliau merasakan UMNO Sabah mampu mengenepikan sengketa yang membobrokkan itu. Pemimpin UMNO Sabah harus belajar daripada sejarah lampau di mana pertelagahan sesama sendiri telah membuatkan kuasa yang dimiliki boleh terlepas kepada yang lain. Parti USNO terpaksa ditinggalkan bagi membolehkan UMNO menjadi galang gantinya sehingga membawa kepada transformasi politik yang lebih bersepadu.
![]() |
Penulis (Abdul Rahman Hashim) di kanan sekali,
ketika berkunjung di Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Haris Salleh, 1979.
Datuk Haris Salleh juga merupakan Presiden Parti BERJAYA.
|
Parti BERJAYA yang pernah menguasai politik Sabah juga begitu mudah dirapuhkan apabila PBS pimpinan Pairin Kitingan menggunakan kepintaran politiknya untuk meruntuhkan kerajaan BN. Demikianlah buruknya kesan daripada perbalahan sesama sendiri yang boleh tergadai segala-galanya.
Kini, kehangatan politik Sabah persis kehancuran yang berlaku ke atas USNO dan juga BERJAYA. Sebahagian besar pemimpin UMNO Sabah yang ada sekarang ini juga merupakan tokoh-tokoh warisan USNO dan juga BERJAYA. Sewajarnya UMNO yang menjadi galang ganti kepada kekuasaan politik yang dimiliki sekarang ini terus dipertahankan, bukan untuk dipersendakan sehingga menjadi kebencian kepada rakyat peribumi.
Pakatan Rakyat tentunya menyedari betapa lunturnya semangat kesetiaan politik di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada, sehingga mereka yang terbabit tidak terjumpa lagi noktah untuk menghentikan pertikaman sesama sendiri. Pakatan Rakyat semakin pasti untuk mengadakan gabungan politik dengan serpihan-serpihan UMNO yang kecewa ini. USNO yang disepikan selama ini, dikatakan bakal bergabung dengan parti baru (STAR) yang juga disokong kuat oleh parti pimpinan Datuk Yong Teck Lee, Parti Maju Sabah (SAPP), malah tidak mustahil mereka juga akan bercantum dengan Pakatan Rakyat untuk menghancurkan Barisan Nasional.
![]() |
| Lajim Ukin & Yong Teck Lee |
Apakah lanskap politik Sabah akan berubah corak selepas PRU13 ini? Apakah Musa Aman mampu mempertahankan prinsip perjuangannya selama ini untuk mengekalkan dominasi UMNO/BN yang dipimpinnya? Jika Shafie Apdal dan Musa Aman dikatakan sebagai pencatur politik yang hebat di Sabah, apakah mereka mampu mencaturkan diri masing-masing supaya tidak terjebak dengan politik kehancuran yang bakal merugikan semua pihak, terutamanya rakyat marhain peribumi yang sudah lama terpaut kepada UMNO.






















