assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, June 18, 2012

LAJIM UKIN BAKAL MENINGGALKAN UMNO?

Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin, 
Pemimpin Bisaya Negeri Sabah. Apakah 
beliau tidak akan bersama-sama lagi 
di dalam UMNO pada PRU13 nanti?


Oleh Abdul Rahman Hashim
Sememangnya gelombang politik di Sabah agak tidak menentu sekarang ini. Semakin menghampiri gerbang PRU13, politik negeri di bawah bayu ini kelihatannya semakin berkocak malah bertambah kronik. Walaupun Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak baru sahaja menamatkan lawatan turun padangnya ke negeri Sabah tempoh hari, namun ia tidak meninggalkan kesan positif terhadap rentak politik UMNO negeri itu. 
Datuk Seri Panglima Musa Aman, Ketua Menteri Sabah bukan sahaja dilihat masih ada bibit-bibit konfrontasi politik dengan kabilah tertentu di dalam UMNO yang tidak sehaluan dengannya, malah perkembangan sehari selepas Najib melawat negeri itu menyaksikan satu lagi kejutan telah meletus di mana Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin, Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Pusat yang juga Ahli Parlimen Beaufort telah menghantar notis perletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Cawangan Kerambai Kebatu kepada Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort. 
Sebelum ini Lajim Ukin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah memaklumkan bahawa diri beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian itu pada musim pemilihan jawatan parti tahun hadapan. Jika itu pilihannya, ini bermakna Lajim Ukin tidak akan bertanding atas tiket UMNO/BN dalam PRU13 nanti?
“Langkah pertama tidak pertahankan kerusi ketua bahagian dan langkah kedua, letak jawatan ketua cawangan. Langkah ketiga, tunggu dan lihat,? katanya dipetik sebuah akhbar berpangkalan di Sabah.
Beliau dilapor berkata demikian di hadapan lebih 5,000 penyokongnya pada sambutan hari lahirnya di rumahnya di Kampung Kaundu Kebatu, kelmarin.
“Saya yakin jika rakyat menolak saya, kehadiran mereka pada majlis malam ini tidak akan seramai begini. Ini kerana majlis ini dibuat tanpa jemputan, hanya sambutan hari jadi.
“Dalam politik, kita tidak boleh menjadi pemimpin hanya menurut kehendak pihak tertentu,” katanya.
Mengikut laporan itu, Lajim turut memberi jaminan bahawa dirinya akan terus berkhidmat dalam Parlimen Beaufort walaupun ‘dalam wadah yang berbeza’ demi membawa agenda perubahan untuk rakyat.
Difahamkan Lajim Ukin akan membuat beberapa pengumuman penting selepas ini yang mengundang musibah politik kepada UMNO dan BN menjelang PRU13. Keadaan musibah ini juga dikatakan menjadi salah satu faktor penting mengapa PRU13 tidak dapat diadakan dalam masa terdekat ini.
Dalam PRU12 yang lalu, Sabah dan Sarawak dianggap sebagai penyelamat kepada Barisan Nasional daripada kehilangan kuasanya. Dua negeri di Pulau Borneo ini dianggap sebagai 'Simpanan Tetap' kepada BN kerana BN di Semenanjung hampir hilang taring pengaruhnya bila dikejutkan dengan gelombang tsunami politik yang meneyebabkan BN kalah di lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan.
Baru-baru ini Ketua Pemuda Persatuan Orang Murut Sabah Sdra Raymod, bapanya sendiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pensiangan telah menyertai PKR sejak sebulan yang lalu. Semasa berucap di Pentas Merdeka Rakyat di Guar Perahu, Permatang Pauh tempoh hari Raymond memberitahu di hadapan ribuan hadirin iaitu lebih 60 ribu orang Murut di negerinya akan buat penentuan dlm PRU13 nanti untuk menjatuhkan UMNO/BN.
Harap-harap UMNO Sabah jangan berbalah sesama sendiri, perbalahan puak Shafie Apdal/Musa Aman juga dilihat menjadi faktor yang tidak sihat kepada UMNO/BN. Lebih baik mereka yang terbabit ini segera mencari noktah supaya perbalahan itu tidak menjadi barah kepada parti.


1 comment:

shah seksyen 7 said...

retak menunggu belah?